Semalam Akademi Nasyid membuka tirai dengan persembahan peserta yang sangat membanggakan walaupun baru pertama kali bersiaran (sekurang-kurangnya lebih bagus daripada konsert pertama Akademi Fantasia hehe). Ada beberapa peserta sudah mula menonjolkan aura dengan persembahan yang mudah diingati dan didasarkan kepada keunikan tersendiri.
Semestinya pilihan aku terletak pada Mohd Shukri Nasrun dari Pahang (gambar di bawah) atau nama timang-timangannya, Cicik. Dia menyimpan karisma dan kekuatan vokal yang digali selama bergelar penyanyi rock jalanan sebelum ini. Cicik mempunyai suara, rupa dan gaya yang mempesonakan untuk mengumpan undi. Aku harap dia kekal sampai ke peringkat akhir.
Tak lupa Azhan Atan dari Johor (gambar di bawah). Lupakan tentang kecacatan matanya. Persembahan Azhan sangat memukau dengan vokal yang dilepaskan tanpa rasa takut-takut hingga membuatkan aku merasa sangat puas dengan lontaran suaranya yang mendayu-dayu tetapi gagah dan mengesankan. Kebanyakan peserta lain terlalu berhati-hati mengawal suara sehingga nampak seperti dibuat-buat dan sedikit membosankan. Aku harap Azhan akan kekal sehingga ke peringkat akhir juga.Pada hemat aku, peserta-peserta yang lain masih berada di tahap biasa-biasa sahaja. Contohnya Zuriana Ishak (Pulau Pinang), Mohd Shahridzal Lokma (Pahang), Eda Fazilah Ismail (Perak), Sofieya (Kuala Lumpur), Voice of Men (Johor), Muslim Voice (Pahang), dan D'Vision (Melaka). Rata-rata mereka mempunyai suara yang bagus cuma agak kurang menyengat. Kena belajar lebih sikit daripada otai-otai nasyid seperti Raihan yang selalu membuatkan penonton terpegun. Masih ada sekurang-kurangnya 10 minggu lagi untuk mereka membuktikannya.
Cuma untuk Aiman, dia perlu memantapkan lagi vokalnya untuk terus kekal di dalam akademi ini. Kenapa dia terlalu banyak tersenyum semasa menyanyi ya? Begitu juga In Heart yang agak kelam kabut sikit susunan harmoni suara mereka. Barangkali mereka terlalu memikirkan untuk menjadi lain daripada yang lain dengan mempertaruhkan imej nasyid alternatif. Kumpulan Farhan dari Melaka juga harus bekerja lebih kuat lagi.
Aku yakin semua peserta yang terpilih ini memiliki suara yang baik. Tapi untuk menang dan menambat hati pengundi yang mewakili 50% markah keseluruhan, mereka perlu bersedia untuk menampilkan persembahan yang ikhlas dan menghiburkan dengan vokal yang tersusun dan bertenaga. Aku nak tunggu siapa yang akan memilih lagu Amuk atau Akhil Hayy untuk dinyanyikan. Aku nak tunggu lebih banyak gubahan muzik yang pelbagai dan lebih segar sepertimana yang telah dilakukan oleh In Heart tempoh hari.
Apapun, aku hanya berkomentar ringan. Cuba menghangatkan industri nasyid yang agak sirna sekarang. Dapat juga melepas rindu kepada zaman aku bernasyid dulu-dulu hehe. Tahniah kepada TV9 dan lihatlah sendiri persembahan mereka di http://www.tv9.com.my/
1 comment:
jarang tgk tv..trus laa bwat liputan on AN ne ek!~ leh aa jenn slalu bace..heheh..
Post a Comment