12 December 2012

12.12.12 - Selamat Ulangtahun Untuk Diri Sendiri

Hari ini 12 Disember 2012 adalah tarikh keramat. Angka 12 yang menjadi nombor bertuah sejak sekian lama digabungkan menjadi 12.12.12 lantas menggenapkan usia menjadi 30 tahun.

Tiada apa yang istimewa melainkan kombinasi nombor-nombor 12 yang tersusun cantik. Tiada apa yang luar biasa untuk dilakukan melainkan pergi bekerja seperti hari-hari Rabu yang sebelumnya.

Tapi aku ada harapan yang telah mengiringi kehidupan sejak 30 tahun yang lepas. Aku berharap untuk terus bergembira dan menggembirakan insan-insan tersayang. Keluarga, teman dan dia semestinya. Terima kasih sayang-sayangku semua! :-)

Pada 12.12.12 tepat jam 12.12 tengah malam, aku ucapkan selamat ulangtahun kelahiran buat diri sendiri. Semoga ucapan ini akan terus mengingatkan aku supaya tidak alpa ditelan usia. Alhamdulillah.


01 December 2012

Kuakui (Aku Hilang)

Bukan sekali dua pekerjaan di pejabat tidak berlaku adil kepada kita. Selalu sahaja timbunan kerja menzalimi sisi kehidupan yang lain. Melampaui masa, menawar rasa. Mengabaikan dia, melupakan cinta. Lebih parah segalanya berlaku tanpa sedar. Hanya selepas kau membuka mata, kau sudahpun kehilangan dia.

Apa yang aku lupakan; abaikan; tawarkan; bukanlah dia atau sesiapa. Apa yang aku lupakan; abaikan; tawarkan; adalah jiwa raga. Hilang di dalam waktu pejabat dan timbunan kerja. Ketika kau marah-marah, kau sudahpun kehilangan jiwa. Ketika kau menangis diherdik ketua, kau sudahpun kehilangan raga. Dan ketika kau berpura-pura bahagia, kau sudahpun hilang dari lantai dunia! 

Aku lebih rela kehilangan kerja. Daripada aku kehilangan diri sendiri.




Katakan padaku kekasih
Kesilapan yang pernah ku lakukan dulu
Ternyata aku yang harus di persalahkan
Ku akui

Aku leka dengan kerjayaku
Mengejar kekayaan di dunia ini
Betapa hancurnya hatimu laluinya
Ku akui

Jika dapatku mengulangi
Perjalanan cintaku bersamamu lagi
Akan ku jaga sebaik-baik cinta ini

Kini ku rasa kehilangan
Ku sedar betapa pentingnya kau di sisi
Yang selalu ada.. yang selalu rindu
Terhadap diriku

- Hafiz / Ajai -