Showing posts with label TV. Show all posts
Showing posts with label TV. Show all posts

10 January 2011

Tolong Ingatkan Aku - Versi Lelaki

AJL 25
Juara: Tolong Ingatkan Aku - Ana Raffali
Naib Juara: Drama King - Black / MUH
Ketiga: Noktah Cinta - Hafiz
Persembahan Terbaik: Faizal Tahir - Hanyut
Vokal Terbaik: Hafiz - Noktah Cinta

Aku setuju dengan semua keputusan kecuali Ana Raffali. Sebab persembahan dia tak masuk ke hati. Liriknya sangat bagus tapi sayang sebutannya menganggu persembahan. Kalau Yuna yang nyanyi barangkali lebih sempurna hehehe. Apapun, ini anugerah tentang lagu. Jadi aku tersilap kerana terlalu melihat pada nyanyian Ana Raffali.

Cuba dengar kalau orang lain yang nyanyi lagu ni. Kan sedap macam ni. Wajib layan ya!


Sudahlah! Aku mahu tidur dulu. Tolong ingatkan aku yang esok kita ada kerja perlu diselesaikan. Jangan jadi drama king mencanang gosip tak puas hati. Titik. Noktah cinta! Pelita sudah dipadamkan. Semoga kalian hanyut dibuai mimpi cinta sempurna bersama Sofea Jane. Selamat malam dan selamat mencari konklusi hidup yang lebih ekstravaganza. Jangan buat gosip yang jahat jahat kemudian berlari menyembunyikan diri. Takut nanti kita tersenyum kebahagiaan dalam perpisahan. Ku ada kamu bantal pelukku. Biarkan aku memeluk malam :)


Kalian tahu tak, Kak Pah menyanyi dengan monitor lirik khas untuk dia sahaja di depan pentas. Macam kita menyanyi di karaoke box tu hehehe..

09 January 2011

Raptai Penuh Anugerah Juara Lagu 2011

Selepas menonton raptai penuh semalam, ini adalah turutan pilihan aku untuk AJL malam ni. Tapi ingat, hanya 30% markah datang dari persembahan pentas, manakala baki 70% markah diberikan sebelum pertandingan berlangsung lagi. Jadi, saksikan persembahan penuh malam ini dan bandingkan keputusan aku yang tak seberapa ni hehehe.

5 lagu teratas mempunyai potensi besar untuk menduduki tempat-tempat utama malam ni. Tapi tak mustahil untuk lagu 6-10 memberikan cabaran kerana raptai bukanlah kayu ukur persembahan. Lagu 11-14 mungkin perlu membaiki lagi kualiti persembahan.

1. Hanyut - Faizal Tahir
- Tak sabar nak tengok Faizal hanyut dalam kolam air.

2. Cinta Sempurna - Yuna
- Boleh tak menyanyi secara berdiri?

- Yuna -

3. Berlari - Tomok
- Permulaan lagu yang saaaangat menarik! Macam video klip Korea.

4. Sofea Jane - Black
- Vokal Black buat meremang bulu roma.

5. Drama King - Meet Uncle Hussein
- Tolong buat sound-check ya! Dan gunakan pelakon dengan lebih efektif.

6. Noktah Cinta - Hafiz
- Gimik Hafiz sangat menjadi. Sangat kreatif!

7. Ku Ada Kamu - Adira
- Buaian-buaian tu menganggu vokal dan persembahan Adira lah. Kenapa perlukan buaian kalau Adira sendiri sudah mampu membawa penonton ke awang-awangan?

-Adira -

8. Selamat Malam - Faizal Tahir
- Persembahan yang comel :)

9. Kebahagiaan Dalam Perpisahan - Shahir
- Oh aku suka Nasha Aziz dalam persembahan ni! Nasha sangat membantu penonton untuk memahami lagu ni dengan lebih berkesan.

10. Tolong Ingatkan Aku - Ana Raffali
- Tolong baiki sebutan. Sangkar-sangkar tu memberatkan lagi isi lagu. Serius aku tak faham! Huhu. Bukankah lakonan sepatutnya membantu pendengar untuk lebih memahami isi lagu?

- Ana Raffali -

11. Jahat - Stacy
- Tetap bertenaga tapi kurang menyengat. Persembahan seperti dijangka, tiada apa yang lain daripada lain.

12. Pelita - A.P.I
- Alat muzik terlalu banyak sehingga menganggu vokal dan kedengarannya bising dan hingar bingar.

13. Ekstravaganza - Bunkface
- Persembahan syok sendiri hehehe.

14. Mencari Konklusi - Hujan
- Lagu dan persembahannya terlalu ringkas dan kosong.

Bakal pemenang persembahan terbaik:
Aku nilai berdasarkan sejauh mana persembahan membantu lirik lagu sampai ke hati penonton dan vokal yang mantap membantu penyampaian keseluruhan lagu.

Berlari - Tomok
Noktah Cinta - Hafiz
Hanyut - Faizal Tahir
Sofea Jane - Black

Bakal pemenang vokal terbaik:

Black - Sofea Jane
Dan aku tak ada calon yang lain kerana vokal Black sememangnya memukau !

Persembahan selingan:
Segmen Siti Nurhaliza pastinya meriah! Lagu nyanyian Kak Pah sedap didengar. Vokal Ziana Zain dan Francisca Peter masih sehebat anak dara. Dan tetaplah Bob penyanyi terhebat kerana selamba menyanyikan lagu duet Ghazal Untuk Rabiah secara solo.

Itu sahaja komentar suka-suka daripada aku. AJL menyedarkan aku betapa aku cintakan persembahan seni pentas. Rasanya tak meriah hidup kalau tiada lagi muzik-muzik yang berkualiti di Malaysia huhu. Menyaksikan raptai persembahan tv memang menyeronokkan. Berdebar-debar bila tengok props yang berbagai-bagai entah sempat dipasang atau tidak di atas pentas. Tercuit hati tatkala artis terlupa lirik dan terpaksa mengulang lagu 2,3 kali kerana masalah teknikal. Tergelak besar melihat gelagat sang pengacara yang terpaksa menokok tambah skrip kerana persembahan belum bersedia. FF, FBI dan Ally memang gandingan yang serasi.

Jom saksikan persembahan penuh malam ini. Agak-agak siapa yang akan menang? Mungkinkah artis-artis tempelan di bawah ni? Hahaha ;)

07 January 2011

Anugerah Juara lagu ke 25 - 2011

Selalunya mudah untuk aku membuat pilihan juara. Tapi kali ini, hampir semua lagu punya kekuatan sendiri. Jadi aku senaraikan saja lagu pilihan mengikut turutan potensinya untuk menang. Esok aku nak menonton raptai penuh AJL 25 di Bukit Jalil (terima kasih Haina!). Jadi carta ini mungkin akan berubah selepas tengah malam esok. Apapun, kita tengok carta setakat hari ini ya :)

1. Drama King – Taja/Teja/Meet Uncle Hussain
Bait-bait lirik lagunya sangat tepat dengan setiap melodi. Ayat perli, melodi pun berbunyi sinikal. Ayat marah, melodi pun berbunyi marah. "Kau bertakhta bagai maharaja di atas lembah..." Fuh sangat sinis!

2. Cinta Sempurna – Yuna
Sekali dengar dah cukup buat aku melayang-layang dilamun cinta. Yuna punya karisma yang mampu mengangkat lagu ini ke tingkat paling sempurna. " Tak mampu untuk menanggung sebuah cinta sempurna.. aku hilang dalam kewujudan..." Kadang-kadang yang serba ringkas seperti lagu ini kelihatannya lebih sempurna.

3. Hanyut – Audi Mok/Faizal Tahir/Faizal Tahir
Gemersik suara Faizal agak lain daripada biasa. Ada nyawa dalam nyanyiannya. Faizal benar-benar meroyan hanyut bersama lirik dan melodinya. Sehebat lagu Cuba dan Sampai Syurga.

4. Pelita – Loque/Loque/A.P.I
Lirik lagu yang sangat mencerahkan hati. Kalaulah ada anugerah lirik terbaik, Pelita adalah pemenangnya. "Kan kupancarkan cahaya seperti pelita. Ke serata dunia yang gelap gelita.."

