Showing posts with label Sajak. Show all posts
Showing posts with label Sajak. Show all posts

17 September 2016

Cerita Rindu di Singapura


Di antara Tanah Melayu dan Pulau Temasek. 
Ada cinta tertinggal di hujung tambak.
Ada resah tersisa di dalam sebak. 
Entah rindu entahkan tidak.

Kukirim kisah di Teluk Danga. 
Biar mengalir ke Pulau Sentosa. 
Ada doa di dalam jiwa. 
Moga kiriman berbalas rasa.

Kukirim kisah siang ke malam. 
Bersama pesan segera pulang. 
Biar baca cepat tamat. 
Cerita rindu di Singapura.


Batu Caves

16 September 2016

15 February 2016

Saksi Hidup Ketika Mati

Mata itu tetingkap jiwa
Melihat kasar menghalus di hati.

Telinga pula jadi pintunya
Mendengar getar sebalik kata.

Hidung adalah nafas rahmat
Menghembus syukur menghirup nikmat.

Mulut itu lidah kebenaran
Saksi hidup ketika mati.



Keramat AU
15 Februari 2016



09 February 2016

Gambar Dari Tepi Jalan


GAMBAR DARI TEPI JALAN

Berdiri di tepi jalan
Bandar negeri berisi hiburan
Bangunan tinggi menggapai awan
Jadi bayang sebuah kemajuan

Berdiri di tepi jalan
Bingit bunyi jadi siulan
Motor lori mengikut garisan
Kayu ukur tamadun peraturan

Berdiri di tepi jalan
Warna warni lampu hiasan
Meski cantik hanya luaran
Itulah juga dipandang orang 

Berdiri di tepi jalan
Hendak ke kiri atau ke kanan
Takut nanti salah tujuan
Tetapkanlah lurus haluan

Gambar dari tepi jalan
Lambang perjalanan tidak berperhentian


9 Februari 2016
Kuala Lumpur


Sebenarnya, aku ada perangai suka bergambar dari tepi jalan. Tak tahu kenapa. Tapi aku rasa gambar dari tepi jalan itu cantik. Hahaha. Apabila dibelek-belek gambar lama, ternyata memang semua tempat yang aku singgah mesti ada gambar dari tepi jalan. Nah, puisi di atas terinspirasi dari gambar-gambar dari tepi jalan. Lambang perjalanan yang tak berperhentian. Salam.

07 June 2014

Hidup Biar Ibarat Daunan


Hidup biar ibarat daunan
Di dahan meredupkan
Di tanah menyuburkan.

Hidup biar ibarat daunan
Subur memberi nyawa
Gugur memberi baja.

Hidup biar ibarat daunan
Hijau menghembus udara
Kuning tanda berjasa.

Meski daunan tumbuhnya berjuta
Tetaplah kita insan berjasa


Keramat, 7 Jun 2014

13 May 2014

Cerapan Jiwa

Apabila kau tak lagi dapat melihat masa depan.
Apabila fikiran dan perasaan tidak keruan.
Itu tanda kau harus berhenti dari segala yang berjalan.
Untuk kau melepaskan apa yang sedang di tangan.

Usah bimbang sayang kerana ia hanyalah sementara.
Demi menguji sehebat mana manusia tanpa penjaga.
Sekuat mana kita boleh menjerit tanpa suara.
Selama mana kita mampu bernafas tanpa udara.

Berhentilah sejenak. Lapangkan dada. Helakan nafas. Pejamkan mata.
Di situ letak cerapan jiwa. Untuk kau menerus masa.


Untuk mereka yang pernah mengosong fikiran mencari jiwa yang hilang.
Keramat AU3
13 Mei 2014





03 April 2014

Kisah Seorang Pelaut


Antara darat dan langit. Dia memilih laut bertaruh nyawa. 
Antara tanah dan angin. Dia memilih ombak menguji jiwa.
Antara hujan dan pelangi. Dia berdiri di tengah-tengahnya.
Antara basah dan kering. Dia berdiri di kedua-duanya.

Mimpinya seringkali terhantuk ombak. 
Dan di situlah dia menghempas rindu.
Siangnya sentiasa dimabuk gelombang. 
Dan malamnya sunyi sesepi-sepinya. 

Kerana di setiap pintu rezeki yang terbuka, ada keluarga yang berpaut.
Maka di setiap lautan yang maha luas, akan tetap berdiri seorang pelaut.



Sebuah cerita untuk jiwa yang cekal kerana sesungguhnya 
setiap daripada kita adalah pelaut di bumi bertuah ini.

Kuala Lumpur
17 Mac 2014 

25 March 2012

Lelaki vs. Perempuan

Perempuan itu pemalu orangnya. Mereka sanggup menahan kentut.
Lelaki pula sihat belaka. Mereka menjaga saiz perut.

Perempuan itu berjimat cermat. Sekali belanja berlama-lamaan.
Lelaki pula menjaga masa. Pinggan kotor dibiar seharian.

Perempuan itu pemurah penyayang. Beli barang, dan simpan barang.
Lelaki tak pentingkan diri sendiri. Pertama kereta, kedua gosok baju.

Perempuan itu gemar membaca. Yang dalam fikiran pun mereka tahu.
Lelaki pula gemar mengira. Satu dah kahwin, tiga bujang lagi.

Perempuan itu sukakan lelaki. Cemburu, tak sanggup berkongsi.
Lelaki juga sukakan perempuan. Memburu, cukupkan koleksi.


Kalau diam, tanda setuju.
Kalau senyum, tanda malu.
Kalau marah, tanda mengaku.
Kalau tak faham, tandanya dua alam !

Hahaha..ini untuk suka-suka aja.
Lelaki dan perempuan itukan saling lengkap-melengkapi... ;)



Sumber: Mr.Google

18 March 2012

Hadiah Dari Makkah


Setengah purnama mengejar ibadah
Sahabiah pulang dari umrah
Dicarikan untuknya redha Ya Allah
Dicarikan kami hadiah dari Makkah

Seutas tasbih sehelai sajadah
Tanda ingatan tak sudah-sudah
Nilaian bukan di balutan indah
Wai'ma pada harga nan mewah

Sebanyak mana ingatanmu pada Maha Pemurah?
Sekerap mana dahimu sujud menyerah?
Semuanya ada pada tasbih dan sajadah
...hadiah dari Makkah

Terima kasih wahai Siti Sarah
Membimbing kami mencari hidayah
Ada doa yang kami tadah
Buat bekalan sampai ke Jannah
...Insya Allah :)

09 October 2011

Aku Ada Kekosongan


Makanya, aku tak memiliki apa-apa pun ..



14 February 2011

Maulidur Rasul


Ini sepersalinan untuk esok. Kiriman oleh majikan tersayang. Sayang seribu kali sayang, butangnya ada lima tapi lubangnya cuma tiga. Bagaimana mahu dikancingkan ya..? Huhu. Baju melayu tak sempurna kalau tidak berkancing. Ibarat hidup tanpa agama...

Esok buat pertama kalinya aku akan menyertai perarakan di Putrajaya. Mengagungkan Rasulullah dan memanjangkan selawat. Sempena maulid nabi ini, ada nukilan yang ingin aku kongsikan bersama. Hayati dan dalami maknanya. Salam Maulidur Rasul buat semua :)

Hari ini kata-kata Tuhan diperdagangkan

Hari ini sabda Nabi disendaguraukan

Hari ini ulama’ mulia diperlekehkan

Hari ini manusia malu bernama Muslim…


Hari ini bibir basah dek umpat keji

Hari ini mata bercelak debu duniawi

Hari ini dua kaki kudung di gedung solah

Hari ini dua tangan mengarang fitnah…


Hari ini perginya Nabi diriangraikan dan

Hari ini perginya manusia hina

Menggila diesaktangiskan …disesakrindukan…

Gelas fikirannya pecah terhantuk nafsu!


Hari esok mungkin Tuhan dijualbelikan

Hari esok mungkin Nabi diklonkan

Hari esok mungkin ulama’ diacuankan

Hari esok mungkin manusia diperbinatangkan…

Kerana itulah yang telah dipertontonkan syaitan

Demi hiburan yang lelah ditontoni manusia beruk


Hari ini agamaku menjilat air ludahan

Menahan malu sendiri…

Ahh..!! Sejarah agungnya tergadai murah

Hari lusa apakan jadi, ya?



UIAM, Gombak.

24 Julai 2002



27 January 2011

Cinta Minta



Meminta cinta
Entah sampai bila
Hati bercita-cita mahu setia
Tetap cinta tak kunjung tiba

Meminta cinta
Entah dari siapa
Hati berkata-kata tanda sedia
Tapi cinta tak datang juga

Meminta cinta
Cinta yang meminta-minta
Meminta-minta cinta minta
Serius, aku penat meminta-minta!

Apa kau tahu di ketika mana lelaki benar-benar meminta C.I.N.T.A.?






Ya, persoalannya..berani atau tidak? Titik.

24 January 2011

Dia Pemotong Rambut



di balik kaca pintu
duduk dia pemotong rambut
tangannya mengeluh lenguh
jenuh menunggu untung

pintu terkuak membuka rezeki
pemotong rambut berbasa basi
ya, senyumnya takkan berbalas
faham-fahamlah orang zaman malas
selalu hanyut dalam sms dan bbm
di depan skrin tersenyum-senyum
di depan kawan bermasam muka

dengan gunting dan pisau dia sudah terbiasa
dengan rambut sekarang yang macam-macam gaya
dengan jiwa manusia yang macam-macam cara
dengan cakap-cakap yang carca marba

dulu rambut sama hitam
tapi hati lain-lain
sekarang rambut belang-belang
apakah hati berbolak balik..?
tanyakan dia si pemotong rambut
kerana dia yang lebih tahu



Petang tadi aku pergi memendekkan rambut. Dan dia memanjangkan ilham :)

19 January 2011

Dibawa Pergi Tiada Kembali


Setiap hari mengekori dia
Yang digapai hanya bayang-bayang
Dan yang tertinggal tetap aku seorang

Mengharap dia mengembalikan jiwa
Kurang tidak berbalas rasa
Bukannya diambil percuma saja

Ah, semuanya salah diri sendiri
Melompat melatah mencipta mimpi
Walhal kontrak cinta kami belum pun ditandatangani

Ada apa dengan cinta ya?
Hingga hati mudah sekali dicuri orang
Dibawa pergi tiada kembali...

12 January 2011

Mungkin Ini Namanya Cinta

Mungkin ini namanya cinta
Bila pertemuan pertama
Rindukan kedua kalinya

- ah, aku benci duduk sendiri di depan balkoni..!

Foto oleh MonizaM
Tanah Lot, Bali

Melodi Hanyut nyanyian Faizal Tahir mengisi kesunyian di sudut balkoni. Menimbulkan satu rasa yang tak punya definisi. Satu rasa yang belum tentu boleh dimiliki. Kenapa perlu ada perasaan sekosong ini? Inikah cinta yang sering datang dalam mimpi? Kalau pun benar, aku lebih rela bermimpi di dalam jaga daripada tersiksa menikmati rasa yang bukan hak milik.



26 December 2010

Memeluk Kabus Cameron Highland

Kami ke Tanah Tinggi Cameron melalui jalan raya yang belum ramai diterokai orang. Bermula dari kampung di Kuala Lipis kami menuju ke Sungai Koyan dan terus ke Pos Betau sehinggalah sampai ke daerah Cameron Highland. Sekadar peringatan, jalannya diturap elok tetapi agak berbahaya kalau dilalui pada sebelah malam.

Kembara yang bermula seawal jam 7 pagi kerap kali membuatkan kereta bergerak perlahan dek kabus tebal yang menghalang pandangan. Permulaan pagi yang sungguh menyegarkan! Jam 9 pagi kami sampai di Teh Boh Plantation. Tersalah haluan kerana niat asalnya kami nak bersarapan di restoran terapung di satu lagi Teh Boh Plantation di Sungai Palas. Baru tahu rupa-rupanya ada dua Teh Boh Plantation di Cameron Highland. Niat bersarapan terbantut. Tapi tak mengapa. Serbuk teh tarik yang dicari-cari dijumpai juga.

Jalan yang sempit membuatkan perjalanan semakin panjang dan perut berkeroncong minta diisi. Singgah sebentar di Bharat Tea Plantation. Bersenang-senang di tepi bukit sambil menghirup teh tarik panas dalam gerimis pagi. Benar-benar mengasyikkkan!
Usai minum pagi, kami bersiar-siar di Pekan Tanah Rata dan menikmati makan tengahari. Hujan renyai-renyai mendamaikan udara tengahari. Makan pun jadi tambah berselera.
Dari Tanah Rata, kami terus mendaki Bukit Brinchang untuk singgah di Big Red Strawberry Park. Semestinya demi mencari buah cinta berwarna merah ini. Aiskrim dan wafel strawberi memang melecurkan air liur. Semua yang dibeli lesap dijamah dalam sekelip mata.


Tak sah ke sini kalau tak bermanja dengan flora dan faunanya. Bunga pelbagai jenis, kaktus hijau berduri dan secara tak sengaja terjumpa kolam buatan yang dihuni ikan koi yang berwarna warni.

Sebelum pulang, tak lupa untuk membeli belah di pasar malam Berinchang dan ratusan gerai di sekitarnya. Tapi awas jangan tertipu. Ada jualan yang datangnya bukan dari Cameron Highland sepertinya buah oren dan jambu kristal. Namun sayur-sayuran dan buah strawberi segar sememangnya sah dipetik dari tanah tinggi Cameron. Inilah juga yang menjadi pilihan hati buat bingkisan orang di Lipis. Jam 4 petang hujan turun mencurah-curah mengiringi kepulangan kami ke Kuala Lipis. Jumpa lagi kemudian hari :)


Memeluk Kabus Pagi

Hari ini kami mendaki tanah tinggi
dapatlah kami menyentuh embun dengan hujung jari
dan membiarkan dingin air mencucuk kulit.

Apabila sesekali angin berhembus pergi
kami berlari-lari memeluk kabus pagi
meninggalkan kebas di bibir dan pipi.

Apabila gerimis gugur dari langit
kami tadah bersama ketawa membingit
rindunya kami pada rintik hujan yang bersih.

Akhirnya kami berdiri di puncak bukit
di sana sini pepohon hijau tegak meninggi
kami berbisik di dalam hati sendiri
"rasanya dah lama bumi tak sedingin ini.."



Tanah Tinggi Cameron
25 Disember 2010

06 December 2010

Berteduh Dahulu


jutaan permata dijatuhkan dari langit
selebar bumi dialas permaidani dingin
sebesar sekecil makhluk berteduh dahulu
malam tahun baru bagai dirahmati.




07 November 2010

Bukit di Lembah Mempaga

ibarat bukit di lembah ada tinggi ada rendah
ibarat hidup diredah ada pedih ada indah
usah selalu berkeluh kesah kerana kabus tetap basah
di situ letak penyejuk amarah penawar gelisah


Felda Mempaga, Jalan Raub - Bentong


Ini adalah jalan yang mesti akan aku lalu setiap kali nak pulang ke Lipis. Jalan lurus tidak rata ini menghubungkan Bentong dan Raub merentasi Felda Lurah Bilut dan Mempaga. Berbanding dengan jalan lama yang bengkang bengkok di lereng gaung curam, jalan raya ini menjimatkan hampir satu jam masa perjalanan. Laluan ini memang sentiasa aku tunggu-tunggu dek kehijauan bukit bukau yang saujana mata memandang. Pemandangan inilah yang membuatkan aku kembali sedar betapa Malaysia masih lagi hijau dan mendamaikan.

05 November 2010

Keadilan Karma

hidup seperti aku
bisu menyapa cinta
manusia seperti aku
tak kuat memegang cinta

tertulis pernyataan ini, terlambang keadilan karma:
kasih hanya untuk yang mengasihi
sayang hanya untuk yang menyayangi

dengan itu sayang
izinkan aku mengasihimu
izinkan aku menyayangimu
esok dan selama-lamanya


Terkadang kita selalu tertanya-tanya; mengapa diri belum berpunya, mengapa dia enggan dipunya? Yang terlebih banyak kita bertanya; apakah yang dia cari, apakah idamannya? Jarang sekali kita menyoal diri; apa salah telah kita buat, apa dosa telah kita lakukan? Bermuhasabahlah, kerana sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil.


Keramat 12:35
05 November 2010

24 October 2010

Wajah Seorang Pendosa

ketika hujan turun renyai
basah dingin kaca jendela
terjaga jiwa dalam mamai
minda hilang dalam leka

malam masih berwarna suram
awan masih menangis duka
aku kaku di birai katil
kenang tidur tidak bermimpi

kalau benar air mata
bisa jadi penawar luka
hentilah saja tiap titisnya
alirnya laju keringnya tidak

kalau benar hilai tawa
bisa jadi penyembuh rindu
buanglah saja tiap rasa
gelaknya besar bunyinya bisu

buta bukan kerana gelap
tapi silau limpah cahaya
hati legam jelaga meruap
wajah gelisah bertopeng dosa

itu resah seorang pendusta
itu wajah seorang pendosa


24.10.2010
Keramat Au3

29 August 2010

Hujan

jam tiga pagi malam selepas sabtu
kuala lumpur disimbah hujan lagi
maka dalam dingin sebegini
aku pasti cemburukan sang penyanyi
kerana dia punya hujan dan lagu
tapi aku hanya ada rindu dan rindu