05 June 2012

Kerinduan adalah sahabat baik kesunyian


Kerinduan adalah sahabat baik kesunyian. Hadirnya menghilangkan waras. Datangnya tak pernah puas.
Kecintaan adalah sahabat baik kebahagiaan. Hadirnya menghilangkan was-was. Datangnya tak pernah jelas.
Sempurnanya hati memainkan rasa. Hanya akal yang membahagi asa.

Kerinduan adalah sahabat baik kesunyian. Hadirnya menghilangkan waras. Datangnya tak pernah puas !
Seperti mana aku rindukan komen-komen daripada kalian pada setiap entri di sini.
Hehehehe :p










09 May 2012

Trafik Cinta: Cinta juga ada papan tanda, lampu isyarat dan jalan sehala.


Cinta juga ada papan tanda, lampu isyarat dan jalan sehala.

Lampu merah tandanya dia marah dan kau harus berhenti berkata-kata. Adakala berdiam diri itu penyelesaian terindah. Bukan menyerah kalah, tapi menunggu reda berbalah.

Kuning tandanya dia pening. Kau harus tahu bahawa itu tandanya bersedia untuk berhenti, bukan untuk memecut laju. Jangan terlalu banyak nasihat u-turn yang memualkan.

Hijau tandanya terus. Tapi selitkan sedikit rasa risau kerana jalan tidak selalunya lurus. Berikan angin, berikan lagu. Berikan benci dan juga rindu. Itu tandanya kau memahami liku-liku menuju ke hati.

Hati-hati memandu jalan cinta. Perhatikan setiap papan tanda amaran yang mana maksudnya lebih daripada sekadar lambang. Kalau kau tersesat, jangan terlambat bertanyakan orang. Ada ketikanya jalan itu sehala maka jangan sekali-kali kau mengharapkan timbal balas. Kalau di lebuh raya yang banyak lorong dan keretanya, memandulah mengikut had laju waspada. Prihatin pada yang di depan dan di belakang. Ada masa-masa kau harus ke kiri dan perlahan.

Kalau sampai ke jalan mati, berundurlah. Tiada guna terus ke depan dan usah dituruti jalan yang sama. Dengan itu semoga kau selamat terus ke destinasi !  


Kalau kalian ada lesen kereta, silakan bercinta! Aku belum ada L




21 April 2012

Zapin Mungkir Janji

Melodi yang sedap dengan lirik yang merentap!


laut berarus di waktu pagi
tandanya banyak ikan tenggiri
mulut tak hangus berkata api
begitu juga orang berjanji

kasih yang baru memang sayang
kasih yang lama ditinggal orang
ku disanjung ku dimanja
aku ditipu dalam ketawa

mangkuk bertutup berisi dadih
hendak menjamu orang berdagang
dulu tak cukup sekarang tak habis
kerana jemu mata memandang

tak kusangka tak kuduga
kukira engkaulah yang setia
janji suci kau hancurkan
mengapa aku yang disalahkan

perahu deli belayar ke barat
sarat muatan baju dan kain
hinanya besi kerana karat
hina manusia kerana miskin


kasih yang baru memang sayang
kasih yang lama ditinggal orang
ku disanjung ku dimanja
aku ditipu dalam ketawa



Penyanyi: Dato M Daud Kilau 
Album: Koleksi Bintang (2005)
Edaran: Universal Music (M) Sdn Bhd

18 April 2012

Kalau Kau Putus Cinta...

Kalau kau putus cinta jadilah seperti Adele Laurie Blue Adkins (Adele). Dimengalirkan air matanya kepada puisi dan lagu dan diangkatkan dirinya ke puncak tertinggi. Nah sekarang yang lelaki itu terpaksa mendongak ke atas untuk memandangnya!

Kalau kau putus cinta, janganlah direndah-rendahkan diri. Mengapa harus diberikan peluang kalau sekali sudah memadai? Sakit? Kata orang, selalunya yang sakit itulah buat kita bernyawa. Bijaknya hati memainkan rasa. Memberikan kita suka berselang sakit. Dan bijak lagi akal yang memainkan waras. Membezakan antara nyata dengan mimpi.


Nah sekarang pilihan ada di tangan. Nyata atau mahu terus bermimpi? 



Aku pilih untuk terus bermimpi kerana di situ aku temu bahagia. Oh klise ! Huhuhu~

15 April 2012

Belahan Jiwa

Janganlah kerana kuatnya cinta membuatkan kau menjadi hamba dan rela diperlakukan tidak terhormat oleh dia yang kau harapkan sebagai belahan jiwamu.

Jika benar dia belahan jiwamu maka dia akan selalu memuliakanmu, bukan mencaci dan tersenyum sinis melihatmu mengemis perhatiannya.

Yang sakit. Yang perit. Yang jelek. Itulah yang mendewasakanmu. Belajarlah untuk menerima buruk baik perangai manusia. Nescaya kamu akan lebih menerima kehidupan.







25 March 2012

Lelaki vs. Perempuan

Perempuan itu pemalu orangnya. Mereka sanggup menahan kentut.
Lelaki pula sihat belaka. Mereka menjaga saiz perut.

Perempuan itu berjimat cermat. Sekali belanja berlama-lamaan.
Lelaki pula menjaga masa. Pinggan kotor dibiar seharian.

Perempuan itu pemurah penyayang. Beli barang, dan simpan barang.
Lelaki tak pentingkan diri sendiri. Pertama kereta, kedua gosok baju.

Perempuan itu gemar membaca. Yang dalam fikiran pun mereka tahu.
Lelaki pula gemar mengira. Satu dah kahwin, tiga bujang lagi.

