23 December 2016

Pecahan Kaca-Kaca

Sampai waktu, dia akan datang semula untuk mengutip kaca-kaca yang dia pecahkan dulu. Meski dia cuba cantumkan pecahan kaca-kaca itu, dia harus tahu bahawa kaca itu rapuh dan kaca juga boleh menjadi tajam. Semoga dia mengerti, di atas kaca-kaca itulah aku menapak hidup.



Disember 2016 

17 September 2016

Cerita Rindu di Singapura


Di antara Tanah Melayu dan Pulau Temasek. 
Ada cinta tertinggal di hujung tambak.
Ada resah tersisa di dalam sebak. 
Entah rindu entahkan tidak.

Kukirim kisah di Teluk Danga. 
Biar mengalir ke Pulau Sentosa. 
Ada doa di dalam jiwa. 
Moga kiriman berbalas rasa.

Kukirim kisah siang ke malam. 
Bersama pesan segera pulang. 
Biar baca cepat tamat. 
Cerita rindu di Singapura.


Batu Caves

16 September 2016

31 August 2016

Rasa yang Tertangguh

Ini adalah sebahagian daripada tulisan terbengkalai yang terus disimpan di dalam kotak "draft". Tak tersambung. Tak terluahkan. Tergantung dan terbiar. Tapi kalau dibaca semula, ada rasa yang tertangguh. 

18 Mei 2011 - PISAU

Jangan ambil ringan kala matahari terbit di timur. Sampai masa terbitnya di barat. Bimbang nanti cintamu ibarat pohon bertukar daun, hijaunya sebentar cuma. Sampai masa akan tumbang bersama ranting mati. Ditebang orang sampai ke akar.

Di hatinya ada luka. Dan di tangannya ada pisau untuk melukakan hati yang lain. 


3 Februari 2011 - CINTA LUKA

Menaruh kasih dengan orang yang baru putus cinta bukanlah sesuatu yang indah. Kecewanya pada cinta bukan saja menakutkan dirinya sendiri, tapi juga menakutkan aku yang cuba mencintai dia. Berikanlah apa saja janji, apa saja bukti, takkan lut parut hatinya.

Kerap kali hatinya berparut digores cinta. Sekerap itulah juga air matanya mengalir membasuh luka. Apa kau fikir, janji-janji kosongmu itu mampu untuk menawan kembali hati lukanya? Tidak, bukan semudah itu.

16 Julai 2009 - DIA MATI

Hidupnya gemilang. Tapi akhirnya dia mati. Maka di penghujung penceritaan, ditulis segala metafora, sastera pujangga, ayat-ayat melankolik, kata-kata sedih, semata-mata untuk menggambarkan betapa kematiannya adalah sangat mengecewakan bagi semua pihak, menyedihkan setiap kaum kerabat, menagih air mata si pembaca bagi melambangkan seribu kekesalan.

Mengapa tidak hanya dituliskan "Dia mati". Cukup. Itu sahaja. Titik.

Biarlah hidupnya yang gilang gemilang diingat orang. Bukan kematiannya.


19 Februari 2009 - JIKA KAU RINDU

Jika kau rindu, perkara-perkara yang sederhana boleh menjadi sangat mempersona.







20 February 2016

Pantun Pelangi


Hujan ringan membias cahaya
Tujuh sinar jadi pelangi
Datang tuan menegur sahaya
Kebaya longgar harum mewangi

Warnaan hijau biru dan nila
Merah jingga kuningan ungu
Kami terpukau cinta menyala
Sudilah jika tuan menunggu

Kaki pelangi di atas bumi
Ekornya tinggi mencapai awan
Tuan pergi tinggalkan kami
Hibanya hati tidak keruan

Bianglala saling sejajar
Busur cahaya memanah langit
Belasungkawa kami diajar
Air mata bukan sedikit

Warna mentari terlihat putih
Terpecah tujuh dirintang air
Tidak terganti jiwa merintih
Tergoyah tubuh talkin bersyair

Terbit hanya pagi dan petang
Takkan mungkin di tengahari
Tuan umpana pelangi merintang
Datang pergi tidak berperi

Kalau hujan di waktu malam
Terbit pelangi disinar purnama
Datang tuan hanya semalam
Jadi penyeri sekejap cuma



Menara Berkembar PETRONAS, KLCC
20 Februari 2016



15 February 2016

Saksi Hidup Ketika Mati

Mata itu tetingkap jiwa
Melihat kasar menghalus di hati.

Telinga pula jadi pintunya
Mendengar getar sebalik kata.

Hidung adalah nafas rahmat
Menghembus syukur menghirup nikmat.

Mulut itu lidah kebenaran
Saksi hidup ketika mati.



Keramat AU
15 Februari 2016



Pantun Menumpang

Bunga kiambang warnanya terang
Buat pengasih nakhoda kapal
Saya menumpang rezeki orang
Terima kasih harap setimpal

Burung helang membuat sarang
Di tanah rata pohon meranti
Saya menumpang gembira orang
Air mata bertakung di hati

Tumbuh rendang tepian bendang
Pohon terap berdahan dua
Saya menumpang cerita orang
Usah mengharap dikenang jua

Senja remang awanan perang
Tanda pergi sinar mentari
Saya menumpang kekasih orang
Sakit hati tanggung sendiri


UKM Bangi
14 Februari 2016

09 February 2016

Gambar Dari Tepi Jalan


GAMBAR DARI TEPI JALAN

Berdiri di tepi jalan
Bandar negeri berisi hiburan
Bangunan tinggi menggapai awan
Jadi bayang sebuah kemajuan

Berdiri di tepi jalan
Bingit bunyi jadi siulan
Motor lori mengikut garisan
Kayu ukur tamadun peraturan

Berdiri di tepi jalan
Warna warni lampu hiasan
Meski cantik hanya luaran
Itulah juga dipandang orang 

Berdiri di tepi jalan
Hendak ke kiri atau ke kanan
Takut nanti salah tujuan
Tetapkanlah lurus haluan

Gambar dari tepi jalan
Lambang perjalanan tidak berperhentian


9 Februari 2016
Kuala Lumpur


Sebenarnya, aku ada perangai suka bergambar dari tepi jalan. Tak tahu kenapa. Tapi aku rasa gambar dari tepi jalan itu cantik. Hahaha. Apabila dibelek-belek gambar lama, ternyata memang semua tempat yang aku singgah mesti ada gambar dari tepi jalan. Nah, puisi di atas terinspirasi dari gambar-gambar dari tepi jalan. Lambang perjalanan yang tak berperhentian. Salam.

01 January 2016

Alavida 2015 . Svaagat 2016 .



Foto #2015bestnine ni menceritakan semua tentang aku sepanjang tahun 2015 (dari atas ke bawah, kiri ke kanan):

Gambar 1: Majlis Penyampaian Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS untuk pelajar-pelajar lepasan SPM 2014 yang berjaya. Maka bermulalah episod baru dalam hidup mereka. Dan kami juga mendapat pelajar-pelajar baru untuk sesi 2015.

Gambar 2: Perginya dua insan mulia dalam hidup, Mak dan Apak. Apak meninggalkan kami kerana kemalangan jalanraya di Kuala Lipis pada tarikh 30 Januari 2015. Manakala mak meninggalkan kami pada 28 Julai 2015 setelah dua tahun menderita kanser. Tahun 2015 memberi perkhabaran duka buat kami sekeluarga. Aku kini bergelar anak yatim piatu.

Gambar 3: Pre-Departure & PREP Program untuk pelajar-pelajar tajaan PETRONAS yang akan terbang ke luar negara.

Gambar 4: Bercuti ke Pulau Perhentian bersama Ken, Remy, Seri dan adik dia. Pertama kali dapat jejak kaki ke pulau yang cantik ni. Pertama kali mengembara dengan budak2 HC ni.

Gambar 5: Imej terbaru 2015, dengan cermin mata baru 2015. Hehehe...

Gambar 6: #Throwback gambar lama ketika mengembara ke Macau, Hong Kong, Guangzhou dan Shenzhen pada tahun 2013. Backpack berdua je dengan Ken.. memang senang dan tak banyak kerenah. Kami redah sahaja tanpa perancangan awal menjadikannya kenangan bercuti paling best ! Masih teringat-ingat sampai sekarang.

Gambar 7: Pertama kali dapat jumpa YB Khairy Jamaludin. Pertama kali jadi Ketua Logistik untuk Majlis Penganugerahan ni. Pertama kali UIA menjadi tuan rumah.

Gambar 8: Pertama kali jumpa Siti Nurhaliza dalam program aku sendiri, semasa beliau membuat persembahan untuk Majlis Sekalung Budi 2015 (MSB). Sebelum ni jumpa kat rumah terbuka di Kuala Lipis sekitar tahun 2000 masa dia baru nak meningkat popular. Dulu kurus je, sekarang dah Mak Datin hahaha.

Gambar 9: Inilah keluarga besar TSER & STS. Tahun pertama bersama TSER & STS memang sangat menyeronokkan sebab aku ditugaskan untuk mengetuai PREP, siri program kepimpinan untuk pelajar tajaan PETRONAS. Banyak kerja luar, banyak kali jadi facilitator, merangka modul, memberi inspirasi untuk anak-anak muda dan tak dilupakan, ada banyak sesi karaoke! Haha!

2016, semoga aku menjadi insan yang lebih baik dan beroleh pertolongan dan keberkatan Allah. Amiiin.

p/s: Tajuk entri ni diinspirasikan selepas menonton Dilwale 2015 :-)

11 November 2015

Pesta Pantun Piala Alumni (1/2015)

Buat julung-julung kalinya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya menganjurkan Pesta Pantun Piala Alumni untuk edisi pertama bersempena Minggu Puisi UIAM. Hasil usaha keras barisan penganjur dan pemantun muda, akhirnya pertandingan ini berjaya dianjurkan bagi mencari pelapis pemantun UIAM.

Usaha mengumpulkan kesemua alumni pemantun UIAM sejak tahun 2000 harus diberikan pujian. Dengan hanya menggunakan facebook dan group whatsapp, hampir semua pemantun lama dapat dikenalpasti. Setelah lebih 15 tahun, masing-masing bersemangat untuk kembali menyumbangkan tenaga, buah fikiran dan juga bantuan kewangan bagi menjayakan program sulung ini. 

Terima kasih untuk semua yang membantu dan memberi sokongan terutamanya kepada Razuwan yang menyampaikan berita kepada semua alumni. Tak banyak yang sempat aku bantu untuk tahun ini. Insha Allah tahun depan kita cuba lagi ya :)

Jika mengambil kira pengalaman dan tingkat ilmu peserta, ternyata prestasi kesemua peserta adalah sangat baik. Hanya perlu digilap dan diberikan latih tubi, selebihnya aku percaya mereka mampu mengekalkan nama UIAM di arena pantun Malaysia. Aspek keyakinan penyampaian dan menjawab dengan tepat memerlukan latihan yang konsisten. Manakala aspek bahasa semestinya memerlukan pengalaman dan amalan membaca yang berganda. 

Walau apapun, sekalung tahniah untuk semua pemantun. Jangan malu dan takut untuk meneruskan perjuangan. Sekali berpantun, selamanya pemantun. 







Juara: Kumpulan Cenderawasih
Naib Juara : Kumpulan Onde-onde
Ketiga : Kumpulan Tun Teja
Pemantun Terbaik (Pertandingan Akhir): Fakhrul (Cenderawasih)

Kredit Foto: alangtengahbirukudang a.k.a. Razzuwan

06 January 2015

Ulangtahun ke 10 Oranglipis.Blogspot (2004 - 2014)

2015 - Maka secara rasminya genaplah 10 tahun usia blog oranglipis. Bermula dengan sekadar suka-suka untuk mempelajari HTML code, kini oranglipis sudah berumur 10 tahun. 

September 2004 entri pertama adalah lirik lagu Ruffedge. Tipikal budak jiwang haha ! Aku paling banyak menulis blog pada tahun 2011 iaitu sebanyak 57 entri setahun. Entri paling sedikit adalah pada tahun 2013 dan 2014 iaitu hanya 4 tajuk. 

Tulisan semakin berkurangan di sini. Salah satu faktor adalah kerana aku mula menulis di blog baru iaitu Kalau Mencari Kerja. Khusus untuk graduan menelaah panduan mencari kerja. Ada 10 entri yang memenuhi blog tersebut dan insya Allah aku akan terus menulis untuk membantu anak-anak muda kita sekarang. Jika berkelapangan, aku mahu tambahkan iklan-iklan jawatan kosong terkini di dalam blog tersebut. 

Menginjak tahun 2015, usia menapak semakin tua. Semua orang pun pernah merasai muda. Tiba masanya kita merasa tua. Dua nikmat yang manusia sering lalai dengannya adalah sihat dan waktu lapang - Riwayat al-Bukhari. Melihat kepada usia blog ini, aku mengaku bahawa dua nikmat ini ternyata semakin berkurangan. Semoga Allah memberi rahmat dan berkat untuk aku meneruskan hayat.

Selamat Tahun Baru 2015 !