5. Sofea Jane – Iswandy/Sham/Black Mentor
Terkenang lagu rock 80an dulu-dulu. Gimik lagu ni ada pada tajuknya. "Kau selalu membuat hatiku merasa berat". Memang berat mengenangkan rindu yang terbuku dalam hati.. ahh !

6. Ku Ada Kamu – Edry Abdul Halim/Edry Abdul Halim/Adira AF8
Kekuatan lagu ini terletak pada vokal penyanyinya. Harapnya Adira boleh mengulang semula kehebatannya semasa konsert akhir AF dulu.

7. Berlari – Shazzy Ishak/Tomok
Melodi lagu ni sangat mudah ditangkap akal. Sangat catchy kata orang, Aku dah terbayang Tomok berlari-lari di atas pentas mengikut rentak lagu.

8. Selamat Malam – Audi Mok/Faizal Tahir
Liriknya agak unik dan sangat romantis bunyinya. Itu yang buat aku mahu dengar lagu ni. Tapi aku cepat juga hilang tumpuan bila dengar lagu ni. Awal-awalnya menenangkan, makin lama makin serabut. Bagaimana agaknya kalau orang ucap selamat malam dalam keadaan terjerit-jerit? Hehe.

9. Jahat – Edry Abdul Halim/Edry Abdul Halim/Stacy
Tipulah kalau kalian tak menghentak-hentak kaki bila dengar lagu ni. Semestinya Stacy akan menari bersungguh-sungguh nanti. Tapi bila dengar lama-lama, muziknya agak serabut.

10. Noktah Cinta – Ajai/Sheikh Qalam/Hafiz AF7
Melodinya persis lagu cinta biasa-biasa. Belum mampu menandingi lagu-lagu cinta Aizat. Mungkin sekadar memenuhi kuota 14 finalis.

11. Kebahagiaan Dalam Perpisahan – Edry Abdul Halim/Edry Abdul Halim/Shahir AF8
Sama seperti lagu Noktah Cinta. Entahlah, aku rasa lirik lagu ni kurang sesuai dengan melodinya. Aku pernah dengar lagu ni dinyanyikan dalam versi melayu asli dan nasyid. Dan hasilnya lebih menusuk kalbu huhu!

12. Tolong Ingatkan Aku – Ana Raffali
Kalau dalam kategori novel, lirik lagu ini boleh dikira sebagai bacaan sastera berat. Ditambah dengan sebutan Ana yang kurang jelas, mesej lagu ini mungkin payah untuk dihadam pendengar. Tolong ingatkan aku lirik ini tentang apa ya?

13. Ekstravaganza – Sam/Bunkface
Lagu ni kurang menyengat berbanding lagu-lagu Bunkface sebelum-sebelum ni.

14. Mencari Konklusi – Noh/Noh/Hujan
Melodinya agak lemah dan tak mesra di telinga pendengar. Lagu ini sepertinya satu bahan eksperimen oleh Hujan.


Apapun semua lagu tetap hebat. 30% penentunya terletak pada persembahan di atas pentas nanti. Jumpa di Bukit Jalil nanti ya hehehe.

10 July 2008

Akademi Nasyid Minggu Ketiga

Minggu ketiga adalah minggu paling meriah. Hampir semua peserta menampilkan persembahan yang bertenaga dan meriah.

Azhan seperti biasa bijak mengubah lenggok lagu mengikut acuan suaranya sendiri. Tapi, Azhan masih dengan gaya yang sama. Aku bimbang penonton menjadi bosan kerana showmanshipnya yang terhad. Tetapi suaranya sudah semakin pop komersial pula kan? Barangkali itu punca persembahannya minggu ini kurang menusuk kalbu huhu.

