23 December 2016

Pecahan Kaca-Kaca

Sampai waktu, dia akan datang semula untuk mengutip kaca-kaca yang dia pecahkan dulu. Meski dia cuba cantumkan pecahan kaca-kaca itu, dia harus tahu bahawa kaca itu rapuh dan kaca juga boleh menjadi tajam. Semoga dia mengerti, di atas kaca-kaca itulah aku menapak hidup.



Disember 2016 

17 September 2016

Cerita Rindu di Singapura


Di antara Tanah Melayu dan Pulau Temasek. 
Ada cinta tertinggal di hujung tambak.
Ada resah tersisa di dalam sebak. 
Entah rindu entahkan tidak.

Kukirim kisah di Teluk Danga. 
Biar mengalir ke Pulau Sentosa. 
Ada doa di dalam jiwa. 
Moga kiriman berbalas rasa.

Kukirim kisah siang ke malam. 
Bersama pesan segera pulang. 
Biar baca cepat tamat. 
Cerita rindu di Singapura.


Batu Caves

16 September 2016

31 August 2016

Rasa yang Tertangguh

Ini adalah sebahagian daripada tulisan terbengkalai yang terus disimpan di dalam kotak "draft". Tak tersambung. Tak terluahkan. Tergantung dan terbiar. Tapi kalau dibaca semula, ada rasa yang tertangguh. 

18 Mei 2011 - PISAU

Jangan ambil ringan kala matahari terbit di timur. Sampai masa terbitnya di barat. Bimbang nanti cintamu ibarat pohon bertukar daun, hijaunya sebentar cuma. Sampai masa akan tumbang bersama ranting mati. Ditebang orang sampai ke akar.

Di hatinya ada luka. Dan di tangannya ada pisau untuk melukakan hati yang lain. 


3 Februari 2011 - CINTA LUKA

Menaruh kasih dengan orang yang baru putus cinta bukanlah sesuatu yang indah. Kecewanya pada cinta bukan saja menakutkan dirinya sendiri, tapi juga menakutkan aku yang cuba mencintai dia. Berikanlah apa saja janji, apa saja bukti, takkan lut parut hatinya.

Kerap kali hatinya berparut digores cinta. Sekerap itulah juga air matanya mengalir membasuh luka. Apa kau fikir, janji-janji kosongmu itu mampu untuk menawan kembali hati lukanya? Tidak, bukan semudah itu.

16 Julai 2009 - DIA MATI

Hidupnya gemilang. Tapi akhirnya dia mati. Maka di penghujung penceritaan, ditulis segala metafora, sastera pujangga, ayat-ayat melankolik, kata-kata sedih, semata-mata untuk menggambarkan betapa kematiannya adalah sangat mengecewakan bagi semua pihak, menyedihkan setiap kaum kerabat, menagih air mata si pembaca bagi melambangkan seribu kekesalan.

Mengapa tidak hanya dituliskan "Dia mati". Cukup. Itu sahaja. Titik.

Biarlah hidupnya yang gilang gemilang diingat orang. Bukan kematiannya.


19 Februari 2009 - JIKA KAU RINDU

Jika kau rindu, perkara-perkara yang sederhana boleh menjadi sangat mempersona.







20 February 2016

Pantun Pelangi


Hujan ringan membias cahaya
Tujuh sinar jadi pelangi
Datang tuan menegur sahaya
Kebaya longgar harum mewangi

Warnaan hijau biru dan nila
Merah jingga kuningan ungu
Kami terpukau cinta menyala
Sudilah jika tuan menunggu

Kaki pelangi di atas bumi
Ekornya tinggi mencapai awan
Tuan pergi tinggalkan kami
Hibanya hati tidak keruan

Bianglala saling sejajar
Busur cahaya memanah langit
Belasungkawa kami diajar
Air mata bukan sedikit

Warna mentari terlihat putih
Terpecah tujuh dirintang air
Tidak terganti jiwa merintih
Tergoyah tubuh talkin bersyair

Terbit hanya pagi dan petang
Takkan mungkin di tengahari
Tuan umpana pelangi merintang
Datang pergi tidak berperi

Kalau hujan di waktu malam
Terbit pelangi disinar purnama
Datang tuan hanya semalam
Jadi penyeri sekejap cuma



Menara Berkembar PETRONAS, KLCC
20 Februari 2016



15 February 2016

Saksi Hidup Ketika Mati

Mata itu tetingkap jiwa
Melihat kasar menghalus di hati.

