12 December 2012

12.12.12 - Selamat Ulangtahun Untuk Diri Sendiri

Hari ini 12 Disember 2012 adalah tarikh keramat. Angka 12 yang menjadi nombor bertuah sejak sekian lama digabungkan menjadi 12.12.12 lantas menggenapkan usia menjadi 30 tahun.

Tiada apa yang istimewa melainkan kombinasi nombor-nombor 12 yang tersusun cantik. Tiada apa yang luar biasa untuk dilakukan melainkan pergi bekerja seperti hari-hari Rabu yang sebelumnya.

Tapi aku ada harapan yang telah mengiringi kehidupan sejak 30 tahun yang lepas. Aku berharap untuk terus bergembira dan menggembirakan insan-insan tersayang. Keluarga, teman dan dia semestinya. Terima kasih sayang-sayangku semua! :-)

Pada 12.12.12 tepat jam 12.12 tengah malam, aku ucapkan selamat ulangtahun kelahiran buat diri sendiri. Semoga ucapan ini akan terus mengingatkan aku supaya tidak alpa ditelan usia. Alhamdulillah.


01 December 2012

Kuakui (Aku Hilang)

Bukan sekali dua pekerjaan di pejabat tidak berlaku adil kepada kita. Selalu sahaja timbunan kerja menzalimi sisi kehidupan yang lain. Melampaui masa, menawar rasa. Mengabaikan dia, melupakan cinta. Lebih parah segalanya berlaku tanpa sedar. Hanya selepas kau membuka mata, kau sudahpun kehilangan dia.

Apa yang aku lupakan; abaikan; tawarkan; bukanlah dia atau sesiapa. Apa yang aku lupakan; abaikan; tawarkan; adalah jiwa raga. Hilang di dalam waktu pejabat dan timbunan kerja. Ketika kau marah-marah, kau sudahpun kehilangan jiwa. Ketika kau menangis diherdik ketua, kau sudahpun kehilangan raga. Dan ketika kau berpura-pura bahagia, kau sudahpun hilang dari lantai dunia! 

Aku lebih rela kehilangan kerja. Daripada aku kehilangan diri sendiri.




Katakan padaku kekasih
Kesilapan yang pernah ku lakukan dulu
Ternyata aku yang harus di persalahkan
Ku akui

Aku leka dengan kerjayaku
Mengejar kekayaan di dunia ini
Betapa hancurnya hatimu laluinya
Ku akui

Jika dapatku mengulangi
Perjalanan cintaku bersamamu lagi
Akan ku jaga sebaik-baik cinta ini

Kini ku rasa kehilangan
Ku sedar betapa pentingnya kau di sisi
Yang selalu ada.. yang selalu rindu
Terhadap diriku

- Hafiz / Ajai -

01 November 2012

Melangkau Ufuk

Dapatkah aku melangkau ufuk
Letaknya antara langit dan bumi
Atau mungkin jatuh terperosok
Di tujuh kaki ke dasar bumi
Mungkin juga dihancur rusuk
Di tujuh petala langit kirmizi

Menghantar diri ke jalan pulang
Jalan antara langit dan bumi


19 October 2012

Ingat, Simpan dan Lupakan Botol Minyak Wangi Itu


PASPORT EKSPRES: Filem pendek ini layak mendapat tempat di blog ni. Usaha membawa puisi dan puitis ke dalam filem adalah satu hal yang selalu buat aku bangga. Bak kata Ghazi, "Semua benda yang kita boleh ingat, kita kena simpan". Maka aku ingin simpan filem ini di sini.

"Semua benda yang kita boleh ingat, kita kena simpan" - Rewan Ishak

Ayat ni mengingatkan aku tentang cerita minyak wangi. Betapa sang jejaka menyimpan botol minyak wangi kekasihnya selama bertahun-tahun. Semata-mata untuk menyimpan kenangan. Kenangan cinta yang kini terpisah oleh dua gerabak kehidupan. Akhirnya semalam botol tersebut pecah. Semerbak harum seluruh bilik menerbitkan bau-bau rindu. Air mata sang jejaka pun mengalir. Air mata derita! 

"Selagi hidup berjiwa hamba. Pasti tetap dijajah abadi" - Usman Awang

Botol minyak wangi yang pecah menjadi tanda bahawa sang jejaka telah bersedia untuk tidak diingati lagi tentang cerita derita. Bukan bermakna dia akan melupakan, cuma dia tak mahu diingati lagi. Segalanya hanya akan disimpan dan akan diingati pada masa yang sepatutnya sahaja. Eh, "INGAT, SIMPAN & LUPA" adalah tiga perkara berbeza tau.

Jangan diingatkan hal yang buruk. Takut kelak tak boleh lupa.
Jangan dilupakan hal yang buruk. Biar simpan jadi sempadan.
Jangan disimpan hal yang buruk. Bimbang nanti teringat-ingat.

Kalau tak mampu melupakan dia tak mengapa. Tapi buangkan segala hal yang mengingatkan kau tentang dia. Yang perlu kau simpan hanyalah pengajaran. Ah teman, hidup bukan untuk derita! Hayatilah filem pendek ini dan saksikan sendiri bagaimana ia bisa membuatkan kalian tersenyum sendiri :)

"Bukankah kecurigaan itu telah terbunuh ketika kita bersapa?" - Usman Awang.

Jangan dikenang kalau engkau seorang
jangan diingat kalau engkau termenung
mungkinkan hati rasa ragu dan bimbang
tiada siapa akan menolong

Lupakan sudah kisah yang telah lalu
jangan diikut kata hatimu sayang
apalah guna duduk bersedih pilu
cari hiburan sambil berdendang

Hidup kita bukan untuk derita
juga derita tidak selamanya
jangan dibuang usia yang masih muda
agar tak kesal di hari muka

Dunia kita luas indah terbentang
pilihlah satu jalan yang kau sukai
asalkan imanmu tidak bergoncang
semoga tuhan akan memberkati

AHMAD JAIS
1970


16 September 2012

Arca


Arca dicipta untuk mengajar kita melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza-beza. Bukan hanya satu. Jadi mengapa harus ada benci kalau sesekali kita bercanggah pendapat dan visi? Bukankah Tuhan kita satu?

Follow my photoblog at Instagram and search for Monizam_1212 J



05 September 2012

Teman Pengganti dan Alter-Ego



Bila dunia seolah tak memahami
Kau sudi selami, dalami dan mengalami
Setia mendengar, sentiasa hadir
Ingat setiap ulangtahun, setiap hari lahir
Tiba pagi Syawal, kaulah yang terawal
Syawal yang terakhir ini pasti rasa janggal
Tujuh puluh ribu hijab harus ku singkap
Ku sorok kitab balik tingkap penjara hinggap
Dalam diam ada, seorang yang ku puja
Kau teristimewa tapi dia yang sempurna

Dalam facebook dan twitter tercipta personaliti kita yang alter-ego. Berpura-pura, hipokrit dan dwi-personaliti. Berusaha untuk menjadi orang lain dengan harapan untuk diterima masyarakat dan kawan-kawan sekeliling. Dengan harapan kita tidak dimalukan oleh personaliti kita yang sebenar.

Ya! Alter-ego mungkin boleh menemukan kasih sayang kita dengan si dia. Ironinya, setelah kita selami, dalami dan mengalami, kita terpaksa melepaskannya pergi. Membiarkan dia mencari pengganti yang lain. Segalanya kerana satu rahsia! Rahsia di sebalik alter-ego yang kita pendam selama ini. Rahsia yang kalau diceritakan akan merenggangkan ikatan persefahaman.

Mengertilah, dalam dunia ini tak akan ada satu orang pun yang akan bisa memahami diri kita melainkan jiwa raga sendiri. Memahami diri sendiri akan membuatkan kita menangis sendiri. Kalau kau tak mampu menerima aku seadanya, pergilah. Pergilah kau cari pengganti yang lain...

Di alam maya.
Yang gemuk jadi kurus. 
Yang bengkok jadi lurus. 
Yang mengungkit jadi tulus. 
Yang berjerawat jadi mulus. 
Yang tipu jadi halus.
Hidup hanyalah ilusi.

- Tiba masanya aku cari teman pengganti.




01 July 2012

Surat untuk Kekasihku di Bandung



Malam ini aku tuliskan surat untuk kekasihku di Bandung. Surat pengakuan rasa bersalah dan membuka pekung. Surat ini aku tuliskan untuk aku layangkan merentasi Selat Melaka. Biar titis hujan di atas kertasnya menjadi tanda air mata yang gagal diseka. Betapa selama ini aku sangkakan sendiri-sendiri di Kuala Lumpur sudah mencukupi. Ternyata aku hanya sesosok orang yang terlalu banyak terdera sepi.

Kekasihku, kalau saja bulu matamu gugur itu tanda aku merinduimu. Kalau saja hatimu resah itu tanda aku sedang bimbangkan kamu. Kalau saja alis matamu bergetar itu tanda aku separuh mati belajar bersendiri.

Kekasihku, bayu dingin Gunung Tangkuban Parahu biarlah membekukan hatimu. Biarkan hatimu enggan cair pada pacar lain di kota Bandung. Lava panas di Kawah Ratu biarlah menghangatkan ingatanmu kepadaku. Biar ingatannya hanya untuk aku di kota Malaysia.

Kekasihku, hiruk pikuk Pasar Baru biarlah menghilangkanmu dalam ramai. Tapi jangan sesekali menyesatkanmu untuk kembali ke tanah melayu. Lampu neon Paris Van Java biarlah menerangi malam-malammu. Tapi jangan sampai membutakan mata matamu untuk melihat aku di seberang sini.

Kekasihku, biarpun surat ini tidak berbalas tinta, tetapi memadai untuk menyampai kisah hati. Kisah rindu tidak tertanggung kepada kekasihnya di Bandung. Berkirimkan doa rindu Nabi Yusof kepada Zulaikha. Bersama salam untuk Allah menjagamu selalu...


1 Juli 2012
Kuala Lumpur

23 June 2012

Aku Ada Satu Hati


Aku hanya ada satu hati.
Untuk aku beri atau disimpankan saja.

Mohon kau yang tentukan !



Biar sampai hujung nyawa !

05 June 2012

Kerinduan adalah sahabat baik kesunyian


Kerinduan adalah sahabat baik kesunyian. Hadirnya menghilangkan waras. Datangnya tak pernah puas.
Kecintaan adalah sahabat baik kebahagiaan. Hadirnya menghilangkan was-was. Datangnya tak pernah jelas.
Sempurnanya hati memainkan rasa. Hanya akal yang membahagi asa.

Kerinduan adalah sahabat baik kesunyian. Hadirnya menghilangkan waras. Datangnya tak pernah puas !
Seperti mana aku rindukan komen-komen daripada kalian pada setiap entri di sini.
Hehehehe :p










09 May 2012

Trafik Cinta: Cinta juga ada papan tanda, lampu isyarat dan jalan sehala.


Cinta juga ada papan tanda, lampu isyarat dan jalan sehala.

Lampu merah tandanya dia marah dan kau harus berhenti berkata-kata. Adakala berdiam diri itu penyelesaian terindah. Bukan menyerah kalah, tapi menunggu reda berbalah.

Kuning tandanya dia pening. Kau harus tahu bahawa itu tandanya bersedia untuk berhenti, bukan untuk memecut laju. Jangan terlalu banyak nasihat u-turn yang memualkan.

Hijau tandanya terus. Tapi selitkan sedikit rasa risau kerana jalan tidak selalunya lurus. Berikan angin, berikan lagu. Berikan benci dan juga rindu. Itu tandanya kau memahami liku-liku menuju ke hati.

Hati-hati memandu jalan cinta. Perhatikan setiap papan tanda amaran yang mana maksudnya lebih daripada sekadar lambang. Kalau kau tersesat, jangan terlambat bertanyakan orang. Ada ketikanya jalan itu sehala maka jangan sekali-kali kau mengharapkan timbal balas. Kalau di lebuh raya yang banyak lorong dan keretanya, memandulah mengikut had laju waspada. Prihatin pada yang di depan dan di belakang. Ada masa-masa kau harus ke kiri dan perlahan.

Kalau sampai ke jalan mati, berundurlah. Tiada guna terus ke depan dan usah dituruti jalan yang sama. Dengan itu semoga kau selamat terus ke destinasi !  


Kalau kalian ada lesen kereta, silakan bercinta! Aku belum ada L




21 April 2012

Zapin Mungkir Janji

Melodi yang sedap dengan lirik yang merentap!


laut berarus di waktu pagi
tandanya banyak ikan tenggiri
mulut tak hangus berkata api
begitu juga orang berjanji

kasih yang baru memang sayang
kasih yang lama ditinggal orang
ku disanjung ku dimanja
aku ditipu dalam ketawa

mangkuk bertutup berisi dadih
hendak menjamu orang berdagang
dulu tak cukup sekarang tak habis
kerana jemu mata memandang

tak kusangka tak kuduga
kukira engkaulah yang setia
janji suci kau hancurkan
mengapa aku yang disalahkan

perahu deli belayar ke barat
sarat muatan baju dan kain
hinanya besi kerana karat
hina manusia kerana miskin


kasih yang baru memang sayang
kasih yang lama ditinggal orang
ku disanjung ku dimanja
aku ditipu dalam ketawa



Penyanyi: Dato M Daud Kilau 
Album: Koleksi Bintang (2005)
Edaran: Universal Music (M) Sdn Bhd

18 April 2012

Kalau Kau Putus Cinta...

