Aku bukanlah seorang yang selalu menepati janji dengan rancangan-rancangan tv. Banyak program yang aku senaraikan sebagai mesti tonton akan terabai macam tu sahaja misalnya Majalah Tiga dan Akademi al-Quran. Tapi semalam kebetulan aku bercuti di rumah dan pertandingan akhir AQ sedang bersiaran.
Aku bukanlah selalu sangat menonton AQ ni. Tapi kalau dah tengok memang melekat juga sebab sebagai seorang yang tidak tahu tentang tarannum, qiraat dan tajwid, aku yakin AQ sangat berkesan untuk mereka yang mahu belajar sambil berhibur. Ya, aku sangat terhibur mendengar pelbagai lagu-lagu al-Quran yang disampaikan oleh peserta. Rasa menusuk ke dalam satu ruang yang kosong.
Perjalanan program juga sangat lancar, tenang dan menghiburkan dengan lawak jenaka yang bermutu. Siapa kata AQ tak boleh mengalirkan air mata penonton? Tak boleh menerbitkan senyum dan gelak tawa penonton? Cubalah, tapi kena tunggu tahun depanlah, AQ edisi keempat.
Tahniah kepada Juara AQ 3, Saudara Fakhrul Radhi dan juga tiga finalis yang lain; Sharifah, Tarmizi dan Shamsul. Sejuk mata menatap wajah-wajah mereka. Membandingkan dengan diri sendiri.. aku hanya mampu mengeluh.
Sabtu ni Akademi Nasyid akan membuka tirai. AN juga akan menjadi antara rancangan mesti tonton untuk beberapa bulan ini. Yang pasti, Akademi Nasyid harapnya menjadi pengganti kepada kekecewaan aku terhadap Gang Starz yang kurang menyengat tahun ini. Akademi Fantasia? Haha untuk pertama kalinya aku tak tahu pun siapa pemenang-pemenang AF kali ini. Mungkin AF memerlukan formula terbaru untuk kekal relevan.
No comments:
Post a Comment