16 June 2005

Pengkisahan Persahabatan

Hari ini aku mula menghitung sisa masa yang tinggal sebelum aku meninggalkan KL Sentral ini, kembali ke Taman Ilmu dan Budi meneruskan sesuatu yang telah aku mulakan. Sebenarnya aku sentiasa rakamkan setiap apa yang telah berlaku kepada aku di KL Sentral ini semenjak minggu pertama aku jejakkan kaki di sini kerana aku telah menjangkakan bahawa pengalaman yang bakal aku peroleh di sini takkan mungkin aku dapat di tempat lain. SEMUSIM DI SENTRAL - bakal aku abadikan sebagai coretan kepada seribu satu pengkisahan dan ini adalah sebahagian daripadanya:.

…Walaupun secara keseluruhannya tidak banyak kerja yang boleh dilakukan, namun sedikit sebanyak rasa bosan terubat juga dengan kerenah Shahran yang digelar ‘baby’ kerana perangai manja anak bongsunya, Shahrul yang suka mengusik Shahran, Cik Maya yang ‘brutal’ dan periang, serta sifat ‘sporting’ Hayati bersama kakak-kakak yang lain…

Hari ini kami cuba mengatur harapan
Mengharap pada masa depan
Mengharap pada seribu ketentuan

Hari ini kami cuba mengatur harapan
Masa depan itu membahagiakan
Ketentuan-NYA mententeramkan

Hari ini kami cuba mengatur harapan
Di masa depan kami tetap seiringan
Dengan ketentuan-NYA kami direstukan

Hari ini kami cuba mengatur harapan
…Mengindahkan pengkisahan persahabatan.

“Sebenarnya, tak banyak kerja yang kami lakukan hari ni, jadi banyak masa dihabiskan dengan mendengar luahan hati Maya, Shahran dan Yati. Maklumlah, aku ni kan suka mendengar, hinggakan mereka kata, aku seorang yang tak punya masalah langsung. Tak apalah. Hari ni mungkin hari mereka, esok lusa mungkin hari aku pula. Shahran pun berharap kami dapat jadi kawan sampai bila-bila. Nanti bila masing-masing dah berumahtangga dan dilanda masalah, bolehlah kami berjumpa dan tolong menolong menyelesaikannya. Indah dan murni kan impian ni? Harap boleh jadi kenyataan. Semoga persahabatan kami adalah sesuatu yang kekal hendaknya.” – diadaptasi daripada:. Semusim di Sentral.doc

Keramat
10 Mei 2005

No comments: