07 August 2011

Murtabak Cinta



Kami berjanji lewat jam 5 petang. Bukanlah sungguh berjanji, sekadar tanya berbasa basi. ''Berbuka dengan siapa hari ni? Di mana?" Kami sepakat ke bazaar ramadhan Permaisuri. Bazaar sepanjang hampir satu kilometer. Fuh meriah dengan bermacam-macam bau!

Entah kenapa, hari ini aku sangat teringin nak merasa murtabak. Mata melilau mencari murtabak yang paling enak di mata. Begitulah insan pada bulan puasa. Kita lebih percayakan mata, kemudian nafsu, kemudian lidah, kemudian akal. Dah terkena baru terkesima :p

Seperti biasa, lagi dicari, semakin jauh dia lari. Tiada satu pun gerai yang berjaya mencuri hati. Isi tebal tapi lebih tepung dan kurang daging. Harga murah tapi nipis macam roti canai. Nampak sedap tapi harga tak jejak ke bumi. Ah beginilah selalu. Bila aku suka, kau kata belum bersedia. Bila aku benci kau kembali mencuri hati.

Aku pulang berbuka puasa tanpa dapat membeli murtabak. Tak mengapalah. Kalau bukan hari ini, esok lusa ada rezeki barangkali. Lagipun kawan aku kata, kalau kita sukakan sesuatu, bersedialah untuk melepaskannya. Kalau nanti dia datang kembali, itulah hak milik.

Akhirnya aku berbuka dengan karipap kentang lagi. Sendiri sendiri, bukan dengan dia. Alhamdulillah. Selamat berbuka dan salam ramadhan al murtabak! Eh silap, al-mubarak :p

04 August 2011

Berita Wajib Menjelang Raya

Ini adalah berita dan cerita wajib menjelang Hari Raya:

1. Kanak-kanak kehilangan dua jari kerana mercun buatan sendiri.
2. Keluarga miskin mohon bantuan insan prihatin.
3. Statistik kemalangan jalan raya berjaya memecahkan rekod tahun sebelumnya.
Persoalannya:

Apakah ini takdir yang takkan pernah berakhir?
Apakah kita yang tak mahu belajar daripada kesilapan?
Atau, apakah wartawan Malaysia terlalu rajin (mengalahkan Menteri) dalam mengkaji permasalahan rakyat?

Salam Ramadhan 1423 Hijrah dari oranglipis.blogspot :-)