19 October 2012

Ingat, Simpan dan Lupakan Botol Minyak Wangi Itu


PASPORT EKSPRES: Filem pendek ini layak mendapat tempat di blog ni. Usaha membawa puisi dan puitis ke dalam filem adalah satu hal yang selalu buat aku bangga. Bak kata Ghazi, "Semua benda yang kita boleh ingat, kita kena simpan". Maka aku ingin simpan filem ini di sini.

"Semua benda yang kita boleh ingat, kita kena simpan" - Rewan Ishak

Ayat ni mengingatkan aku tentang cerita minyak wangi. Betapa sang jejaka menyimpan botol minyak wangi kekasihnya selama bertahun-tahun. Semata-mata untuk menyimpan kenangan. Kenangan cinta yang kini terpisah oleh dua gerabak kehidupan. Akhirnya semalam botol tersebut pecah. Semerbak harum seluruh bilik menerbitkan bau-bau rindu. Air mata sang jejaka pun mengalir. Air mata derita! 

"Selagi hidup berjiwa hamba. Pasti tetap dijajah abadi" - Usman Awang

Botol minyak wangi yang pecah menjadi tanda bahawa sang jejaka telah bersedia untuk tidak diingati lagi tentang cerita derita. Bukan bermakna dia akan melupakan, cuma dia tak mahu diingati lagi. Segalanya hanya akan disimpan dan akan diingati pada masa yang sepatutnya sahaja. Eh, "INGAT, SIMPAN & LUPA" adalah tiga perkara berbeza tau.

Jangan diingatkan hal yang buruk. Takut kelak tak boleh lupa.
Jangan dilupakan hal yang buruk. Biar simpan jadi sempadan.
Jangan disimpan hal yang buruk. Bimbang nanti teringat-ingat.

Kalau tak mampu melupakan dia tak mengapa. Tapi buangkan segala hal yang mengingatkan kau tentang dia. Yang perlu kau simpan hanyalah pengajaran. Ah teman, hidup bukan untuk derita! Hayatilah filem pendek ini dan saksikan sendiri bagaimana ia bisa membuatkan kalian tersenyum sendiri :)

"Bukankah kecurigaan itu telah terbunuh ketika kita bersapa?" - Usman Awang.

Jangan dikenang kalau engkau seorang
jangan diingat kalau engkau termenung
mungkinkan hati rasa ragu dan bimbang
tiada siapa akan menolong

Lupakan sudah kisah yang telah lalu
jangan diikut kata hatimu sayang
apalah guna duduk bersedih pilu
cari hiburan sambil berdendang

Hidup kita bukan untuk derita
juga derita tidak selamanya
jangan dibuang usia yang masih muda
agar tak kesal di hari muka

Dunia kita luas indah terbentang
pilihlah satu jalan yang kau sukai
asalkan imanmu tidak bergoncang
semoga tuhan akan memberkati

AHMAD JAIS
1970


No comments: