Showing posts with label Pantun. Show all posts
Showing posts with label Pantun. Show all posts

20 February 2016

Pantun Pelangi


Hujan ringan membias cahaya
Tujuh sinar jadi pelangi
Datang tuan menegur sahaya
Kebaya longgar harum mewangi

Warnaan hijau biru dan nila
Merah jingga kuningan ungu
Kami terpukau cinta menyala
Sudilah jika tuan menunggu

Kaki pelangi di atas bumi
Ekornya tinggi mencapai awan
Tuan pergi tinggalkan kami
Hibanya hati tidak keruan

Bianglala saling sejajar
Busur cahaya memanah langit
Belasungkawa kami diajar
Air mata bukan sedikit

Warna mentari terlihat putih
Terpecah tujuh dirintang air
Tidak terganti jiwa merintih
Tergoyah tubuh talkin bersyair

Terbit hanya pagi dan petang
Takkan mungkin di tengahari
Tuan umpana pelangi merintang
Datang pergi tidak berperi

Kalau hujan di waktu malam
Terbit pelangi disinar purnama
Datang tuan hanya semalam
Jadi penyeri sekejap cuma



Menara Berkembar PETRONAS, KLCC
20 Februari 2016



15 February 2016

Pantun Menumpang

Bunga kiambang warnanya terang
Buat pengasih nakhoda kapal
Saya menumpang rezeki orang
Terima kasih harap setimpal

Burung helang membuat sarang
Di tanah rata pohon meranti
Saya menumpang gembira orang
Air mata bertakung di hati

Tumbuh rendang tepian bendang
Pohon terap berdahan dua
Saya menumpang cerita orang
Usah mengharap dikenang jua

Senja remang awanan perang
Tanda pergi sinar mentari
Saya menumpang kekasih orang
Sakit hati tanggung sendiri


UKM Bangi
14 Februari 2016

11 November 2015

Pesta Pantun Piala Alumni (1/2015)

Buat julung-julung kalinya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya menganjurkan Pesta Pantun Piala Alumni untuk edisi pertama bersempena Minggu Puisi UIAM. Hasil usaha keras barisan penganjur dan pemantun muda, akhirnya pertandingan ini berjaya dianjurkan bagi mencari pelapis pemantun UIAM.

Usaha mengumpulkan kesemua alumni pemantun UIAM sejak tahun 2000 harus diberikan pujian. Dengan hanya menggunakan facebook dan group whatsapp, hampir semua pemantun lama dapat dikenalpasti. Setelah lebih 15 tahun, masing-masing bersemangat untuk kembali menyumbangkan tenaga, buah fikiran dan juga bantuan kewangan bagi menjayakan program sulung ini. 

Terima kasih untuk semua yang membantu dan memberi sokongan terutamanya kepada Razuwan yang menyampaikan berita kepada semua alumni. Tak banyak yang sempat aku bantu untuk tahun ini. Insha Allah tahun depan kita cuba lagi ya :)

Jika mengambil kira pengalaman dan tingkat ilmu peserta, ternyata prestasi kesemua peserta adalah sangat baik. Hanya perlu digilap dan diberikan latih tubi, selebihnya aku percaya mereka mampu mengekalkan nama UIAM di arena pantun Malaysia. Aspek keyakinan penyampaian dan menjawab dengan tepat memerlukan latihan yang konsisten. Manakala aspek bahasa semestinya memerlukan pengalaman dan amalan membaca yang berganda. 

Walau apapun, sekalung tahniah untuk semua pemantun. Jangan malu dan takut untuk meneruskan perjuangan. Sekali berpantun, selamanya pemantun. 







Juara: Kumpulan Cenderawasih
Naib Juara : Kumpulan Onde-onde
Ketiga : Kumpulan Tun Teja
Pemantun Terbaik (Pertandingan Akhir): Fakhrul (Cenderawasih)

Kredit Foto: alangtengahbirukudang a.k.a. Razzuwan

13 August 2010

Aku dan Pesta Pantun MAKUM

Minggu lepas aku ke Pesta Pantun MAKUM (PPM) 2010 di UIA, Gombak. Tahniah buat UIA yang merangkul anugerah Naib Johan, Pemantun Terbaik (Pusingan Akhir) dan Pemantun Terbaik Keseluruhan. Bermula tahun 2002, aku tak tak pernah gagal untuk menyertai pertandingan berprestij ini. Namun sejak tamat belajar pada tahun 2007, aku hanya mampu menjadi penonton. Maka setiap kali menyaksikan pertandingan, semangat berpantun kembali merasuk hati huhu. Tahun lepas aku dah sebarkan keramat Pantun di tempat kerja. Meriah pejabat Aras 61 dengan hilai tawa penonton yang terhibur menyaksikan Eksekutif PETRONAS berpantun. Harap-harap tahun ini ada edisi kedua pula.

Pertandingan akhir PPM 2010 menemukan UIA dan USM. Kedua-duanya memang handal membeli dan menjual pantun. Setiap soalan dilemparkan dengan jawapan yang tepat dan menyengat terutamanya USM. UIA pula selalu tersasar dek soalan USM yang tinggi bahasanya. Aku pun kalau dah duduk di atas pentas takkan teringat apa maksud kiasan gajah putih, emas hitam dan warna kuning.


Bersama pemantun UIA di PPM 2010


Tapi secara peribadi, pemantun masih lemah dari aspek perbendaharaan kata. Banyak perkataan yang bersifat “pasar” digunakan seperti tempoyak, kudung dan yuran. Mereka memilih perkataan yang kurang unsur melayu klasik dek mengejar rima yang sama. Di sinilah hobi membaca dan membuat rujukan memainkan peranan. Kemahiran menjawab boleh diasah melalui latihan, tapi kekayaan kosa kata datangnya dari pengalaman. Samalah seperti aku, setelah bertahun tidak berpantun, otak pun dah berkarat huhuhu. Jadi, sila berlatih dari sekarang :)

Sekadar berkongsi maklumat, di bawah ini aku gariskan sejarah Pesta Pantun MAKUM sejak tahun 1999. Mohon perbetulkan jika ada tersalah khabar.

Sejarah Pertandingan Akhir MAKUM:

1999: UNIMAS - UUM (UNIMAS)
Pemantun Terbaik: Mohd Fairus bin Abdul Majid (UNIMAS)
2000: UIA - UPM (UIA)
Pemantun Terbaik: Zakiah Samsi (UIA)
2001: UIA - UM (UIA)
Pemantun Terbaik: Sari Surani (UIA)
2002: USM - UIA (USM)
Pemantun Terbaik: Fedtri Yahya (USM)
2003-2005: Tiada pertandingan
2006: UPM - UUM (UPM)
Pemantun Terbaik: Nordiana Liki (UPM)
2007: UPM - UIA (UPM)
Pemantun Terbaik: Radwan Rashid (UPM)
2008: Tiada pertandingan
2009: UKM - UIA (UKM)
Pemantun Terbaik: Khadijah (UKM)
2010: USM - UIA(USM)
Pemantun Terbaik: Nadeeah Ajman (UIA)

Aku yang bersedih sekadar bergelar Naib Johan PPM 2002 :p

Aku sendiri tak sangka rupanya sudah enam kali UIA berjaya melangkah ke pentas akhir. Boleh dianggap sebagai pasukan yang sangat konsisten walaupun selalu kalah huhu. Aku aktif pada tahun 2003-2005, tetapi PPM ditangguhkan pula selama 3 tahun berturut-turut. Maka kami lepaskan geram kepada pertandingan-pertandingan luar yang lain. Alhamdulillah kami berjaya mencapai beberapa kejayaan seperti di bawah:

