29 November 2004

Seribu Satu Perangai Residen Mahallah Ali

Hari pertama memulakan rutin biasa sebagai seorang pelajar di taman ilmu dan budi ini. Kalau di sekolah, hari pertama bukan pemulanya, tapi disini, hari pertama dah dapat assignment pun. MRC sepastinya tetap setia menunggu kehadiran aku di Mahallah Ali ini. Bilik MRC pun dah lama tak dijenguk. Alhamdulillah, permintaan kami untuk mendapatkan penyidai baju tambahan di kolej ini sudahpun dipenuhi. Harapnya residen akan menggunakan sebaik mungkin.

Satu perkara yang menarik tentang residen di Mahallah ini, mereka akan cepat melenting apabila ada pihak lain gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Contohnya, tandas kotor, water-cooler rosak, mesin basuh tak disediakan, maintenance report lambat tindakannya, dan macam-macam lagi. Abang Fahmi, Kak Wan dan Che Rus kat Pejabat ni dah banyak kali terguris hati dek kekasaran kata-kata mereka.

Aku pun pernah ditengking. Tanpa salam aku dicerca di bilik MRC oleh seorang yang aku kenali baik dengan kopiahnya dan kerap kali aku tengok mengikuti jemaah tabligh di surau. Maaf, bukan hendak memalukan jemaah ini, tapi kalau mereka pun boleh buat macam itu, apatah lagi budak-budak lain yang lebih otai daripada itu. Aku tak kisah apa orang nak komplen sebab memang tugas MRC menjadi tempat mengadu, tapi apa salahnya bagi salam dulu dan cakap elok-elok supaya senang aku nak faham.

Selepas melenting, mereka seolah-olah lupa bagaimana mereka jugalah yang tanpa rasa bersalah membuang sampah ke luar tingkap, memecahkan TV kolej, mencuri kerusi di bilik mesyuarat kolej, membuang sampah merata-rata (boleh tengok di depan bilik TV, kiosk dan bilik MRC setiap pagi), squatting, 30% tak check-in setiap semester, dan banyak lagi yang tak larat nak dituliskan. Jangan terkejut kalau aku katakan hampir 60% bilik di mahallah ini ditinggalkan dalam keadaan kotor setiap kali cuti semester berdasarkan pengalaman aku sebagai part-timer kat mahallah ini semenjak setahun yang lepas. Dan termasuk 20% yang amat kotor sehingga terpaksa minta tolong cleaner bersihkan. Semua ini mencerminkan peribadi mereka yang tidak tahu menghargai apa yang telah diberikan.

Kekadang, terdetik juga di hati aku ini... " patutlah kita mengalami macam-macam masalah di mahallah ini.. mungkin ini balasan atas kelalaian kita". Walaupun tidak semua yang melakukan perbuatan tak bermoral ini, tapi balasannya tetap milik semua. Kami malu apabila pegawai IP-FMS meminta kami turut membantu mereka mengurangkan vandalism di mahallah ini tatkala kami membuat aduan tentang kelembapan servis mereka (maintenance and cleanliness). Orang kata, ibarat meludah ke langit. Tanggungjawab sendiri tak ditunaikan, hendak mengimpikan kesempurnaan hidup pula.

Che Rus (Asst. Manager Mahallah) kerap kali berkata, kalau semua pelajar mampu mengikut disiplin mahallah, dia akan menjadi orang pertama menentang reshuffling (perpindahan bilik setiap tahun). Kalau residen tetap dengan perangai mereka dan reshuffling berjaya dihapuskan, empat tahun mereka dalam bilik itu, empat tahunlah bilik itu akan penuh dengan segala sarang binatang. Empat tahunlah mereka tak akan check-in and out, tak tahu sama ada masih hidup ataupun tidak dalam bilik itu. Lepas grad, hilang macam itu saja. Maklumlah, pejabat kolej pun dah tak ingat di mana.

Walau apapun, MRC tetap dengan perjuangannya. Membantu residen, dan membantu UIAM.
Tetapi, kalau residen mahallah yang berjumlah hampir seribu ini tak mampu mendidik diri sendiri, MRC yang cuma seramai 22 orang tak mampu merealisasikan impian semua orang. Nanti, jangan kata MRC tidak menjaga kebajikan residen. Kepada yang selalu memberikan input positif secara berhikmah terhadap kami melalui komen dan komplen, terima kasih kami ucapkan. Insya Allah, akan kami tunaikan mana-mana yang relevan.

Semester ini, kami akan teruskan perjuangan kami melupuskan masalah tandas kotor. Ternyata memorandum tak berhasil, selepas ini kami akan gunakan cara lain pula. Akan datang, kami akan keluarkan kertas cadangan untuk:
1. Memasang gril untuk tingkap di setiap bilik di level satu.
2. Memperbaiki mutu landskap.

Tolonglah kami untuk menolong anda...
MRC - We Care, We Share


No comments: