Showing posts with label Filem. Show all posts
Showing posts with label Filem. Show all posts

17 March 2012

Tujuh Petala Cinta - Filem Sedih


Kesedihan yang pertama.

Cari video Tujuh Petala Cinta di Youtube dan bacalah sendiri komen-komennya. Sedih melihat orang-orang kita yang tak habis-habis mencari ketidaksempurnaan filem ini. Barangkali filem ini belum mampu menepati kehendak syariat 100%. Ah! Aku bukannya ahli untuk bercakap tentang syariat. Bagaimanalah kita mampu berlari ke langit? Baru bertatih sudah digelakkan orang.

"Untuk menghindar kesusahan yang sedikit kerana Tuhan, daripada menanggung kesusahan yang lebih besar. Kalau tak dapat sedikit, janganlah dibuang semua."

Kesedihan yang kedua.

Ada genangan air mata setiap kali melihat kekuatan pada diri Ahmad Fakhruddin Attar. Kuat waima dibuang masyarakat, dibuang pengajian dan dibuang cinta. Semuanya tak mampu dicuci dengan air mata Saidatul Nafisa yang tak henti-henti mengalir.

Kesedihan yang ketiga.

Terbit rasa syahdu mendengar alunan zikir-zikir sepanjang filem. Tiada lagi lagu-lagu OST yang selalunya berkumandang setiap kali tiba babak "punchline". Alunan zikir yang kesemuanya menepati jalan cerita. Membawa khayal ke tingkat tertinggi dan kembali semula kepadaNya.

Kesedihan yang keempat.

Apabila rakan di kerusi sebelah tiba-tiba bertanyakan aku "Sedih juga cerita ni ya? Bergenang air mata ni". Aduhaiiii. Secara peribadi, babak perpisahan antara Attar dan rakan-rakannya yang nakal lebih menyedihkan daripada babak cinta yang lain. Entahlah, cinta dengan kawan-kawan itu lebih mengesankan.

Kesedihan yang kelima.

Kalau kalian tak menonton dan menyokong filem ini. Sedih !!

***

Eh! Tujuh Petala Cinta bukanlah cerita sedih semata-mata. Itu hanya gimik. Ia punya jalan cerita yang sangat baik tentang cinta pada Allah, kekasih, keluarga, teman hatta musuh penjahat juga. Cinta bukan melemahkan tapi menguatkan. Kalau tak pandai menghargai cinta, jangan salahkan filem ini ya.

Selamat menonton :)


05 December 2011

Ombak Rindu

Ombak Rindu. Membuatkan hati saya bergumpal pekat di dalam rindu-rindu yang lama tersimpan. Setiap kali Aaris mengucapkan rindu kepada Izzah, hati saya turut sama meruntun resah. Teringat tentang rindu-rindu yang juga pernah menguasai saya satu masa dulu. Rindu yang sangat-sangat rindu.

Meninggalkan kerusi panggung ibarat membawa batu bata. Berat yang tak mampu dilepaskan dengan sekadar keluhan. Ombak rindu sungguh-sungguh mencengkam jiwa. Memanggil semula segala rasa rindu yang dulunya pernah saya sia-siakan.

Menonton Ombak Rindu mengembalikan nostalgia zaman cinta 90an. Menonton Ombak Rindu ibarat menerima hukuman kepada dosa-dosa silam saya pada rindu yang dulu. Sangat-sangat rindu!

01 February 2011

Shaolin

Entah mimpikan apa, aku turutkan sahaja pelawaan seorang kawan untuk menonton tayangan larut malam. Asalnya nak menonton Green Hornet tapi dah kehabisan tiket. Pilihan kedua adalah Shaolin lakonan Andy Lau, Nicholas Tse dan Jackie Chan.

Tema shaolin dah banyak kali dibawa ke dalam filem. Tapi jalan ceritanya tak pernah menjemukan. Sentiasa berjaya menerbitkan rasa kagum pada kelincahan, kekuatan dan keseragaman gerak langkahnya. Cuma sedikit berbeza, filem Shaolin yang aku tonton tadi telah menerbitkan rasa sebak yang sangat mendalam. Rasa kesal yang sangat membuntukan. Semacam ada bom yang nak meletup setiap kali melihat perbuatan jahat Nicholas Tse. Seperti ada kulit yang terhiris setiap kali melihat air mata anak bangsa yang menangisi kematian bangsa sendiri.

Dalam kepala aku hanya memikirkan betapa bodohnya kita berbunuhan sesama sendiri. Dan dalam masa yang sama orang asing sedang menghapuskan seluruh warisan bangsa kita termasuklah keturunan dan zuriat. Terbayang-bayang betapa sengsaranya saudara-saudara kita di Mesir yang sedang bergelut sesama Islam dan dalam masa yang sama ditertawakan Amerika dan Israel. Dalam filem Shaolin, aku dapat rasakan penderitaan mangsa perang di seluruh dunia. Membengapkan kepala!

Kalau kalian membaca tulisan ini, aku mohon kalian berkasih sayanglah sesama manusia. Dalam persengketaan dua manusia, tiada apa yang menguntungkan melainkan dua hati yang semakin terjarak jauh dan menjauh. Apatah lagi pada Tuhannya.



Esok, biarkan aku pergi dalam damai...



22 January 2011

Muzikal Laskar Pelangi


Fenomena novel tetralogi Laskar Pelangi yang dulu pernah membuat aku menjadi gila, kini dipentaskan secara muzikal di panggung teater! Sudah dipentaskan awal Januari lepas di Jakarta, bakal diulangtayang bulan Julai 2011 nanti. Ah! Aku boleh mati kalau tak dapat menonton muzikal ni. Ayuh ke Jakarta yuk!

Sedutan Muzikal Laskar Pelangi. Lawat mereka di


Lagu "Jari-jari Cantik" nyanyian magis dari si cilik Christoffer Nelwan.. yang bisa membawa kalian terbang di kayangan bagai kupu-kupu.. ah bagai syurga dunia!


apakah ini gerangan yang sedang ku rasakan
dunia seperti berputar, badanku bergetar
seperti ada kupu-kupu menari dalam perutku

siapakah engkau gerangan putri dari kayangan
jemarimu begitu cantik, hatiku tergelitik
seperti ada kupu-kupu menari dalam dadaku

aku mendengar suara berdenting, aling aling oh aling
mengalun bergantian merdu, aling aling oh aling
melagukan indah namamu

sudikah kau genggam tangan putri dari kayangan
jemarimu begitu indah, membuat hati gundah
seperti ingin menggubah seribu lagu untukmu

dalam tidur kan ku panggil namamu


Tahun 2008: Aku dan Andrea Hirata - penulis karya agung Laskar Pelangi

14 January 2011

KHURAFAT: Lebih Baik Duduk Rapat-Rapat

Masuk, duduk dan khusyuk. Tumpukan perhatian ke layar putih. Jangan hiraukan telefon bimbit dan jangan berbual sangat. Aku yakin, Khurafat akan buat kalian nak duduk rafat-rafat (baca: rapat-rapat) .... isteri memeluk suami. Adik memeluk kakak. Kawan-kawan memeluk baju sejuk sendiri haha.

Permulaan filem agak membosankan. Klise drama Melayu. Kesan bunyi yang dibuat-buat dan aksi rasukan persis Exorcist. Tapi... bersyukurlah untuk 15 minit yang membosankan ini. Kerana 60 minit yang seterusnya akan membuatkan kalian sesak nafas!

Adegan di dalam kereta ketika Aisyah (Liyana Jasmay) keluar dari hospital cukup mendebarkan jantung. Makhluk yang duduk diam di kerusi belakang adalah biasa. Tapi kalau "dia" berpindah ke kerusi di sebelah pemandu dan bergerak pantas ke muka Aisyah, itu sudah cukup membuatkan mata terpejam sendiri! Bergerak pantas, bukan sekadar menoleh ya.

