Kukira namanya terlalu istimewa dalam diari persahabatan. Kehadirannya tidak pernah diundang, namun ketiadaannya tiba-tiba mencetus rasa sayang dan rindu. Meski tiada apa yang istimewa terjadi antara kami dalam jangka waktu sesingkat ini, namun ketulusannya dalam menjalin ikatan yang diberi nama persahabatan, telah membuka dimensi baru buat aku dalam mengenal erti sebenar persahabatan.
Sebelum ini aku asyik mencurigai keikhlasan teman-teman yang berada di sampingku. Terlalu sukar untuk aku mempercayai pengorbanan mereka yang aku ragui sejauh mana kejujurannya. Pengalaman telah mengajar aku untuk lebih berhati-hati memahami telatah manusia dunia hari ini yang mudah dipengaruhi nafsu dan kepura-puraan. Maka, aku lebih rela bersusah sendiri daripada membebankan kawan-kawan aku waima aku acap kali dipaksa oleh mereka yang cuba untuk membantu aku. Aku keliru sama ada ini adalah satu tabiat yang baik atau sebaliknya. Aku dapat rasakan perasaan syak wasangka aku ini kadang-kala membuatkan orang lain terkilan dan rasa terhina walaupun tak pernah terlintas di hati aku untuk bermaksud sebegitu. Dan aku kerap kali berada dalam dilema sebegini yang tak pernah berkesudahan.
Secara tidak langsung, dia juga pernah menerima nasib yang sama daripada aku yang masih buta dalam menilai keikhlasan seorang sahabat. Dalam diam aku pernah menuduhnya pendusta, dan tidak jujur dalam bersahabat. Inilah tanggapan yang pernah aku buat terhadap teman-teman aku yang lain sebelum ini, sama ada secara diam prasangka mahupun lisan bicara. Betapa aku telah berdosa selama ini. Berdosa terhadap teman-teman aku, dan berdosa terhadap dia yang sebenarnya terlalu sayangkan persahabatan ini. Tindakan aku hampir-hampir meranapkan impian kami untuk menjadi sahabat yang kekal ke akhir hayat. Dalam kekalutan emosi dia berjaya juga menyedarkan diriku. Cuba membuka hatiku untuk menerima dia sebagai seorang sahabat yang benar-benar jujur dan ikhlas demi kebaikan bersama. Dan kini aku dapat merasakannya. Benarlah kata orang, kita jarang menghargai apa yang berada di dalam genggaman, namun akan menyesalinya saat ia telah hilang.
Kini aku perlu belajar untuk menghargai setiap pengorbanan teman-teman di sekeliling. Usah pertikaikan sejauh mana keikhlasan mereka kerana aku telah tahu, hanya kejujuran yang memampukan sesebuah persahabatan itu untuk terus kekal. Justeru, selagi mereka berada di sisiku ketika susah dan senang, selagi itulah mereka akan aku junjung sebagai seorang sahabat yang paling tinggi kemuliaannya dalam kamus silaturrahim. Apa lagi yang selayaknya aku hadiahkan buat mereka selain martabat kemuliaan setinggi ini? Terima kasih sahabat!
Tanpa sedar, seorang rakan bernama kawan, telah berjaya menyelamatkan aku dari terus hanyut dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan ini, demi akhirat yang abadi dan pasti.
…Tuhan, ampunkan aku!
No comments:
Post a Comment