29 November 2009

Nota-nota Lagu Dari Rintik Hujan

Foto di atas kami tangkap secara tidak sengaja ketika melewati Menara Berkembar Petronas dua tiga minggu terdahulu. Ketika mana rintik-rintik hujan baru sahaja turun menitisi tingkap kereta tempat kami berteduh. Pantulan cahaya pada cermin tingkap tersebut membuatkan air hujan membentuk diri ibarat nota-nota lagu. Bukan bulat-bulat. Bukan petak-petak. Tapi ibarat nota-nota lagu.

Sedetik aku percaya, betapa sebenarnya hujan itu turun membawa berita gembira di dalam lagu-lagu cinta. Betapa hujan itu bukanlah tirai besi yang memerangkap kita rakyat melata. Masakan hujan boleh menjadi bah kalau bukan kerana sungai yang disempitkan. Masakan hujan boleh meruntuhkan tanah kalau bukan bukit yang ditarahkan. Kitalah yang menyebabkan nota-nota lagu dari rintik hujan menjadi irama kematian yang menakutkan.

Kerana hujan tetaplah rahmat, bukannya peluru Tuhan. Kerana kita ini adalah Orang, bukannya Manusia.





Citra Manusia nyanyian Azhary
Lagu: Azhary @ Iya
Lirik: Syahril A Kadir

15 November 2009

Terbaru

Alhamdulillah sekarang aku dah memiliki sebiji laptop baru. Barangkali selepas ni lebih banyak masa akan dihabiskan menghadap laptop sambil menonton televisyen. Huhu. Di bawah ni gambar rakan serumah aku yang terbaru, bergaya bersama laptop aku yang terbaru. Emm.. sesiapa yang nak berkenalan dengan Encik Aiman ni, dipersilakan. Masih bujang dan belum berpunya. Sesiapa pun boleh isi borang penyertaan. Kata dia, "Aiman tak kesah." Haha.

18hb November depan adalah tarikh untuk aku disahkan jawatan di Petronas. Alhamdulillah, sehingga ke hari ni boss dah pun menyalakan lampu hijau untuk memberikan pengesahan. Insya Allah. Apapun, pengesahan bukanlah memberi erti yang besar kerana yang lebih penting adalah untuk terus hidup di dalam syarikat yang sangat dinamik ni. Di bawah ni gambar aku bersama rakan-rakan sepejabat yang gila-gila sikit semasa jamuan hari raya yang lepas. Beginilah kami. Akan jadi gila selepas seharian bekerja dengan penat lelah. Haha.


Ini pula kegiatan terbaru aku ketika masa lapang. Kalau dulu aku ligat berzapin, tapi sekarang aku ligat di kamar karaoke pula. Suara tidaklah sehebat mana, tapi kepuasan menjerit tu tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Di bawah ni adalah rakaman suara aku untuk sesiapa yang sanggup memecahkan gegendang telinga mereka. Haha.


Aidilfitri yang lepas adik aku dah pun selamat melangsungkan majlis pertunangannya. Bermakna, menjelang penghujung tahun depan aku akan dapat adik ipar yang pertama. Menambahkan seorang lagi ahli baru dalam keluarga kami, Insya Allah. Jadi sebagai lambang sokongan daripada seorang abang, aku dengan senang hati menghadiahkan sirih junjung hasil kreativiti keras-tangan aku ni. Hehe.

Dulu aku pernah katakan betapa sesuatu yang baru selalu membuatkan kita keliru. Sekarang, aku mula sedar bahawa untuk terus hidup kita mesti selalu menikmati perkara-perkara baru. Justeru itulah sebenarnya yang sentiasa aku mahukan!

Teman, perbaharukan hidupmu selalu :)