Telinga pula jadi pintunya
Mendengar getar sebalik kata.

Hidung adalah nafas rahmat
Menghembus syukur menghirup nikmat.

Mulut itu lidah kebenaran
Saksi hidup ketika mati.



Keramat AU
15 Februari 2016



Pantun Menumpang

Bunga kiambang warnanya terang
Buat pengasih nakhoda kapal
Saya menumpang rezeki orang
Terima kasih harap setimpal

Burung helang membuat sarang
Di tanah rata pohon meranti
Saya menumpang gembira orang
Air mata bertakung di hati

Tumbuh rendang tepian bendang
Pohon terap berdahan dua
Saya menumpang cerita orang
Usah mengharap dikenang jua

Senja remang awanan perang
Tanda pergi sinar mentari
Saya menumpang kekasih orang
Sakit hati tanggung sendiri


UKM Bangi
14 Februari 2016

09 February 2016

Gambar Dari Tepi Jalan


GAMBAR DARI TEPI JALAN

Berdiri di tepi jalan
Bandar negeri berisi hiburan
Bangunan tinggi menggapai awan
Jadi bayang sebuah kemajuan

Berdiri di tepi jalan
Bingit bunyi jadi siulan
Motor lori mengikut garisan
Kayu ukur tamadun peraturan

Berdiri di tepi jalan
Warna warni lampu hiasan
Meski cantik hanya luaran
Itulah juga dipandang orang 

Berdiri di tepi jalan
Hendak ke kiri atau ke kanan
Takut nanti salah tujuan
Tetapkanlah lurus haluan

Gambar dari tepi jalan
Lambang perjalanan tidak berperhentian


9 Februari 2016
Kuala Lumpur


Sebenarnya, aku ada perangai suka bergambar dari tepi jalan. Tak tahu kenapa. Tapi aku rasa gambar dari tepi jalan itu cantik. Hahaha. Apabila dibelek-belek gambar lama, ternyata memang semua tempat yang aku singgah mesti ada gambar dari tepi jalan. Nah, puisi di atas terinspirasi dari gambar-gambar dari tepi jalan. Lambang perjalanan yang tak berperhentian. Salam.

01 January 2016

Alavida 2015 . Svaagat 2016 .



Foto #2015bestnine ni menceritakan semua tentang aku sepanjang tahun 2015 (dari atas ke bawah, kiri ke kanan):

Gambar 1: Majlis Penyampaian Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS untuk pelajar-pelajar lepasan SPM 2014 yang berjaya. Maka bermulalah episod baru dalam hidup mereka. Dan kami juga mendapat pelajar-pelajar baru untuk sesi 2015.

Gambar 2: Perginya dua insan mulia dalam hidup, Mak dan Apak. Apak meninggalkan kami kerana kemalangan jalanraya di Kuala Lipis pada tarikh 30 Januari 2015. Manakala mak meninggalkan kami pada 28 Julai 2015 setelah dua tahun menderita kanser. Tahun 2015 memberi perkhabaran duka buat kami sekeluarga. Aku kini bergelar anak yatim piatu.

Gambar 3: Pre-Departure & PREP Program untuk pelajar-pelajar tajaan PETRONAS yang akan terbang ke luar negara.

Gambar 4: Bercuti ke Pulau Perhentian bersama Ken, Remy, Seri dan adik dia. Pertama kali dapat jejak kaki ke pulau yang cantik ni. Pertama kali mengembara dengan budak2 HC ni.

