Cuti mid-semester dah tiga hari berlalu. Sedikit sebanyak memberikan aku masa untuk menarik nafas dengan lebih sempurna. Jam 3.30 petang tadi Amir ajak aku keluar (berfoya-foya kata dia). Tiba-tiba aku teringat yang dah lama aku tak keluar dari kepompong UIA ni untuk meninggalkan sekejap hal-hal rutin harian aku sebagai pelajar. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, aku setuju. Kebetulan segala kerja aku hari ini dah pun aku selesaikan pagi tadi, jadi aku ajak Amir keluar makan tengahari kat Sri Gombak. Lagipun masa cuti macam ni, kafe-kafe dalam UIA kebanyakannya tutup. Kalau buka pun, tak akan dapat memenuhi selera aku. Tapi, entah macamana kitorang melencong ke MidValley pula, makan kat sana dan terus pergi tengok wayang cerita “She’s On Duty”. Kelakar tapi “touching”. Filem dari negara yang sememangnya tak pernah menghampakan aku jika mereka menghasilkan filem – Korea (Utara ke Selatan aku tak tahu – ada beza ke?).
Hari ini aku nak bercerita tentang cerita Amir. Mendengar cerita Amir sepanjang kami keluar berdua hari ini membuatkan aku semakin susah hendak mengenali isi hati manusia. Mungkin kerana itu aku suka mendengar cerita Amir, sekurang-kurangnya membantu aku untuk cuba mengenali hati budi manusia. Agungnya Tuhan yang menciptakan manusia berbeza-beza untuk saling kenal mengenali.
Hari ini aku nak bercerita tentang cerita Amir. Mendengar cerita Amir sepanjang kami keluar berdua hari ini membuatkan aku semakin susah hendak mengenali isi hati manusia. Mungkin kerana itu aku suka mendengar cerita Amir, sekurang-kurangnya membantu aku untuk cuba mengenali hati budi manusia. Agungnya Tuhan yang menciptakan manusia berbeza-beza untuk saling kenal mengenali.
Amir kata – bila ada orang yang dia berkenan, tapi mereka tak dapat menerima dia.
Amir kata – bila ada yang berkenan kat dia, tapi dia pula tak dapat terima mereka.
Amir kata – “dia” layan Amir seperti lebih daripada seorang kawan, tapi Amir dan "dia" tak mungkin dapat jadi lebih daripada kawan.
Amir kata – “dia” inginkan seorang yang matang dan berkarisma, tapi “dia” tak mampu memiliki seorang yang sebegitu setakat ini.
Amir kata – terlalu banyak kenangan yang “dia” ciptakan bersama Amir yang tak pernah “dia” lakukan bersama orang lain, tapi “dia” tetap mahu Amir menjadi sekadar seorang kawan baik dalam hidup dia.
Amir kata – “dia” ego kerana tak mahu mengaku yang “dia” dan Amir bukan sekadar kawan, tapi “dia” pula kata Amir yang degil kerana tak mahu berhenti daripada memenangi hati “dia”.
Apa kesudahannya ya? Cerita Amir membuatkan aku teringat kisah Shahran (aku ternampak Shahran di Mid Valley tadi bersama “seseorang” yang baru). Cerita Amir membuatkan aku sedar rupa paras yang sempurna bukan penentu kejayaan dalam ujian cinta. Cerita Amir membuatkan aku terfikir susah juga jadi lelaki kacak ni ya - terlalu mudah dicap playboy, dikecam hasad dengki. Cerita Amir membuatkan aku tambah bersyukur dengan apa yang aku miliki sekarang ini. Cerita Amir membuatkan aku menulis blog ini hari ini. Apa-apapun pastikan kau tahu apa yang kau lakukan. Ingat, jalan mesti ke depan, bukan ke belakang. Sampai bila cerita kau ni nak habis Amir?
No comments:
Post a Comment