27 April 2005

Ukuran Kehidupan

-pakwe hensem, tapi makwenya muka macam jambatan tak siap.
-sudah cantik molek rupa paras si bakal isteri, tapi si bakal suami tetap cari yang lain.
-sudah puas aku bergadai segala, si dia tetap cari jantan lain.
-aku takkan kahwin selagi aku tak jumpa perempuan yang muka macam Siti Nurhaliza, pandai masak, jahit, berambut panjang, sopan santun, kulit lebih gelap daripada aku, bla bla bla…
Yang baik tidak semestinya untuk yang baik juga. Yang elok tidak semestinya untuk yang elok juga. Terkadang yang sempurna ditemukan dengan yang kurang sempurna untuk membantu menyempurnakannya. Terkadang yang cantik disatukan dengan yang kurang cantik untuk menambahkan kecantikannya. Usahlah kita terlalu meninggi diri dengan segala kelebihan yang kita miliki hinggakan kita terlalu inginkan segala yang berada di sekeliling kita juga penuh dengan kesempurnaan. Walau apapun, Tuhan itu Maha Adil. Kelalaian kita di hari semalam memungkinkan kita untuk diperingatkan oleh Tuhan melalui sesuatu yang mencabar ‘kesempurnaan’ kita. Hanya untuk kita mengerti betapa hanya Dia yang Maha Sempurna.
Usah mimpikan isteri secantik Fatimah jika diri sendiri tidak sehebat Ali. Ternyata permainan sekeping hati terlalu sukar untuk diduga tanpa iman takwa jadi pengukurnya.

***********
Mengapa harus elaun menjadi kayu pengukur untuk menilai ilmu yang diperoleh daripada latihan industri (practical training)? Bagi aku, elaun tidak ada kena mengena langsung dengan setinggi mana ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh latihan ini. Jika hendak dikatakan tiada elaun itu maknanya tiada kerja, ternyata seseorang itu bukan lagi seorang pekerja yang baik. Kerja sentiasa ada di mana-mana. Kita yang perlu mencari ilmu, bukannya menunggu ilmu datang melayang kepada kita.
Malah aku lebih risau jika sebaliknya pula yang berlaku. Ada elaun tetapi tidak banyak kerja yang dilakukan. Makan gaji buta namanya. Kita tidak tahu mengapakah elaun tersebut diberikan. Adakah atas dasar simpati, kasihan, penghargaan, motivasi untuk ke tempat kerja atau sememangnya kerja-kerja yang kita lakukan itu berbaloi untuk digajikan? Inilah yang perlu kita hisabkan, bukannya terlalu cepat melatah, membangga diri kononnya elaun diberikan kepadanya kerana dia lebih layak dan lebih hebat dari mereka yang tidak menerimanya. Betapa 'murahnya' kelayakan dia kerana dapat diukur dengan wang ringgit.

21 April 2005

AKU INGIN SENTIASA DI SINI

…Aku, K-rul, Mizi dan Pijan berangkat ke Melaka seawal jam 8.30 pagi. Cuti-cuti Malaysia. Pakat-pakat kutip duit; sewa sebiji kereta. Bandar Hilir jadi destinasi pertama. Biasalah, pergi Melaka tak sah kalau tak bergambar di Kota A Famosa dan kawasan-kawasan sekitarnya. Tapi, apa yang aku hendak ceritakan di sini bukanlah tentang seronoknya kami melancong ke sana, tetapi tentang betapa seronoknya mengenangkan pengalaman kami sejurus selepas kami keluar dari Bandar Hilir tersebut…

Pengalaman mengajar kami
Akan erti memahami
Betapa enggannya kami bersendiri

Biar seribu duga dan uji
Datang bertubi-tubi
Kadang membentuk senyum di bibir
Kadang membengkak luka di hati

Kami tetap cuba mencari
Setiap hikmah yang tersembunyi
Kerana enggannya kami
Mengakhirkan keindahan ini
Teman,
…Aku ingin sentiasa di sini.

