17 December 2007

Sang Pemimpi


Dipertemukan dengan karya realistik Andrea Hirata ibarat melepaskan terus sejuta rindu aku pada novel. Sejujurnya, telah lama aku tidak membaca novel, apatah lagi novel sastera sehebat Sang Pemimpi. Hebatnya sungguh! Terima kasih kepada seorang teman jauh yang mencadangkannya.

Sang Pemimpi adalah buku kedua dalam siri tetralogi Laskar Pelangi. Aku belum membaca buku pertamanya atas judul Laskar Pelangi. Terlalu lewat menyedari betapa karya ini sangat laris di pasaran. Justeru aku masih belum ketemu dengan edisi sulung tetralogi ini. Terima kasih kepada seorang teman jauh yang menyedarkan aku.

Membaca Sang Pemimpi seperti membaca diri sendiri. Betapa nasib, cita-cita dan pengorbanan adalah perkara yang selalu disalahertikan lantas disalahgunakan. Mengajar aku lebih menghargai perhubungan cinta kemanusiaan. Benar. Novel ini benar-benar sebuah karya yang membangkitkan semangat. Semangat datang setelah rasa sebak acapkali melinangkan air mata. Semangat datang setelah bibir mengukir senyum, kadang tergelak sendiri pada kelakar yang sinis. Mainan emosi yang mengkagumkan persembahan ayat-ayat segar dan mempesonakan Andrea Hidrata! Mungkin kerana ia adalah satu kisah benar petikan pengalaman hidup penulis maka ia sangat terkesan dalam hati aku. Apapun, terima kasih kepada seorang teman jauh yang mencadangkannya.

Jadi, saya cadangkan tetralogi Laskar Pelangi ini untuk anda pula. Dan jika ada lagi novel lain seperti ini beritahukan saya ya?




13 December 2007

12 Disember 2007





tiap bertambah umur usia
harap bertambah amalan mulia
nikmat hidup jangan dipersia
akhirat jua beroleh kurnia

...Sempena Ulang Tahun Jubli Perak an-nidxam. Alhamdulillah.





03 December 2007

RAHSIA... kerana aku telah tahu.

Hidup ini satu rahsia. Kerana tiada seorang pun yang tahu apa yang akan berlaku kelak. Hari ini, kita tak akan tahu apa yang akan berlaku esok. Tahun ini, kita tak akan tahu apa yang akan terjadi tahun depan. Sampai bila-bila pun kita akan sentiasa dalam ketidaktahuan.

Begitu juga dalam perhubungan. Sampai mati pun kita tak akan tahu segala tentang dia. Dia juga tak akan tahu segala-galanya tentang diri kita. Namakan apa pun. Cinta, ikatan, pernikahan apatah lagi perpisahan. Tiada satupun yang jadi penjamin untuk kita mengetahui sepenuhnya tentang dia.
Itulah menariknya ketidaktentuan ini. Lagi banyak perkara yang kita tidak tahu, lagi mencabar perjalanan hidup. Lebih menyeronokkan dan mendebarkan. Setiap hari kita akan cuba mencari tahu tentang apa sahaja. Semakin banyak yang kita tahu, akan tersedarlah sendiri betapa banyak lagi yang kita tidak tahu.

Jadi, manfaatkan setiap saat. Usah asyik berkalau-kalau. Kita tetap tidak akan menjadi yang Maha Mengetahui.

***


Rahsia... Kerana Aku Telah Tahu.

Tak perlu kau rasa bersalah
Atas dusta yang kau cipta
Jangan juga berasa malu
Pada mungkir janji dahulu
Biar lali merawat luka sendiri
Daripada menagih janji janji basi
Kerana aku telah faham
Kata hati bukan di bibir
Kerana aku telah tahu
Rahsia cinta sebenar
Kerana aku telah percaya
Cinta yang mana membawa ke syurga

Keramat
28 November 2007

:: sediasetiaselagimasihkasih ::