02 March 2011

Belasungkawa : Jay (1982 -2011)

Tulisan ini aku kirimkan khas buat Arwah Wan Ahmad Fadzil, teman penyayang dan baik hati.


Kami sama-sama belajar di Matrikulasi UIA sejak tahun 2000. Bilik asrama kami hanya selang beberapa langkah. Masa tu Albert, Mas, Afifi dan Umamudin adalah antara jiran-jiran terdekat di Kolej Abu Bakar yang setinggi 9 tingkat. Kami kerap juga berjumpa dan bercerita. Malah arwah adalah antara orang terawal yang tahu tentang rahsia hidup aku. Dan aku yakin rahsia tu masih tersemat kukuh dalam genggaman dia seorang.

Kami sama-sama berjuang mengangkat nama Kelab Grup Penggiat Sastera (GETAR) selama di Matrik UIA. Arwah adalah Presiden Kelab selama satu semester, dan aku menyambung jawatannya untuk baki satu semester. Malah nama kumpulan zapin kami di UIAM Gombak yakni NAFASTARI, adalah hak milik rasmi arwah. Kami pinjam dari blog arwah di http://www.nafastari.blogspot.com/. Blog idola yang sentiasa membuatkan aku khayal dengan gaya penulisannya yang sangat halus dan indah.

Tapi Tuhan lebih sayangkan dia. Pemergiannya mengejutkan keluarga dan rakan. Dijemput pergi ke Rahmatullah tanggal 01 Mac 2011 akibat kemalangan jalan raya ketika memandu pulang ke kampungnya di Setiu. Mujur isterinya yang baru sahaja habis pantang dan dua anaknya yang kecil comel, Wan Nada dan Wan Marwa, terselamat. Entah apalah rasa hati seorang isteri yang kehilangan suami tika mana anak-anaknya baru belajar menyebut "ayah".


Jay,


Sejujurnya aku masih belum puas mengenali kamu. Belum puas memuji kebaikan kamu. Belum puas melihat gambar-gambar kamu bersama anak-anak yang comel. Belum puas membaca tulisan-tulisan kamu di blog nafastari. Belum puas memberi komen dan mesej di facebook kamu. Namun tiada lain melainkan doa, buat kamu insan yang baik hati. Moga tenang abadi perjalanan kamu bertemu Illahi.

Ketika tulisan ini ditaip, aku masih lagi di pejabat menghabiskan sisa kerja yang tak pernah habis. Kalau saja aku mati esok hari, mungkinkah aku sudah bersedia menghadapinya? Jay, terima kasih atas peringatan yang kau berikan. Kehilanganmu tetap dirindukan. Al-Fatihah.



7 comments:

♥readikara♥ said...

Aku pon pernah mengeluh kerja yg x penah abis..tp kak asmah kate "dik,bt keje bepada2...sbb hari ni kite mati esok dh ade yg ganti" bwk2la berehat babe,.

AlFatihah buat Jay..smoga arwah ditempatkn dikalangn org yg disayangi Allah.. Aminn..

nurul said...

aku dapat berita pukul 6.30 pagi tadi. tak sangka arwah pergi dalam usia yg muda. albert n mas dah tau ke nizam?

MM said...

al-fatihah untuk beliau... semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya...-

mommy otai said...

sayu hati membaca n3 baru saudara..
saya pon merupakan kwn arwah sama sekolah rendah n sekampung..
terkilan sbb arwah ade menyatakan hasrat ingin berkunjung ke teratak kami di paka utk memperkenalkan isteri,nadaa n marwa..
terkilan....:(
dan rindu pada tulisan arwah di blog..tiada lgi sambungan kisah2 arwah..
kutitipkan doa moga rohmu ditempatkan dikalangan2 org yg beriman..amin

addyaholix said...

sungguh aku masih terkejut. alfatihah.

Nizam Awang Brahim said...

Al-Fatihah buat beliau moge ditempatkan dikalangan orang2 beriman.Amin

nazwellazo said...

saya tak kenal arwah. tp saya baca blognya.sungguh terkejut dengan khabar ini..Al-Fatehah