30 December 2011

11 Cerita Tentang 2011

Teruja menunggu tahun baru. Terutamanya tarikh 12.12.2012 yang merupakan tarikh kelahiran yang dinanti-nantikan. Ini adalah 11 ringkasan cerita tentang aku dan tahun 2011. Harap-harap jadi iktibar untuk tahun depan.

1. Apak sakit dan hampir seminggu terlantar di Hospital Lipis. Entah apa puncanya pun tak tahu. Memberikan aku pengalaman pertama berjaga malam di hospital, memandikan apak di pagi hari, menaiki ambulans dari Lipis ke Temerloh dan melihat sendiri operasi CT Scan. Moga apak dan seluruh ahli keluarga 66 sihat walafiat untuk tahun-tahun mendatang.

2. Dapat belikan mak rantai emas yang dia idam-idamkan dengan duit bonus 2011. Alhamdulillah. Saiz rantai tu sangatlah kecil, walaupun harganya beribu-ribu ringgit. Insya Allah ada rezeki boleh dapat yang lebih besar tahun depan ya mak. Hehehe~


3. Cuti-cuti Malaysia ke Teluk Cempedak, Cameron Highland, bandar Kuching, main paramotor di Pulau Indah, mandi sungai di Ulu Chepor, BBQ di Sungai Gabai, meneroka Pulau Langkawi, dua kali ke bandar Melaka dan bercuti tahun baru 2012 di Pulau Pinang. Hanya sekali merentas sempadan Malaysia yakni ke Singapura. Tak sabar nak tunggu cuti tahun depan !

4. Ini adalah tahun ketiga di PETRONAS dengan memegang jawatan yang sama. Lebih memuaskan hati apabila kerja kita dihargai oleh rakan sekerja. Insya Allah akan ada berita menarik menanti tahun depan. Tamat sudah kontrak jawatan dalam HRM Young Professional Executive club (HYPE). Tahun depan aku perlu fokus untuk mencipta cabaran-cabaran yang baru.

5. Dua kali berpindah rumah sewa. Dari Keramat ke Taman Shamelin dan sekarang di Bandar Tun Razak. Cukuplah merasa hidup orang bujang. Tahun depan adalah masa terbaik untuk beli rumah dan kereta sendiri. Amiiinnn :)

6. Pemantun UIA sekali lagi berjaya ke peringkat akhir pertandingan dan disiarkan secara langsung di TV1. Kumpulan zapin Nafastari berjaya membuat persembahan sehingga ke tingkat 41 Menara Berkembar PETRONAS. Aku mahu terus membuang stress bersama kalian ok ;)

7. Perginya seorang kawan baik bernama Wan Ahmad Fadzil aka Jay pada 1 Mac 2011. Dikejutkan lagi dengan pelbagai dugaan daripada Allah SWT kepada beberapa orang rakan baik dek kemalangan dan sakit yang panjang. Syafakallah. Semuanya tak lain tak bukan untuk memberi amaran kepada diri kita sendiri. Aku memohon perlindungan dariMu, ya Allah.

8. 2011 aku banyak bekerja dan banyak juga sakit-sakit. Tahun depan perlu lebih banyakkan senaman dan aktiviti-aktiviti menyihatkan. Mungkin ke gimnasium membina otot dan membuang boroi? Hahaha abang sasa :p

9. 2011 aku masih lagi gembira bergelar si bujang. 2012 semestinya tahun yang lebih mencabar jiwa cewah! Kawan-kawan sebaya ramai yang dah berkahwin dan beranak-pinak. Kadang-kadang segan nak ke majlis kenduri kendara sebab malas nak menjawab soalan yang sama huhu. Tahniah untuk kalian semua. Doakan aku cepat bertemu jodoh !


10. 2011 adalah tahun terakhir untuk aku bergelar remaja 20an hehe. Baru nak merasa umur 29 beberapa minggu lepas, dan esok lusa aku dah meningkat jadi 30 pula. BMW 3 series - kata orang. Harganya pun mahal kan? ;)

11. Ini adalah entri blog yang ke 57 untuk tahun 2011. Paling banyak dalam sejarah menulis di sini sejak tahun 2004. Ternyata, 2011 menyimpan macam-macam kenangan pahit manis menyebabkan aku meluahkan satu persatu di sini. Terima kasih kerana membaca oranglipis.blogspot.


Selamat tinggal 2011. Selamat datang 2012!
Aku memerlukan bantuan daripada facebook timeline untuk menulis cerita-cerita di atas.. huhu!

24 December 2011

Kisah Kucing-Kucing Terbiar


Tiada apa yang lebih mendidik jiwa sendiri daripada melihat kehidupan makhluk yang lain.

Semalam aku berkesempatan untuk melawat Abang Bakri dan haiwan-haiwan jagaannya di kaki Bukit Tabur. Jom baca blog tentang kucing-kucing terbiar di blog Abang Bakri di kucing2terbiar.blogspot .



Dah lama tak ke sini. Kucing yang dulunya masih sekecil tapak tangan, sekarang dah penuh di atas ribaan. Boleh dibuat bantal peluk di malam hari. Kucing yang dulunya berkurap, sakit-sakit dan bertempek tahi mata, sekarang dah comel, gebu dan manja. Boleh jadi teman bermain dan menenangkan jiwa.


Aku bangga dengan usaha murni Abang Bakri, sejak aku mengenali dia lebih 5 tahun yang lepas. Seorang lelaki mulia yang sanggup menjaga kucing-kucing yang dibuang orang. Bukan setakat kucing tapi kambing, anjing, tupai dan apa sahaja binatang yang sesat ke rumahnya di kaki Bukit Tabur. Ada yang hidup sihat, ada yang mati terkubur di situ. Termasuklah kisah sedih si anjing Peace yang menjadi lagenda di kalangan pendaki Bukit Tabur. Anjing inilah yang dulunya menyambut kedatangan aku dengan ekornya yang tergedik-gedik tanda ingin berkawan. Hidup dan matinya adalah di kaki bukit itu juga.

Sesungguhnya tiada apa yang lebih mendidik jiwa sendiri daripada melihat susah senang kehidupan makhluk yang lain. Agar kita lebih bersyukur dan menikmati kehidupan dengan seadanya :)

Ini namanya Cik Puan Melaka, sebab asalnya adalah dari bandar Melaka.
Gebu dan gemuk. Duduk penuh semeja huhu ~


video
Ini si tompok yang berpenyakit urat sarafnya. Membuatkan dia tak mampu berjalan dan berdiri dengan tegak. Meruntun perasaan mereka yang melihat kecekalan dia meneruskan hidup.

video
Ini sebahagian daripada kucing-kucing yang ada di rumah Abang Bakri. Lain kali kami datang lagi ya :)


05 December 2011

Ombak Rindu

Ombak Rindu. Membuatkan hati saya bergumpal pekat di dalam rindu-rindu yang lama tersimpan. Setiap kali Aaris mengucapkan rindu kepada Izzah, hati saya turut sama meruntun resah. Teringat tentang rindu-rindu yang juga pernah menguasai saya satu masa dulu. Rindu yang sangat-sangat rindu.

Meninggalkan kerusi panggung ibarat membawa batu bata. Berat yang tak mampu dilepaskan dengan sekadar keluhan. Ombak rindu sungguh-sungguh mencengkam jiwa. Memanggil semula segala rasa rindu yang dulunya pernah saya sia-siakan.

Menonton Ombak Rindu mengembalikan nostalgia zaman cinta 90an. Menonton Ombak Rindu ibarat menerima hukuman kepada dosa-dosa silam saya pada rindu yang dulu. Sangat-sangat rindu!

30 October 2011

Apak dan Ayah

Jam 2 pagi di Hospital Daerah Lipis. Apak terjaga dari tidur. Tidur yang sebenarnya tak pernah lena sejak jam 11 malam tadi. Apak tiba-tiba bangun dan duduk tegak di atas tilam. Tiada lagi keluhan sakit-sakit. Perkataan yang keluar hanyalah "ayah...ayah...ayah". Seolah-olah dia sedang melihat ayahnya berada di depan katil wad Melor ini.

Aku tegur perlahan "Apak bangun nak pergi mana ni?"
"Ayah...ayah..." jawabnya lemah sambil memandang aku.

Sebagai anak, aku tak sanggup merenung dua mata tua itu. Ada sinar lesu di dalamnya. Tanda penatnya dia membesarkan kami adik beradik. Apak cuba mencabut tiub wayar air yang melekat di tangan kirinya. Aku marah. Apak merayu manja "Nantilah dulu..nantilah dulu."

Apak seperti sedang bermanja dengan "ayahnya". Sangat manja. Aku suruh apak baring. Perlahan-lahan dia turunkan badan. Menyambung tidur bersama perkataan "ayah" yang tetap disebut-sebut.

