Misi 24 Jam Bantuan Mangsa Bencana Tsunami
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
08-09 Januari 2005
Seperti yang dirancang, lebih kurang 9.30 malam kami mula bergerak ke Menara KL untuk bergabung bersama-sama rombongan dari universiti dan persatuan lain dari sekitar Kuala Lumpur. Program anjuran Persatuan Anak Kedah Wilayah Persekutuan dan Selangor (ADAM) ini berjaya menghimpunkan UiTM, UIAM, UKM, UniKL, KLIUC, Jabatan Ukur dan Tanah Malaysia, Kumpulan Karangkraf, barisan artis dan pelakon, dan banyak lagi. Di sana kami diminta mendaftarkan diri dan diberi baju-t program serta makan malam yang turut ditaja oleh Menara KL dan NTV 7. Menjelang detik 12.30 tengah malam, selepas ucapan perasmian oleh Dato Uthman Desa (Setiausaha Politik PM) dan sedikit taklimat ringkas oleh penganjur, 13 buah biji bas dan beberapa buah van dan kereta mula bergerak ke utara Malaysia secara konvoi.
Kami tiba di sebuah Chalet di sekitar Kuala Muda untuk sarapan pagi pada jam 8 pagi. Hasrat untuk mandi pagi terpaksa dilupakan memandangkan kami tiba agak lewat daripada perancangan asal. Jam 9 pagi kami mula ke destinasi utama, Kampung Kuala Muda, tempat paling teruk dilanda bencana tsunami. Bas bergerak perlahan dek kesibukan jalan raya yang sesak dengan kenderaan dari serata Malaysia dan badan-badan penyelamat kerajaan. Situasi ini memudahkan kami melihat persekitaran kampung yang rosak dan kotor dengan lumpur dan selut yang dibawa ombak besar yang mengganas 26 Disember lalu.
Rata-rata rumah yang paling hampir dengan pantai mengalami kerosakan yang paling teruk dan hilang struktur asal rumahnya. Ada yang sekadar tinggal lantai, tandas, dan dinding di bahagian kiri dan kanan rumah. Lumpur bermaharajalela di merata-rata melitupi tanah sekitar kawasan rumah. Batu-batu dinding rumah yang runtuh berselerakan. Ikan yang mati bertaburan terutamanya di kawasan pantai. Bau lumpur bercampur bangkai ikan menambahterukkan keadaan. Jalan raya yang kecil sesak dengan lori-lori pengangkut sampah dan jentera berat yang digunakan untuk mengangkut segala bahan binaan rumah yang telah rosak.
Selepas sedikit majlis ringkas yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, hampir seribu para sukarelawan yang turut disertai ratusan pelajar PLKN, Pemuda UMNO Kedah dan N.Sembilan, dan lain-lain mula bergerak ke rumah-rumah mangsa untuk membantu mereka membersihkan kediaman yang telah seminggu ditinggalkan. Kerja paling teruk pastinya untuk membuang lumpur yang tebalnya mencecah 2 kaki menggunakan ‘scoope’ dan kereta sorong yang disediakan. Sukarelawan wanita kebanyakannya membersihkan kawasan di dalam rumah yang berserakan. Baju-baju yang hampir semuanya bertukar kepada warna kelabu terpaksa dicuci menggunakan tangan. Pendek kata, lumpur seolah-olah menjadi mainan kami di sana.
Sambil bekerja, kami mendengar cerita dari tuan rumah mengenai pengalaman mereka berhadapan dengan bencana tersebut. Melihatkan tinggalan kesan ombak pada dinding rumah yang begitu tinggi, memang menggerunkan apabila membayangkan bagaimana ombak setinggi pokok kelapa mengejar mereka yang berlari sehingga hampir satu kilometer jauhnya. Saat itu, hanya nyawa keluarga yang difikirkan. Bendang dan belukar semuanya diredah. Jeritan suara tenggelam dalam bunyi ombak yang mengganas. Ada yang sekadar berpaut pada dahan-dahan pokok dan naik ke siling rumah kerana tidak mampu meredah arus ombak yang deras. Ada yang mati dihempap dinding rumah, lemas bernafas di dalam air lumpur, dan sebagainya. Kereta-kereta pula ada yang tersadai di atas pokok. Pendek kata, tiada apa yang mampu menahan kedatangan ombak tersebut yang muncul secara tiba-tiba. Maha Besar Allah!
Kebanyakan pemilik rumah-rumah di sini tidak tidur di rumah mereka lagi sebaliknya masih menghuni di tempat perlindungan di sekolah-sekolah berhampiran. Mereka sekadar datang ke rumah mereka pada sebelah siang untuk membersihkan apa-apa yang terlarat dilakukan. Kalau diikutkan, kahadiran kami untuk 24 jam itu sememangnya tidak mencukupi kerana masih banyak lagi rumah yang memerlukan bantuan. Hanya ini yang termampu kami lakukan meski sedang bergelut dengan peperiksaan pertengahan semester ketika ini. Namun, kami agak kecewa apabila melihatkan segelintir sukarelawan yang datang ke sini seolah-olah hendak berpesta lagaknya. Bergelak ketawa dan berhimpit-himpit antara lelaki dan perempuan di dalam lori yang mengangkut kami ke rumah-rumah mangsa. Mereka seolah-olah tidak menghormati sensitiviti masyarakat kampung yang masih bersedih dan insaf dengan apa yang telah berlaku. Entahlah!
Jam 5 petang barulah kami melangkah ke dalam bas untuk pulang dan sembahyang Zohor dan Asar secara jama’. Ketika itu, kebanyakan sukarelawan lain telahpun menghilang. Mereka balik lebih awal daripada perancangan asal. Kepenatan seharian di Kuala Muda bagaikan satu pengalaman manis saat kami mula menjejakkan kaki ke bumi UIAM. Kami sampai di Taman Ilmu dan Budi pada jam 2.30 pagi membawa pulang seribu satu cerita dan perasaan. Sesuatu yang sukar untuk diungkapkan.