27 February 2008

Jangan Kalah dan Kalah

Hari Kraf Kebangsaan 2008 sepatutnya dijadual berlangsung minggu ni bermula 28 Februari. Malangnya terpaksa ditunda dek pilihanraya umum yang sedang berperang poster mengempang kekalahan. Jadi aku ada sedikit ruang untuk memenangkan diri sendiri. Sedikit ke? Banyak jugalah hehe.

Aku dimaklumkan Mahallah Ali kalah dalam Inter-Mahallah Cultural Week (IMCW) tahun ni. Mahallah paling bongsu yakni Mahallah Zubair berjaya menjadi Johan. Tahniah untuk semua yang telah melakukan yang terbaik demi Mahallah masing-masing terutama kepada Mahallah Ali. Mujur IMCW masih diteruskan kesinambungannya walaupun ada cakap-cakap yang mengatakan mahu menghentikannya terus. Kalau betul cara koordinasi dan pengawalannya, tiada apa yang akan melampaui batas kan? Bukankah kaca-kaca tajam itu sepatutnya sudah mengajar kita erti luka sepanjang hayat?
Tahniah untuk Kumpulan Angklung UIAM yang dipilih sebagai persatuan terbaik untuk kategori Unit Kebudayaan UIAM. Sudah dijangkakan susah untuk kumpulan Zapin merebut anugerah ni. Zapin hanya disenaraipendekkan bersama-sama Gamelan dan itupun kami dah bersyukur. Tahun depan pula hehe.
***

Aku baru melangsaikan hutang dengan novel Curahan Cinta Niagara tulisan Maya Iris. Jalan ceritanya menarik dengan konflik yang bermacam bagai. Unsur Islami diserap perlahan-lahan moga-moga terkesan di hati pembaca. Dan aku mengakui sedikit sebanyak berbekas juga dalam kepala otak aku yang makin berkarat ni hehe.

Tapi...
Semenjak khatam Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor, aku sangat merasakan novel-novel yang aku baca sekarang tak mampu melawan kehebatan ketiga-tiga karya Andrea Hirata tu. Tulisan Andrea Hirata membuatkan aku membaca sebutir-sebutir perkataan yang dia tulis sebab setiap perkataan tu sangat memberi makna dan indah-indah belaka olah bahasanya. Tak sama dengan novel-novel yang selalu aku baca selama ini yakni secara "speed reading", tak perlu ditelan setiap butir perkataan kerana kita sudah faham maksud keseluruhan yang nak disampaikan. Jadi kadang-kadang aku hanya membaca kosong. Hanya berusaha menoktahkan jalan cerita.

Apa aku terlalu mengagungkan karya Indonesia? Ah perbandingan gaya penulisan antara Malaysia dan Indonesia sudah selalu sangat dicerita-ceritakan. Malahan seorang teman berwarganegara Malaysia sangat bangga menyatakan dia hanya membaca buku-buku penulis Indonesia. Dan aku belum sampai ke tahap itu. Kata Andrea Hirata, antara manusia yang perlu diprasangkakan adalah penerbit buku. Apakah itu yang sedang berlaku di Malaysia? Atau orang Malaysia hanya rajin menulis blog tapi susah nak membaca dan menulis buku. Macam aku... sipi-sipi haha!
Apapun, selagi semangat masih ada, perteruskanlah. Bukankah orang yang hanya menyerah pada nasib adalah orang yang kalah dan kalah?

11 February 2008

UIAM kena GAM ..!


Satu tindakan yang sangat menyedihkan. UIAM digam daripada menyertai mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), sebuah majlis yang ditubuh untuk menggerakkan aktiviti kebudayaan di IPTA seluruh Malaysia. Punca jadi adalah skrip pasukan UIAM yang bertanding di Festival Teater Makum pada 18 Januari 2008 lepas dikatakan menghina sensitiviti Krajaan.

Seorang teman dari UTM yang menyaksikan teater tersebut menyatakan “Bukanlah apa-apa sangat isunya. Biasa-biasa sahaja. Siapa yang makan cili dia rasakanlah pedasnya.” Isu birokrasi adalah antara subjek utama pasukan teater UIAM. Satu isu yang telah lapuk malah aku rasa Krajaan sendiripun mengakui kewujudannya. Dalam Krajaan 10% pekerjanya berada pada tahap prestasi yang di bawah par. 10% inilah yang mencalit nama buruk kepada kerajaan. Bak kata Pak Lah, rakyat mengkritik bukan kerana mereka bencikan Krajaan, tapi kerana sayang. Dengarlah masalah rakyat - kata Pak Lah.

Pada aku tindakan ini sangat mengecewakan terutamanya kepada pasukan kebudayaan UIAM yang lain selain daripada teater. Aku yang pernah bergelumang dalam arena MAKUM sangat merasakannya. Kasihan kepada pasukan pantun, pengdeklamator sajak dan puisi, kumpulan nasyid, terbaru zapin, dan apatah lagi teater yang saban tahun meletakkan MAKUM sebagai medan utama untuk mengukur aksi.

Aku tertanya-tanya sendiri, bukankah skrip perlu melalui proses penapisan di peringkat universiti dan juga di peringkat MAKUM selaku penganjur? Tidak termasuk sesi raptai yang sepatutnya diawasi pegawai-pegawai jawatankuasa. Mengapa selepas dipentaskan baru isunya timbul? Adakah panel yang sedang menapis skrip tidak merasakan isu sensitif yang dibawakan, tetapi tiba-tiba ahli panel itu menjadi sangat sensitif apabila persembahan UIAM ditegur oleh orang-orang besar Krajaan? Tiba-tiba mereka bersepakat. Ya! Ini isu sensitif. UIAM harus dihukum kerana terlalu kreatif dan terlalu berfikiran terbuka. Tapi tuan, tolonglah hukum orang yang sepatutnya. Bukan kepada kami yang berjuang memartabatkan seni budaya negara secara percuma. Terhina sungguh rasanya kerana rupanya selama ini kehadiran kami hanya dipandang begitu begitu! Ada tak mengapa, tak ada pun tak mengapa.

Walau apapun, kalau benar kesalahan terkandar pada bahu UIAM dan pasukan teater, ada sesuatu yang UIAM harus lakukan untuk membantu. Mereka mesti membantu semua pasukan kebudayaan yang lain meneruskan aktiviti mereka. Jangan biarkan pasukan ini tiba-tiba senyap sunyi tanpa platform untuk membuat persembahan kononnya atas apa sahaja alasan yang memualkan. Memang MAKUM pemberi semangat, tapi sekarang kita harus mencari punca semangat kita sendiri. Engkau rakyat terbuang, maka pandai-pandailah menanam padi mencari nasi.
Tapi tak mengapalah. Perkara semacam ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh mereka yang takut dengan bayang-bayang sendiri.