Kalau kau putus cinta jadilah seperti Adele Laurie Blue Adkins (Adele). Dimengalirkan air matanya kepada puisi dan lagu dan diangkatkan dirinya ke puncak tertinggi. Nah sekarang yang lelaki itu terpaksa mendongak ke atas untuk memandangnya!

Kalau kau putus cinta, janganlah direndah-rendahkan diri. Mengapa harus diberikan peluang kalau sekali sudah memadai? Sakit? Kata orang, selalunya yang sakit itulah buat kita bernyawa. Bijaknya hati memainkan rasa. Memberikan kita suka berselang sakit. Dan bijak lagi akal yang memainkan waras. Membezakan antara nyata dengan mimpi.


Nah sekarang pilihan ada di tangan. Nyata atau mahu terus bermimpi? 



Aku pilih untuk terus bermimpi kerana di situ aku temu bahagia. Oh klise ! Huhuhu~

15 April 2012

Belahan Jiwa

Janganlah kerana kuatnya cinta membuatkan kau menjadi hamba dan rela diperlakukan tidak terhormat oleh dia yang kau harapkan sebagai belahan jiwamu.

Jika benar dia belahan jiwamu maka dia akan selalu memuliakanmu, bukan mencaci dan tersenyum sinis melihatmu mengemis perhatiannya.

Yang sakit. Yang perit. Yang jelek. Itulah yang mendewasakanmu. Belajarlah untuk menerima buruk baik perangai manusia. Nescaya kamu akan lebih menerima kehidupan.







25 March 2012

Lelaki vs. Perempuan

Perempuan itu pemalu orangnya. Mereka sanggup menahan kentut.
Lelaki pula sihat belaka. Mereka menjaga saiz perut.

Perempuan itu berjimat cermat. Sekali belanja berlama-lamaan.
Lelaki pula menjaga masa. Pinggan kotor dibiar seharian.

Perempuan itu pemurah penyayang. Beli barang, dan simpan barang.
Lelaki tak pentingkan diri sendiri. Pertama kereta, kedua gosok baju.

Perempuan itu gemar membaca. Yang dalam fikiran pun mereka tahu.
Lelaki pula gemar mengira. Satu dah kahwin, tiga bujang lagi.

Perempuan itu sukakan lelaki. Cemburu, tak sanggup berkongsi.
Lelaki juga sukakan perempuan. Memburu, cukupkan koleksi.


Kalau diam, tanda setuju.
Kalau senyum, tanda malu.
Kalau marah, tanda mengaku.
Kalau tak faham, tandanya dua alam !

Hahaha..ini untuk suka-suka aja.
Lelaki dan perempuan itukan saling lengkap-melengkapi... ;)



Sumber: Mr.Google

18 March 2012

Hadiah Dari Makkah


Setengah purnama mengejar ibadah
Sahabiah pulang dari umrah
Dicarikan untuknya redha Ya Allah
Dicarikan kami hadiah dari Makkah

Seutas tasbih sehelai sajadah
Tanda ingatan tak sudah-sudah
Nilaian bukan di balutan indah
Wai'ma pada harga nan mewah

Sebanyak mana ingatanmu pada Maha Pemurah?
Sekerap mana dahimu sujud menyerah?
Semuanya ada pada tasbih dan sajadah
...hadiah dari Makkah

Terima kasih wahai Siti Sarah
Membimbing kami mencari hidayah
Ada doa yang kami tadah
Buat bekalan sampai ke Jannah
...Insya Allah :)

17 March 2012

Tujuh Petala Cinta - Filem Sedih


Kesedihan yang pertama.

Cari video Tujuh Petala Cinta di Youtube dan bacalah sendiri komen-komennya. Sedih melihat orang-orang kita yang tak habis-habis mencari ketidaksempurnaan filem ini. Barangkali filem ini belum mampu menepati kehendak syariat 100%. Ah! Aku bukannya ahli untuk bercakap tentang syariat. Bagaimanalah kita mampu berlari ke langit? Baru bertatih sudah digelakkan orang.

"Untuk menghindar kesusahan yang sedikit kerana Tuhan, daripada menanggung kesusahan yang lebih besar. Kalau tak dapat sedikit, janganlah dibuang semua."

Kesedihan yang kedua.

Ada genangan air mata setiap kali melihat kekuatan pada diri Ahmad Fakhruddin Attar. Kuat waima dibuang masyarakat, dibuang pengajian dan dibuang cinta. Semuanya tak mampu dicuci dengan air mata Saidatul Nafisa yang tak henti-henti mengalir.

Kesedihan yang ketiga.

Terbit rasa syahdu mendengar alunan zikir-zikir sepanjang filem. Tiada lagi lagu-lagu OST yang selalunya berkumandang setiap kali tiba babak "punchline". Alunan zikir yang kesemuanya menepati jalan cerita. Membawa khayal ke tingkat tertinggi dan kembali semula kepadaNya.

Kesedihan yang keempat.

Apabila rakan di kerusi sebelah tiba-tiba bertanyakan aku "Sedih juga cerita ni ya? Bergenang air mata ni". Aduhaiiii. Secara peribadi, babak perpisahan antara Attar dan rakan-rakannya yang nakal lebih menyedihkan daripada babak cinta yang lain. Entahlah, cinta dengan kawan-kawan itu lebih mengesankan.

Kesedihan yang kelima.

Kalau kalian tak menonton dan menyokong filem ini. Sedih !!

***

Eh! Tujuh Petala Cinta bukanlah cerita sedih semata-mata. Itu hanya gimik. Ia punya jalan cerita yang sangat baik tentang cinta pada Allah, kekasih, keluarga, teman hatta musuh penjahat juga. Cinta bukan melemahkan tapi menguatkan. Kalau tak pandai menghargai cinta, jangan salahkan filem ini ya.

Selamat menonton :)


18 February 2012

Sabah itu Indah

Menjejakkan kaki ke Sabah adalah sesuatu yang dah lama aku idam-idamkan. Keindahannya dari pantai hingga ke kaki gunung senantiasa memanggil-manggil untuk aku datang. Februari 2012 menjadi saksi: daerah malaysia timur ini ternyata seindah gelarannya - Negeri di Bawah Bayu.

Hari Pertama:
Bandar Kota Kinabalu dan Pasar Filipina.

Matahari terbenam di Tanjung Aru


Hari Kedua:
Pulau Mamutik, Pulau Manukan, Pulau Sapi dan Pulau Gaya

Pulau Sapi

Terima kasih kepada pemandu bot kacak yang sentiasa menjaga barang-barang kami ketikamana kami asyik bermain snorkelling. Bagus Toshio !


Hari Ketiga:
Kinabalu Park, Kolam Air Panas Ranau, Canopy Walk Ranau

Desa Cattle dan Pasar Kundasang.


Hari Keempat:
Shopping ! ;)

Kenderaan beroda yang membawa kami ke sana sini.
Hampir RM400 untuk 4 hari 3 malam.

Istana hinggap keluarga Faiz, tempat kami bermalam selama tiga hari.
Terima kasih Faiz kerana sudi menumpangkan kami di sini !

Tak lengkap ke Sabah kalau tak ke Gunung Kinabalu, kan?
Semestinya kami akan datang lagi, Insya Allah. Peace !


Tak banyak tulisan untuk entri kali ni. Kerana aku tak jumpa perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keindahan Sabah!


17 February 2012

Selut di Tepi Laut



Beginilah langkah hidup. Awalnya selut.
Silap langkah, kaki terbenam ke dalam lumpur.
Silap gerak, jatuh tersembam barangkali tersungkur.
Walau apapun, pengakhirannya akan ada matahari dan laut.


Berfikiran positif itu menyihatkan :)

Cherating 2012



22 January 2012

Pengalaman yang Memimpin Tangan

Aku ingatkan cinta yang bermula daripada persahabatan itu indah. Saat kami berlanggar bahu di perpustakaan, dua buku terjatuh di atas lantai, dua tangan tersentuh ketika memegang buku, dua mata saling bertentang, lantas keduanya tersipu-sipu malu dan berakhir dengan satu persahabatan yang tak berpenghujung.

Tapi sebenarnya, cinta yang bermula daripada pergaduhan itu lebih indah. Salah faham, bertengkar, meninggikan suara, tangan hampir naik ke muka dan berakhir dengan sebuah rindu yang tak dapat dimengertikan.

Aku dah melalui kedua-dua pengalaman di atas. Iktibarnya, jangan takut untuk memegang komitmen cinta. Pengalaman yang akan memimpin tangan menyelusuri jalan setia. Kalau mahu, tekadkan saja. Tahun 2012 terlalu pendek untuk disia-siakan dengan angan-angan. Perhubungan itu indah apabila kau berjaya memahami diri sendiri tikamana kau sedang memahami siapa dia sebenarnya. Walaupun kau tak mungkin memahami dia sampai bila-bila pun.

Moga mimpinya khabarkan yang benar.