28 February 2010

Ketika Ini

Ketika aku menulis entri yang ini, hujan masih malu-malu untuk menyimbah bumi. Hanya angin bertiup lembut mendamaikan musim panas. Dan guruh sesekali berdentum bingit bertingkah dengan MP3 yang menyanyi. Dan di situ, di sudut meja di tepi tingkap beranda itu. Ada aku yang duduk menghadap komputer riba. Di situlah aku menaip kerja-kerja pejabat yang entah bila akan surut. Benar, aku sungguh gigih. Dan letih. Kekadang terasa lelah. Bertambah-tambah.

Sebelum ini, kami bekerja berempat. Tetapi kini seorang telah bercuti tanpa gaji selama 6 bulan. Dan seorang lagi bercuti bersalin selama 2 bulan. Maka, hanya aku dan seorang senior eksekutif yang tinggal menanggung segala kerja yang tak mungkin akan "bercuti" daripada menyerang kami. Hari ini hanyalah permulaan. Esok lusa banyak lagi yang mendatang.

Dada mengeluh, tapi jiwa masih gagah. Mulut mengomel, tapi hati tetap tabah. Kerana aku ada petua sendiri. Betapa sesungguhnya tiada apa yang menarik di dalam dunia ini jika bukan aku yang menjadikannya menarik. Maka, berikanlah apa sahaja bebanan, segalanya akan aku jadikan hiburan.

Akhirnya hujan lebat membasahi bumi. Dingin. Tenang. Melegakan.

20 February 2010

Kebersamaan

Cinta datang apabila ada rasa kebersamaan. Justeru, aku mahu kamu tetap di situ. Di sisi aku. Pada setiap masa dan setiap sudut. Supaya kita boleh berkisah tentang diri masing-masing. Supaya kita sedar sebenarnya kita adalah dua insan yang sama. Dan ingin bersama.
...cinta, adakah kamu yang datang tadi?