20 September 2008

Cinta di Hari Raya

Cinta yang wujud dalam sebuah tindakan agung adalah: "memaafkan"

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir dan Batin
...Untuk Semua Yang Membaca Entri Ini :)

Ini tahun pertama aku akan mengagih-agihkan duit raya hehehe. Tahun pertama berasa teruja untuk membelanjakan duit gaji untuk ahli keluarga dan anak-anak saudara. Ironinya, ini juga tahun pertama untuk mak dan ayah berpuasa berdua sahaja di kampung sebab semua anak-anak dah merantau mencari ilmu dan rezeki di negeri orang. Adik aku yang paling bongsu baru sahaja memulakan pengajian di KPTM Cheras. Makanya, kadang-kadang kalau ayah aku bekerja malam, mak akan berbuka puasa seorang diri di rumah. Semua ini sudah dijangkakan. Barangkali suatu masa nanti aku juga akan berpengalaman yang sama. Tapi hari raya tetap hari untuk bergembira. Hari untuk melengkapkan yang terkurang. Gembirakanlah insan-insan yang kita sayang selama mana mereka hidup. Selama mana mereka masih mampu untuk menikmatinya. Selamat penuhkan puasa yang berbaki beberapa hari lagi. Dan selamat menikmati hari kemenangan...

15 September 2008

Tentang Sahabat

Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.. tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitu juga dia.

Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerang keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.

Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti.... kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan, 'memaksa' dia menerima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya?

Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita. Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?
Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah? Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan?

Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan, disebalik kesenangannya, mungkin tersimpan seribu kekalutan, kita tidak tahu.......tetapi jika kita cuba.... jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.
'Bergaullah sesama manusia dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada, mereka akan rindu kepada kamu dan jika kamu mati mereka akan menangisimu'


- Atikel ni aku jumpa berlambak-lambak dalam internet. Tak tahu siapa penulis asalnya. Tapi isinya menarik kerana jarang-jarang orang berbicara dari persepsi semacam tu. Sedikit sebanyak aku terkesan dengan penulisannya yang ringkas tapi sungguh memberi makna. Mengertikan kawan, persahabatan tanpa syarat itu adalah yang terindah =)

05 September 2008

Antara Dua Mata


Apakah anda tahu hubungan antara 2 biji mata anda?

Mereka berkelip bersama, bergerak bersama, menangis bersama, melihat bersama dan tidur bersama malah menutup pandangan terakhir pun bersama meskipun mereka tidak pernah melihat antara satu sama lain...

Kecuali melalui cermin untuk menilik kekurangan satu sama lain, menjaga sakit satu sama lain, mencantikkan satu sama lain, mencerahkan satu sama lain.

Kawan seharusnya seperti itu.

Saling memerlukan. Saling mempedulikan.

Kawan,
Aku tak mahu jadi yang pertama atau yang terakhir dalam hidup kamu. Tapi aku mahu jadi yang paling bermakna dalam hidup kamu.

Barangkali aku bukan yang pertama dalam segala hal tentang kamu. Tapi janganlah aku jadi yang terakhir diberitahu segala hal tentang kamu. Kerana aku tak mahu terlalu lewat dalam segala hal tentang kamu.

Bagaimana kebahagiaanku adalah mendengar suaramu, memandang wajahmu, dan melampaui kenangan bersamamu :)