Gambar 5: Imej terbaru 2015, dengan cermin mata baru 2015. Hehehe...

Gambar 6: #Throwback gambar lama ketika mengembara ke Macau, Hong Kong, Guangzhou dan Shenzhen pada tahun 2013. Backpack berdua je dengan Ken.. memang senang dan tak banyak kerenah. Kami redah sahaja tanpa perancangan awal menjadikannya kenangan bercuti paling best ! Masih teringat-ingat sampai sekarang.

Gambar 7: Pertama kali dapat jumpa YB Khairy Jamaludin. Pertama kali jadi Ketua Logistik untuk Majlis Penganugerahan ni. Pertama kali UIA menjadi tuan rumah.

Gambar 8: Pertama kali jumpa Siti Nurhaliza dalam program aku sendiri, semasa beliau membuat persembahan untuk Majlis Sekalung Budi 2015 (MSB). Sebelum ni jumpa kat rumah terbuka di Kuala Lipis sekitar tahun 2000 masa dia baru nak meningkat popular. Dulu kurus je, sekarang dah Mak Datin hahaha.

Gambar 9: Inilah keluarga besar TSER & STS. Tahun pertama bersama TSER & STS memang sangat menyeronokkan sebab aku ditugaskan untuk mengetuai PREP, siri program kepimpinan untuk pelajar tajaan PETRONAS. Banyak kerja luar, banyak kali jadi facilitator, merangka modul, memberi inspirasi untuk anak-anak muda dan tak dilupakan, ada banyak sesi karaoke! Haha!

2016, semoga aku menjadi insan yang lebih baik dan beroleh pertolongan dan keberkatan Allah. Amiiin.

p/s: Tajuk entri ni diinspirasikan selepas menonton Dilwale 2015 :-)

11 November 2015

Pesta Pantun Piala Alumni (1/2015)

Buat julung-julung kalinya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya menganjurkan Pesta Pantun Piala Alumni untuk edisi pertama bersempena Minggu Puisi UIAM. Hasil usaha keras barisan penganjur dan pemantun muda, akhirnya pertandingan ini berjaya dianjurkan bagi mencari pelapis pemantun UIAM.

Usaha mengumpulkan kesemua alumni pemantun UIAM sejak tahun 2000 harus diberikan pujian. Dengan hanya menggunakan facebook dan group whatsapp, hampir semua pemantun lama dapat dikenalpasti. Setelah lebih 15 tahun, masing-masing bersemangat untuk kembali menyumbangkan tenaga, buah fikiran dan juga bantuan kewangan bagi menjayakan program sulung ini. 

Terima kasih untuk semua yang membantu dan memberi sokongan terutamanya kepada Razuwan yang menyampaikan berita kepada semua alumni. Tak banyak yang sempat aku bantu untuk tahun ini. Insha Allah tahun depan kita cuba lagi ya :)

Jika mengambil kira pengalaman dan tingkat ilmu peserta, ternyata prestasi kesemua peserta adalah sangat baik. Hanya perlu digilap dan diberikan latih tubi, selebihnya aku percaya mereka mampu mengekalkan nama UIAM di arena pantun Malaysia. Aspek keyakinan penyampaian dan menjawab dengan tepat memerlukan latihan yang konsisten. Manakala aspek bahasa semestinya memerlukan pengalaman dan amalan membaca yang berganda. 

Walau apapun, sekalung tahniah untuk semua pemantun. Jangan malu dan takut untuk meneruskan perjuangan. Sekali berpantun, selamanya pemantun. 







Juara: Kumpulan Cenderawasih
Naib Juara : Kumpulan Onde-onde
Ketiga : Kumpulan Tun Teja
Pemantun Terbaik (Pertandingan Akhir): Fakhrul (Cenderawasih)

Kredit Foto: alangtengahbirukudang a.k.a. Razzuwan

06 January 2015

Ulangtahun ke 10 Oranglipis.Blogspot (2004 - 2014)

2015 - Maka secara rasminya genaplah 10 tahun usia blog oranglipis. Bermula dengan sekadar suka-suka untuk mempelajari HTML code, kini oranglipis sudah berumur 10 tahun. 

September 2004 entri pertama adalah lirik lagu Ruffedge. Tipikal budak jiwang haha ! Aku paling banyak menulis blog pada tahun 2011 iaitu sebanyak 57 entri setahun. Entri paling sedikit adalah pada tahun 2013 dan 2014 iaitu hanya 4 tajuk. 

Tulisan semakin berkurangan di sini. Salah satu faktor adalah kerana aku mula menulis di blog baru iaitu Kalau Mencari Kerja. Khusus untuk graduan menelaah panduan mencari kerja. Ada 10 entri yang memenuhi blog tersebut dan insya Allah aku akan terus menulis untuk membantu anak-anak muda kita sekarang. Jika berkelapangan, aku mahu tambahkan iklan-iklan jawatan kosong terkini di dalam blog tersebut. 

Menginjak tahun 2015, usia menapak semakin tua. Semua orang pun pernah merasai muda. Tiba masanya kita merasa tua. Dua nikmat yang manusia sering lalai dengannya adalah sihat dan waktu lapang - Riwayat al-Bukhari. Melihat kepada usia blog ini, aku mengaku bahawa dua nikmat ini ternyata semakin berkurangan. Semoga Allah memberi rahmat dan berkat untuk aku meneruskan hayat.

Selamat Tahun Baru 2015 !





23 July 2014

Rumah Rindumu (Sang Pelaut)

Rumah rindumu
Satu musim lalu
Letaknya di situ
Di hulu laut biru

Ingin hatimu bercerita
Tentang jiwa raga
Mungkin tentang cinta
Mungkin juga tentang luka
Tentang segala yang dirimu rindu

Rindu solat di bawah langit biru
Rindu gelak tawa di ruang tamu
Rindu tidur di hujung bucu
Rindu makanan masakan sendiri
Rindu sahabat sekerja di sisi
Riuh rendah penawar sunyi

Meski kapal sudah berlabuh
Anak keluarga memeluk tubuh
Namun rindu seorang pelaut
Tetap letaknya di hulu laut
Tepat di rumah rindu itu.


Keramat Kuala Lumpur
10 Julai 2014


07 June 2014

Hidup Biar Ibarat Daunan


Hidup biar ibarat daunan
Di dahan meredupkan
Di tanah menyuburkan.

Hidup biar ibarat daunan
Subur memberi nyawa
Gugur memberi baja.

Hidup biar ibarat daunan
Hijau menghembus udara
Kuning tanda berjasa.

Meski daunan tumbuhnya berjuta
Tetaplah kita insan berjasa


Keramat, 7 Jun 2014

13 May 2014

Cerapan Jiwa

Apabila kau tak lagi dapat melihat masa depan.
Apabila fikiran dan perasaan tidak keruan.
Itu tanda kau harus berhenti dari segala yang berjalan.
Untuk kau melepaskan apa yang sedang di tangan.

Usah bimbang sayang kerana ia hanyalah sementara.
Demi menguji sehebat mana manusia tanpa penjaga.
Sekuat mana kita boleh menjerit tanpa suara.
Selama mana kita mampu bernafas tanpa udara.

Berhentilah sejenak. Lapangkan dada. Helakan nafas. Pejamkan mata.
Di situ letak cerapan jiwa. Untuk kau menerus masa.


Untuk mereka yang pernah mengosong fikiran mencari jiwa yang hilang.
Keramat AU3
13 Mei 2014





03 April 2014

Kisah Seorang Pelaut


Antara darat dan langit. Dia memilih laut bertaruh nyawa. 
Antara tanah dan angin. Dia memilih ombak menguji jiwa.
Antara hujan dan pelangi. Dia berdiri di tengah-tengahnya.
Antara basah dan kering. Dia berdiri di kedua-duanya.