1. Johan Festival Pantun Piala Canselor MMU Melaka, 2003 (UIAM – MMU)
2. Johan Pesta Pantun Bulan Bahasa dan Sastera Negara, DBKL, 2003 (UIA – UPM)
3. Naib Johan Festival Pantun Piala Canselor MMU Melaka 2006 (UIA – UPM)
4. Temasya Pantun Intervarsiti Tiga Penjuru (TriTUN) 2004 (Separuh Akhir)
5. Temasya Pantun Intervarsiti Tiga Penjuru (TriTUN) 2005 (Separuh Akhir)

PPM 2006 adalah penutup kepada gelanggang pantun peribadi. Malangnya kami kalah di peringkat saringan. Ah sedih! 2006 kali pertama UIA menjadi tuan rumah. Namun kami kalah di rumah sendiri. Mungkin itu tanda kami harus berundur.


Ubi yang mana dibuat pengat
Kuah yang pekat santapan nenda
Hati yang mana tidak teringat
Sudah melekat di dalam dada

Hijau daun di hujung desa
Bagai taman di bawah bayu
Orang berpantun berbudi bahasa
Jadi cerminan adat melayu

Pasukan "Semua Lelaki" generasi 2003 - 2004


Pasukan generasi 2005-2006 bersama Abg Sham

Oh ya, MAKUM itu maksudnya Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia :)