Adegan Johan (Shamsul Yusof) terkurung di dalam bilik mayat memang buat aku sesak nafas. Sehinggakan terdetik rasa hati "cepat-cepatlah habis babak ni." Tak sanggup nak berperang minda memikirkan di manakah lagi makhluk ni nak menjelmakan diri. Aku rasa, makin ramai yang tak akan berani masuk bilik mayat lepas ni.

Aku menonton berempat orang.

Kata kawan yang pertama, filem ni tak mengejutkan dia pun kerana senang untuk menjangka kehadiran makhluk. Ya, kadang-kadang apabila kita tahu "dia" ada di sebelah tapi tak nampak jasadnya, bukankah itu lebih menyeramkan?

Kata seorang kawan yang lain, filem ini sudah cukup untuk membuatkan dia terjerit-jerit di dalam panggung sambil menutup mata dengan lima jari. Khurafat bukan seperti Ngangkung dan Hantu Kak Limah yang lebih lawak daripada seram. Khurafat memang filem seram.

Seorang lagi kawan hanya mendiamkan diri. Barangkali dia kematian idea dan cuba membanding-bandingkan filem ini dengan filem Melayu yang lain. Pergilah tonton Khurafat, mungkin kalian boleh membantu dia membuat perbandingan :)

Kata aku? Aku sukakan penutup filem ini. Cepat, tepat dan padat. Tak perlu nak tunggu lama-lama sekadar untuk tahu pengajaran cerita. Tak perlukan skrip yang berjela-jela untuk tahu punca angkara. Satu yang kalian perlu tahu, lari dari perjanjian syaitan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan! Benarlah, dosa syirik itu tak terampunkan manusia apatah lagi Allah Maha Pencipta.

Masuk, duduk dan khusyuk. Kemudian pakat duduk rafat-rafat haha. Selamat menonton :)


05 June 2010

Lagenda Budak Setan (LBS)

Sebenarnya, aku sangat mengharapkan filem ini sehebat Sepi, Cinta, atau Sepet yang gah dengan sinematografi dan skrip yang menusuk kalbu. Tapi sayang, Lagenda Budak Setan belum mampu menepati kayu ukur.

Kamera banyak bermain teknik "close-up". Justeru, ekspresi muka setiap pelakon mesti kena hebat! Tahniah buat Que Haidar (Azmi) dan Fazura (Kate). Yang lain-lain, sila cuba lagi tahun depan. Terutamanya Sheila Mambo (mak Leha). Kawan aku cakap, macam nak lempang je muka mak Leha tu haha.

Berbeza dengan filem Sepi yang banyak bermain dengan gambar-gambar pemandangan yang cantik dan cocok dengan perasaan pelakon dalam setiap babak. Tapi dalam LBS, sedang Farid Kamil patah hati terduduk di atas akar kayu, tiba-tiba keluar bunyi gagak hampir setengah minit. Apakah?! Kadang-kadang, diam itu lebih indah.
Apapun, jika diambil kira latar belakang pengarah, Sharad Sharan yang khabarnya masih baru dalam dunia layar perak, filem ini wajar ditonton demi memberi semangat kepada industri perfileman kita.
Banyak "punch line" yang boleh mewujudkan unsur saspen di kalangan penonton tidak digunakan dengan sebaik-baiknya. Misalnya, identiti Ayu yang "dilahirkan semula" seolah-olah tak ada siknifikan langsung kepada Farid Kamil (Kasyah) dan Lisa Surihani (Ayu). Kawan aku punyalah teruja meneka-neka siapakah Ayu yang sebenarnya, tapi jawapannnya disampaikan oleh Raja Farah (Suzana) dengan selamba. Walau bagaimanapun, adegan Que Haidar (Azmi) bergelut dengan Lisa Surihani (Ayu) sambil membakar majalah di dalam rumah mereka benar-benar mengesankan! Punch line macam itulah yang kita mahu :)

Apapun, jika diambil kira latar belakang pengarah, Sharad Sharan yang khabarnya masih baru dalam dunia layar perak, filem ini wajar ditonton demi memberi semangat kepada industri perfileman kita. Sekurang-kurangnya aku bangga apabila novel Melayu diangkat ke panggung sepertimana Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Aku tetap bangga meskipun aku tak minat pun baca novel Ahadiat Akashah dek gaya bahasa rojaknya yang keterlaluan huhu.

Aku beri tiga setengah daripada lima bintang untuk filem ni. Filem ni bukanlah membosankan atau tak menarik langsung. LBS tetap berbaloi untuk Rm8.00 di TGV KLCC. Cuma secara peribadi, aku rasa LBS sedikit menipu hati aku yang teruja selepas menonton trailernya yang memanggil-manggil penonton ke panggung. Hanya peribadi. Itu sahaja.

Tapi awas! Kalau kalian benci dengan perkataan JIWANG, jangan menonton filem ini. Bimbang kalian menipu diri sendiri hehe... Selamat menonton :)

Yang Hebat tentang LBS:

1. Que Haidar dan Fazura
2. Datangnya dari novel Melayu zaman aku muda-muda dulu
3. Bisa bikin gadis menangis dan menjerit :)
4. Lagu tema - Bila Cinta dan Hilangnya Cinta

Yang Kurang Hebat tentang LBS:

1. Sheila Mambo (Mak Leha) dan Shiqin Kamal (Emilia)
2. Terlalu banyak close-up yang tak memberangsangkan :p
3. Pelakon nampak kekok nak bercakap "Bahasa Melayu buku"

18 June 2009

Filem Laskar Pelangi

Aku sentiasa berperang emosi sepanjang menonton filem Laskar Pelangi. Terbawa-bawa dengan cerita dalam novel yang aku dah baca tu. Lagi pula aku dah tahu apa yang akan terjadi kepada hero filem ini iaitu Lintang. Justeru setiap apa yang Lintang lakonkan sama ada kelakar ataupun serius tetap menyedihkan di mata aku. Sungguh menyedihkan untuk melihat manusia sebijak Lintang diuji sedemikian rupa. Dia makhluk tempaan alam yang penuh dengan segala keterbatasan. Ada banyak misteri di sebalik watak sebenar Lintang. Baca ini jika kalian berminat: Fakta di Sebalik LP.

Jika kalian sudah membaca novelnya, dan kemudian ingin menonton filem ini, pastikan tisu yang disediakan adalah mencukupi. Huhu. Itu baru menonton di Youtube. Belum ke panggung wayang lagi. Emm bilalah filem ni nak sampai ke Malaysia ya?


Sangat terhibur mendengar loghat percakapan para pelakon Laskar Pelangi yang berbangsa Melayu tu. Ibarat orang Indonesia yang mengajuk-ajuk Bahasa Malaysia.

***

Wajah sebenar 10 Laskar Pelangi: Dari kiri (berdiri) Lintang, Samson, Trapani, Sahara, Kucai, Syahdan, Harun, A Kiong - Dari kiri (duduk) Mahar dan Ikal.
MaharSamson
Syahdan KucaiHarunIbu MuslimahA Kiong

Di mana Lintang?

21 February 2009

G.E.N.G ~ Pengembaraan Budak-budak Comel

upin ipin plg kecik

Semalam, lapan orang budak-budak comel dengan girangnya mengembara ke Kampung Emas Tanjung di KLCC untuk ditemukan dengan si kembar comel Upin dan Ipin.

Juga sebagai hadiah ulangtahun kelahiran yang keenam buat Nurul Aina bt. Azhar (yang bertudung coklat sebelah kiri tu). Aina memang manja dengan aku. Jadi dia telah mengambil kesempatan terhadap aku dengan memaksa aku membawa dia ke pawagam. Sebagai bapak saudara yang penyayang, aku turutkan. Lelaki kan penyayang? Heh. Lagipun Aina si puteri bongsu ni tak mahu kalah dengan rakan-rakan sebayanya yang dah sibuk bercerita pengalaman masing-masing menonton Geng. Budak-budak sekarang~

Terima kasih Les Copaque kerana menceriakan pengembaraan kami budak-budak comel ni. Hiks. Terima kasih Les Copaque kerana membuatkan aku terpaksa bangun pagi-pagi Sabtu demi membeli tiket di kaunter disebabkan tempahan melalui telefon telah penuh. Kagum. Terima kasih Les Copaque kerana membuatkan aku beratur dua kali di kaunter tiket kerana serba salah hendak memilih susunan tempat duduk kosong yang sangat terhad. Hebat. Terima kasih Les Copaque kerana dalam satu malam sahaja dompet aku kopak untuk 8 keping tiket! Fuh, puas hati! Hehe~

15 February 2009

Jatuh Cinta Lagi

Bermula awal minggu lepas, hati aku berdebar-debar. Rasa teringin untuk berjumpa yang amat sangat. Kalau dikira perhitungan sebenar, aku dah mula terpaut hati pada si comel ni sejak tahun lepas lagi. Comel. Memang comel. Kelakar. Selalu bagi nasihat yang baik-baik. Sesuai sangat-sangat untuk ditunjukkan pada mak dan ayah aku. Malah abang kakak aku pun berkenan. Dah ramai juga kawan-kawan yang bercerita dan berkomentar tentang dia. Semuanya yang baik-baik dan membanggakan.

12 Februari lepas, sepatutnya menjadi temujanji romantis kami yang pertama. Tapi tak kesampaian. Salah aku sendiri. Terlalu rajin ke pejabat hatta pada hari cuti pun. Lagipun aku terlalu malu untuk pergi seorang diri. Aku perlukan teman. Aku kan lelaki? Hiks~

Kawan. Janganlah perlekehkan aku. Hanya kerana dia orang biasa-biasa dan bercakap bahasa kita. Hanya kerana dia comel dan tak sesuai untuk orang tua seperti aku. Aku hanya nak tolong mereka buat lebih banyak animasi mendidik untuk hiburan anak cucu cicit aku nanti. Jadi, siapa nak temankan aku ke panggung berjumpa upin dan ipin? Ini fenomena tau. Aku belanja pop corn. Hiks~

Kalau kau orang pun sukakan dia juga, janganlah malu-malu nak mengaku. Betul betul betul, kata dia

.

***
Iwan, kalau kau membaca: Aku terkilan sangat tak dapat pergi kenduri Adik Yeh hari ni. Aku harus cepat-cepat membeli motor dan kereta supaya dapat merempit ke mana saja aku nak pergi.

25 October 2008

Yang Aku Tunggu-tunggu I

soooo cute ...
"Laskar Pelangi the Movie"

06 October 2008

Filem Laskar Pelangi

Hujung September lepas, filem Laskar Pelangi dah dilebarkan di layar Indonesia. Semestinya aku dah tak sabar-sabar nak menonton filem yang diadaptasi dari novel popular bapak Andrea Hirata ni. Seperti lazimnya filem-filem yang diadaptasi daripada novel, pasti ada watak atau babak yang bertambah dan berkurang. Katanya, ada watak baru seperti Pak Zulkarnaen yang tiada di dalam novel tapi wujud di dalam filem. Pak Zulkarnaen adalah seorang dermawan yang banyak berjasa kepada Sekolah Dasar Muhammadiyah. Wataknya penting kepada SD Muhammadiyyah kerana sekolah itu adalah asas penceritaan kepada kisah benar perjuangan 10 kanak-kanak berjiwa besar memerangi kemiskinan ini. Tanpa sekolah ini, barangkali kisah Laskar Pelangi tidak akan berwarna warni seperti yang dituliskan oleh Andrea Hirata.

Filem ini dihasilkan oleh 2 orang pengarah yakni Mira Lesmana bersama Riri Riza serta dijayakan oleh barisan pelakon seperti Cut Mini (Ibu Muslimah), Ikranagara (Pak Harfan), Lukman Sardi, Ario Bayu, Tora Sudiro, Slamet Raharjo, Alex Komang, Mathias Muchus, Rieke Diah Pitaloka, Robbie Tumewu, Jajang C. Noer, hingga Teuku Rifnu Wikana. Ah rasanya aku cuma kenal Alex Komang saja kot hehehe. Yelah, sebab kebanyakan mereka adalah pelakon kanak-kanak yang memeran watak 10 laskar pelangi.

Kepada yang belum mengkhatamkan novelnya, elok kalau dibaca dulu sebelum menonton wayang gambarnya :)

01 July 2008

SEPI.. Dia Tak Sanggup Tengok

Aura filem ni memang kuat untuk tarik aku ke panggung. Aku tempah dua keping tiket. Satu untuk aku dan satu lagi untuk seorang kawan baik. Aku yang belanja. Sebab aku tahu kawan aku yang seorang ni memang tak layan filem melayu sangat.

Tapi hampagas! Dia keluar panggung sebelum tamat cerita. Sekerat jalan atas alasan nak ke tandas. Lebih malang lagi, tandas dalam panggung rosak katanya. Jadi dia terus keluar dari TGV KLCC. Tak mahu masuk lagi. Jadi sepilah aku keseorangan dalam panggung huhu! Aku tak salahkan dia. Aku rasa dia tak tahan. Mungkin Sepi membuatkan dia terkenang cerita lama. Kasihan pula aku tengok dia. Mungkin dia takut aku nampak dia menangis agaknya hehe.. Untuk makluman, kawan aku tu lelaki, tunangan orang lagi haha. Jadi kalau anda belum cukup kuat, jangan tengok cerita ni.
Ada 3 watak utama iaitu Adam, Sufi dan Imaan. Babak pertama adalah tentang Adam. Lawak jenaka Afdlin sebagai Adam bersama Nasha Aziz memang tak menghampakan. Masuk babak kedua tentang Sufi, dah mula membuatkan air mata bergenang. Masa ni aku tengok kawan aku dah tak senang duduk. Masuk babak ketiga tentang Imaan, kawan aku terus angkat punggung. Kasihan dia. Katanya, nanti dia belanja aku pula untuk filem lain. Semestinya bukan cerita cinta melayu haha!

comel dua2 pengantin ni ~ diambil dari blog afdlinshauki.blogspot.com


Aku tak pandai berkomentar tentang pembikinan filem sebab aku bukan ahlinya. Tapi bagi aku, Sepi memang filem yang cantik. Sepi bukan hanya cinta dan air mata. Sepi mengajak penonton berfikir untuk memanfaatkan peluang yang datang. Jangan bertangguh atau disia-siakan. Dan jangan juga terlalu memanjakan perasaan sepi anda! Bimbang nanti jadi seperti Imaan (eh, kisah Imaan tak surpriselah sebab aku dah dapat jangka siapa Pierre Andre tu hehe). Babak koma pun macam dah terlalu klise. Tapi aku suka babak Imaan baca puisi di perpustakaan ketika mengajar Syed Hussein. Puisi tu kelakar kalau dibaca tanpa emosi. Tapi bila Imaan baca sepenuh hati, aku dapat rasakan sesuatu cewah~
Apapun, 4 per 5 bintang untuk Sepi bagi kategori filem melayu. Aku boleh bagi 5 bintang kalau babak Imaan tidak terlalu panjang dan diperkuatkan lagi. Demi menyeimbangkan kekuatan babak Afdlin-Vanidah dan Tony Eusoff-Eja. Emm.. masa babak tepung jatuh "berguguran" antara Afdlin dan Vanidah, memang romantik, tapi aku teringatkan babak dalam buku Laskar Pelangi pula hehe.
Sekarang aku tahu kenapa dia tak suka filem cinta melayu. Tusukannya mencengkam. Huhu~

Lawat juga: http://www.afdlinshauki.blogspot.com/