Benarlah. Semakin kita tua, semakin kita kembali kepada fitrah. Apak rindukan arwah ayahnya. Sepertimana dia lahir 69 tahun yang dulu.


- dan tanpa sedar, apak mengulangi perilaku di atas berulang-ulang kali sepanjang malam.. syafakallah ya walid.

26 October 2011

Jangan Cepat. Jangan Lambat.

Dari dulu aku belajar, kalau bercinta jangan terburu-buru. Kenali dulu hati budi, biarkan jiwa memendam rindu. Jangan menabur janji ketika gembira membalut hati. Jangan membuat keputusan ketika amarah merasuk perasaan.

Justeru aku cuba berjalan pelan-pelan dengan dia. Malangnya pula, dia kata aku tawar menawar dengan matawang cinta. Dia kata aku melambat-lambatkan urusan hati. Dia kata aku bertangguh-tangguh membayar rasa. Fuh! Pedas dan perit!

Tiga bulan. Bagi aku, itu adalah tempoh edah dalam memilih cinta. Aku tetap percaya bahawa cinta sebenar hanya akan datang selepas tiga bulan berkenalan. Ah soal cinta ini memang sulit. Tak boleh terlalu cepat. Tak boleh terlalu lambat. Sedang-sedang aja. Huh!


Kalau kau tak sanggup menanti, kau tak layak untuk memiliki.



21 October 2011

Dari KL ke Melaka

Kisah ini aku tuliskan sepanjang perjalanan dari KL ke Melaka. Hujan lebat lewat delapan malam membasahi motokar yang bertali arus. Memberi rasa dingin kepada aku yang sedang mengelamun di dalam bas ekspres Transnasional.

Hujan selalu memberikan aku rasa dan jiwa. Terlalu banyak cerita yang terkait dengan hujan. Dan kali ini aku teringatkan kisah mereka. Kisah dua insan yang cintanya dijarakkan oleh lebuh raya utara selatan. Seorang di Kuala Lumpur, seorang lagi di Melaka.

Dua tahun 24 hari mereka berpegang teguh kepada perhubungan tanpa ikatan. Yang ada hanya rasa percaya dan kehendak untuk bersama. Betapa mereka tidak percayakan pada nafsu mahupun perjanjian cinta. Yang terpatri hanyalah rasa saling memerlukan.

Akhirnya hari ini mereka terpisah dan menjauh. Bukan kerana apa-apa yang klise. Tapi kerana rasa yang dulu telah tiada dalam jiwa masing-masing. Entahlah. Sulit untuk memahami bagaimana hati boleh mengubah perasaan. Hari ini mahu, hari esok belum tahu.

Aku doakan yang baik-baik sahaja untuk kedua-duanya. Wahai kawan, hati manusia sememangnya merah. Tapi itu bukan sebab untuk kita membiarkan luka terus berdarah. Carilah senyum di sebalik rindu.

Aku ke Melaka ini pun untuk mencari senyuman yang dah lama aku tinggalkan di Kuala Lumpur. Harap-harap bertemu :-|

15 October 2011

Demi Sebuah Kegilaan

Hampir sebulan aku tak menulis kan? Semuanya demi sebuah kegilaan hahaha. Begini ceritanya. Kami terpaksa mengecat dan membersihkan rumah sewa baru pada setiap hujung minggu sepanjang bulan September. Berpindah dari rumah lama ke rumah baru. Berhijrah dari cerita lama ke buku baru. Insya Allah ...

Dan inilah kegilaan aku selama sebulan yang lepas. Gila menyiapkan rumah!


Aku punya cita-cita untuk memeluk Menara Eiffel di bandar Perancis. Teringat kegilaan aku pada filem "Eiffel Im In Love" lewat tahun 2003. Karya orang Indonesia yang selalu buat aku hanyut dalam ayat-ayat cinta mereka. Paris diangkat sebagai kota cinta yang paling romantis kewujudannya.

Nah! Sekarang aku ada kota Paris di dalam rumah sendiri! Hasil karya rakan serumah. Sekurang-kurangnya gitar bisu ini sudah ada teman di sisinya. Lebih menggembirakan, ada kota Kuala Lumpur di luar balkoni. Jadi katakan pada aku sekarang, di manakah tempat yang lebih baik selain daripada rumah sendiri ? Siapakah teman yang lebih baik daripada hati dan jiwa sendiri ?


