29 June 2008

Akademi Nasyid Minggu 2

Konsert kedua Akademi Nasyid nampak lebih tenang kali ini. Taklah aku tercungap-cungap mengejar skrip Hafiz sang pengacara sepertimana minggu lepas.

Azhan terus menjadi pilihan utama aku. Azhan tetap memukau. Sangat original dan sangat mengesankan. Bikin meleleh air mata hehe. Entah berapa puluh kali aku sudah mendengar lagu Kepadamu Kekasih dinyanyikan. Tetapi Azhan telah memberikan sentuhan yang paling terbaik untuk lagu ini. Menewaskan M. Nasir, Ramli Sarip, Siti Nurhaliza apatah lagi Mawi. Aku menjangkakan Azhan akan semakin berani dan berkeyakinan. Jika itu benar, Azhan bakal bergelar juara.

Tiga Terbawah (Bottom Three)
Persembahan Sofeya pada minggu lepas sebenarnya lebih baik daripada minggu ini. Prestasi mereka sedikit menurun dan penyingkiran menjadi hukuman. Kali ini aku terperasan salah seorang ahli kumpulan Farhan memiliki lontaran suara yang sangat tinggi. Meremang bulu roma mendengar suaranya. Tapi kelebihan itu membuatkan harmoni suara mereka bertiga adakalanya tidak seimbang. Namun terlihat peningkatan pada persembahan mereka minggu ini. Aiman pula semakin sengau hingga lirik lagu menjadi tidak jelas. Justeru aku kira, walaupun Aiman berada di kedudukan carta sms yang sangat selamat, namun dia gagal mendapat markah yang tinggi daripada juri membuatkan dia hampir-hampir tergelincir.

- In Heart -

Kumpulan Nasyid Komedi
Gelaran kumpulan nasyid komedi dan nakal kepada Muslim Voice seharusnya memberi panduan kepada kumpulan ini untuk mencipta imej tersendiri. Jika berjaya, Insya Allah mereka mampu pergi lebih jauh lagi dalam industri ini. Meski lagu Teman Sejati telah banyak kali dinyanyikan secara acapella, mujur Muslim Voice masih kreatif memberikan kelainan. Kumpulan In Heart pula, kata Farihin, rap mereka merosakkan persembahan. Walau bagaimanapun mereka berjaya menonjolkan persembahan yang bertenaga dengan penguasaan pentas yang baik. Dibandingkan dengan minggu lepas, gubahan lagu mereka semakin menyegarkan dan paduan suara juga semakin bertambah baik.

Masih Sama
Peserta-peserta lain masih berada di tanda aras yang sama. Cicik masih kekal mempersonakan tetapi gayanya sama sahaja seperti minggu lepas. Satu hari nanti Cicik harus cuba meninggalkan gitarnya dan menyuntik sedikit kelainan. Rupa-rupanya dia menganggur dan mencari duit dengan menyanyi di jalanan Kampung Baru. Bagusnya dia kerana memilih Akademi Nasyid untuk memajukan diri dan bukannya akademi yang lain.
Eda, Ana, Shahrizal, Voice of Men dan Dvision masih belum mampu menawan hati aku. Tapi minggu ini Shahrizal pula yang terlalu banyak tersenyum kan huhu..

Farihin ada menyentuh tentang penguasaan pentas di ruang A, ruang B dan ruang C. M. Nasir pula menyebut tentang reaksi peserta terhadap kamera. Tapi sehingga ke hari ini kebanyakan peserta masih ragu-ragu untuk bergerak. Apakah nasyid mesti hanya berdiri tegak? Mari kita tanya Ustaz Asri yang pakar membuat formasi di dalam persembahan.
Persembahan pilihan aku minggu ini mengikut ranking:
1. Azhan
2. Muslim Voice
3. In Heart
4. Cicik
5. D Vision
6. Voice of Men
7. Shahridzal
8. Ana
9. Farhan
10. Eda
11. Sofeya
12. Aiman

25 June 2008

Hanya Satu Yang Tidak Terpisahkan

Ikuti langkah berikut ini:

1. Pertama, temukan kesemua hujung lima jari kedua-dua tangan kiri dan kanan anda. Jari tengah ditekuk ke dalam (lihat gambar).

2. Kemudian, 4 jari yang lain pertemukan hujungnya menjadi 5 pasang jari yang bercantum.


3. Permainan dimulai, 5 pasang jari tetapi hanya 1 pasang yang tidak terpisahkan...


4. Cubalah membuka (renggangkan / pisahkan) hujung kedua-dua ibu jari anda. Anggaplah ibu jari mewakili ibu bapa kita. Ibu jari mudah dibuka kerana semua manusia mengalami sakit dan mati. Dengan demikian ibu bapa kita akan meninggalkan kita suatu hari nanti.


5. Tutup kembali ibu jari anda, kemudian buka jari telunjuk anda. Anggaplah jari telunjuk mewakili kakak dan adik kita. Mereka memiliki keluarga sendiri, sehingga mereka juga akan meninggalkan kita.


6. Sekarang tutup kembali jari telunjuk anda, buka jari kelingking. Anggaplah jari kelingking mewakili anak-anak kita. Cepat atau lambat anak-anak juga akan meninggalkan kita.


7. Selanjutnya, tutup jari kelingking anda dan bukalah jari manis anda. Hairan bukan kerana jari tersebut tidak boleh dibuka, direnggangkan atau dipisahkan hujung kedua-duanya. Kerana jari manis mewakili suami dan isteri, selama hidup akan terus melekat antara satu sama lain.


...barangkali kerana itulah cincin perkahwinan disarungkan ke jari manis :)


p/s: kalau bijak, jari tengah mewakili apa?

23 June 2008

Promosi Kerja Kahwin Kraftangan Malaysia 2008 (2)


Promosi Kraf Kerja Kahwin
Tarikh: 26 Jun – 6 Julai 2008
Tempat: Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay Bukit Bintang
Masa: 10 pagi – 8 malam

Aktiviti:
Jualan dan pameran produk kraf perkahwinan, perkhidmatan perkahwinan,
ragam masakan pengantin dan persembahan kesenian.

Saksikan keunikan produk kraf kerja kahwin untuk pelbagai bangsa seperti
Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Orang Asli, Punjabi, Portugis, Siam, Etnik Sabah dan Sarawak.

Semuanya di bawah satu bumbung, alam ilham untuk semua.

22 June 2008

Akademi Nasyid

Semalam Akademi Nasyid membuka tirai dengan persembahan peserta yang sangat membanggakan walaupun baru pertama kali bersiaran (sekurang-kurangnya lebih bagus daripada konsert pertama Akademi Fantasia hehe). Ada beberapa peserta sudah mula menonjolkan aura dengan persembahan yang mudah diingati dan didasarkan kepada keunikan tersendiri.

Semestinya pilihan aku terletak pada Mohd Shukri Nasrun dari Pahang (gambar di bawah) atau nama timang-timangannya, Cicik. Dia menyimpan karisma dan kekuatan vokal yang digali selama bergelar penyanyi rock jalanan sebelum ini. Cicik mempunyai suara, rupa dan gaya yang mempesonakan untuk mengumpan undi. Aku harap dia kekal sampai ke peringkat akhir.
Tak lupa Azhan Atan dari Johor (gambar di bawah). Lupakan tentang kecacatan matanya. Persembahan Azhan sangat memukau dengan vokal yang dilepaskan tanpa rasa takut-takut hingga membuatkan aku merasa sangat puas dengan lontaran suaranya yang mendayu-dayu tetapi gagah dan mengesankan. Kebanyakan peserta lain terlalu berhati-hati mengawal suara sehingga nampak seperti dibuat-buat dan sedikit membosankan. Aku harap Azhan akan kekal sehingga ke peringkat akhir juga.

Pada hemat aku, peserta-peserta yang lain masih berada di tahap biasa-biasa sahaja. Contohnya Zuriana Ishak (Pulau Pinang), Mohd Shahridzal Lokma (Pahang), Eda Fazilah Ismail (Perak), Sofieya (Kuala Lumpur), Voice of Men (Johor), Muslim Voice (Pahang), dan D'Vision (Melaka). Rata-rata mereka mempunyai suara yang bagus cuma agak kurang menyengat. Kena belajar lebih sikit daripada otai-otai nasyid seperti Raihan yang selalu membuatkan penonton terpegun. Masih ada sekurang-kurangnya 10 minggu lagi untuk mereka membuktikannya.

Cuma untuk Aiman, dia perlu memantapkan lagi vokalnya untuk terus kekal di dalam akademi ini. Kenapa dia terlalu banyak tersenyum semasa menyanyi ya? Begitu juga In Heart yang agak kelam kabut sikit susunan harmoni suara mereka. Barangkali mereka terlalu memikirkan untuk menjadi lain daripada yang lain dengan mempertaruhkan imej nasyid alternatif. Kumpulan Farhan dari Melaka juga harus bekerja lebih kuat lagi.

Aku yakin semua peserta yang terpilih ini memiliki suara yang baik. Tapi untuk menang dan menambat hati pengundi yang mewakili 50% markah keseluruhan, mereka perlu bersedia untuk menampilkan persembahan yang ikhlas dan menghiburkan dengan vokal yang tersusun dan bertenaga. Aku nak tunggu siapa yang akan memilih lagu Amuk atau Akhil Hayy untuk dinyanyikan. Aku nak tunggu lebih banyak gubahan muzik yang pelbagai dan lebih segar sepertimana yang telah dilakukan oleh In Heart tempoh hari.

Apapun, aku hanya berkomentar ringan. Cuba menghangatkan industri nasyid yang agak sirna sekarang. Dapat juga melepas rindu kepada zaman aku bernasyid dulu-dulu hehe. Tahniah kepada TV9 dan lihatlah sendiri persembahan mereka di http://www.tv9.com.my/

20 June 2008

Mari Berhibur..


Aku bukanlah seorang yang selalu menepati janji dengan rancangan-rancangan tv. Banyak program yang aku senaraikan sebagai mesti tonton akan terabai macam tu sahaja misalnya Majalah Tiga dan Akademi al-Quran. Tapi semalam kebetulan aku bercuti di rumah dan pertandingan akhir AQ sedang bersiaran.

Aku bukanlah selalu sangat menonton AQ ni. Tapi kalau dah tengok memang melekat juga sebab sebagai seorang yang tidak tahu tentang tarannum, qiraat dan tajwid, aku yakin AQ sangat berkesan untuk mereka yang mahu belajar sambil berhibur. Ya, aku sangat terhibur mendengar pelbagai lagu-lagu al-Quran yang disampaikan oleh peserta. Rasa menusuk ke dalam satu ruang yang kosong.

Perjalanan program juga sangat lancar, tenang dan menghiburkan dengan lawak jenaka yang bermutu. Siapa kata AQ tak boleh mengalirkan air mata penonton? Tak boleh menerbitkan senyum dan gelak tawa penonton? Cubalah, tapi kena tunggu tahun depanlah, AQ edisi keempat.

Tahniah kepada Juara AQ 3, Saudara Fakhrul Radhi dan juga tiga finalis yang lain; Sharifah, Tarmizi dan Shamsul. Sejuk mata menatap wajah-wajah mereka. Membandingkan dengan diri sendiri.. aku hanya mampu mengeluh.

Sabtu ni Akademi Nasyid akan membuka tirai. AN juga akan menjadi antara rancangan mesti tonton untuk beberapa bulan ini. Yang pasti, Akademi Nasyid harapnya menjadi pengganti kepada kekecewaan aku terhadap Gang Starz yang kurang menyengat tahun ini. Akademi Fantasia? Haha untuk pertama kalinya aku tak tahu pun siapa pemenang-pemenang AF kali ini. Mungkin AF memerlukan formula terbaru untuk kekal relevan.

28 May 2008

Ingat!

Tarian tidak akan menjadikan anda lelaki lembut.

Sebagaimana pisau tajam yang boleh digunakan untuk memotong sayur atau untuk membunuh manusia tak berdosa. Pilihan di tangan anda. Pilihlah yang benar. Hakiki.



Eh! Bukankah sudah ada ramai penari wanita yang lemah lembut. Apadaaaa~

27 May 2008

Pasca Citrawarna 2008

Tahu apa yang seronok Citrawarna tahun ini? Selain daripada dapat menari buat pertama kalinya di atas pentas utama, aku juga dapat menyaksikan bunga api dari jarak yang paling dekat hehe. Selalunya tengok dari jauh sahaja (sebab tak layan pun hehe), tapi kali ini bunga api meletup betul-betul di atas kepala. Bergegar jantung hehehe~

