Hari ini 12 Disember 2012 adalah tarikh keramat. Angka 12 yang menjadi nombor bertuah sejak sekian lama digabungkan menjadi 12.12.12 lantas menggenapkan usia menjadi 30 tahun.
Tiada apa yang istimewa melainkan kombinasi nombor-nombor 12 yang tersusun cantik. Tiada apa yang luar biasa untuk dilakukan melainkan pergi bekerja seperti hari-hari Rabu yang sebelumnya.
Tapi aku ada harapan yang telah mengiringi kehidupan sejak 30 tahun yang lepas. Aku berharap untuk terus bergembira dan menggembirakan insan-insan tersayang. Keluarga, teman dan dia semestinya. Terima kasih sayang-sayangku semua! :-)
Pada 12.12.12 tepat jam 12.12 tengah malam, aku ucapkan selamat ulangtahun kelahiran buat diri sendiri. Semoga ucapan ini akan terus mengingatkan aku supaya tidak alpa ditelan usia. Alhamdulillah.
12 December 2012
01 December 2012
Kuakui (Aku Hilang)
Bukan sekali dua pekerjaan di pejabat tidak berlaku adil kepada kita. Selalu sahaja timbunan kerja menzalimi sisi kehidupan yang lain. Melampaui masa, menawar rasa. Mengabaikan dia, melupakan cinta. Lebih parah segalanya berlaku tanpa sedar. Hanya selepas kau membuka mata, kau sudahpun kehilangan dia.
Apa yang aku lupakan; abaikan; tawarkan; bukanlah dia atau sesiapa. Apa yang aku lupakan; abaikan; tawarkan; adalah jiwa raga. Hilang di dalam waktu pejabat dan timbunan kerja. Ketika kau marah-marah, kau sudahpun kehilangan jiwa. Ketika kau menangis diherdik ketua, kau sudahpun kehilangan raga. Dan ketika kau berpura-pura bahagia, kau sudahpun hilang dari lantai dunia!
Aku lebih rela kehilangan kerja. Daripada aku kehilangan diri sendiri.
Katakan padaku kekasih
Ternyata aku yang harus di persalahkan
Ku akui
Aku leka dengan kerjayaku
Mengejar kekayaan di dunia ini
Betapa hancurnya hatimu laluinya
Ku akui
Jika dapatku mengulangi
Perjalanan cintaku bersamamu lagi
Akan ku jaga sebaik-baik cinta ini
Kini ku rasa kehilangan
Ku sedar betapa pentingnya kau di sisi
Yang selalu ada.. yang selalu rindu
Terhadap diriku
- Hafiz / Ajai -
01 November 2012
Melangkau Ufuk
Dapatkah aku melangkau ufuk
Letaknya antara langit dan bumi
Atau mungkin jatuh terperosok
Di tujuh kaki ke dasar bumi
Mungkin juga dihancur rusuk
Di tujuh petala langit kirmizi
Menghantar diri ke jalan pulang
Jalan antara langit dan bumi
Letaknya antara langit dan bumi
Atau mungkin jatuh terperosok
Di tujuh kaki ke dasar bumi
Mungkin juga dihancur rusuk
Di tujuh petala langit kirmizi
Menghantar diri ke jalan pulang
Jalan antara langit dan bumi
19 October 2012
Ingat, Simpan dan Lupakan Botol Minyak Wangi Itu
PASPORT EKSPRES: Filem pendek ini layak mendapat tempat di blog ni. Usaha membawa puisi dan puitis ke dalam filem adalah satu hal yang selalu buat aku bangga. Bak kata Ghazi, "Semua benda yang kita boleh ingat, kita kena simpan". Maka aku ingin simpan filem ini di sini.
"Semua benda yang kita boleh ingat, kita kena simpan" - Rewan Ishak
Ayat ni mengingatkan aku tentang cerita minyak wangi. Betapa sang jejaka menyimpan botol minyak wangi kekasihnya selama bertahun-tahun. Semata-mata untuk menyimpan kenangan. Kenangan cinta yang kini terpisah oleh dua gerabak kehidupan. Akhirnya semalam botol tersebut pecah. Semerbak harum seluruh bilik menerbitkan bau-bau rindu. Air mata sang jejaka pun mengalir. Air mata derita!
"Selagi hidup berjiwa hamba. Pasti tetap dijajah abadi" - Usman Awang
Botol minyak wangi yang pecah menjadi tanda bahawa sang jejaka telah bersedia untuk tidak diingati lagi tentang cerita derita. Bukan bermakna dia akan melupakan, cuma dia tak mahu diingati lagi. Segalanya hanya akan disimpan dan akan diingati pada masa yang sepatutnya sahaja. Eh, "INGAT, SIMPAN & LUPA" adalah tiga perkara berbeza tau.
Jangan diingatkan hal yang buruk. Takut kelak tak boleh lupa.
Jangan dilupakan hal yang buruk. Biar simpan jadi sempadan.
Jangan disimpan hal yang buruk. Bimbang nanti teringat-ingat.
Kalau tak mampu melupakan dia tak mengapa. Tapi buangkan segala hal yang mengingatkan kau tentang dia. Yang perlu kau simpan hanyalah pengajaran. Ah teman, hidup bukan untuk derita! Hayatilah filem pendek ini dan saksikan sendiri bagaimana ia bisa membuatkan kalian tersenyum sendiri :)
"Bukankah kecurigaan itu telah terbunuh ketika kita bersapa?" - Usman Awang.
Jangan dikenang kalau engkau seorang
jangan diingat kalau engkau termenung
mungkinkan hati rasa ragu dan bimbang
tiada siapa akan menolong
Lupakan sudah kisah yang telah lalu
jangan diikut kata hatimu sayang
apalah guna duduk bersedih pilu
cari hiburan sambil berdendang
Hidup kita bukan untuk derita
juga derita tidak selamanya
jangan dibuang usia yang masih muda
agar tak kesal di hari muka
Dunia kita luas indah terbentang
pilihlah satu jalan yang kau sukai
asalkan imanmu tidak bergoncang
semoga tuhan akan memberkati
AHMAD JAIS
1970
16 September 2012
Arca
Arca dicipta untuk mengajar kita melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza-beza. Bukan hanya satu. Jadi mengapa harus ada benci kalau sesekali
kita bercanggah pendapat dan visi? Bukankah Tuhan kita satu?
05 September 2012
Teman Pengganti dan Alter-Ego
Bila dunia seolah tak
memahami
Kau sudi selami, dalami
dan mengalami
Setia mendengar,
sentiasa hadir
Ingat setiap ulangtahun,
setiap hari lahir
Tiba pagi Syawal, kaulah
yang terawal
Syawal yang terakhir ini
pasti rasa janggal
Tujuh puluh ribu hijab
harus ku singkap
Ku sorok kitab balik
tingkap penjara hinggap
Dalam diam ada, seorang
yang ku puja
Kau teristimewa tapi dia
yang sempurna
Dalam facebook dan
twitter tercipta personaliti kita yang alter-ego. Berpura-pura, hipokrit dan
dwi-personaliti. Berusaha untuk menjadi orang lain dengan harapan untuk
diterima masyarakat dan kawan-kawan sekeliling. Dengan harapan kita tidak
dimalukan oleh personaliti kita yang sebenar.
Ya! Alter-ego mungkin
boleh menemukan kasih sayang kita dengan si dia. Ironinya, setelah kita selami,
dalami dan mengalami, kita terpaksa melepaskannya pergi. Membiarkan dia mencari
pengganti yang lain. Segalanya kerana satu rahsia! Rahsia di sebalik alter-ego
yang kita pendam selama ini. Rahsia yang kalau diceritakan akan merenggangkan ikatan persefahaman.
Mengertilah, dalam dunia
ini tak akan ada satu orang pun yang akan bisa memahami diri kita melainkan
jiwa raga sendiri. Memahami diri sendiri akan membuatkan kita menangis sendiri. Kalau kau tak mampu menerima aku seadanya, pergilah. Pergilah kau cari pengganti yang lain...
Di alam maya.
Yang gemuk jadi kurus.
Yang bengkok jadi lurus.
Yang mengungkit jadi tulus.
Yang berjerawat jadi mulus.
Yang tipu jadi halus.
Hidup hanyalah ilusi.
- Tiba masanya aku cari teman pengganti.
Yang gemuk jadi kurus.
Yang bengkok jadi lurus.
Yang mengungkit jadi tulus.
Yang berjerawat jadi mulus.
Yang tipu jadi halus.
Hidup hanyalah ilusi.
- Tiba masanya aku cari teman pengganti.
04 August 2012
01 July 2012
Surat untuk Kekasihku di Bandung
Malam ini aku tuliskan surat untuk
kekasihku di Bandung. Surat pengakuan rasa bersalah dan membuka pekung. Surat
ini aku tuliskan untuk aku layangkan merentasi Selat Melaka. Biar titis hujan
di atas kertasnya menjadi tanda air mata yang gagal diseka. Betapa selama ini
aku sangkakan sendiri-sendiri di Kuala Lumpur sudah mencukupi. Ternyata aku hanya
sesosok orang yang terlalu banyak terdera sepi.
Kekasihku, kalau saja bulu matamu
gugur itu tanda aku merinduimu. Kalau saja hatimu resah itu tanda aku sedang
bimbangkan kamu. Kalau saja alis matamu bergetar itu tanda aku separuh mati
belajar bersendiri.
Kekasihku, bayu dingin Gunung
Tangkuban Parahu biarlah membekukan hatimu. Biarkan hatimu enggan cair pada
pacar lain di kota Bandung. Lava panas di Kawah Ratu biarlah menghangatkan
ingatanmu kepadaku. Biar ingatannya hanya untuk aku di kota Malaysia.
Kekasihku, hiruk pikuk Pasar Baru
biarlah menghilangkanmu dalam ramai. Tapi jangan sesekali menyesatkanmu untuk
kembali ke tanah melayu. Lampu neon Paris Van Java biarlah menerangi
malam-malammu. Tapi jangan sampai membutakan mata matamu untuk melihat aku di
seberang sini.
Kekasihku, biarpun surat ini tidak
berbalas tinta, tetapi memadai untuk menyampai kisah hati. Kisah rindu tidak
tertanggung kepada kekasihnya di Bandung. Berkirimkan doa rindu Nabi Yusof kepada
Zulaikha. Bersama salam untuk Allah menjagamu selalu...
1 Juli 2012
Kuala Lumpur
23 June 2012
Aku Ada Satu Hati
Aku hanya ada satu hati.
Untuk aku beri atau disimpankan saja.
Mohon kau yang tentukan !
Untuk aku beri atau disimpankan saja.
Mohon kau yang tentukan !
Biar sampai hujung nyawa !
05 June 2012
Kerinduan adalah sahabat baik kesunyian
Kerinduan adalah sahabat baik kesunyian. Hadirnya menghilangkan waras. Datangnya tak pernah puas.
Kecintaan adalah sahabat baik kebahagiaan. Hadirnya menghilangkan was-was. Datangnya tak pernah jelas.
Sempurnanya hati memainkan rasa. Hanya akal yang membahagi asa.
Kerinduan adalah sahabat baik kesunyian. Hadirnya menghilangkan waras. Datangnya tak pernah puas !
Seperti mana aku rindukan komen-komen daripada kalian pada setiap entri di sini.
Hehehehe :p
Subscribe to:
Posts (Atom)