Voice of Men membuatkan bulu roma aku meremang. Lagu Nabi Anak Yatim memang lagu kegemaran aku sejak dulu sebab melodinya sangat bertenaga. Bagi aku Voice of Men sudah berjaya menaikkan semangat lagu ni. Harmoni suara mereka juga sangat padat.
Apa yang aku suka dengan kumpulan In Heart pula, mereka kreatif dalam menggubah lagu. Setiap minggu pasti ada lirik dan lagu yang mereka gubah sendiri dan digabungkan dengan cukup baik. Itu pakej yang bagus untuk menjadi kumpulan nasyid yang boleh menggubah lagu sendiri.
Cicik sudah meninggalkan gitarnya minggu ini. Lagu rock Dewa memang makanan Cicik. Penghayatannya terhadap lagu sudah bertambah baik. Emm ini pertama kali aku mendengar juri mengkritik pemuzik. Zubir Ali nampak sangat tegas dan garang kan hehe.
Aiman pula betul-betul lepas geram minggu ini. Khabarnya lagu-lagu yang diberikan kepadanya sebelum ini tidak kena dengan kemampuan vokalnya. Jadi minggu ini dia diuji dengan lagu yang keluar daripada tema cinta. Dan dia benar-benar teruji. Urat leher dia hampir-hampir nak tercabut keluar hehe.. jangan terlalu menjerit Aiman.

Lagu penutup Mendidik Jiwa best. Eh! Azhan boleh buat suara dua lah hehe...keseluruhannya aku puas hati dengan peningkatan persembahan pada minggu ini. Tak sabar nak tunggu minggu depan pula huhu~
Persembahan pilihan aku minggu ketiga ini mengikut ranking:

1. Voice of Men
2. Cicik
3. Dvision
4. In Heart
5. Azhan
6. Aiman
7. Farhan
8. Muslim Voice
9. Shahridzal
10. Eda
11. Ana - tersingkir minggu ini :(
Teruskan perjuangan!

29 June 2008

Akademi Nasyid Minggu 2

Konsert kedua Akademi Nasyid nampak lebih tenang kali ini. Taklah aku tercungap-cungap mengejar skrip Hafiz sang pengacara sepertimana minggu lepas.

Azhan terus menjadi pilihan utama aku. Azhan tetap memukau. Sangat original dan sangat mengesankan. Bikin meleleh air mata hehe. Entah berapa puluh kali aku sudah mendengar lagu Kepadamu Kekasih dinyanyikan. Tetapi Azhan telah memberikan sentuhan yang paling terbaik untuk lagu ini. Menewaskan M. Nasir, Ramli Sarip, Siti Nurhaliza apatah lagi Mawi. Aku menjangkakan Azhan akan semakin berani dan berkeyakinan. Jika itu benar, Azhan bakal bergelar juara.

Tiga Terbawah (Bottom Three)
Persembahan Sofeya pada minggu lepas sebenarnya lebih baik daripada minggu ini. Prestasi mereka sedikit menurun dan penyingkiran menjadi hukuman. Kali ini aku terperasan salah seorang ahli kumpulan Farhan memiliki lontaran suara yang sangat tinggi. Meremang bulu roma mendengar suaranya. Tapi kelebihan itu membuatkan harmoni suara mereka bertiga adakalanya tidak seimbang. Namun terlihat peningkatan pada persembahan mereka minggu ini. Aiman pula semakin sengau hingga lirik lagu menjadi tidak jelas. Justeru aku kira, walaupun Aiman berada di kedudukan carta sms yang sangat selamat, namun dia gagal mendapat markah yang tinggi daripada juri membuatkan dia hampir-hampir tergelincir.

- In Heart -

Kumpulan Nasyid Komedi
Gelaran kumpulan nasyid komedi dan nakal kepada Muslim Voice seharusnya memberi panduan kepada kumpulan ini untuk mencipta imej tersendiri. Jika berjaya, Insya Allah mereka mampu pergi lebih jauh lagi dalam industri ini. Meski lagu Teman Sejati telah banyak kali dinyanyikan secara acapella, mujur Muslim Voice masih kreatif memberikan kelainan. Kumpulan In Heart pula, kata Farihin, rap mereka merosakkan persembahan. Walau bagaimanapun mereka berjaya menonjolkan persembahan yang bertenaga dengan penguasaan pentas yang baik. Dibandingkan dengan minggu lepas, gubahan lagu mereka semakin menyegarkan dan paduan suara juga semakin bertambah baik.

