26 September 2005

Kepadamu Sahabat

Meskipun kadang-kadang
Bicara kita sering bertentangan
Namun aku tahu
Kita mencari
Satu kebenaran dan keberanian
Untuk mengenal dirinya sendiri
Di antara bangun dan jatuhnya
Mereka di sisi kita.

Kepadamu sahabat
Janganlah kaurasa kehilangan
Kiranya aku akan berundur
Menarik diri dari satu pertemuan
Kerana mungkin satu perpisahan
Akan menjadikan kita
Saling mengenal
Erti kerinduan dan kejujuran.


Munirah Sidek
Tugu Cinta – Dharmawijaya 1988


...maafkan aku teman, jika aku tidak layak bergelar sahabat.

25 September 2005

Karnival Sukan Universiti 2005

Aku baru sahaja pulang dari menghadiri Malam Penutup Karnival Sukan Universiti 2005 (University Sports Carnival). As-Siddiq kembali merampas piala pusingan Juara Keseluruhan daripada kami. Piala yang mereka pernah julang tiga tahun yang lepas. Aku tak mahu bercerita soal menang dan kalah kerana itu adat bertanding, tetapi aku ingin bercerita dari sudut persiapan dan pengurusan MRC Ali dalam menghadapi cabaran sebesar ini. Apakah mereka sudah benar-benar siap siaga untuk menghadapi ujian yang lebih hebat akan datang?


Karnival Sukan kali ini dah bermula semenjak hari Isnin lepas, dan dari hari pertama lagi kami mengalami kekalahan dalam kesemua acara yang dipertandingkan. Kata Che Rus, kalau hari pertama sudah kalah, selalunya semangat akan luntur dengan mudah dan kekalahan akan terus datang bertimpa-timpa. Namun apa yang aku lihat, semangat atlet tetap berkobar-kobar (walaupun mereka tidak menang), tetapi malangnya semangat MRC Ali pula yang semakin turun. Semakin ke penghujung karnival, penglibatan exco-exco MRC Ali semakin berkurangan. Kalau sampai aku sendiri terpaksa tidur di pejabat kolej demi menyempurnakan persiapan, itu bermakna bantuan aku amat diperlukan. Kalau tidak, aku tak sanggup menghadap Che Rus lagi selepas ini. Che Rus dan Ustaz Fauzi terlalu bersungguh-sungguh hendak membantu persiapan kontinjen Ali, tetapi sesetengah MRC Ali pula ada yang cuba berlagak bodoh sombong. Tidak tahu tapi tak mahu bertanya. Tidak ingat, dan tiada siapa yang memperingatkan. Tidak berpengalaman, tetapi tak mahu mencari pengalaman. Idea orang lain tak mahu diterima, sedangkan diri sendiri pula tak mahu memberikan idea.

Aku dan rakan MRC sesi lepas telah menjangkakan bahawa usaha kami untuk mengekalkan kejuaraan Ali tahun ini amat sukar kerana ramai atlet berpengalaman telah menamatkan pengajian mereka di Taman Ilmu dan Budi ini. Tanyalah sesiapa sahaja; Aron, Matpot, Zool, Mior, Nan atau kapten-kapten sukan terdahulu. Itu jugalah ramalan mereka. Justeru, kami menukar strategi. Caranya adalah dengan membakar semangat warga Ali dan MRC Ali 2005/2006 kali ini agar berusaha habis-habisan demi mengekalkan kejuaraan yang telah dua tahun kami genggam. Kami war-warkan hasrat untuk menjadi juara dalam setiap mesyuarat, perhimpunan, atau semasa pendaftaran pelajar-pelajar baru. Moga-moga, mereka akan menanam tekad untuk menjadikannya satu realiti. Tidak hanya berserah kepada takdir. Sekurang-kurangnya, Mahallah Ali bukanlah yang tercorot kedudukannya, dan kalau kalah pun dengan maruah. Dan aku tak kisah kami menang atau tidak, kerana kalau kami menang itu adalah satu keajaiban, tetapi kalau kalah itu bukanlah satu kejutan.

Strategi ini agak berkesan. Kami berjaya juga membawa pulang satu emas (bola keranjang) dan satu perak (tarik tali) daripada tujuh acara yang dipertandingkan. Namun isu semangat setiakawan dan kerjasama sesama ahli MRC Ali tetap menjadi permasalahan. Apakah MALiC '05 tidak berjaya memberikan impak positif kepada mereka? Apakah mereka tidak ditunjuk ajar? Apakah mereka terlalu sibuk dengan dunia pelajaran hingga memaksa segelintir MRC Ali membuat kerja berseorangan sehari semalam? Aku rasa, Faizal lebih faham tentang ini. Dan aku rasa dia lebih layak untuk menyelesaikan masalah ini.
Kemenangan hanyalah pembakar semangat untuk kita sentiasa lebih bersungguh-sungguh. Tapi janganlah kekalahan menjadi peluntur semangat kita pula.
Satu perkara menarik yang berlaku malam ini. Nama Mahallah Ali agak tenggelam (kerana kami tak banyak menang pingat). Ini membuatkan kolej-kolej lain "menolong" sorak-soraikan nama kolej kami. Kononnya kasihankan kami yang hanya membisu di tengah padang setiap kali keputusan pertandingan diumumkan. Malah, kerap kali mereka bertanyakan: "Ali menang apa?" Ternyata mereka terasa kehilangan nama Ali yang sebelum ini gah dijulang di acara-acara lain tetapi tidak pula malam ini. Aku tak terhina dengan perlian mereka itu, tapi aku bangga kerana nama Ali tergolong sebagai pesaing paling hebat buat mereka. Sekali kami menyepi, mereka sudah terasa kehilangannya. Sebenarnya, di mana nama Mahallah Ali malam ini ya? ...Mungkin kami sudah berada di dalam kelasnya yang tersendiri...
Apa-apapun, TAHNIAH kepada seluruh warga Ali dan MRC Ali yang tidak jemu-jemu menjaga nama baik Mahallah Ali!!! Moga-moga kerja keras kita diberkati Allah dan memberikan kesan positif pada masa akan datang.
Zasfirul (kapten tarik tali), Mohsein (maskot rajawALI), acap (ketua kontinjen Ali) dan aku (presiden pencen).

12 September 2005

MALiC 2005


Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Namun, aku tak nafikan banyak cacat celanya juga sepanjang aku mengendalikan program "group binding" ni terutamanya dari sudut keberkesanan modul-modul yang digunakan. Semua modul aku ambil dari internet (terima kasih kepada Jai ex-MRC 04/05). Dan pening kepala juga nak pilih modul yang sesuai. Tak tahulah sama ada modul yang aku pilih sesuai dan efektif ataupun tidak. Tapi, nasib baik sangat-sangat bebudak MRC Ali ni semuanya sporting. Sekurang-kurangnya, mereka tak tidur semasa program. Lagi satu, mereka memberikan kerjasama yang cukup baik untuk meringankan sikit kerja yang aku perlu buat.
Semasa zaman perkhidmatan aku dulu, aku ralat sangat-sangat sebab tak sempat mengadakan sebarang aktiviti group binding. Jadi, aku tekad tahun ni aku akan usahakan sungguh-sungguh agar MRC kali ini tak menerima nasib yang sama. Tak mahu lagi usaha yang bertangguh-tangguh terbengkalai begitu saja. Bak kata Mohsein, kalau tak dapat semua, jangan buang semua. Walaupun sedikit, hasilnya tetap mampu memberikan manafaat.
MALiC 05 pada aku antara group binding yang paling menyeronokkan yang pernah aku sertai sebab:
- semuanya lelaki, tetapi mereka semua tetap memberikan kerjasama yang agak diluar jangkaan aku.
- ada campurisation of feeling: marah, sedih, gembira, terkilan, terharu, simpati, semua lah.
- baju program selesa dan cantik dengan harga cuma RM 15
- bbq sedap giler walaupun kosnya cuma RM 10 seorang!
- jungle trekking buat aku mengantuk, yang tak pernah aku alami dalam jungle trekking di tempat-tempat lain.
- semasa jungle trekking juga, kitorang berehat lama di kawasan yang digelar Jajahan Ali kerana banyak pokok tongkat ali kat situ (tak jumpa pulak Jajahan Sidik ke, Uthman ke, Bilal ke... hehehe)
- aku belajar perkataan baru: community menggantikan perkataan committee.
- aku nak terjun mandi dalam kolam, tapi tak dapat sebab takut badan penat lantas tak dapat kendalikan program sehabis baik selepas mandi manda tu(seronok ke nih?)
- dapat dengar ustaz Fauzi menyanyi
- dapat tengok ustaz Burhan berjiwang dengan Yad (hahahaha! kebetulan je tu, jangan marah ya Yad)
dan banyak lagi kot.. nanti aku fikir-fikirkan lagi.
Lagi Gambar:

05 September 2005

Cerita Amir

Cuti mid-semester dah tiga hari berlalu. Sedikit sebanyak memberikan aku masa untuk menarik nafas dengan lebih sempurna. Jam 3.30 petang tadi Amir ajak aku keluar (berfoya-foya kata dia). Tiba-tiba aku teringat yang dah lama aku tak keluar dari kepompong UIA ni untuk meninggalkan sekejap hal-hal rutin harian aku sebagai pelajar. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, aku setuju. Kebetulan segala kerja aku hari ini dah pun aku selesaikan pagi tadi, jadi aku ajak Amir keluar makan tengahari kat Sri Gombak. Lagipun masa cuti macam ni, kafe-kafe dalam UIA kebanyakannya tutup. Kalau buka pun, tak akan dapat memenuhi selera aku. Tapi, entah macamana kitorang melencong ke MidValley pula, makan kat sana dan terus pergi tengok wayang cerita “She’s On Duty”. Kelakar tapi “touching”. Filem dari negara yang sememangnya tak pernah menghampakan aku jika mereka menghasilkan filem – Korea (Utara ke Selatan aku tak tahu – ada beza ke?).

Hari ini aku nak bercerita tentang cerita Amir. Mendengar cerita Amir sepanjang kami keluar berdua hari ini membuatkan aku semakin susah hendak mengenali isi hati manusia. Mungkin kerana itu aku suka mendengar cerita Amir, sekurang-kurangnya membantu aku untuk cuba mengenali hati budi manusia. Agungnya Tuhan yang menciptakan manusia berbeza-beza untuk saling kenal mengenali.

Amir kata – bila ada orang yang dia berkenan, tapi mereka tak dapat menerima dia.

Amir kata – bila ada yang berkenan kat dia, tapi dia pula tak dapat terima mereka.

Amir kata – “dia” layan Amir seperti lebih daripada seorang kawan, tapi Amir dan "dia" tak mungkin dapat jadi lebih daripada kawan.

Amir kata – “dia” inginkan seorang yang matang dan berkarisma, tapi “dia” tak mampu memiliki seorang yang sebegitu setakat ini.

Amir kata – terlalu banyak kenangan yang “dia” ciptakan bersama Amir yang tak pernah “dia” lakukan bersama orang lain, tapi “dia” tetap mahu Amir menjadi sekadar seorang kawan baik dalam hidup dia.

Amir kata – “dia” ego kerana tak mahu mengaku yang “dia” dan Amir bukan sekadar kawan, tapi “dia” pula kata Amir yang degil kerana tak mahu berhenti daripada memenangi hati “dia”.

Apa kesudahannya ya? Cerita Amir membuatkan aku teringat kisah Shahran (aku ternampak Shahran di Mid Valley tadi bersama “seseorang” yang baru). Cerita Amir membuatkan aku sedar rupa paras yang sempurna bukan penentu kejayaan dalam ujian cinta. Cerita Amir membuatkan aku terfikir susah juga jadi lelaki kacak ni ya - terlalu mudah dicap playboy, dikecam hasad dengki. Cerita Amir membuatkan aku tambah bersyukur dengan apa yang aku miliki sekarang ini. Cerita Amir membuatkan aku menulis blog ini hari ini. Apa-apapun pastikan kau tahu apa yang kau lakukan. Ingat, jalan mesti ke depan, bukan ke belakang. Sampai bila cerita kau ni nak habis Amir?