Meski ramai yang mahu menang dan menjadi sebahagian daripada sejarah, namun tidak semua mahu kecewa dan menjadi sebahagian daripada yang kalah.
MISTERI YANG MAHAL
MISTERI YANG MAHAL
BMW Shorties Screening, sebuah program yang penuh misteri pada asalnya (ibarat misterinya filem Westbound) akhirnya membuatkan aku tersenyum lega juga. Ternyata bukan mudah untuk menganjurkan sebuah program bersama-sama dengan sebuah syarikat korporat besar seperti BMW. Segalanya hanya bermula dari satu emel, kini semuanya sudah jadi sejarah. Sejarah yang sangat mahal untuk Mahallah Ali yang baru berusia sepuluh tahun. Mahal-lah tu kan? Tahu bagaimana kami mendapatkannya? Program ini diadakan selama dua malam berturut-turut. Sepuluh filem pendek yang merupakan finalis pertandingan BMW Shorties ditayangkan secara percuma sambil diselitkan dengan sesi soal jawab bersama pengarah-pengarah filem terbabit. Pop corn dan air coke percuma sumbangan BMW juga dihidangkan untuk semua yang datang sebagai cenderahati.
MULA MENCARI PENYAKIT
MULA MENCARI PENYAKIT
Mulanya, idea ini hanya datang dari empat orang MRC pencen (yang sengaja mencari penyakit haha!) iaitu Zamri, Syarafuddin, Haeqal (bakal pencen) dan aku. Selepas seronok menonton filem-filem BMW Shorties di “bilik gerakan rasmi” kami, satu idea tiba-tiba tercetus. Lantas satu perjumpaan diatur dengan syarikat perhubungan awam BMW iaitu Fleishman Hillard di Mid Valley pada awal April 2007. Gerak kerja dimulakan dengan bantuan rakan-rakan seperti Engku (terima kasih untuk poster yang cun walau terpaksa diperbetulkan berpuluh-puluh kali haha!) dan juga Alif (pakar linguistik kami hehe). Mujur gerak kerja kami bermula awal, maka tidak banyak perkara yang menimbulkan kekalutan. Segalanya berjalan lancar. Kami menerima hampir 70 orang ahli jawatankuasa ikhlasrela - ibarat satu keajaiban buat aku. Sayangnya kami terlepas pandang akan aspek teknikal yang amat-amat penting untuk sebuah program berkonsepkan “pawagam” seperti BMW Shorties ini. Tayangan hari pertama, sangat mengecewakan kerana terlalu banyak kesilapan audio visual berlaku. Siapa yang suka tengok wayang yang filemnya tersekat-sekat kan? Hari kedua kami kuatkan azam. Terima kasih kepada Fleishman Hillard yang banyak membantu kami. Semua yang datang seperti para pelajar, wartawan, pengarah-pengarah filem, syarikat-syarikat produksi dan juga tetamu khas kesemuanya berpuas hati. Alhamdulillah.
PROTOKOL DAN PENGHALANG
PROTOKOL DAN PENGHALANG
Suatu perkara yang aku sangat suka apabila bekerja dengan BMW adalah dari aspek protokol. Mereka bukanlah orang-orang yang terlalu berprotokol seperti yang kita bayangkan. Tiada sofa empuk untuk mereka, tiada pop corn atau air coke yang berbeza untuk mereka. Apa sahaja yang dinikmati oleh penonton, itulah juga yang mereka mahukan. Tiada diskriminasi. Semua orang adalah VIP. Suatu idea yang murni. Program juga menjadi sangat santai tetapi menghiburkan – pujian untuk celoteh mesra pengacara majlis, Faiz. Ramai yang bertanyakan kenapa BMW memilih UIAM untuk menjadi tuan rumah program ini? Jawapannya, mungkin kerana kami sangat teruja dengan filem-filemnya yang pendek tetapi “panjang” mesej dan kualitinya. Kami terlalu komited untuk berkongsi rasa teruja kami dengan semua peminat filem. Memetik kata-kata Pengurus Hal Ehwal Korporat BMW, ramai yang berminat untuk membuat program seperti ini dengan BMW. Namun Mahallah Ali sahaja yang berjaya memecahkan tembok penghalang. Malah kami menjadi inspirasi untuk mereka mengadakan road tour seluruh Malaysia pula. Dan BMW turut menantikan sekurang-kurangnya satu penyertaan untuk mewakili UIA dalam pertandingan BMW Shorties pada tahun depan. Berminat? TANGISAN DAN SENYUMAN
Program ini sememangnya ringkas (sependek namanya), tetapi mengambil masa hampir empat bulan untuk direalisasikan. Kami sedar bahawa kami membawa nama UIA kepada komuniti luar kampus. Jadi, kami sedaya upaya melakukan yang terbaik. Sejuta penghargaan kepada semua yang menyokong kami. Namun kami sedar tidak semuanya sempurna, maka ampun maaf kami mohonkan. Kami menangis pada hari pertama program ini. Syukur, rupa-rupanya itulah hikmah yang membawa kepada senyuman pada hari keduanya. Bak kata Syarafudin, ramai yang mahu menang dan menjadi sebahagian daripada sejarah, namun tidak semua mahu kecewa dan menjadi sebahagian daripada yang kalah.
Jumpa lagi pada tahun depan.. mungkin?
Jumpa lagi pada tahun depan.. mungkin?
No comments:
Post a Comment