Masih Sama
Peserta-peserta lain masih berada di tanda aras yang sama. Cicik masih kekal mempersonakan tetapi gayanya sama sahaja seperti minggu lepas. Satu hari nanti Cicik harus cuba meninggalkan gitarnya dan menyuntik sedikit kelainan. Rupa-rupanya dia menganggur dan mencari duit dengan menyanyi di jalanan Kampung Baru. Bagusnya dia kerana memilih Akademi Nasyid untuk memajukan diri dan bukannya akademi yang lain.
Eda, Ana, Shahrizal, Voice of Men dan Dvision masih belum mampu menawan hati aku. Tapi minggu ini Shahrizal pula yang terlalu banyak tersenyum kan huhu..

Farihin ada menyentuh tentang penguasaan pentas di ruang A, ruang B dan ruang C. M. Nasir pula menyebut tentang reaksi peserta terhadap kamera. Tapi sehingga ke hari ini kebanyakan peserta masih ragu-ragu untuk bergerak. Apakah nasyid mesti hanya berdiri tegak? Mari kita tanya Ustaz Asri yang pakar membuat formasi di dalam persembahan.
Persembahan pilihan aku minggu ini mengikut ranking:
1. Azhan
2. Muslim Voice
3. In Heart
4. Cicik
5. D Vision
6. Voice of Men
7. Shahridzal
8. Ana
9. Farhan
10. Eda
11. Sofeya
12. Aiman

22 June 2008

Akademi Nasyid

Semalam Akademi Nasyid membuka tirai dengan persembahan peserta yang sangat membanggakan walaupun baru pertama kali bersiaran (sekurang-kurangnya lebih bagus daripada konsert pertama Akademi Fantasia hehe). Ada beberapa peserta sudah mula menonjolkan aura dengan persembahan yang mudah diingati dan didasarkan kepada keunikan tersendiri.

Semestinya pilihan aku terletak pada Mohd Shukri Nasrun dari Pahang (gambar di bawah) atau nama timang-timangannya, Cicik. Dia menyimpan karisma dan kekuatan vokal yang digali selama bergelar penyanyi rock jalanan sebelum ini. Cicik mempunyai suara, rupa dan gaya yang mempesonakan untuk mengumpan undi. Aku harap dia kekal sampai ke peringkat akhir.
Tak lupa Azhan Atan dari Johor (gambar di bawah). Lupakan tentang kecacatan matanya. Persembahan Azhan sangat memukau dengan vokal yang dilepaskan tanpa rasa takut-takut hingga membuatkan aku merasa sangat puas dengan lontaran suaranya yang mendayu-dayu tetapi gagah dan mengesankan. Kebanyakan peserta lain terlalu berhati-hati mengawal suara sehingga nampak seperti dibuat-buat dan sedikit membosankan. Aku harap Azhan akan kekal sehingga ke peringkat akhir juga.

Pada hemat aku, peserta-peserta yang lain masih berada di tahap biasa-biasa sahaja. Contohnya Zuriana Ishak (Pulau Pinang), Mohd Shahridzal Lokma (Pahang), Eda Fazilah Ismail (Perak), Sofieya (Kuala Lumpur), Voice of Men (Johor), Muslim Voice (Pahang), dan D'Vision (Melaka). Rata-rata mereka mempunyai suara yang bagus cuma agak kurang menyengat. Kena belajar lebih sikit daripada otai-otai nasyid seperti Raihan yang selalu membuatkan penonton terpegun. Masih ada sekurang-kurangnya 10 minggu lagi untuk mereka membuktikannya.

Cuma untuk Aiman, dia perlu memantapkan lagi vokalnya untuk terus kekal di dalam akademi ini. Kenapa dia terlalu banyak tersenyum semasa menyanyi ya? Begitu juga In Heart yang agak kelam kabut sikit susunan harmoni suara mereka. Barangkali mereka terlalu memikirkan untuk menjadi lain daripada yang lain dengan mempertaruhkan imej nasyid alternatif. Kumpulan Farhan dari Melaka juga harus bekerja lebih kuat lagi.

Aku yakin semua peserta yang terpilih ini memiliki suara yang baik. Tapi untuk menang dan menambat hati pengundi yang mewakili 50% markah keseluruhan, mereka perlu bersedia untuk menampilkan persembahan yang ikhlas dan menghiburkan dengan vokal yang tersusun dan bertenaga. Aku nak tunggu siapa yang akan memilih lagu Amuk atau Akhil Hayy untuk dinyanyikan. Aku nak tunggu lebih banyak gubahan muzik yang pelbagai dan lebih segar sepertimana yang telah dilakukan oleh In Heart tempoh hari.

Apapun, aku hanya berkomentar ringan. Cuba menghangatkan industri nasyid yang agak sirna sekarang. Dapat juga melepas rindu kepada zaman aku bernasyid dulu-dulu hehe. Tahniah kepada TV9 dan lihatlah sendiri persembahan mereka di http://www.tv9.com.my/

20 June 2008

Mari Berhibur..


Aku bukanlah seorang yang selalu menepati janji dengan rancangan-rancangan tv. Banyak program yang aku senaraikan sebagai mesti tonton akan terabai macam tu sahaja misalnya Majalah Tiga dan Akademi al-Quran. Tapi semalam kebetulan aku bercuti di rumah dan pertandingan akhir AQ sedang bersiaran.

Aku bukanlah selalu sangat menonton AQ ni. Tapi kalau dah tengok memang melekat juga sebab sebagai seorang yang tidak tahu tentang tarannum, qiraat dan tajwid, aku yakin AQ sangat berkesan untuk mereka yang mahu belajar sambil berhibur. Ya, aku sangat terhibur mendengar pelbagai lagu-lagu al-Quran yang disampaikan oleh peserta. Rasa menusuk ke dalam satu ruang yang kosong.

Perjalanan program juga sangat lancar, tenang dan menghiburkan dengan lawak jenaka yang bermutu. Siapa kata AQ tak boleh mengalirkan air mata penonton? Tak boleh menerbitkan senyum dan gelak tawa penonton? Cubalah, tapi kena tunggu tahun depanlah, AQ edisi keempat.

Tahniah kepada Juara AQ 3, Saudara Fakhrul Radhi dan juga tiga finalis yang lain; Sharifah, Tarmizi dan Shamsul. Sejuk mata menatap wajah-wajah mereka. Membandingkan dengan diri sendiri.. aku hanya mampu mengeluh.

Sabtu ni Akademi Nasyid akan membuka tirai. AN juga akan menjadi antara rancangan mesti tonton untuk beberapa bulan ini. Yang pasti, Akademi Nasyid harapnya menjadi pengganti kepada kekecewaan aku terhadap Gang Starz yang kurang menyengat tahun ini. Akademi Fantasia? Haha untuk pertama kalinya aku tak tahu pun siapa pemenang-pemenang AF kali ini. Mungkin AF memerlukan formula terbaru untuk kekal relevan.

23 June 2005

Gelombang TsuMawi...

Gelombang TsuMawi benar-benar mengejutkan bagi aku. Masuk e-sastera.com, masuk blog Pakdi (sekadar menyebut beberapa contoh), pasti terlihat juga istilah yang dicipta oleh Aznil Nawawi ini. Aku yang tak pernah melayan konsert-konsert AF1 & 2 sebelum ini tiba-tiba terpanggil untuk menjadi penonton setia ASTRO Ria setiap malam minggu. Kenapa ya? Apa aku juga sudah hanyut dalam gelombang TsuMawi ini?
Sebenarnya, aku terlalu ingin melihat bagaimana nasyid boleh bertepuk tampar di dalam AF3 kali ini. Mawi dengan imej yang terlalu asing di dalam dunia AF umpama satu kelainan yang berjaya menarik perhatian aku. Manalah tahu satu hari nanti semua peserta AF4, 5 dan seterusnya mesti pakai tudung dan nyanyi lagu nasyid atas permintaan tinggi peminat. Aku cuma berharap Mawi akan dapat pertahankan prinsip hidup dia selama ini dan tak mudah goyah dengan kekalutan di dalam dunia AF yang penuh kontroversi. Kalau Rabbani boleh menyanyi dalam kelab, mengapa tidak Mawi? Yang penting dia tahu apa yang dia lakukan, dia ingat latar belakang keluarga dia, dan dia sedar harapan peminat-peminat dia yang mahukan satu kelainan dalam AF3 kali ini.
Tapi aku masih belum berniat untuk AFUNDI Mawi lagi (ada sesiapa nak sponsor kredit untuk aku?)