04 January 2011

Tahun Baru di Teluk Cempedak

Sudahkah aku katakan betapa aku cintakan pantai? Bau bayu dan hentak ombak. Saling berkait dan mengindahkan khayalan. Berdiri di depan pantai bagaikan terbang ke alam tanpa masalah. Melegakan.

Tahun baru kelmarin aku bersama tiga rakan bertandang ke Teluk Cempedak di Kuantan. Hampir 4 jam perjalanan dari Kuala Lumpur. Sepanjang petang kami menghabiskan masa menikmati keindahan landskap pantai Teluk Cempedak dan Telok Tongkang. Aku memang dah lama jatuh cinta dengan susunan batu-batu dan jambatan kayu di pesisir pantai Teluk Cempedak ni. Romantis dan mendamaikan. Ilham datang tak henti-henti.

Lewat maghrib kami ke pasar malam Jalan Gambut di bandar Kuantan. Ada wajik, burger oblong dan burger goreng yang tak pernah aku jumpa sebelum ni. Kemudian menginap di Shahzan Inn dengan RM150 semalam. Dibahagi empat orang, memadailah. Tidur gaya orang bujang :)

Hujan lebat mendinginkan pagi seluruh Kuantan. Tapi cuaca tetap berlembut hati dan mengizinkan kami mandi pagi di kolam renang. Usai berdandan diri kami menuju ke Tanjung Lumpur. Perkampungan nelayan di muara Sungai Kuantan yang berlumpur tebal. Di sinilah kami mencari keropok lekor, menikmati sotong goreng tepung dan sata panas buat menghangatkan pagi yang kehujanan. Khabarnya, akan ada projek besar bakal dibina di sini. Barangkali bau ikan di Tanjung Lumpur bakal menjadi kenangan sahaja suatu hari nanti.

Lewat tengahari kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Sempat singgah di Temerloh mengidam gulai tempoyak ikan patin. Niat di hati nak ke Gerai Pak Usop yang terkenal dengan ikan patinnya. Tapi gerai Pak Usop tutup membuatkan kami berpindah ke gerai sekitarnya. Apapun, kemanisan rasa ikan patin tetap menyengat!

Pemandangan pesisir pantai Teluk Cempedak

Tapi kalau mahu mandi, lebih elok kalau kita merentasi jambatan menuju ke Telok Tongkang

Inilah pantai Telok Tongkang yang selalu menjadi tumpuan pengunjung berkelah

Sebelum pulang, jangan lupa singgah di Tanjung Lumpur bertemu nelayan dan hasil tangkapannya di tepi-tepi jalan yakni keropok lekor!


Tarikh 1111 terasa sangat bererti apabila berpeluang merapati alam. Sekian lama kita menjelajah tinggi di awan, tiba masa untuk jejak kaki ke bumi. Teluk Cempedak dan Tanjung Lumpur memberikan aku permulaan tahun baru yang menyegarkan. Ada 365 hari lagi untuk ditempuhi. Hidup seluas lautan bermula dengan satu langkah pertama. Lakukan sekarang! :)

9 comments:

iKhRam said...

pernah sesekali ke pantai ini
tp tak pernah pun berkesempatan utk mandi..

sebab bahaya !! betul ker?

Nizam Ahmad said...

kalau nak mandi lebih selamat mandi di telok tongkang.. teluk cempedak agak bahaya sikit

finyz said...

cantekkk sgt gamba2 tu.
sukeeeeeee!!!

Nizam Ahmad said...

teluk cempedak memang sangat cantik! tapi sayang sebab kurang sesuai untuk mandi manda..

@xiM said...

selamat tahun baru
have a great year ahead!!

Nizam Ahmad said...

selamat tahun baru azim.. keep smiling ok :)

Nizam Awang Brahim said...

Teluk Tongkang dah ande signboard yek.Nampok sangat koi dah lame tak nyinggoh.

Nizam Awang Brahim said...
This comment has been removed by the author.
Nizam Ahmad said...

ha'ah dah ada papan tanda.. baru lagi rasanya kot..