23 January 2006

Festival Pantun Piala Canselor MMU Melaka

Selama tiga hari, lapan pemantun taman ilmu dan budi berkampung di MMU Melaka untuk melunaskan janji mereka.
Kami menghantar dua pasukan untuk bertanding. UIAM (A) dan UIAM (B). Satu pasukan dihantar secara rasmi (dibiayai oleh UIA) manakala satu lagi secara tidak rasmi (secara suka-suka dan kami laburkan duit sendiri RM 50 seorang).
Peringkat saringan secara liga agak memeritkan. Pertama, kerana tema-tema pantun hanya akan diberikan 30 minit sebelum pertandingan. Kedua, setiap pasukan akan melalui empat perlawanan untuk menentukan juara kumpulan. Ketiga, kami masih belum benar-benar bersedia baik dari segi latihan mahupun persediaan pantun-pantun untuk dijual.
Alhamdulillah, peringkat saringan berakhir di mana Pasukan UIAM (A) berjaya menjadi juara kumpulan A manakala Pasukan UIAM (B) berjaya menjadi naib juara untuk kumpulan B. Berikut adalah kedudukan pasukan setelah peringkat saringan berakhir:
KUMPULAN A
1. UIAM (A) - 3 menang 1 kalah
2. UPM - 3 menang 1 kalah
3. UKM
4. MMU CYBERJAYA
5. UNITEN
KUMPULAN B
1. MMU MELAKA - 4 menang
2. UIAM (B) - 3 menang 1 kalah
3. KPM BERANANG
4. KUSTEM
5. UTM
Maka, dua pasukan teratas dari setiap kumpulan layak ke separuh akhir. Ah! Kami ditakdirkan untuk bertemu sesama sendiri pula. Perlawanan separuh akhir antara UIAM (A) dan UIAM (B). Justeru, UIAM sebenarnya telahpun menempah tiket ke peringkat akhir. Manakala MMU Melaka pula ditemukan dengan UPM.
Dipendekkan cerita, 2 pasukan yang layak ke peringkat akhir adalah UIAM (A) dan UPM. Erm... UPM sememangnya musuh tradisi UIAM sejak tahun 2000 lagi. Kami pasti akan bertemu dalam mana-mana pertandingan pantun yang dianjurkan seperti MAKUM, Bulan Bahasa DBKL, TRiTUN, dan Piala Canselor MMU Melaka ini.
Pertandingan akhir menyaksikan UPM dinobatkan sebagai juara. Nordiana Liki, pemantun ketiga UPM pula berjaya membawa pulang anugerah pemantun terbaik. Kami terpaksa akur kepada keputusan. Pertandingan akhir ini aku kira amat sengit. Justeru sedikit kesilapan akan membawa padah yang besar. Ternyata, kami perlu lebih berhati-hati lagi untuk masa akan datang.
Walau apapun, ada beberapa perkara menarik yang kami lalui selama tiga hari ini:
1. Pasukan A yang kononnya dihantar sekadar suka-suka, berjaya layak hingga ke pusingan akhir. RM 50 yang dilaburkan saya kira amat berbaloi.
2. Ros Aniza, pemantun pertama UIAM (A) berjaya menjadi pemantun terbaik sebanyak 4 kali. Saya kira yang paling banyak berbanding pemantun-pemantun pasukan lain.
3. Separuh akhir mempertemukan dua pasukan adik beradik yang jarang-jarang berlaku pada mana-mana pertandingan lain. Kali terakhir seingat saya adalah di MAKUM apabila USM (A) bertemu USM (B).
4. Pertandingan separuh akhir tersebut seolah-olah menjadi medan untuk kami melihat prestasi kami secara individu. Ibarat sesi latihan. Bezanya, kami berbaju melayu bersamping bagai :-)
5. Pasukan A sebenarnya adalah pasukan pelapis UIAM. Dua daripada mereka (kecuali Ros Aniza) tidak pernah duduk di pentas pertandingan pun. Tetapi kejayaan mereka melayakkan diri hingga ke peringkat akhir amat membanggakan kami; UIAM (B) yang merupakan pasukan senior UIAM.
6. Tujuan asal kami ke pertandingan ini adalah untuk memantapkan persediaan demi PestaPantun MAKUM yang bakal berlangsung Februari ini. Tak sangka pula kami berjaya sehingga ke peringkat ini.
8. Unit Kebudayaan UIAM sebenarnya telah menolak permohonan kami untuk menyertai pertandingan ini kerana hendak memberi tumpuan kepada penganjuran MAKUM yang bakal berlangsung di UIAM. Namun, setelah kami merayu untuk turut serta (degillah konon) akhirnya dua hari sebelum tarikh tutup penyertaan, kami dilepaskan juga. Alhamdulillah.
Tumbuh palas tepian kapas
Daunnya panjang menghias laman
Yang lepas biarkan lepas
Yang mendatang kami nantikan
Pertandingan Pantun Antara IPTA anjuran MAKUM-UIAM hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi. Kami mengorbankan cuti pertengahan semester untuk ini. Moga-moga, Allah merestui perjuangan kami. Insya Allah.

09 February 2005

TRiTUN 2005

Temasya Pantun Intervarsiti Tiga Penjuru (TRITUN) anjuran Persatuan Literasi Melayu MMU Cyberjaya telah berlangsung selama tiga hari bermula 4 Februari 2005 yang lepas. Tiga hari dua malam menginap di Hotel Equatorial Bangi, seribu satu pengalaman berbekas di galeri fikir. Sekali lagi nasib tidak menyebelahi kami di taman siber ini. Keputusannya sama seperti tahun lepas (meskipun pemantunnya berlainan) di mana kumpulan UIAM A hanya berjaya ke separuh akhir manakala kumpulan UIAM B setakat di peringkat saringan.

UIAM A:
Mohd Nizam Ahamad
Abd Razzuwan Abd Razak
Nurul Aina
UIAM B:
Mohd Johan Abd Malik
Ros Aniza Mohamad Rosli
Abu Sufyan Mohd Salleh

Namun, apa yang membanggakan kami, markah terkumpul di peringkat saringan 1 dan 2 didahului oleh UIAM A dengan 1386 markah diikuti oleh UKM (B), MMUC (B), UM, UKM (A), UTM, MMUC (A), UPM (A), UPM (B), KPM Beranang, UIAM (B) dan yang terakhir UNIMAS. Meskipun kedudukan UNIMAS adalah di tangga tercorot, tetapi kemampuan mereka berpantun bukanlah boleh dipandang enteng. Secara keseluruhan, semua pasukan berjaya menunjukkan kebolehan dan kehebatan berpantun serta bijak menggunakan pengalaman sedia ada.