Aku gembira dengan apa yang aku ada sekarang. Rakan serumah yang memahami dan kediaman yang menenangkan walaupun semuanya hanya pinjaman sementara. Kadang-kadang kita hanya memerlukan sedikit kegilaan seperti ini demi melupakan sekelumit kesedihan :)




p/s: Yang cerdik pandai pasti tahu bahawa ini bukanlah cerita tentang rumah baru, tapi kehidupan baru ...


09 October 2011

Aku Ada Kekosongan


Makanya, aku tak memiliki apa-apa pun ..



05 October 2011

Cinta Tak Sampai Hati

Cinta itu benar kalau ada gembira antara air mata.
Cinta itu tegar kalau ada rindu antara sendi.
Ya, cinta aku kekar; kerana aku ada DENDAM antara akal!

Perhubungan kalau hanya didasarkan pada simpati dan tak sampai hati takkan mampu dibawa ke mati. Simpati akan hanya melambatkan mati sedangkan mati itulah hakiki. Aku tak mahu kau bercinta yang tak sampai (ke) hati. Putuskan saja di sini. Dan biarkan aku mati.

"Kalau dia sayang, dia pasti akan datang.
Kalau dia benci, usah kau sia-siakan ruang hati.
Simpan dan berikan pada yang lain. Yang lebih sudi."
- ini mantera untuk tulis di hati. Buat membalut luka ditoreh janji.


Maaf buat pembaca oranglipis.blogspot kerana hampir sebulan aku bercuti. Cuti sakit tidak bergaji :p

07 August 2011

Murtabak Cinta



Kami berjanji lewat jam 5 petang. Bukanlah sungguh berjanji, sekadar tanya berbasa basi. ''Berbuka dengan siapa hari ni? Di mana?" Kami sepakat ke bazaar ramadhan Permaisuri. Bazaar sepanjang hampir satu kilometer. Fuh meriah dengan bermacam-macam bau!

Entah kenapa, hari ini aku sangat teringin nak merasa murtabak. Mata melilau mencari murtabak yang paling enak di mata. Begitulah insan pada bulan puasa. Kita lebih percayakan mata, kemudian nafsu, kemudian lidah, kemudian akal. Dah terkena baru terkesima :p

Seperti biasa, lagi dicari, semakin jauh dia lari. Tiada satu pun gerai yang berjaya mencuri hati. Isi tebal tapi lebih tepung dan kurang daging. Harga murah tapi nipis macam roti canai. Nampak sedap tapi harga tak jejak ke bumi. Ah beginilah selalu. Bila aku suka, kau kata belum bersedia. Bila aku benci kau kembali mencuri hati.

Aku pulang berbuka puasa tanpa dapat membeli murtabak. Tak mengapalah. Kalau bukan hari ini, esok lusa ada rezeki barangkali. Lagipun kawan aku kata, kalau kita sukakan sesuatu, bersedialah untuk melepaskannya. Kalau nanti dia datang kembali, itulah hak milik.

Akhirnya aku berbuka dengan karipap kentang lagi. Sendiri sendiri, bukan dengan dia. Alhamdulillah. Selamat berbuka dan salam ramadhan al murtabak! Eh silap, al-mubarak :p

04 August 2011

Berita Wajib Menjelang Raya

Ini adalah berita dan cerita wajib menjelang Hari Raya:

1. Kanak-kanak kehilangan dua jari kerana mercun buatan sendiri.
2. Keluarga miskin mohon bantuan insan prihatin.
3. Statistik kemalangan jalan raya berjaya memecahkan rekod tahun sebelumnya.
Persoalannya:

Apakah ini takdir yang takkan pernah berakhir?
Apakah kita yang tak mahu belajar daripada kesilapan?
Atau, apakah wartawan Malaysia terlalu rajin (mengalahkan Menteri) dalam mengkaji permasalahan rakyat?

Salam Ramadhan 1423 Hijrah dari oranglipis.blogspot :-)

30 July 2011

Cinta yang Dalam Perjalanan

Entah di mana penghujung cinta yang aku cari selama ini. Cinta yang ibarat magis Sang Harry Porter. Sudah di penghujung tapi masih juga tak berkesudahan.

Bercinta dan kemudian dikecewakan. Bahagia dan kemudian ditinggalkan. Seorang kawan pernah bersuara keras. Menikahlah kawan, sampai bila kau mahu terus bercinta dan putus dan bercinta dan putus?!

Ya aku selalu putus asa dalam cinta. Pernah nekad menutup pintu rasa. Tapi cinta itu sangat licik. Dia datang tanpa dapat ditilik.

