Sekarang musim yang tak tentu. Siang panas melengit. Petang hujan lebat. Malam ribut petir sambar menyambar. Cuaca berubah-ubah menyanggah ramalan manusia dan memberi peringatan agar manusia jangan berlagak seperti Tuhan. Kuasa Tuhan tidak terjangkau. Bukit Tinggi di Pahang tiba-tiba dilanda gempa kecil. Kuala Muda di Kedah pernah disimbah air laut. Siapa yang pernah meramalkan kerja Tuhan ini?
Beberapa hari ini aku beremosi atas faktor cuaca juga. Ruang fikir yang tak tentu perubahan cuacanya. Sepertimana Tuhan mahu kita mengerti itulah perlambangan antara alam dan manusia. Apabila hujan menitik, aku rasa seperti dipenjara. Apabila panas membakar, aku membara. Apabila malam menghimpit sejuk, aku tersepit di celah-celah rindu. Apabila embun bermain-main di hujung daun, hatiku ngilu. Aku sudah terlalu sakit dipermainkan cuaca alam fikir. Meski telah lama aku deritakan sakit ini tapi kebahnya tetap tak kunjung tiba.
Dalam jangka waktu empat tahun, sudah empat kali aku terlantar di rumah sakit kronik. Belum dihitung seksa di katil kamar. Berulang-ulang kali diguris ditoreh perit. Manakan tidak kalau lukanya pasti di parut yang sama. Kalau dilihat dari imbasan sinar-x, semestinya telah hitam legam kesannya.
Tapi otak aku empat kali lebih hitam. Degil hendak mencegah. Konon betah merawat. Nah! sekarang aku sudah mati rasa. Mati sendi. Mati urat saraf. Hanya menanti matinya nyawa.
Seharusnya aku berterima kasih pada empat jasad itu yang datang bersilih ganti. Ibarat tabib selama mencari kedewasaan. Mengajar eja nama-nama ubat yang sepatutnya aku telan. Memberitahu pahit itulah penawar. Sakit itulah hikmat. Kawan mengertikan, itulah sakit cinta namanya -annidxam
"Nurmala adalah tembok yang kukuh Kal .." katanya.
"dan usahaku ibarat melemparkan lumpur ke tembok itu," sambungnya optimis.
"Kau sangka tembok itu akan roboh dengan lemparan lumpur?" tanyanya retorik.
"Takkan! Tapi lumpur itu akan membekas di sana, apa pun yang kulakukan, walaupun ditolaknya mentah-mentah, akan membekas di hatinya," kesimpulannya berfalsafah.
- Sang Pemimpi, Andrea Hirata muka 150
1 comment:
sakit cinta,
penawarnya hanyalah yang dicinta.
Post a Comment