18 March 2012

Hadiah Dari Makkah


Setengah purnama mengejar ibadah
Sahabiah pulang dari umrah
Dicarikan untuknya redha Ya Allah
Dicarikan kami hadiah dari Makkah

Seutas tasbih sehelai sajadah
Tanda ingatan tak sudah-sudah
Nilaian bukan di balutan indah
Wai'ma pada harga nan mewah

Sebanyak mana ingatanmu pada Maha Pemurah?
Sekerap mana dahimu sujud menyerah?
Semuanya ada pada tasbih dan sajadah
...hadiah dari Makkah

Terima kasih wahai Siti Sarah
Membimbing kami mencari hidayah
Ada doa yang kami tadah
Buat bekalan sampai ke Jannah
...Insya Allah :)

17 March 2012

Tujuh Petala Cinta - Filem Sedih


Kesedihan yang pertama.

Cari video Tujuh Petala Cinta di Youtube dan bacalah sendiri komen-komennya. Sedih melihat orang-orang kita yang tak habis-habis mencari ketidaksempurnaan filem ini. Barangkali filem ini belum mampu menepati kehendak syariat 100%. Ah! Aku bukannya ahli untuk bercakap tentang syariat. Bagaimanalah kita mampu berlari ke langit? Baru bertatih sudah digelakkan orang.

"Untuk menghindar kesusahan yang sedikit kerana Tuhan, daripada menanggung kesusahan yang lebih besar. Kalau tak dapat sedikit, janganlah dibuang semua."

Kesedihan yang kedua.

Ada genangan air mata setiap kali melihat kekuatan pada diri Ahmad Fakhruddin Attar. Kuat waima dibuang masyarakat, dibuang pengajian dan dibuang cinta. Semuanya tak mampu dicuci dengan air mata Saidatul Nafisa yang tak henti-henti mengalir.

Kesedihan yang ketiga.

Terbit rasa syahdu mendengar alunan zikir-zikir sepanjang filem. Tiada lagi lagu-lagu OST yang selalunya berkumandang setiap kali tiba babak "punchline". Alunan zikir yang kesemuanya menepati jalan cerita. Membawa khayal ke tingkat tertinggi dan kembali semula kepadaNya.

Kesedihan yang keempat.

Apabila rakan di kerusi sebelah tiba-tiba bertanyakan aku "Sedih juga cerita ni ya? Bergenang air mata ni". Aduhaiiii. Secara peribadi, babak perpisahan antara Attar dan rakan-rakannya yang nakal lebih menyedihkan daripada babak cinta yang lain. Entahlah, cinta dengan kawan-kawan itu lebih mengesankan.

Kesedihan yang kelima.

Kalau kalian tak menonton dan menyokong filem ini. Sedih !!

***

Eh! Tujuh Petala Cinta bukanlah cerita sedih semata-mata. Itu hanya gimik. Ia punya jalan cerita yang sangat baik tentang cinta pada Allah, kekasih, keluarga, teman hatta musuh penjahat juga. Cinta bukan melemahkan tapi menguatkan. Kalau tak pandai menghargai cinta, jangan salahkan filem ini ya.

Selamat menonton :)


18 February 2012

Sabah itu Indah

Menjejakkan kaki ke Sabah adalah sesuatu yang dah lama aku idam-idamkan. Keindahannya dari pantai hingga ke kaki gunung senantiasa memanggil-manggil untuk aku datang. Februari 2012 menjadi saksi: daerah malaysia timur ini ternyata seindah gelarannya - Negeri di Bawah Bayu.

Hari Pertama:
Bandar Kota Kinabalu dan Pasar Filipina.

Matahari terbenam di Tanjung Aru


Hari Kedua:
Pulau Mamutik, Pulau Manukan, Pulau Sapi dan Pulau Gaya

Pulau Sapi

Terima kasih kepada pemandu bot kacak yang sentiasa menjaga barang-barang kami ketikamana kami asyik bermain snorkelling. Bagus Toshio !


Hari Ketiga:
Kinabalu Park, Kolam Air Panas Ranau, Canopy Walk Ranau

Desa Cattle dan Pasar Kundasang.