Mimpinya seringkali terhantuk ombak. 
Dan di situlah dia menghempas rindu.
Siangnya sentiasa dimabuk gelombang. 
Dan malamnya sunyi sesepi-sepinya. 

Kerana di setiap pintu rezeki yang terbuka, ada keluarga yang berpaut.
Maka di setiap lautan yang maha luas, akan tetap berdiri seorang pelaut.



Sebuah cerita untuk jiwa yang cekal kerana sesungguhnya 
setiap daripada kita adalah pelaut di bumi bertuah ini.

Kuala Lumpur
17 Mac 2014 

13 July 2013

Kadang-Kadang

Dalam kasar suara marah, tanpa dia sedari ada hati  dan perasaan yang tersakiti. Tapi tak mengapa kerana aku telah terbiasa memaafkan dia. Kerana aku tahu hatinya tidaklah sekeras kata-katanya. 

***

Kadang-kadang kata-kata tidak mewakili perasaan sebenar. Kadang-kadang kita perlu memandang dengan mata hati. Mendengar dengan satu telinga. 

Ah! Hidup ini terlalu banyak berkadang-kadang. Sengaja memberi peluang agar kesalahan yang kadang-kadang tersasul dapat diperbetulkan. Esok lusa kita akan tersasul lagi. Dan kadang-kadang kita sengaja.

Ya Allah. Sempena bulan mulia ini, Kau peliharakanlah mulutku, kata-kataku, tingkah lakuku dan sucikanlah hatiku. "Bukanlah seorang Mukmin itu suka mencela, melaknat, berkata yang keji dan kotor" (HR Ahmad, Bukhari)

Salam penuh kemaafan. Salam Ramadhan Kareem 1434 Hijri.



11 July 2013

Zaman Dah Berubah.. Betul ke?

Kita selalu disogokkan dengan kata-kata bahawa zaman sudah berubah. Dari dulu sehingga sekarang, semuanya sudah berubah. Zaman sudah berubah! Maka kita mesti berubah. Betul ke..?

Aku rasa zaman tak pernah berubah. Dari dulu sampai sekarang semuanya sama. Orang dulu-dulu menyebarkan fitnah dengan mulut. Kemudiannya menggunakan tulisan. Menjelang abad ke-21 orang memfitnah melalui media massa. Dan sekarang orang bermain fitnah hanya di hujung jari menggunakan Facebook dan Youtube. 

Katanya zaman dah berubah. Tapi fitnah tetap fitnah. Perangai manusia tetap tak berubah. Yang berbeza hanyalah persekitaran dan teknologi. Atas dasar apa kita mengukur zaman? Kalau bukan pada tamadun dan perangai manusianya? 

Maka kerana itulah al-Quran kekal sebagai pedoman sepanjang zaman. Salam Ramadhan Kareem 1434 Hijri.

02 June 2013

Senarai Kedai Kostum Sekitar Kuala Lumpur

Setiap kali ada program makan malam yang ada tema berpakaian (Themed Dinner). Setiap kali itulah semua menggagau mencari kedai kostum. Setiap kali itulah nak kena bertanya pada Encik Google. 

Makanya untuk manfaat semua, aku dah siapkan senarai kedai kostum berhampiran Kuala Lumpur dan juga senarai laman web yang menjual kostum secara online. Alang-alang aku buat ni untuk rakan-rakan sepejabat, eloklah juga dikongsikan pada semua kan. Sebaik-baiknya, telefon dahulu kedai-kedai ni untuk membuktikan kesahihan alamat dan waktu operasinya. Selamat memilih! :)


Absolut Pitch Costume Shop
Lot D3, 1st FL, Block D,
 Fahrenheit 88 (old KL Plaza),
179 Jalan Bukit Bintang,
Kuala Lumpur, Malaysia

Costumes “N” Parties
THE WELD, L2-09, Level 2,
76, Jalan Raja Chulan
50200 Kuala Lumpur
Tel: 03-21648184
Fax: 03-21648185
Operation Hrs:
Mon ~ Fri : 11am – 8pm
Sat & Sun : 11am – 6pm 

Costumes Empire
Penthouse Suite 7.07, 7th Floor,
Wisma Central, Jalan Ampang,
Kuala Lumpur, Malaysia
For Rental Assistance call:
03.2164.3698
0111.5713.651
(during operating hours only)

Costumes Empire
Unit B-1-23A, Block Bougainvillea
10 Boulevard, Leburaya Sprint,
Jalan PJU 6A, Petaling Jaya.
Please call for appointment:
Linda: 0111.5713.652
(during operating hours only)

Partyshop!
Showroom is open based on appointments.
Contact 013-2285474 or e-mail to normaria@partyshop.com.my for appointment
ONE-STOP PARTY SHOP (001002816-H)
T1-LG-D Boulevard Subang,
SS12/1 Wangsa Baiduri,
Subang Jaya 47500,
Selangor, Malaysia.
Tel: +6013 228 5474 (Normaria)
Tel: +6013 363 5484 (Adel)
Tel: +6012 211 0409 (Amirah)
Fax: +603 5191 1024

Century Fiesta Sdn. Bhd
28-1 Jalan SS15/4
 SS15, 47500 Subang Jaya
Selangor D. E.
+603 5613-2048
OPENING HOURS:
11:00am to 7:30pm (Mon-Fri) 
11:00am to 5:00pm (Sat)

Century Fiesta Sdn. Bhd
No.44-2, Jalan 24/70 A,
Desa Sri Hartamas,
50480 Kuala Lumpur.
+603 2300 2048
+6017 234 5266
+603 2300 2046
info@centuryfiesta.com

CantiqueCostume
Open Daily 11am-8pm, Sunday Close.
22-1, Jalan Sulaiman 1, Taman Putra Sulaiman,
Ampang 68000 Selangor, Malaysia.
(Opposite Tesco Ampang)
rent@cantiquecostume.com
  
Costume World
B-3A-17 Pusat Perdagangan Pelangi Square, 
Persiaran Surian PJU 6, Pelangi Damansara, 
47800 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel :  03 7729 7332
Mon - Fri 11am - 7pm  |  Sat 11am - 4pm  |  Close on Sun & Public Holiday

AbraCaDabra Costume Rental (M) Sdn Bhd
No 50-2 Plaza Puchong
Jalan Puchong Mesra 1
58200 Kuala Lumpur
West Malaysia
Office No:  +603 8076 7493/492
Fax No:     +603 8076 7051
Mobile No:  016-3835536
Email:    abracadabra.costumerental@gmail.com
Website: www.abracadabra-costume.com

DC Comics Super Heroes
Lot No. : 5.11.00, Level 5 Pavilion KL
Tel. : 03-2143 3882
www.dccomics.com/dccomics

Caiko Costume Gallery
17-2, Jalan Puteri 2/2,
Bandar Puteri, 47100
Puchong, Selangor
016-6647603 (Hotline)
016-9556515 (Adelene Chai)
016-357577 (Celine Ko)
E-Mail :  caikocostume@gmail.com
http://www.caikocostume.com/

Melody Costume
No. 96, Jalan Besar, Batu 8,
52100, Kepong,
Kuala Lumpur 68100‎
03-6275 5680
Gavin LEe.k.w H/P:016-2332095
Every Mon - Sat. 11.00am - 7.30pm

Adonis & Dash Costumes
Unit 2.06, First Floor, Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur
Tel: (03) 21626289
E-mail: info@adonis-dash.com
(During business hours)
http://www.adonis-dash.com/

Cool Costumes Sdn Bhd
Unit  06-90 Berjaya Times Square
55100 Kuala Lumpur Malaysia
Tel : 03-21417655
  
Fancee Costume Rental 
30, Jalan Mengkuang Off Ampang Hilir,
55000, Kuala Lumpur
Tel / Fax : 03 4253 4030
HP: 012 990 4278 - Munirah
HP: 017 360 1970 – Misah
Anime Tech Sunway Pyramid
F1.23, Sunway Pyramid,
 3, Jalan PJS11/15, Bandar Sunway,
46150 Petaling Jaya, Selangor
Time : Mon - Sun, 10:00 am - 10:00 pm

Online Shopping:




19 May 2013

Kembara 6H5M ke Macau - Guangzhou - Shenzhen - Hong Kong


Hari Pertama : Macau

Negara judi dan kasino yang dihiasi lampu neon berwarna warni. Aku singgah turun di Lapangan Terbang Macau semata-mata sebab nak naik feri ke Hongkong keesokkan harinya. Kami bergambar di tinggalan gereja St.Paul, salah satu daripada puluhan bangunan bersejarah di Macau. Bandar Macau ni sangat kecil, semuanya boleh dilawati dengan hanya berjalan kaki. Malamnya sejuk dan dingin, terasa nikmat tak terhingga apabila dapat menghirup kuah panas mi segera Maggi. Memang tak jumpa langsung restoran makanan halal di sini kecuali makanan ringan di kedai serbaneka. Satu malam menginap di Hotel Guia, cukuplaaah..

Hari Kedua : Guangzhou 

Guangzhou yang dulunya dikenali sebagai Canton City adalah bandar paling besar dalam jajahan Guangdong. Kami menginap satu malam di Hotel Baiyun City, betul-betul bersebelahan stesen keretapi besar Guangzhou. Kawasan yang dipenuhi ribuan manusia pada satu-satu masa. Takut juga kalau-kalau tiket keretapi habis, tapi ternyata sistem keretapi di China sangat efisien, menepati masa dan selesa walaupun terpaksa menampung ribuan penumpang setiap minit. 

Kami sempat mengelilingi Bandar Guangzhou yang dipenuhi bangunan pencakar langit, Tsun Yat Sen Memorial Hall dan Yuexiu Park - taman paling besar di Guangzhou. Patah kaki nak berjalan ke seluruh taman menyaksikan tinggalan sejarah yang menjadi mercu tanda Guangzhou. Melawat Yuexiu Park bermakna melawat Guangzhou. Satu hari pun dah cukup :)

Hari Ketiga, Keempat dan Kelima - Shenzhen

Shenzhen, satu lagi bandar besar selepas Guangzhou dalam jajahan Guangdong. Besarnya bandar Shenzhen ni dah berjaya kalahkan Kuala Lumpur. Sebab itulah kami menginap di sini selama dua malam di Hotel Prince, betul-betul bersebelahan stesen keretapi besar Shenzhen di Jianshe Road dan makanan halal tak menjadi masalah di sini. Terkenal sebagai bandar elektronik, dua kali kami singgah di Plaza SEG dan berjaya membawa pulang satu tablet android, 15 unit thumbdrive 4G (nak buat souvenir), dua power bank dan satu earphone dengan jumlah harga kurang RMB1,000 (RM 500.00) !!! 

Satu lagi tarikan utama di Shenzhen adalah "Window of the World". Kami habiskan masa hampir 5 jam meneroka replika ikon-ikon seluruh dunia termasuklah binaan Eiffel Tower. Melawat Shenzhen dah boleh dikira melawat satu dunia. Sayangnya replika Menara Berkembar PETRONAS tak ada pun huhu :-(

Hari Keenam- Hong Kong 

Tak boleh berlama-lamaan di Hong Kong sebab semuanya mahal di sini. Harga tiket tren sahaja hampir tiga kali ganda berbanding di China. Makanya hanya beberapa tempat yang sempat kami jelajah seperti Maddame Tussaud dan Victoria Peak. Tak ketinggalan Avenue of Stars yang cuma 2 minit dari Imperial Hotel tempat kami menginap dan sempat juga pusing keliling HK Island menaiki tram secara percuma (haha kami tak bayar tiket pun)!