Aku tidak pedulikan atas rasa bahagia atau sedihku, kerana aku tidak tahu manakah antara keduanya adalah lebih baik untukku. Bukankah penghujung itu adalah satu permulaan?

Mungkin ada cinta baru yang sedang dalam perjalanan?

26 July 2011

Selamat Malam Encik Selasa: Ada Aku Kesah ?

Selamat malam Encik Selasa. Kehadiranmu akan sentiasa diingati. Dinanti.

Hari ini aku belajar bahawa hidup bukan hanya menadah prasangka orang lain. Bukan untuk terlalu takut pada tanggapan orang lain. Bukan sekadar memuaskan prajangka orang lain.

Hari ini aku belajar bahawa hari esok ada sang sesuatu yang lebih berharga. Ada harga diri yang lebih mahal nilaiannya. Ada kepuasan diri yang lebih memberi makna. Ada rasa cinta pada keikhlasan dan ketulusan yang datang dari diri sendiri.

Namakan apa sahaja hubungan. Persahabatan. Kekeluargaan. Atau percintaan. Hidup adalah untuk memberi adil kepada diri sendiri. Hanya dengan itu kita akan berlaku adil pada Tuhan dan makhlukNya.

Cukuplah air mata untuk hari ini. Selamat malam Encik Selasa.
Atau ayat mudahnya: Ada aku kesah? :p


P/s: Terima kasih Ali, Hafiz, Faiz dan Frid atas pencerahan ini :-)

26 May 2011

Rahsia Menulis Blog

Lokasi: Galeri PETRONAS KLCC

Betapa ramai rakan-rakan blogger yang dulunya menjadi inspirasi aku menulis blog, kini menyepi. Mereka yang mengajar aku makna perkataan "blog", hari ini lupa kata kunci. Hilang bersawang bersama ayat tanpa penamat. Meninggalkan aku seorang-seorang mengayat. Syok sendiri. Huhu.

Kenapa? Facebook antara punca terbesar. Menulis status di facebook lebih mudah daripada menulis emel. Memuatnaik gambar di facebook lebih mudah mengumpan komen. Ah aku benci facebook! Dia merampas kekasih-kekasih blogger aku yang dulu.

Aku bukanlah penyimpan cerita-cerita hebat. Tiada apa pun yang boleh dibanggakan dengan tulisan setengah dekad ini. Tapi aku tetap menulis di sini. Kadang-kadang senyum sendiri. Menangis sendiri. Bercinta sendiri. Syok sendiri lebihnya. Haha.

Kenapa? Facebook juga puncanya. Di situlah selalunya bercambah inspirasi dan idea kreasi. Membaca status rakan dari satu ke satu, kadang-kadang tercuit emosi insani. Tersilap komen boleh terhilang kawan. Maka, di sinilah tempat aku berkongsi kisah. Selaku orang yang tak pandai menzahirkan rasa. Syok sendiri kan? Hehe.

Syok sendiri. Itulah rahsia menulis blog!
Tak percaya? Cuba tanya Mark Zuckerberg: Kenapakah penulis status boleh "like" status sendiri?

Huhuhu~





11 May 2011

Bertemu dan Berpisah

Orang senang-senang berkata; bertemu dan berpisah itu adat manusia biasa. Kita disogokkan dengan fahaman bahawa berpisah itu bukanlah apa-apa. Kita dihasut dengan ajaran bahawa hari ini kita berjumpa, hari esok kita berjauhan. Aku terima kalau itu hal hidup dan mati. Mati itu benar.

Tapi dalam cinta; bertemu dan berpisah bukanlah perkara biasa-biasa. Kita diajar tentang perhubungan yang tiada hujung noktah hatta sampai ke syurga. Kita diberitahu tentang cinta sejati yang membawa mati. Kitalah pencinta yang harus mesti terus bercinta. Sekalipun hanya di pandangan pertama.

Dalam hal-hal seperti ini; ada satu yang ingin aku pesan. Kalau saja kau sudah lali dengan kecewa dan perpisahan, janganlah sampai kau ambil ringan tentang erti sebuah pertemuan. Janganlah kau jadikan adat berpisah sebagai alasan untuk melukakan sebuah perkenalan. Sebuah harapan. Terima kasih.


Aku tahu di hatimu ada luka.. dan di tanganmu ada pisau yang melukakan.



