19 September 2010

Balada Anak Bujang (terlajak..?)

sebelum kau tanya aku hal nikah
pernahkah kau rasa perit terluka?

sebelum kau tanya aku makna perkahwinan
pernahkah kau rasa sakit dipermainkan?

sebelum kau gebang indahnya hidup berdua
tanya dulu bagaimana aku melayan sengketa?

sebelum kau gebang bercinta manis selalu
tanya dulu bagaimana aku menepis cemburu?

sebelum kau berperi bahawa jodoh perlu dicari
mengapa kau bercerai ketika inai merah di jari?

sebelum kau berperi bahawa sendiri itu sepi
mengapa kau menangis tatkala berkongsi suami?

sebelum kau katakan aku mencipta alasan
bukankah elok kau bantu aku mencari pasangan?

sebelum kau kenalkan kawanmu nan seribu
bukankah elok kau sahaja yang kahwin dengan aku?!

***

Hahaha. Ini sekadar idea spontan selepas acapkali mendengar pelbagai luahan rasa kawan-kawan yang senasib seperti di atas. Tiada kena mengena dengan yang hidup atau mati. Dan sunnah nabi meramaikan umat itu tetaplah wajib diteruskan. Selamat menyambut musim orang kahwin. Kepada yang bakal ataupun dah kahwin, jagalah pasangan baik-baik. Kepada yang bujang, selamat mengumpul koleksi kad kahwin untuk ilham pada masa depan :)


Dijemput semua kenalan ke Dewan MDL Kuala Lipis pada 09.10.10 sempena majlis adik aku yang bakal melangkah bendul abangnya hahaha. Maaf tak ada kad kahwin sebab bukan aku yang kahwin pun hehehe.

16 September 2010

Aku Nak Kahwin..!

Azam raya tahun ni aku nak kahwin! Sebab hari raya di KL agak menyedihkan untuk orang macam aku. Asyik kena tinggal seorang diri di rumah. Kawan, tolong perkenalkan aku dengan siti vios ataupun fatimahonda takpun nurul myvi. Aku mahu kahwin dengan salah sebiji daripada mereka. Sebab aku belum punya kereta sendiri untuk melaram pergi beraya :(

Eh lesen pun belum daftar lagi ni huhu~

06 September 2010

Hari Raya Saya

Sejak kecil lagi hari raya adalah hari yang saya nanti-nantikan. Pada hari inilah saya akan menerima duit raya, merasa pelbagai jenis makanan yang hanya ada pada musim raya, dibelikan baju baru berwarna-warni serta dimeriahkan dengan seribu satu jenis mercun dan bunga api. Itulah kegembiraan pada hari raya. Itu adalah kebahagiaan hari raya.

Tahun ini hari raya datang lagi untuk kali ke 28 dalam sejarah hidup saya. Tapi kini, hari raya pada saya adalah hari untuk membelikan aneka jenis kuih raya buat ibu di kampung, menghadiahkan baju raya buat adik beradik dan menghulurkan duit raya seikhlas mampu. Cuma maaf saya tak gemar membelikan mercun hehehe.

Memberi dan memberi. Itu adalah hari raya yang penuh bahagia untuk saya sekarang. Melihat mereka tersenyum puas adalah puncak kegembiraan untuk saya. Raya awak bagaimana?

Tapi dari dulu sampai sekarang, nasi impit dan kuah kacang tetap menjadi pilihan pertama saya pada hari raya. Pilihan seisi keluarga juga! Masakan kepakaran mak sejak dulu! SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN buat semua pembaca oranglipis.blogspot. Lusa saya akan pulang ke Kuala Lipis. Hati-hati ya :)