Hari terakhir, kami ke HK Disneyland sebelum terbang pulang ke KL pada jam 6 petang. Pada aku, HK Disneyland tidaklah sehebat Universal Studio Singapura, 4 jam sahaja sudah memadai untuk mengelilingi seluruh taman tema. Hong Kong memang negara yang meriah dengan macam-macam orang. Fair enough, Hongkong is where East meets West.

Kembara 6H5M ini adalah hadiah harijadi untuk kawan aku ni. Walaupun kami ditinggalkan kapal terbang pada hari pertama, harap-harapnya ia menjadi pengajaran dan kenangan indah buat dia hahaha~




 Macau City

Macau Historical Buildings




Ruins of St. Paul Macau





 Guangzhou City


 Shenzhen City

 Shenzhen Window of the World


Hong Kong Island


Nathan Road, Hong Kong



12 December 2012

12.12.12 - Selamat Ulangtahun Untuk Diri Sendiri

Hari ini 12 Disember 2012 adalah tarikh keramat. Angka 12 yang menjadi nombor bertuah sejak sekian lama digabungkan menjadi 12.12.12 lantas menggenapkan usia menjadi 30 tahun.

Tiada apa yang istimewa melainkan kombinasi nombor-nombor 12 yang tersusun cantik. Tiada apa yang luar biasa untuk dilakukan melainkan pergi bekerja seperti hari-hari Rabu yang sebelumnya.

Tapi aku ada harapan yang telah mengiringi kehidupan sejak 30 tahun yang lepas. Aku berharap untuk terus bergembira dan menggembirakan insan-insan tersayang. Keluarga, teman dan dia semestinya. Terima kasih sayang-sayangku semua! :-)

Pada 12.12.12 tepat jam 12.12 tengah malam, aku ucapkan selamat ulangtahun kelahiran buat diri sendiri. Semoga ucapan ini akan terus mengingatkan aku supaya tidak alpa ditelan usia. Alhamdulillah.


01 December 2012

Kuakui (Aku Hilang)

Bukan sekali dua pekerjaan di pejabat tidak berlaku adil kepada kita. Selalu sahaja timbunan kerja menzalimi sisi kehidupan yang lain. Melampaui masa, menawar rasa. Mengabaikan dia, melupakan cinta. Lebih parah segalanya berlaku tanpa sedar. Hanya selepas kau membuka mata, kau sudahpun kehilangan dia.

Apa yang aku lupakan; abaikan; tawarkan; bukanlah dia atau sesiapa. Apa yang aku lupakan; abaikan; tawarkan; adalah jiwa raga. Hilang di dalam waktu pejabat dan timbunan kerja. Ketika kau marah-marah, kau sudahpun kehilangan jiwa. Ketika kau menangis diherdik ketua, kau sudahpun kehilangan raga. Dan ketika kau berpura-pura bahagia, kau sudahpun hilang dari lantai dunia! 

Aku lebih rela kehilangan kerja. Daripada aku kehilangan diri sendiri.




Katakan padaku kekasih
Kesilapan yang pernah ku lakukan dulu
Ternyata aku yang harus di persalahkan
Ku akui

Aku leka dengan kerjayaku
Mengejar kekayaan di dunia ini
Betapa hancurnya hatimu laluinya
Ku akui

Jika dapatku mengulangi
Perjalanan cintaku bersamamu lagi
Akan ku jaga sebaik-baik cinta ini

Kini ku rasa kehilangan
Ku sedar betapa pentingnya kau di sisi
Yang selalu ada.. yang selalu rindu
Terhadap diriku

- Hafiz / Ajai -