Hari Keempat:
Shopping ! ;)

Kenderaan beroda yang membawa kami ke sana sini.
Hampir RM400 untuk 4 hari 3 malam.

Istana hinggap keluarga Faiz, tempat kami bermalam selama tiga hari.
Terima kasih Faiz kerana sudi menumpangkan kami di sini !

Tak lengkap ke Sabah kalau tak ke Gunung Kinabalu, kan?
Semestinya kami akan datang lagi, Insya Allah. Peace !


Tak banyak tulisan untuk entri kali ni. Kerana aku tak jumpa perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keindahan Sabah!


17 February 2012

Selut di Tepi Laut



Beginilah langkah hidup. Awalnya selut.
Silap langkah, kaki terbenam ke dalam lumpur.
Silap gerak, jatuh tersembam barangkali tersungkur.
Walau apapun, pengakhirannya akan ada matahari dan laut.


Berfikiran positif itu menyihatkan :)

Cherating 2012



22 January 2012

Pengalaman yang Memimpin Tangan

Aku ingatkan cinta yang bermula daripada persahabatan itu indah. Saat kami berlanggar bahu di perpustakaan, dua buku terjatuh di atas lantai, dua tangan tersentuh ketika memegang buku, dua mata saling bertentang, lantas keduanya tersipu-sipu malu dan berakhir dengan satu persahabatan yang tak berpenghujung.

Tapi sebenarnya, cinta yang bermula daripada pergaduhan itu lebih indah. Salah faham, bertengkar, meninggikan suara, tangan hampir naik ke muka dan berakhir dengan sebuah rindu yang tak dapat dimengertikan.

Aku dah melalui kedua-dua pengalaman di atas. Iktibarnya, jangan takut untuk memegang komitmen cinta. Pengalaman yang akan memimpin tangan menyelusuri jalan setia. Kalau mahu, tekadkan saja. Tahun 2012 terlalu pendek untuk disia-siakan dengan angan-angan. Perhubungan itu indah apabila kau berjaya memahami diri sendiri tikamana kau sedang memahami siapa dia sebenarnya. Walaupun kau tak mungkin memahami dia sampai bila-bila pun.

Moga mimpinya khabarkan yang benar.

30 December 2011

11 Cerita Tentang 2011

Teruja menunggu tahun baru. Terutamanya tarikh 12.12.2012 yang merupakan tarikh kelahiran yang dinanti-nantikan. Ini adalah 11 ringkasan cerita tentang aku dan tahun 2011. Harap-harap jadi iktibar untuk tahun depan.

1. Apak sakit dan hampir seminggu terlantar di Hospital Lipis. Entah apa puncanya pun tak tahu. Memberikan aku pengalaman pertama berjaga malam di hospital, memandikan apak di pagi hari, menaiki ambulans dari Lipis ke Temerloh dan melihat sendiri operasi CT Scan. Moga apak dan seluruh ahli keluarga 66 sihat walafiat untuk tahun-tahun mendatang.

2. Dapat belikan mak rantai emas yang dia idam-idamkan dengan duit bonus 2011. Alhamdulillah. Saiz rantai tu sangatlah kecil, walaupun harganya beribu-ribu ringgit. Insya Allah ada rezeki boleh dapat yang lebih besar tahun depan ya mak. Hehehe~


3. Cuti-cuti Malaysia ke Teluk Cempedak, Cameron Highland, bandar Kuching, main paramotor di Pulau Indah, mandi sungai di Ulu Chepor, BBQ di Sungai Gabai, meneroka Pulau Langkawi, dua kali ke bandar Melaka dan bercuti tahun baru 2012 di Pulau Pinang. Hanya sekali merentas sempadan Malaysia yakni ke Singapura. Tak sabar nak tunggu cuti tahun depan !

4. Ini adalah tahun ketiga di PETRONAS dengan memegang jawatan yang sama. Lebih memuaskan hati apabila kerja kita dihargai oleh rakan sekerja. Insya Allah akan ada berita menarik menanti tahun depan. Tamat sudah kontrak jawatan dalam HRM Young Professional Executive club (HYPE). Tahun depan aku perlu fokus untuk mencipta cabaran-cabaran yang baru.

5. Dua kali berpindah rumah sewa. Dari Keramat ke Taman Shamelin dan sekarang di Bandar Tun Razak. Cukuplah merasa hidup orang bujang. Tahun depan adalah masa terbaik untuk beli rumah dan kereta sendiri. Amiiinnn :)

6. Pemantun UIA sekali lagi berjaya ke peringkat akhir pertandingan dan disiarkan secara langsung di TV1. Kumpulan zapin Nafastari berjaya membuat persembahan sehingga ke tingkat 41 Menara Berkembar PETRONAS. Aku mahu terus membuang stress bersama kalian ok ;)

7. Perginya seorang kawan baik bernama Wan Ahmad Fadzil aka Jay pada 1 Mac 2011. Dikejutkan lagi dengan pelbagai dugaan daripada Allah SWT kepada beberapa orang rakan baik dek kemalangan dan sakit yang panjang. Syafakallah. Semuanya tak lain tak bukan untuk memberi amaran kepada diri kita sendiri. Aku memohon perlindungan dariMu, ya Allah.

8. 2011 aku banyak bekerja dan banyak juga sakit-sakit. Tahun depan perlu lebih banyakkan senaman dan aktiviti-aktiviti menyihatkan. Mungkin ke gimnasium membina otot dan membuang boroi? Hahaha abang sasa :p

9. 2011 aku masih lagi gembira bergelar si bujang. 2012 semestinya tahun yang lebih mencabar jiwa cewah! Kawan-kawan sebaya ramai yang dah berkahwin dan beranak-pinak. Kadang-kadang segan nak ke majlis kenduri kendara sebab malas nak menjawab soalan yang sama huhu. Tahniah untuk kalian semua. Doakan aku cepat bertemu jodoh !


10. 2011 adalah tahun terakhir untuk aku bergelar remaja 20an hehe. Baru nak merasa umur 29 beberapa minggu lepas, dan esok lusa aku dah meningkat jadi 30 pula. BMW 3 series - kata orang. Harganya pun mahal kan? ;)

11. Ini adalah entri blog yang ke 57 untuk tahun 2011. Paling banyak dalam sejarah menulis di sini sejak tahun 2004. Ternyata, 2011 menyimpan macam-macam kenangan pahit manis menyebabkan aku meluahkan satu persatu di sini. Terima kasih kerana membaca oranglipis.blogspot.


Selamat tinggal 2011. Selamat datang 2012!
Aku memerlukan bantuan daripada facebook timeline untuk menulis cerita-cerita di atas.. huhu!

24 December 2011

Kisah Kucing-Kucing Terbiar


Tiada apa yang lebih mendidik jiwa sendiri daripada melihat kehidupan makhluk yang lain.

Semalam aku berkesempatan untuk melawat Abang Bakri dan haiwan-haiwan jagaannya di kaki Bukit Tabur. Jom baca blog tentang kucing-kucing terbiar di blog Abang Bakri di kucing2terbiar.blogspot .



Dah lama tak ke sini. Kucing yang dulunya masih sekecil tapak tangan, sekarang dah penuh di atas ribaan. Boleh dibuat bantal peluk di malam hari. Kucing yang dulunya berkurap, sakit-sakit dan bertempek tahi mata, sekarang dah comel, gebu dan manja. Boleh jadi teman bermain dan menenangkan jiwa.


Aku bangga dengan usaha murni Abang Bakri, sejak aku mengenali dia lebih 5 tahun yang lepas. Seorang lelaki mulia yang sanggup menjaga kucing-kucing yang dibuang orang. Bukan setakat kucing tapi kambing, anjing, tupai dan apa sahaja binatang yang sesat ke rumahnya di kaki Bukit Tabur. Ada yang hidup sihat, ada yang mati terkubur di situ. Termasuklah kisah sedih si anjing Peace yang menjadi lagenda di kalangan pendaki Bukit Tabur. Anjing inilah yang dulunya menyambut kedatangan aku dengan ekornya yang tergedik-gedik tanda ingin berkawan. Hidup dan matinya adalah di kaki bukit itu juga.

Sesungguhnya tiada apa yang lebih mendidik jiwa sendiri daripada melihat susah senang kehidupan makhluk yang lain. Agar kita lebih bersyukur dan menikmati kehidupan dengan seadanya :)

Ini namanya Cik Puan Melaka, sebab asalnya adalah dari bandar Melaka.
Gebu dan gemuk. Duduk penuh semeja huhu ~


video
Ini si tompok yang berpenyakit urat sarafnya. Membuatkan dia tak mampu berjalan dan berdiri dengan tegak. Meruntun perasaan mereka yang melihat kecekalan dia meneruskan hidup.

video
Ini sebahagian daripada kucing-kucing yang ada di rumah Abang Bakri. Lain kali kami datang lagi ya :)


05 December 2011

Ombak Rindu

Ombak Rindu. Membuatkan hati saya bergumpal pekat di dalam rindu-rindu yang lama tersimpan. Setiap kali Aaris mengucapkan rindu kepada Izzah, hati saya turut sama meruntun resah. Teringat tentang rindu-rindu yang juga pernah menguasai saya satu masa dulu. Rindu yang sangat-sangat rindu.

Meninggalkan kerusi panggung ibarat membawa batu bata. Berat yang tak mampu dilepaskan dengan sekadar keluhan. Ombak rindu sungguh-sungguh mencengkam jiwa. Memanggil semula segala rasa rindu yang dulunya pernah saya sia-siakan.

Menonton Ombak Rindu mengembalikan nostalgia zaman cinta 90an. Menonton Ombak Rindu ibarat menerima hukuman kepada dosa-dosa silam saya pada rindu yang dulu. Sangat-sangat rindu!

30 October 2011

Apak dan Ayah

Jam 2 pagi di Hospital Daerah Lipis. Apak terjaga dari tidur. Tidur yang sebenarnya tak pernah lena sejak jam 11 malam tadi. Apak tiba-tiba bangun dan duduk tegak di atas tilam. Tiada lagi keluhan sakit-sakit. Perkataan yang keluar hanyalah "ayah...ayah...ayah". Seolah-olah dia sedang melihat ayahnya berada di depan katil wad Melor ini.

Aku tegur perlahan "Apak bangun nak pergi mana ni?"
"Ayah...ayah..." jawabnya lemah sambil memandang aku.

Sebagai anak, aku tak sanggup merenung dua mata tua itu. Ada sinar lesu di dalamnya. Tanda penatnya dia membesarkan kami adik beradik. Apak cuba mencabut tiub wayar air yang melekat di tangan kirinya. Aku marah. Apak merayu manja "Nantilah dulu..nantilah dulu."

Apak seperti sedang bermanja dengan "ayahnya". Sangat manja. Aku suruh apak baring. Perlahan-lahan dia turunkan badan. Menyambung tidur bersama perkataan "ayah" yang tetap disebut-sebut.

Benarlah. Semakin kita tua, semakin kita kembali kepada fitrah. Apak rindukan arwah ayahnya. Sepertimana dia lahir 69 tahun yang dulu.


- dan tanpa sedar, apak mengulangi perilaku di atas berulang-ulang kali sepanjang malam.. syafakallah ya walid.

26 October 2011

Jangan Cepat. Jangan Lambat.

Dari dulu aku belajar, kalau bercinta jangan terburu-buru. Kenali dulu hati budi, biarkan jiwa memendam rindu. Jangan menabur janji ketika gembira membalut hati. Jangan membuat keputusan ketika amarah merasuk perasaan.

Justeru aku cuba berjalan pelan-pelan dengan dia. Malangnya pula, dia kata aku tawar menawar dengan matawang cinta. Dia kata aku melambat-lambatkan urusan hati. Dia kata aku bertangguh-tangguh membayar rasa. Fuh! Pedas dan perit!

Tiga bulan. Bagi aku, itu adalah tempoh edah dalam memilih cinta. Aku tetap percaya bahawa cinta sebenar hanya akan datang selepas tiga bulan berkenalan. Ah soal cinta ini memang sulit. Tak boleh terlalu cepat. Tak boleh terlalu lambat. Sedang-sedang aja. Huh!


Kalau kau tak sanggup menanti, kau tak layak untuk memiliki.