Kesedihan yang pertama.
Cari video Tujuh Petala Cinta di Youtube dan bacalah sendiri komen-komennya. Sedih melihat orang-orang kita yang tak habis-habis mencari ketidaksempurnaan filem ini. Barangkali filem ini belum mampu menepati kehendak syariat 100%. Ah! Aku bukannya ahli untuk bercakap tentang syariat. Bagaimanalah kita mampu berlari ke langit? Baru bertatih sudah digelakkan orang.
"Untuk menghindar kesusahan yang sedikit kerana Tuhan, daripada menanggung kesusahan yang lebih besar. Kalau tak dapat sedikit, janganlah dibuang semua."
Kesedihan yang kedua.
Ada genangan air mata setiap kali melihat kekuatan pada diri Ahmad Fakhruddin Attar. Kuat waima dibuang masyarakat, dibuang pengajian dan dibuang cinta. Semuanya tak mampu dicuci dengan air mata Saidatul Nafisa yang tak henti-henti mengalir.
Kesedihan yang ketiga.
Terbit rasa syahdu mendengar alunan zikir-zikir sepanjang filem. Tiada lagi lagu-lagu OST yang selalunya berkumandang setiap kali tiba babak "punchline". Alunan zikir yang kesemuanya menepati jalan cerita. Membawa khayal ke tingkat tertinggi dan kembali semula kepadaNya.
Kesedihan yang keempat.
Apabila rakan di kerusi sebelah tiba-tiba bertanyakan aku "Sedih juga cerita ni ya? Bergenang air mata ni". Aduhaiiii. Secara peribadi, babak perpisahan antara Attar dan rakan-rakannya yang nakal lebih menyedihkan daripada babak cinta yang lain. Entahlah, cinta dengan kawan-kawan itu lebih mengesankan.
Kesedihan yang kelima.
Kalau kalian tak menonton dan menyokong filem ini. Sedih !!
***
Eh! Tujuh Petala Cinta bukanlah cerita sedih semata-mata. Itu hanya gimik. Ia punya jalan cerita yang sangat baik tentang cinta pada Allah, kekasih, keluarga, teman hatta musuh penjahat juga. Cinta bukan melemahkan tapi menguatkan. Kalau tak pandai menghargai cinta, jangan salahkan filem ini ya.
Selamat menonton :)
No comments:
Post a Comment