Keseluruhannya, Citrawarna 2008 kali ini sama sahaja sebagaimana tahun-tahun sebelumnya dengan persembahan tarian dari setiap suku kaum di Malaysia dan ditambah dengan kreativiti puppeteers (yang jadi bunga, pokok, haiwan, dan pegang bendera tu semua). Hanya koreografi dan pilihan disiplin tari yang berbeza. Selebihnya tiada apa-apa yang unik atau lain daripada lain. Tapi pelancong asing mesti tetap teruja dan kagum dengan Malaysia yang berbilang kaum (agaknyalah). Walau bagaimanapun, persembahan Temple of Fine Art (TOFA) yang mewakili kaum India tetap mendapat tepukan gemuruh penonton dan membuatkan kami yang berada di belakang pentas menjeling-jeling dari tepi pentas. Koreografi dan gerak tari mereka memang (sentiasa) mengagumkan. Hmm lagi satu, aku suka bangat lagu penutup bertajuk Bunga Pelangi (bukan tajuk sebenarnya Harmoni ke?) yang dinyanyikan oleh Noryn Aziz, Nikki dan Reshmonu. Cubalah dengar di Youtube :)

Aku menari mewakili artis budaya DBKL. Tapi taklah sehebat penari-penari mampan DBKL tu. Sekadar suka-suka mengisi masa lapang hehe~ Tapi sayang tak banyak gambar yang dapat diambil sebab datang semata-mata untuk menari. Rasa macam malas nak bergambar. Tak apa, Youtube kan ada :)

Inilah kami... geng Pohon Beringin. Yang terpacak sambil pegang pohon beringin kat belakang tu hehe..



12 May 2008

Citrawarna 2008

Didesak oleh rasa bosan selepas balik kerja, dan teringin nak menari semula, aku dan lima ahli Nafastari yang lain menebalkan muka menyertai Citrawarna 2008. Hari pertama pendaftaran, kami dimaklumkan bahawa kami berenam perlu dibelasah terlebih dahulu. Untuk menguji sejauh mana bakat dan kemampuan kami dalam hal tari menari ni. Al-maklumlah, kami bukan penari "tegar" haha! Kami datang berbekalkan minat semata-mata. Tanpa pengalaman, tanpa persediaan.
Alhamdulillah, setakat hari ini segalanya berjalan lancar. Tiada siapa antara kami yang disingkirkan walaupun banyak gerak tari dan koreografi dimuntahkan secara mengejut. Pendek kata, memang kena sentiasa peka atau kata mudahnya "cepat tangkap".
Makanya sekarang, jam 8 pagi hingga 5 petang aku memerap di pejabat. Tamat waktu pejabat, terus ke Stadium Negara dan mula berlatih dari jam 6 hingga 10 malam. Jadi, kalau kalian berkelapangan, sudi-sudikanlah ke Putrajaya 24 Mei nanti ya :)
Back to work ~

14 April 2008

Pesta Buku 2008

Menjelajah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Sabtu lepas, aku lebih banyak melabur untuk buku latihan UPSR dan SPM untuk anak-anak saudara aku. Manusia terlalu ramai, jadi aku sambar apa sahaja yang tertulis UPSR dan SPM. Lagipun buku latihan semuanya sama sahaja.

Tak banyak yang aku belanjakan untuk diri aku sendiri (jika dinilai dari wang ringgit). Mungkin kerana buku-buku yang dijual di sini murah-murah belaka. Menjelang hari terakhir program, diskaun ditawarkan sudah mencecah 50%. Terima kasih buat seorang rakan jauh yang sudi temankan aku membeli-belah :)

Jam 2 petang aku ke Bilik Johor dan Kedah untuk bertemu penulis yang membuatkan aku kagum kepada karya-karyanya. Mas Andrea Hirata yang diterbangkan dari Indonesia agak sentimental orangnya, pandai memainkan emosi. Jika anda sudah membaca Tetralogi Laskar Pelangi, menikmati suasana peceritaannya, semacam itulah lagak penulisnya. Sebenarnya aku menantikan buku keempat Andrea Hirata. Tapi katanya, buku terbaru tersebut akan diterbitkan selepas siap filem Laskar Pelangi. Sesuatu yang aku belajar dari Mas Andrea @ Ikal; tulislah apa yang di dalam hati dan usah terlalu menurut hukum hakam sastera yang kadang-kadang menyulitkan. Mungkin aku patut mencuba... :)













03 April 2008

Jom ke Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2008







Tarikh: 27 Mac - 7 April 2008
Lokasi: Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay Bukit Bintang
Masa: 10 pagi - 10 malam
Aktiviti: Pameran, Jualan Produk Kraf, Demonstrasi Kraf Interaktif, Persembahan Kesenian, Sesi Apresiasi Kraf (Bicara Kraf), Demonstrasi Masakan Tradisional dan lain-lain lagi.