“Jam 10.30 malam kami selamat juga sampai ke UIA. K-rul menjerit puas. Dia yang memandu mesti lebih rasa takutnya. Tanpa signal, tanpa kunci kereta untuk menghidupkan enjin, kami pasti tergelak mengenangkan semua ini. Apa-apapun, semua ini mengajar kami erti kerjasama dan faham-memahami. Moga ukhuwwah kami kekal sampai mati. Kalau mati pun, kita pakat tolak ramai-ramai ok? Love you guyz!” – di petik daripada: A FAMOSA DAN PD.

Gombak
13 Februari 2005

19 April 2005

Mengantuk, boring... banyak kerja dah settle semalam. Tadi bangun lewat (nasib baik aku lelaki), tapi kerana nak cepat, membuatkan aku tambah mengantuk.

Perasaan tak menentu... tak tahu apa yang diresahkan. Nak kata disebabkan result exam, aku dahpun tengok minggu lepas, semuanya ok je. (ITD tetiba ter'on' access untuk tengok result minggu lepas walaupun result sepatutnya keluar hari ni). Mungkin tak sempat jumpa seseorang hari ni agaknya...

Kaunter kad diskaun tetap seperti biasa, kadang tenang, kadang ribut dengan gelak tawa...

18 April 2005

Seminggu telah berlalu. Kehidupan siang aku di KL Sentral agak menarik untuk diceritakan. Tapi kalau nak diceritakan, takut tak muat ruang pulak. Aku ditempatkan di bahagian kaunter Kad Diskaun dan Tiket dalam Jabatan Perkhidmatan Antarabandar untuk sekurang-kurangnya dua minggu. lepas ini, tak tahulah akan ke mana lagi. Yang pasti aku dan seorang lagi rakan sepraktikal akan berpeluang ke negeri-negeri lain setelah diberikan projek oleh 'supervisor' kami. Tak tahulah ke mana. Kalau dapat ke Haadyai 'best' jugak.

Kepada sesapa yang nak naik keretapi nak balik kampung, jangan lupa jenguk lah aku kat kaunter ni. Kaunter ni dah semakin meriah dengan orang-orang seperti cik Mariah (staf yang sebaya dengan aku), Hayati, Shahrul, Shahran, kak Pah, kak Sal, dan kak Aisyah.

Harapnya semangat aku untuk datang kerja sentiasa kekal. Isnya Allah.

07 April 2005

Dari K. Lumpur ke K. Lipis

Alhamdulillah. Hari ini aku selamat sampai ke Lipis. Tadi terbaca banner perjumpaan semula Old Cliffordian 16 April depan. Tak tahulah aku ini layak / berkesempatan / boleh pergi atau tak. Kalau ramai member batch aku yang pergi, seronok juga. Tapi kalau yang datang tu nanti semuanya yang dah beranak pinak.. confirm segan la aku nak pergi. Sekarang ini pun sedang berlangsung Karnival Sekolah2 Premier kat Clifford. Meriah kejap sekolah lama aku ini.

Sabtu ini, Insya Allah aku akan berangkat kembali ke pangkal jalan .. eh silap! Kembali ke Kuala yang penuh Lumpur...

04 April 2005

"...teman
aku ingin sentiasa di sini"


Sebahagian daripada sajak terbaru aku.

Cuti selama tiga bulan telah bermula.
Seperti biasa, kami akan sentiasa meramal-ramal apa yang akan berlaku pada saat semuanya bersendirian di rumah masing-masing. Tanpa kawan teman berborak hingga ke pagi, tanpa rutin ke kelas harian seperti biasa, tanpa segala-galanya yang sebelum ini sesuatu yang lazim, namun kini menjadi asing.

Masing-masing mula mencongak, apakah cuti 3 bulan ini yang bakal diisi dengan jadual latihan industri (practical training) akan menjadi kenangan yang menarik atau membosankan.

Aku? Terus-terang kukatakan. Sukar untuk aku hidup tanpa insan bernama teman.

Nota kaki: Aku akan 'berpraktikal' di Perkhidmatan Antarabandar KTMB, KL Sentral selama tiga bulan ini. Pastinya temujanji aku dengan internet tidak lagi sekerap hari-hari sebelum ini....hmmm....