Keputusan ini melayakkan kami ke peringkat separuh akhir bersama 8 kumpulan teratas yang lain. Pemantun terbaik juga dimenangi oleh UIAM (A) untuk kedua-dua saringan walaupun kami tewas kepada UKM (B) dalam saringan kedua. Malangnya, UIAM B tidak berjaya melangkah ke peringkat ini atas beberapa masalah teknikal baik yang datang dari pihak penganjur mahupun dari pihak kami sendiri. Tak perlulah dinyatakan di sini kerana ia adalah sebhagian daripada pengalaman sedih UIAM (B), UNIMAS, UPM (B) dan KPM Beranang yang kesemuanya bertanding di bilik pertandingan yang sama sepanjang pusingan saringan.

Di peringkat separuh akhir, UIAM A ditemukan melalui undian dengan MMUC (B) dan UPM (B). Kami tewas kepada tuan rumah iaitu MMUC (B) lantas memusnahkan harapan kami untuk mara ke pusingan akhir kerana penentuan ke pusingan akhir adalah secara kalah mati. Pelik bukan? Peringkat saringan digunakan sistem pemarkahan, tetapi untuk separuh akhir digunakan sistem kalah mati pula. Kenapa penentuan ke akhir tidak menggunakan sistem markah juga sedangkan struktur pertandingannya tetap sama dengan hakim dan peserta yang asyik berubah-ubah bilik pertandingan?

Pusingan akhir menemukan MMUC (B), UKM (B) dan UM yang merupakan johan di bilik pertandingan masing-masing di peringkat separuh akhir. Nasib menyebelahi UKM (B). Kejayaan mereka sememangnya sudah dijangkakan setelah menyaksikan aksi mereka di pentas akhir. UIAM (A) juga pernah bertemu mereka di saringan 2 dan mereka berjaya menewaskan kami ketika itu. Tapi aku bangga kerana aku berjaya menjadi pemantun terbaik ketika bertemu dengan mereka. :-) Namun, mereka memang layak untuk itu. Secara keseluruhan, MMU Cyberjaya berjaya menganjurkan TRITUN kali ini dengan sempurna dan lancar. Banyak perubahan positif yang dilakukan berbanding tahun lalu. Mereka benar-benar ingin mengangkat warisan budaya Melayu ini ke tahap yang lebih tinggi dan berprestij. Semoga berjumpa lagi di tahun depan, Insya Allah.

04 December 2004

Pantun dan Kesopanan Pengucapannya

Pantun adalah juzuk Kesusasteraan Melayu bentuk puisi yang tertua yang dulunya dikenali juga sebagai sastera rakyat yang tersebar dalam kalangan rakyat secara lisan dan mengalir dari mulut ke mulut bagaikan arus air sungai yang segar lagi jernih. Sejak zaman-berzaman, puisi rakyat klasik ini diterima sebagai milik bersama, menjadi mainan bibir dalam perihal berkomunikasi dan tertegak sebagai wadah untuk menyimpan kehalusan rasa, kejernihan budi dan kesiratan makna yang amat mendalam.

Pantun sebagai puisi tulen diolah secara otomatis secara lisan sebagai satu pengucapan untuk memesrakan idea, menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap sesuatu, diselit dengan sindiran, jenaka untuk menegur, penampilan nasihat dan peringatan, menjalin cinta murni, berteka-teki atau sebahagian besarnya hanya untuk berseronok-seronok melepas lelah di samping menjaga kesopanan dan keunikan siratannya.

