16 October 2009

Di Bawah Langit Yang Menangis (Mengenang Padang Yang Hampir Hilang)

di bawah langit yang menangis
beralas bumi yang meratap
cuba hentikan masamu yang manis
dan kenangkan barang sekejap

bernafaskah kau tanpa hijau daunan
tenangkah kau tanpa semilir bayu
segarkah kau tanpa air gunungan
hidupkah kau tanpa nikmat Yang Satu?

kita robek jiwa nyawanya
kita carik sutera putihnya
kita patahkan tiang serinya
kita bisukan lagu alamnya

kita selalu terlupa
dunia semakin tua
hanya tunggu masa
semua akan tiada

sejarah alam yang indah
tidakkah mengingatkan kau
agar kembalikanlah
ketenangan yang lampau

hentikan kezaliman
jangan lagi menyakiti
dunia yang kesakitan
menanggung azab penghuni

.....





di bawah langit yang terus menangis
beralas bumi yang terus meratap
cuba ukirkan senyummu yang manis
dapatkah kau lakukannya barang sekejap?

05 October 2009

Pertembungan Empat K

Ada ketika dalam hidup, kita perlu mendepani pilihan. Sejujurnya, aku sedang bingung. Ternyata membuat pilihan bukanlah kepakaran diri kerana selama ni aku hanya mengikut kata hati. Sengaja aku ulang semula frasa tersebut. Frasa yang pernah aku tulis dalam entri sebelum ni. Semuanya kerana aku sedang berdepan dengan pertembungan baru. Pertembungan Empat K.

K yang manakah akan jadi kayu kandar untuk mengukur perkembangan karier aku di Petronas? Ya Kareem, berikanlah aku kekuatan. Kawan-kawan, berikanlah aku sokongan. Sesungguhnya semua ini adalah apa yang aku inginkan.

Empat K yakni KLCC, Kerteh, Kuching dan Kota Kinabalu. Salah satu daripadanya akan menjadi lokasi baru untuk aku mencari rezeki. Yang pasti Kahwin belum berada dalam senarai lagi hehehehe..

...aku dan menara