25 March 2012

Lelaki vs. Perempuan

Perempuan itu pemalu orangnya. Mereka sanggup menahan kentut.
Lelaki pula sihat belaka. Mereka menjaga saiz perut.

Perempuan itu berjimat cermat. Sekali belanja berlama-lamaan.
Lelaki pula menjaga masa. Pinggan kotor dibiar seharian.

Perempuan itu pemurah penyayang. Beli barang, dan simpan barang.
Lelaki tak pentingkan diri sendiri. Pertama kereta, kedua gosok baju.

Perempuan itu gemar membaca. Yang dalam fikiran pun mereka tahu.
Lelaki pula gemar mengira. Satu dah kahwin, tiga bujang lagi.

Perempuan itu sukakan lelaki. Cemburu, tak sanggup berkongsi.
Lelaki juga sukakan perempuan. Memburu, cukupkan koleksi.


Kalau diam, tanda setuju.
Kalau senyum, tanda malu.
Kalau marah, tanda mengaku.
Kalau tak faham, tandanya dua alam !

Hahaha..ini untuk suka-suka aja.
Lelaki dan perempuan itukan saling lengkap-melengkapi... ;)



Sumber: Mr.Google

18 March 2012

Hadiah Dari Makkah


Setengah purnama mengejar ibadah
Sahabiah pulang dari umrah
Dicarikan untuknya redha Ya Allah
Dicarikan kami hadiah dari Makkah

Seutas tasbih sehelai sajadah
Tanda ingatan tak sudah-sudah
Nilaian bukan di balutan indah
Wai'ma pada harga nan mewah

Sebanyak mana ingatanmu pada Maha Pemurah?
Sekerap mana dahimu sujud menyerah?
Semuanya ada pada tasbih dan sajadah
...hadiah dari Makkah

Terima kasih wahai Siti Sarah
Membimbing kami mencari hidayah
Ada doa yang kami tadah
Buat bekalan sampai ke Jannah
...Insya Allah :)

17 March 2012

Tujuh Petala Cinta - Filem Sedih


Kesedihan yang pertama.

Cari video Tujuh Petala Cinta di Youtube dan bacalah sendiri komen-komennya. Sedih melihat orang-orang kita yang tak habis-habis mencari ketidaksempurnaan filem ini. Barangkali filem ini belum mampu menepati kehendak syariat 100%. Ah! Aku bukannya ahli untuk bercakap tentang syariat. Bagaimanalah kita mampu berlari ke langit? Baru bertatih sudah digelakkan orang.

"Untuk menghindar kesusahan yang sedikit kerana Tuhan, daripada menanggung kesusahan yang lebih besar. Kalau tak dapat sedikit, janganlah dibuang semua."

Kesedihan yang kedua.

Ada genangan air mata setiap kali melihat kekuatan pada diri Ahmad Fakhruddin Attar. Kuat waima dibuang masyarakat, dibuang pengajian dan dibuang cinta. Semuanya tak mampu dicuci dengan air mata Saidatul Nafisa yang tak henti-henti mengalir.

Kesedihan yang ketiga.

Terbit rasa syahdu mendengar alunan zikir-zikir sepanjang filem. Tiada lagi lagu-lagu OST yang selalunya berkumandang setiap kali tiba babak "punchline". Alunan zikir yang kesemuanya menepati jalan cerita. Membawa khayal ke tingkat tertinggi dan kembali semula kepadaNya.

Kesedihan yang keempat.

Apabila rakan di kerusi sebelah tiba-tiba bertanyakan aku "Sedih juga cerita ni ya? Bergenang air mata ni". Aduhaiiii. Secara peribadi, babak perpisahan antara Attar dan rakan-rakannya yang nakal lebih menyedihkan daripada babak cinta yang lain. Entahlah, cinta dengan kawan-kawan itu lebih mengesankan.

Kesedihan yang kelima.

Kalau kalian tak menonton dan menyokong filem ini. Sedih !!

***

Eh! Tujuh Petala Cinta bukanlah cerita sedih semata-mata. Itu hanya gimik. Ia punya jalan cerita yang sangat baik tentang cinta pada Allah, kekasih, keluarga, teman hatta musuh penjahat juga. Cinta bukan melemahkan tapi menguatkan. Kalau tak pandai menghargai cinta, jangan salahkan filem ini ya.

Selamat menonton :)