Sebagai satu budaya yang lama bertapak dalam sanubari rakyat dan sebagai satu wadah yang menuntut syarat-syarat yang tak tertulis. Yang terkandung dalam komposisi pantun, pantun benar-benar menjadi hati nurani bangsa Melayu. Idea dalam bentuk itu sebati lagi dengan asonansinya, jedanya, rahmatnya, rima dan rentaknya sesuai dengan maksud yang hendak disampaikan serta diambil kira lagi suasana-suasana majlis tertentu yang hendak disampaikan.

Pengucapannya yang disampaikan secara spontan itu benar-benar menuntut kedewasaan dan pengalaman yang luas dan di situlah letaknya nilai sesebuah pantun, di samping idea yang bernas dan bermanfaat untuk semua, segala ciri keunikannya pula perlu dimesrakan tanpa kepejalan dan keriangan dalam pengucapan itu. Pengucapan perlu teralir secara meluas, indah, murni, dan berseni tanpa tandingan. Oleh sebab pantun tidak terlibat dengan apa jua halangan dan batasan atau kelas dan hirarki sosial, maka pengucapannya hidap dalam masyarakat Melayu berbagai strata dan terus menjadi media komunikasi antara generasi tua-muda dengan kejenakaan penuh kesopanannya, antara teruna-dara dengan kegelian cuit-cuitan, antara pahlawan dengan yang siap sedia dengan pencak silat, keris terhunus dan buah Saidina Alinya.

Melalui pantun yang diucapkan secara spontan inilah juga rakyat jelata terhibur dan bersukaria bergelak ketawa dan senyum simpul di balik-balik tirai dan belukar buluh di samping menjadi intipati yang amat bermakna dalam acara-acara istiadat seperti melahirkan rasa cinta antara jejaka-dara dalam suasana yang sama-sama tahu seperti yang tersirat “mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak lalu” untuk merisik idaman hati yang terpingit, untuk menimang bunga sekuntum di taman atau dalam majlis-majlis walimatulurus untuk kekal dalam rumahtangga bahagia kelak.

Secara kespontanan juga pantun diucap dalam suasana-suasana mainan yang kaya dengan ketegangan dan kesengitan seperti memainkan peranan untuk mengatur langkah awal dalam satu-satu pertarungan yang kononnya berpegang kepada “mati sebelum ajal” antara panglima dan wira, antara hulubalang dengan pendekar malah waktu keris terhunus di tangan pun masih sempat secara spontan, pantun teralir dari bibir-bibir yang sedang mengunyah sepiak dua pinang bergambir pantun empat kerat dengan asonansinya, jedanya, iramanya, makna siratannya dan mengalir keluar dengan gagah penuh seninya.

Tapi bila mana pantun berkembang dalam bentuk tulisan di sekitar abad ke lima belas, sedikit demi sedikit kespontanan pengucapan pantun terganggu, diganggui oleh huruf-huruf, tinta-tinta, suasana-suasana yang berlainan. Pantun diteruskan juga tetapi semenjak itu mulailah terasa kejang dan kakunya bila diminta mengucapkannya secara spontan. Hinggalah ke hari ini pantun tetap hidup dan tidak lagi menjadi satu juzuk pengucapan secara spontan dalam masyarakat.

Acara yang kita atur sekarang ini ialah antara lain cuba mengembalikan juzuk pengucapan pantun secara kespontanan inilah. Insya Allah, masyarakat akan mampu memahaminya dan mungkin mampu bernafas semula dalam kegilaan Teknologi Multimedia Super Corridor ini.

Dato’ Profesor Emeritus Haji Shahnon Ahmad

Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

-Ini adalah alasan terbaik yang berjaya dicernakan oleh Dato' Prof. berkenaan pengamalan pantun secara spontan di peringkat IPTA sepertimana yang dipraktikkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia. Jadi, pemantun-pemantun UIAM, kita harus terus bersiap siaga kerana kita telah berada di atas landasan yang betul-