25 September 2005

Karnival Sukan Universiti 2005

Aku baru sahaja pulang dari menghadiri Malam Penutup Karnival Sukan Universiti 2005 (University Sports Carnival). As-Siddiq kembali merampas piala pusingan Juara Keseluruhan daripada kami. Piala yang mereka pernah julang tiga tahun yang lepas. Aku tak mahu bercerita soal menang dan kalah kerana itu adat bertanding, tetapi aku ingin bercerita dari sudut persiapan dan pengurusan MRC Ali dalam menghadapi cabaran sebesar ini. Apakah mereka sudah benar-benar siap siaga untuk menghadapi ujian yang lebih hebat akan datang?


Karnival Sukan kali ini dah bermula semenjak hari Isnin lepas, dan dari hari pertama lagi kami mengalami kekalahan dalam kesemua acara yang dipertandingkan. Kata Che Rus, kalau hari pertama sudah kalah, selalunya semangat akan luntur dengan mudah dan kekalahan akan terus datang bertimpa-timpa. Namun apa yang aku lihat, semangat atlet tetap berkobar-kobar (walaupun mereka tidak menang), tetapi malangnya semangat MRC Ali pula yang semakin turun. Semakin ke penghujung karnival, penglibatan exco-exco MRC Ali semakin berkurangan. Kalau sampai aku sendiri terpaksa tidur di pejabat kolej demi menyempurnakan persiapan, itu bermakna bantuan aku amat diperlukan. Kalau tidak, aku tak sanggup menghadap Che Rus lagi selepas ini. Che Rus dan Ustaz Fauzi terlalu bersungguh-sungguh hendak membantu persiapan kontinjen Ali, tetapi sesetengah MRC Ali pula ada yang cuba berlagak bodoh sombong. Tidak tahu tapi tak mahu bertanya. Tidak ingat, dan tiada siapa yang memperingatkan. Tidak berpengalaman, tetapi tak mahu mencari pengalaman. Idea orang lain tak mahu diterima, sedangkan diri sendiri pula tak mahu memberikan idea.

Aku dan rakan MRC sesi lepas telah menjangkakan bahawa usaha kami untuk mengekalkan kejuaraan Ali tahun ini amat sukar kerana ramai atlet berpengalaman telah menamatkan pengajian mereka di Taman Ilmu dan Budi ini. Tanyalah sesiapa sahaja; Aron, Matpot, Zool, Mior, Nan atau kapten-kapten sukan terdahulu. Itu jugalah ramalan mereka. Justeru, kami menukar strategi. Caranya adalah dengan membakar semangat warga Ali dan MRC Ali 2005/2006 kali ini agar berusaha habis-habisan demi mengekalkan kejuaraan yang telah dua tahun kami genggam. Kami war-warkan hasrat untuk menjadi juara dalam setiap mesyuarat, perhimpunan, atau semasa pendaftaran pelajar-pelajar baru. Moga-moga, mereka akan menanam tekad untuk menjadikannya satu realiti. Tidak hanya berserah kepada takdir. Sekurang-kurangnya, Mahallah Ali bukanlah yang tercorot kedudukannya, dan kalau kalah pun dengan maruah. Dan aku tak kisah kami menang atau tidak, kerana kalau kami menang itu adalah satu keajaiban, tetapi kalau kalah itu bukanlah satu kejutan.

Strategi ini agak berkesan. Kami berjaya juga membawa pulang satu emas (bola keranjang) dan satu perak (tarik tali) daripada tujuh acara yang dipertandingkan. Namun isu semangat setiakawan dan kerjasama sesama ahli MRC Ali tetap menjadi permasalahan. Apakah MALiC '05 tidak berjaya memberikan impak positif kepada mereka? Apakah mereka tidak ditunjuk ajar? Apakah mereka terlalu sibuk dengan dunia pelajaran hingga memaksa segelintir MRC Ali membuat kerja berseorangan sehari semalam? Aku rasa, Faizal lebih faham tentang ini. Dan aku rasa dia lebih layak untuk menyelesaikan masalah ini.
Kemenangan hanyalah pembakar semangat untuk kita sentiasa lebih bersungguh-sungguh. Tapi janganlah kekalahan menjadi peluntur semangat kita pula.
Satu perkara menarik yang berlaku malam ini. Nama Mahallah Ali agak tenggelam (kerana kami tak banyak menang pingat). Ini membuatkan kolej-kolej lain "menolong" sorak-soraikan nama kolej kami. Kononnya kasihankan kami yang hanya membisu di tengah padang setiap kali keputusan pertandingan diumumkan. Malah, kerap kali mereka bertanyakan: "Ali menang apa?" Ternyata mereka terasa kehilangan nama Ali yang sebelum ini gah dijulang di acara-acara lain tetapi tidak pula malam ini. Aku tak terhina dengan perlian mereka itu, tapi aku bangga kerana nama Ali tergolong sebagai pesaing paling hebat buat mereka. Sekali kami menyepi, mereka sudah terasa kehilangannya. Sebenarnya, di mana nama Mahallah Ali malam ini ya? ...Mungkin kami sudah berada di dalam kelasnya yang tersendiri...
Apa-apapun, TAHNIAH kepada seluruh warga Ali dan MRC Ali yang tidak jemu-jemu menjaga nama baik Mahallah Ali!!! Moga-moga kerja keras kita diberkati Allah dan memberikan kesan positif pada masa akan datang.
Zasfirul (kapten tarik tali), Mohsein (maskot rajawALI), acap (ketua kontinjen Ali) dan aku (presiden pencen).

No comments: