30 November 2007

Kita Perlukan Penanda Aras

Tahukah anda, bagi menjamin dan mengekalkan keaslian tarian-tarian tradisi di Malaysia, satu usaha untuk menentukan penanda aras tarian melayu sedang diusahakan oleh agensi-agensi bertanggungjawab.

Aku sokong sepenuhnya usaha ini walaupun aku bukanlah seorang penari pun. Sekadar suka-suka di zaman universiti sahaja. Aku sokong kerana kebelakangan ini meluat juga menonton tarian yang dikatakan tradisional tetapi kadang-kadang tak nampak di mana keasliannya. Melompat-lompat, terbaring-baring, bergesel-gesel lelaki dan perempuan. Itu belum cerita bab pakaian lagi. Hilang kelembutan dan kesopanan yang sepatutnya ditonjolkan oleh penari-penari Melayu.

Akan datang mungkin akan muncul penanda aras bahasa melayu, penanda aras pakaian melayu, penanda aras budi bahasa dan macam-macam lagi. Semuanya kerana kita selalu cenderung untuk melampaui batas.

Moga-moga seratus tahun lagi anak Melayu masih kenal zapin, joget atau inang dan bukan hanya ballroom dance, break-dance atau dirty dance!

19 November 2007

Video Festival Zapin MAKUM 2007 !

Video persembahan UIAM di Festival Zapin MAKUM 2007 kini boleh disaksikan di youtube.com. Hehe.. berterima kasihlah kepada "tintaberdarah" yang sudi memuatnaikkan video tersebut. Setakat hari ini, hanya ada video dari UPM dan UIAM sahaja. Mungkin yang lain akan menyusul.



Apa lagi.. pergilah layan. Komen jangan tak komen hehe. Lawat URL ini: www.youtube.com/tintaberdarah

Tapi setelah aku menelaah video ini entah berapa ratus kali, ada sesuatu yang aku nak kongsi cerita.

Pertama, kami memang terlalu teliti dengan koreografi dan spacing (penggunaan ruang) sepanjang tempoh latihan. Koreografi abg.Khalid memang susah kalau nak dibandingkan dengan universiti lain. Banyak berlari dan curi langkah. Jadi, kesilapan yang sedikit mungkin akan membawa kepada kemalangan haha! Usah ditanya berapa kali kami terjatuh semasa latihan. Perlanggaran dan pergeseran yang tak sepatutnya dilihat. Secara peribadi aku kira UPSI nampak lemah dalam aspek ini. Mungkin itu antara yang dikatakan hakim sebagai tertib menari.

Kedua, oleh kerana terlalu banyak masa dihabiskan untuk koreografi, kami tidak sempat memperincikan pergerakan tangan. Kami telah mencuba. Banyak kali. Tetapi masih terpengaruh dengan kebiasaan. Masing-masing ada gaya tersendiri dan susah untuk diubah dalam masa yang suntuk. Tapi, keseluruhannya masih memuaskan walaupun aku akui yang UPSI lebih hebat dari segi persamaan tangan ini.

Ketiga, aku sangat memuji koreografer kami yang aku anggap sangat kreatif dalam menghasilkan bentuk-bentuk yang abstrak dan lain dari yang lain. Dari menegak jadi melintang, dari bulat jadi anak panah, dari sebaris jadi berpasangan. Beliau tahu bagaimana untuk menghasilkan tarian yang tidak membosankan dan nampak bertenaga. Aku paling suka bahagian taksim dan buka langkah. Setelah setahun kami berzapin, baru kami sedar betapa lemahnya pergerakan tarian-tarian kami sebelum ini.

Keempat, anda mungkin nampak persembahan kami kurang bertenaga walhal kami sudah bermandi peluh. Memang itu hakikat kalau anda menonton melalui video rakaman dan bukan secara langsung. Pengalamannya berbeza. Apapun anda perlu menyaksikan kesemua kumpulan yang bertanding. Kemudian barulah anda boleh menyaksikan keunikan UIAM hehe.

Jadi, apa pula komen anda?

05 November 2007

Pilih Satu Saja..!

Baru dua minggu bekerja dikelilingi pakar-pakar seni budaya di sini, aku sudah sedih dengan diri sendiri. Kadang bingung kadang terkilan.

Aku bertemu dengan pelukis-pelukis mampan dari Balai Seni Lukis Negara. Aku berbual bicara dengan koreografer bertauliah dari Istana Budaya. Aku mendengar cerita daripada pakar kraftangan, grafik dan lukis melukis. Aku berkenalan dengan penulis-penulis baru yang sangat tekun dengan usaha mereka. Dan ramai lagi yang pastinya akan datang.

Mereka begitu teruja bercerita. Malangnya aku begitu sedih mendengar. Baru aku sedar yang aku langsung tidak berusaha untuk menjadi pakar sepertimana mereka kerana aku terlalu mengejar semua perkara dan akhirnya ketinggalan segala-galanya.

Zaman sekolah aku senang sekali memahirkan diri dalam bab pengucapan umum dan penulisan (terutamanya cerpen dan puisi). Buku dan novel jadi teman setia. Bahasa Melayu memang disanjung tinggi. Terselit harapan untuk bergelumang dalam bidang penulisan suatu hari nanti. Sekarang, aku hanya ada blog yang satu ini.

Begitu juga dengan warna-warna dari berus lukisan dan pen grafik yang sentiasa memenuhi ruang kosong kertas. Segala jenis teknik dicuba dan melahirkan kepuasan yang tak sudah-sudah. Malah pernah aku potretkan wajah pengantin kakak. Sekarang, berus lukisan pun aku dah kekok nak pegang.

Zaman kampus, aku belajar seni suara pula. Baru aku mengerti tentang harmoni, falsetto, suara 2, suara 3, dan macam-macam lagi. Lagu-lagu nasyid dan rnb jadi siulan. Hampir-hampir menerbitkan album. Sekarang aku hanya menyimpan dua lagu demo yang sempat dirakamkan dulu.

Kesusasteraan Melayu terutamanya pantun turut jadi kegilaan. Empat tahun aku mewakili universiti ke festival pantun serata tempat. Masih berangan-angan untuk menerbitkan buku koleksi pantun sendiri. Sekarang hanya punya koleksi puisi persendirian buat tatapan sendiri.

Sebelum kaki meninggalkan zaman universiti, masih sempat mempelajari seni tari zapin. Kalau dulu sekadar menghentakkan kaki, kini aku sudah tahu beberapa jenis zapin di Malaysia terutamanya zapin Johor. Tapi masih banyak jenis zapin lain yang belum sempat dipelajari tetapi terpaksa ditangguhkan untuk mengutamakan alam kerjaya yang baru bermula.

Ada beberapa lagi bidang seni yang aku pernah cuba tapi sekadar dicuba. Seni khat, teater, grafik, fotografi, setakat yang teringat. Tapi tiada satupun yang aku betul-betul mahir. Atau sekurang-kurangnya berusaha untuk menjadi mahir. Pernah aku duduk mentelaah ruang fikir mencari kata selesai. Tapi entahlah. Apakah kerana aku terlalu tamak-minat dengan segala cabang seni budaya? Atau aku takut dengan komitmen dan bermalas-malasan? Kekurangan material dan kewangan. Tidak tetap pendirian dan mudah bosan.

Aku sedang berusaha untuk memilih sekurang-kurangnya SATU cabang seni untuk aku dalami sedalam-dalamnya… tolonglah saya…!

02 November 2007

BMW Shorties Screening Appreciation Night - End of Chapter, Beginning of Another.

Zaman belajar di universiti semakin beransur-ansur hilang dari dalam diari harian aku. Sekarang asyik menghadap komputer, masuk mesyuarat, belek-belek fail. Kerja harian seorang pekerja baru dalam sektor kerajaan. Di mana? Nanti-nantilah aku beritahu ya hehe. Yang pasti, tetap tak dapat lari dari bidang kebudayaan dan kesenian. Satu kebetulan sebenarnya.


Malam Penghargaan untuk komiti BMW Shorties Screening dah selamat diadakan minggu lepas. Diadakan serentak dengan sambutan Aidilfitri dan meraikan kemenangan Mahallah Ali sebagai Naib Johan Pertandingan Kibarkan Jalur Gemilang UIAM bulan Ogos lepas. Untuk makluman, Mahallah Ali masih kekal sebagai satu-satunya Mahallah lelaki yang terus mengungguli hadiah-hadiah utama untuk pertandingan ini selama tiga tahun berturut-turut. Malah menjadi Juara pada kali pertama pertandingan ini diadakan dua tahun lepas. Fuh bangga aku hehe! Mahallah perempuan pun tak ada yang kekal tau walaupun merekalah yang pakar bab hias menghias dan menggantung bendera ini.

Tapi, aku sangat terkilan kerana Malam Penghargaan ini tidak sepertimana yang aku harapkan dan jangkakan. Terlalu jauh dari standard penganjuran program Mahallah Ali. Tanyalah Haeqal dan Faizal, presiden-presiden terdahulu. Aku masih ingat semasa kami mengadakan Jamuan Aidiladha, Jamuan Penghargaan “Cultural Week 2004/2005”, Iftar dan banyak lagi yang biarpun ringkas tapi tersusun, lancar dan meriah. Yang penting objektif tercapai. Malangnya, untuk malam Penghargaan kali ini langsung tidak setaraf dengan program BMW Shorties Screening itu sendiri. Nasib baik aku tak jemput wakil BMW atau Fleishman Hillard (walaupun Ustaz ada bertanyakan tentang mereka).

MRC baru pula malu tak bertempat. Aku tak sangka mereka orang yang paling awal meninggalkan majlis, malah ada yang beredar semasa majlis berlangsung. Hendak bersama dalam sesi fotografi pun tak mahu. Tiada nilai-nilai professional. Sepatutnya inilah masanya untuk mereka berkenal-kenalan di samping memohon bantuan daripada komiti BMW Shorties supaya terus menyokong program Mahallah Ali. Tidakkah mereka tahu bahawa komiti BMW Shorties Screening ini adalah antara yang terbaik dan dedikasi terhadap tugas?

Mungkin aku yang silap kerana lepas tangan dalam penganjuran majlis ini (maklumlah aku dan Zamri adalah orang luar sekarang). Mungkin juga aku terpaksa maafkan mereka yang mengendalikan program ini atas alasan “Final Exam”. Atau mungkinkah ada alasan lain yang tersembunyi?

MRC Ali 2007/2008 sangat memerlukan bimbingan yang rapi dari semua pihak terutamanya bekas exco dan fellow. Mereka sedang mengalami kejutan budaya, aku kira. Aku mahu datang lagi ke Mahallah Ali suatu hari nanti. Dan ada hasrat untuk melihat Mahallah Ali terus mengangkat martabat universiti.