27 October 2008

Satu Gambar Seribu Cerita

Teman: Kenapa blog kau dah terlalu banyak gambar sekarang?
An-nidxam: Satu gambar seribu cerita kan? Banyak yang kau boleh baca.
Hehehe itu cuma alasan tipikal. Sekarang musim untuk bekerja. Maka sebenar-sebenarnya aku sedang mengalami sindrom kesukaran untuk membawa abjad ke dalam rasa..
Sedang menyiapkan beberapa prosa rasa. Barangkali nanti akan saya kongsikan di sini. Sementara tu, ayuh kita habiskan jemputan rumah terbuka Aidilfitri yang masih berbaki. Echah, hari ni kau buat rumah terbuka raya puasa atau deepavali? Haha~
Semestinya, aku akan merindukan nasi impit dan rendang ayam...

25 October 2008

Yang Aku Tunggu-tunggu II


Westlake City of Hangzhou China
...yang pertama, dan barangkali yang terakhir.
Sesungguhnya, banyak rasa sedang bercambur baur...

Yang Aku Tunggu-tunggu I

soooo cute ...
"Laskar Pelangi the Movie"

20 October 2008

Kisah Membuat Pasport Malaysia

Pagi tadi baru selesai menyiapkan pasport di Sri Rampai. Bermakna, dalam tempoh 5 tahun dari sekarang aku boleh terbang ke mana sahaja ceruk rantau dunia kecuali Israel (huhu tak teringin pun nak singgah). Tapi tak sangka, semata-mata hanya nak buat pasport, aku jadi punca maki hamun orang. Sadis! Begini ceritanya...

Saat aku menjejakkan kaki keluar dari pintu teksi, ada seorang nyonya cina sudah sedia menyambut aku. "Mahu buat gambar pasport abang?" Aku memandangnya tanpa emosi. Cepat-cepat melangkah menuju ke bangunan Jabatan Imigresen. Nyonya tu dengan baik hati mengiring aku sampai ke pintu masuk sambil menerangkan segala prosedur. "Ambil borang dulu. Nanti fotostat kad pengenalan dan kemudian ambil gambar di kedai saya ya. Ambil gambar dulu baru boleh ambil nombor tau." Aku tersenyum mengambil hati. Ya nyonya, saya sudah maklum prosedurnya.

Selesai mendapatkan borang, aku sedikit terkejut kerana nyonya tadi masih setia menunggu aku di depan pintu masuk. Tanpa diarah dia mengiring aku menuju ke kedainya yang hanya terletak selang 2 pintu dari pejabat imigresen. Seperti tadi dia masih ramah bertanya itu dan ini. Buat aku rimas. Lemas.

"Berapa ringgit untuk ambil gambar?" aku tanyakan pada nyonya separuh tua tu.
"Sepuluh ringgit empat keping gambar." dia tersengih-sengih menjawab. Seolah-olah sedang membayangkan untung yang bakal diperoleh sekejap lagi nanti.

Sekitar pejabat imigresen ni, memang ada banyak pilihan kedai mengambil gambar. Justeru, sambil berjalan (diiring oleh nyonya tadi) aku bertanyakan juga harga dari kedai lain.

"Berapa ringgit dik?"
"Lapan ringgit bang." jawab dua orang jurujual perempuan berbangsa melayu.
"Ok. Saya ambil gambar di sinilah."

Apa lagi, mengamuklah nyonya tadi apabila aku memilih kedai yang lain. Betapa kesetiaan dia menemaniku diabaikan. Ahaks! Iyalah nyonya, RM8 lagi murah daripada RM10 kan? Nyonya tu menjerit-jerit memarahi jurujual melayu tadi kononnya merampas pelanggan dia. Walhal tadi aku yang bertanya dan membuat pilihan. Kasihan jurujual tu yang hanya mendiamkan diri. Nyonya masih marah-marah. Kecoh seluruh koridor bangunan yang sedari pagi dipenuhi orang awam. Ternyata nyonya masih belum mahu mengalah.

"Ok. Saya bagi ENAM ringgit!" jeritnya kuat.

Hmmmm.. sekarang aku ada tiga pilihan. RM10, RM8 dan RM6. Teringat artikel dari blog ATBK: harga yang terlalu murah atau terlalu mahal belum tentu menjamin pulangan yang terbaik. Maaf nyonya, saya tetap memilih kedai RM8 ni. Amukan nyonya makin kuat. Kadang-kadang kelihatan sedikit kurang ajar. Dia buat aku serba salah untuk masuk ke dalam kedai. Makin lama aku makin meluat dengan perangai dia. Lantas aku tekad masuk juga ke dalam kedai RM8 tadi. Membiarkan nyonya tu membebel di luar.

Sehingga aku selesai mengambil gambar, nyonya tadi masih merungut-rungut di depan kedainya. Kedua-dua kedai tu sebenarnya berjiran tapi tak mempamerkan semangat kejiranan langsung. Hehehe itulah bisnes kan? Mesti ada strategi. Maka aku tak hairan melihat kedai RM8 tu sentiasa penuh dengan pelanggan berbanding dengan kedai nyonya tadi yang kelihatan lengang.
Sebenarnya, aku sedikit kesal apabila nyonya tu menawarkan harga yang mahal semata-mata kerana dia tahu aku baru pertama kali membuat pasport sedangkan harga kos mungkin hanya serendah RM5. Lagipun, biarlah aku menolong mereka yang sebangsa dengan aku juga dan bukannya dari nyonya tadi yang mengamuk tak tentu fasal serta tak tahu menghormati pelanggan.

Customer is always right, isn't it? Huhu~

19 October 2008

Sepi Bersama

Tulisan ini inspirasi dari seorang teman. Ketika aku membisikkan pada dia.. betapa kadang-kadang aku menjalani sepi sendiri. Dia membalas, sepi sendiri itu lebih baik daripada sepi bersama. Sepi bersama...?
Katanya: "Bersama tapi sepi. Bersama tapi jauh menyepi. Dekat tapi jauh. Sejarak pendengaran berbisik, tapi terjarak sejauh mata mampu memandang. Bersama tapi terpisah." - Dewa Erlang.
Barangkali wan (baca: nenek) yang kini keseorangan ditinggalkan arwah atuk akan menjalani rasa sepi bersama ini. Al Fatihah untuk arwah Tok Samad, atuk sebelah mak aku yang telah kembali kepada rahmat Allah pada Jumaat 17 Oktober yang lepas. Moga Allah menempatkan arwah di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan beriman. Arwah atuk dan wan akan terus bersama dalam dua dunia yang berbeza sehingga syurga menemukan mereka. Ya Allah, tabahkanlah hati hambaMu ini.
Bukankah sepi itu mengajar kita erti rindu dan setia?
***
Dengarkan Afgan ~ PadaMu Kubersujud
Ku menatap dalam kelam
Tiada yang bisa ku lihat
Selain hanya nama-Mu Ya Allah
Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari segala fitnah
Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
Hamba-Mu yang slalu bertakwa
Ampuniku Ya Allah
Yang sering melupakan-Mu
Saat Kau limpahkan karunia-Mu
Dalam sunyi aku bersujud

06 October 2008

Nikmat Bersama

Ada dua kegembiraan untuk kanak-kanak kecil di Hari Raya
iaitu seronok bermain bunga api
dan mengumpul duit raya.

Ada dua kesedihan untuk orang dewasa di Hari Raya iaitu
menangisi salah silap
dan berhabis duit untuk raya hehehe~Hari inilah semua berkumpul bermesra antara satu sama lain dengan harapan untuk kekal bersama selama-lamanya.

:: yang kecil ::


:: yang teruna ::

:: yang dara (eh ada seorang mak dara tu) ::
:: dan yang dah berkeluarga ::

Hari Raya tidak akan bermakna tanpa keluarga di sisi. Biar seburuk manapun rumah di kampung, sesempit manapun ruang untuk tidur, sebosan manapun menonton televisyen tanpa Astro, sesejuk manapun air takungan kolah, seteruk manapun digigit nyamuk, dan sejauh manapun merempuh kesesakan lebuh raya,
nikmat bersama itu tetap tak terucapkan...

Filem Laskar Pelangi

Hujung September lepas, filem Laskar Pelangi dah dilebarkan di layar Indonesia. Semestinya aku dah tak sabar-sabar nak menonton filem yang diadaptasi dari novel popular bapak Andrea Hirata ni. Seperti lazimnya filem-filem yang diadaptasi daripada novel, pasti ada watak atau babak yang bertambah dan berkurang. Katanya, ada watak baru seperti Pak Zulkarnaen yang tiada di dalam novel tapi wujud di dalam filem. Pak Zulkarnaen adalah seorang dermawan yang banyak berjasa kepada Sekolah Dasar Muhammadiyah. Wataknya penting kepada SD Muhammadiyyah kerana sekolah itu adalah asas penceritaan kepada kisah benar perjuangan 10 kanak-kanak berjiwa besar memerangi kemiskinan ini. Tanpa sekolah ini, barangkali kisah Laskar Pelangi tidak akan berwarna warni seperti yang dituliskan oleh Andrea Hirata.

Filem ini dihasilkan oleh 2 orang pengarah yakni Mira Lesmana bersama Riri Riza serta dijayakan oleh barisan pelakon seperti Cut Mini (Ibu Muslimah), Ikranagara (Pak Harfan), Lukman Sardi, Ario Bayu, Tora Sudiro, Slamet Raharjo, Alex Komang, Mathias Muchus, Rieke Diah Pitaloka, Robbie Tumewu, Jajang C. Noer, hingga Teuku Rifnu Wikana. Ah rasanya aku cuma kenal Alex Komang saja kot hehehe. Yelah, sebab kebanyakan mereka adalah pelakon kanak-kanak yang memeran watak 10 laskar pelangi.

Kepada yang belum mengkhatamkan novelnya, elok kalau dibaca dulu sebelum menonton wayang gambarnya :)

04 October 2008

Raya Kali Ini (yang menghiburkan)

Raya kali ini ada isu yang lebih menggerunkan. Barangkali sudah muak dengan statistik kemalangan jalan raya, maka sekali sekala manusia bertindak di luar batas fikir hingga kadang-kadang menjentik sedikit rasa geli hati. Ahaks~
Seorang konstabel melepaskan tembakan secara membabi buta di Kuala Lipis. Ada beranggapan dia tertekan kerana tidak dapat cuti raya. Hehehe kalau macam tu, ramailah orang yang menembak merata-rata kan?
Sepasang suami isteri pula saling membelasah demi mengubat penyakit hati dan ketagihan merokok. Menarik juga idea tu. Kenapalah aku tak dapat wahyu bahawa kematian boleh menyembuhkan segala penyakit? Emmm...nak tersengih pun kasihan hehe~
1000 penyokong HINDRAF menghadiri rumah terbuka PM. Bersempena tema Merdeka tahun ini, perpaduan teras kejayaan. Aku rasa, mesti dia orang bawa kad raya yang bertulis "Maaf Zahir Batin untuk pemimpin-pemimpin kami". Sesuai sangat kan? Hehehehe~
Pokok pangkalnya, memahami hati itu adalah tindakan yang memuliakan diri. Jangan biarkan kemuliaanmu tewas kepada kitab-kitab yang menyesatkan, luka hati yang menyakitkan apatah lagi nafsu amarah yang memangnya sentiasa meresahkan.
p/s: Hari Raya aku di Kuala Lipis tetap meriah seperti biasa. Anak-anak saudara sudah mencecah angka 14 orang. Alhamdulillah. Insya Allah tahun depan akan bertambah lagi. Tapi...bezanya...bermula tahun ini aku tak akan dapat duit raya lagi huhuhu~