07 May 2011

Gila Foto di Langkawi (2)


Perjalanan kami diteruskan dari Mangroove Tour ke Ladang Ikan (Fish Farm) dan hari terakhir di Kereta Kabel Langkawi. Hujan renyai dan awan mendung tetap tidak mengubah landskap Langkawi. Ternyata keindahannya bukan hanya pada 99 pulau, tapi juga pada kepelbagaian flora dan fauna baik di darat mahupun di laut.

Mangroove Tour

Fish Farm

Langkawi Cable Car

Tiga hari dua malam di Langkawi serasa tidak mencukupi. Tak mengapa, ada rezeki kita ke Langkawi lagi. Destinasi seterusnya barangkali Pulau Perhentian, nak ikut? Jom :)

03 May 2011

Gila Foto di Langkawi (1)

Ini antara koleksi gambar-gambar yang berjaya dirakamkan selama tiga hari dua malam di Pulau Langkawi. "Island hopping" dan "Mangroove tour" mengizinkan kami menikmati keajaiban alam yang sebegini indah.

Gua Kelawar
Menelusuri Sungai Kilim

Gua Buaya
Pantai Beras Basah
Menyaksikan helang mencari makan
Tasik Dayang Bunting


Langkawi sememangnya indah, kan? Nanti kita sambung lagi ya :)

16 April 2011

Paramotor di Pulau Indah


Ini pengalaman pertama kami bermain paramotor ataupun nama melayunya, Motor Terbang. Awal rasa, memang seriau juga. Rasa-rasa, bila lagi nak mencuba kan? Akhir rasa, kami nekad mahu terbang! Kami ke Pulau Indah di Klang Selangor selepas menerima tawaran diskaun 50% daripada www.milkadeal.com http://www.groupsmore.com/. Terima kasih Ika! :)

Sayangnya, hujan mencurah-curah dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari membatalkan segala perancangan. Hinggakan air mata menitik di atas lensa kamera aku. Eh, air hujanlah!

Sedih sungguh rasa hati apabila sekadar dapat merenung motor terbang ni berselimut di balik langit mendung. 2 jam dia tidur. Sedih. Sepi.

Eh hujan dah berhenti. Seorang berjaya diterbangkan. Yin Yin namanya. Tapi lihatlah awan gelap yang tak mahu mengalah tu. Penerbangan dibatalkan dalam masa kurang 1 minit.

Jam 11.30 pagi kami mengalah.. jom balik - Fiza senyum mengeluh!

Cukuplah sekadar bergambar kenangan bersama 19 orang kawan kesemuanya.


Lihatlah betapa kecewa sinar mata Diwi yang menumpangkan kami kereta mewahnya.

Jam 12.30 tengahari, Ika telefon: "Langit dah terang. Jom patah balik".

Aku jadi orang pertama yang mencuba motor terbang yang aku beri nama MoTeb ini.
I Love You MoTeb ! :))

Semua anak gadis pun beratur bila tengok juruterbangnya sangat kacak seperti di atas hiks~
Lelaki dua orang di belakang tu tak puas hati. Hahaha.


Percubaan menerbangkan MoTeb memang agak mendebarkan dek deru enjin yang kuat.

Kadang-kadang perlu ditarik oleh dua orang lelaki sekiranya pukulan angin kurang kuat.

Tapi jangan risau, ada juruterbang di belakang kalian yang akan sentiasa membuatkan kalian tersenyum saat terbang bersama MoTeb.
Ayuh MoTeb! Kembangkan sayapmu dan bawaku terbang!

Terbanglah. Terbang tinggi MoTeb.

Tinggi lagi.

Dan jangan kau lupa jejak ke dasar asal.

Ah seronoknya!

Itu aku. Cuba bersayap seperti burung.
Kadang kala kecut perut kerana juruterbang yang bergurau main dengan hayunan payung.
Ibarat menaiki roller coaster. Ada yang loya dan pening-pening bergantung pada cara pemanduannya. Kadang kala mendamaikan juga kerana tiada apa yang menghalang laluan mata. Ibarat melihat dari mata cenderawasih.

Ini pengalaman pertama seumur hidup. Mana mungkin dilepaskan dan dilupakan begitu sahaja?

Walaupun awan mendung sepanjang hari, tapi langit boleh dibirukan dengan photoshop hehehe



Yang pasti, aksi mematikan enjin motor dan menjunam jatuh ke bawah adalah aksi paling terbaik sekali! Best gilaaaaaaaaaaa! Haha.

Apa lagi? Cubalah :)