13 July 2013

Kadang-Kadang

Dalam kasar suara marah, tanpa dia sedari ada hati  dan perasaan yang tersakiti. Tapi tak mengapa kerana aku telah terbiasa memaafkan dia. Kerana aku tahu hatinya tidaklah sekeras kata-katanya. 

***

Kadang-kadang kata-kata tidak mewakili perasaan sebenar. Kadang-kadang kita perlu memandang dengan mata hati. Mendengar dengan satu telinga. 

Ah! Hidup ini terlalu banyak berkadang-kadang. Sengaja memberi peluang agar kesalahan yang kadang-kadang tersasul dapat diperbetulkan. Esok lusa kita akan tersasul lagi. Dan kadang-kadang kita sengaja.

Ya Allah. Sempena bulan mulia ini, Kau peliharakanlah mulutku, kata-kataku, tingkah lakuku dan sucikanlah hatiku. "Bukanlah seorang Mukmin itu suka mencela, melaknat, berkata yang keji dan kotor" (HR Ahmad, Bukhari)

Salam penuh kemaafan. Salam Ramadhan Kareem 1434 Hijri.



11 July 2013

Zaman Dah Berubah.. Betul ke?

Kita selalu disogokkan dengan kata-kata bahawa zaman sudah berubah. Dari dulu sehingga sekarang, semuanya sudah berubah. Zaman sudah berubah! Maka kita mesti berubah. Betul ke..?

Aku rasa zaman tak pernah berubah. Dari dulu sampai sekarang semuanya sama. Orang dulu-dulu menyebarkan fitnah dengan mulut. Kemudiannya menggunakan tulisan. Menjelang abad ke-21 orang memfitnah melalui media massa. Dan sekarang orang bermain fitnah hanya di hujung jari menggunakan Facebook dan Youtube. 

Katanya zaman dah berubah. Tapi fitnah tetap fitnah. Perangai manusia tetap tak berubah. Yang berbeza hanyalah persekitaran dan teknologi. Atas dasar apa kita mengukur zaman? Kalau bukan pada tamadun dan perangai manusianya? 

Maka kerana itulah al-Quran kekal sebagai pedoman sepanjang zaman. Salam Ramadhan Kareem 1434 Hijri.