Perempuan itu sukakan lelaki. Cemburu, tak sanggup berkongsi.
Lelaki juga sukakan perempuan. Memburu, cukupkan koleksi.


Kalau diam, tanda setuju.
Kalau senyum, tanda malu.
Kalau marah, tanda mengaku.
Kalau tak faham, tandanya dua alam !

Hahaha..ini untuk suka-suka aja.
Lelaki dan perempuan itukan saling lengkap-melengkapi... ;)



Sumber: Mr.Google

18 March 2012

Hadiah Dari Makkah


Setengah purnama mengejar ibadah
Sahabiah pulang dari umrah
Dicarikan untuknya redha Ya Allah
Dicarikan kami hadiah dari Makkah

Seutas tasbih sehelai sajadah
Tanda ingatan tak sudah-sudah
Nilaian bukan di balutan indah
Wai'ma pada harga nan mewah

Sebanyak mana ingatanmu pada Maha Pemurah?
Sekerap mana dahimu sujud menyerah?
Semuanya ada pada tasbih dan sajadah
...hadiah dari Makkah

Terima kasih wahai Siti Sarah
Membimbing kami mencari hidayah
Ada doa yang kami tadah
Buat bekalan sampai ke Jannah
...Insya Allah :)

17 March 2012

Tujuh Petala Cinta - Filem Sedih


Kesedihan yang pertama.

Cari video Tujuh Petala Cinta di Youtube dan bacalah sendiri komen-komennya. Sedih melihat orang-orang kita yang tak habis-habis mencari ketidaksempurnaan filem ini. Barangkali filem ini belum mampu menepati kehendak syariat 100%. Ah! Aku bukannya ahli untuk bercakap tentang syariat. Bagaimanalah kita mampu berlari ke langit? Baru bertatih sudah digelakkan orang.

"Untuk menghindar kesusahan yang sedikit kerana Tuhan, daripada menanggung kesusahan yang lebih besar. Kalau tak dapat sedikit, janganlah dibuang semua."

Kesedihan yang kedua.

Ada genangan air mata setiap kali melihat kekuatan pada diri Ahmad Fakhruddin Attar. Kuat waima dibuang masyarakat, dibuang pengajian dan dibuang cinta. Semuanya tak mampu dicuci dengan air mata Saidatul Nafisa yang tak henti-henti mengalir.

Kesedihan yang ketiga.

Terbit rasa syahdu mendengar alunan zikir-zikir sepanjang filem. Tiada lagi lagu-lagu OST yang selalunya berkumandang setiap kali tiba babak "punchline". Alunan zikir yang kesemuanya menepati jalan cerita. Membawa khayal ke tingkat tertinggi dan kembali semula kepadaNya.

Kesedihan yang keempat.

Apabila rakan di kerusi sebelah tiba-tiba bertanyakan aku "Sedih juga cerita ni ya? Bergenang air mata ni". Aduhaiiii. Secara peribadi, babak perpisahan antara Attar dan rakan-rakannya yang nakal lebih menyedihkan daripada babak cinta yang lain. Entahlah, cinta dengan kawan-kawan itu lebih mengesankan.

Kesedihan yang kelima.

Kalau kalian tak menonton dan menyokong filem ini. Sedih !!

***

Eh! Tujuh Petala Cinta bukanlah cerita sedih semata-mata. Itu hanya gimik. Ia punya jalan cerita yang sangat baik tentang cinta pada Allah, kekasih, keluarga, teman hatta musuh penjahat juga. Cinta bukan melemahkan tapi menguatkan. Kalau tak pandai menghargai cinta, jangan salahkan filem ini ya.

Selamat menonton :)


18 February 2012

Sabah itu Indah

Menjejakkan kaki ke Sabah adalah sesuatu yang dah lama aku idam-idamkan. Keindahannya dari pantai hingga ke kaki gunung senantiasa memanggil-manggil untuk aku datang. Februari 2012 menjadi saksi: daerah malaysia timur ini ternyata seindah gelarannya - Negeri di Bawah Bayu.

Hari Pertama:
Bandar Kota Kinabalu dan Pasar Filipina.

Matahari terbenam di Tanjung Aru


Hari Kedua:
Pulau Mamutik, Pulau Manukan, Pulau Sapi dan Pulau Gaya

Pulau Sapi

Terima kasih kepada pemandu bot kacak yang sentiasa menjaga barang-barang kami ketikamana kami asyik bermain snorkelling. Bagus Toshio !


Hari Ketiga:
Kinabalu Park, Kolam Air Panas Ranau, Canopy Walk Ranau

Desa Cattle dan Pasar Kundasang.


Hari Keempat:
Shopping ! ;)

Kenderaan beroda yang membawa kami ke sana sini.
Hampir RM400 untuk 4 hari 3 malam.

Istana hinggap keluarga Faiz, tempat kami bermalam selama tiga hari.
Terima kasih Faiz kerana sudi menumpangkan kami di sini !

Tak lengkap ke Sabah kalau tak ke Gunung Kinabalu, kan?
Semestinya kami akan datang lagi, Insya Allah. Peace !


Tak banyak tulisan untuk entri kali ni. Kerana aku tak jumpa perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keindahan Sabah!


17 February 2012

Selut di Tepi Laut



Beginilah langkah hidup. Awalnya selut.
Silap langkah, kaki terbenam ke dalam lumpur.
Silap gerak, jatuh tersembam barangkali tersungkur.
Walau apapun, pengakhirannya akan ada matahari dan laut.


Berfikiran positif itu menyihatkan :)

Cherating 2012