28 January 2009

Kuala Lipis Sekarang

Kuala Lipis sekarang bukan lagi macam dulu. Sekarang sudah ada Bandar Baru Lipis nun di seberang Sungai Jelai. Sudah ada Terminal Bas Anggerik, ada Pasar Bunga Cengkih. Tengok. Nama pun dah canggih! Kalah Bandar Baru Bangi. Nadi utama bandar Lipis yakni stesen bas dan pasar basah telah dipindahkan ke Bandar Baru ni. Harapnya bandar terancang ni akan tetap maju. Meski ramai yang merungut sebab lokasinya jauh dari bandar lama. Apapun harap tak jadi macam Centrepoint yang hidup segan mati tak mahu tu.


Sekolah-sekolah pun makin bercambah bangunannya. Padang sekolah makin sempit. Memberi laluan kepada binaan bangunan. Tengok saja SMK Clifford dan SMK Setiawangsa yang bangunannya sudah menutup sebahagian kecil padang tempat aku berkhemah dulu-dulu. Harapnya junior-junior aku ni akan terus membangun juga. Semegah bangunannya.

Siti Nurhaliza Juga Bakal Jatuh
Tapi yang kurang bagus apabila makin banyak pula tanah runtuh sekarang ni. Kawasan Kampung Binjai saja dah ada tiga tanah runtuh. Yang dekat Balai Bomba Lipis hampir-hampir meruntuhkan papan tanda Selamat Datang ke Kuala Lipis. Papan tanda yang terpampang muka Siti Nurhaliza dikelilingi gambar gula kabung, bangunan mahkamah dan lain-lain "trademark" Lipis huhu. Dah uzur sangat pun papan tanda tu. Harap-harap diganti baru.

Lagi satu kalau naik bas Lin Siong, bas rasmi nak ke Bandar Lipis, mesti mamat-mamat Indon yang banyak dalam bas tu. Pergi Karnival Lipis pun orang Nepal yang banyak bertenggek di tepi padang. Wah aku dah boleh kenal asal usul negara dia orang haha. Oh ya Karnival Lipis tahun ni tak sehebat tahun-tahun sebelumnya. Tak sehebat Dataran Lipis dan Taman Tasik Residen yang telah diubahsuai cantik. Mungkin menyahut seruan kerajaan berjimat cermat agaknya. Tapi tak mengapa, ada Kajol yang bisa membuatkan sebahagian warga Lipis melekat di depan pentas. Inilah Kajol yang diimport dari mana aku tak tahu. Dia bergaya khas untuk kamera aku. Mana taknya, dalam ratusan penonton sepi, aku seorang saja yang nak tangkap gambar dia.


Teringat zaman dulu-dulu..kenangan aku bersama Karnival Lipis. Pernah ada harapan berputik di situ. Hiks~

27 January 2009

Balik Kampung

Sempat singgah kat Padang MDL menjenguk Karnival Lipis. Karnival yang dulunya menjadi tempat Siti Nurhaliza mengasah gigi taring. Tempat Siti Saida mengacah-acah suara ok atau tak ok nya.

Tapi kelmarin ada artis baru yang aku kira bakal popular. Kalau tak percaya, tengok iklan yang penganjur tampal merata-rata ni.


Kalau ada permintaan, nanti aku letakkan gambar Kajol tu. Memang hot! Aku pula yang malu-malu nak tangkap gambar dia hiks~

18 January 2009

Fenomena Bulan Perigee

Rakyat Memberi Isyarat
Be End?
Kalian Pikir Ar Sendiri
Yang Penting Pass Cerita Kat Kotak Komen Aku Ni Ok?

Siapa yang melihat bulan di langit malam pada 12 Disember 2008 dan 11 Januari 2009 yang lepas? Pada kedua-dua tarikh ni, bulan mengambang penuh kelihatan paling besar dalam sejarah.. Cantik sangat! Walaupun kadang-kadang terlindung di balik awan gelap. Tarikhnya pun cantik sangat. Jangan lupa 12 Disember tu adalah tarikh lahir saya. 11 Januari pula? Eh 17 Januari.. barangkali saya tersilap taip. Itulah namanya fenomena perigee. Go google..

14 January 2009

14 Januari 2009



Selamat Ulang Tahun Kelahiran untuk Tuan Haeqal.


Selamat merempuh halangan hidup.


Jadilah yang pertama yang membuka jalan.


Kerana di belakang ada ramai yang akan menuruti.


[ How I wish I could lead the way ]

09 January 2009

09.01.09: Teruja Apabila Teruji

Tahun baru.
Kerja baru, pejabat baru, jawatan baru, boss baru dan suasana baru. Aku teruja untuk mendepani segala macam hal baru yang akan menerjah. Aku teruji kerana tak tahu lagi apa sebenarnya yang akan terjadi. Yang pasti ia akan berlaku. Kepastian yang tak tentu.

2008 adalah tahun bekerja. Dapat kerja, buat kerja, cari kerja, berhenti kerja di jabatan lama, sambung kerja di jabatan baru, dan ponteng kerja pergi IKEA hahaha. Mengerjakan orang sahaja yang belum pernah hehe. Pengalaman paling menarik semestinya ketika terbang ke Hangzhou China dan mendaki puncak menara berkembar menghadiri temuduga Petronas. Kedua-duanya memberi maklum balas positif kepada aku. Nantikan hasilnya tahun 2009 ni.

Semakin ke penghujung tahun, kerja makin susah, cari kerja pun susah, temuduga bertambah susah, melayan kerenah orang lagilah susah. Justeru sepanjang bulan Disember 2008 aku cuba untuk bersenang-senang. Setiap hujung minggu aku memanjakan diri.. cewah. Bercuti ke UPM (haha siapa yang tahu, dia tahulah) ke Port Dickson, Ulu Yam dan Teluk Cempedak. Cuma jemputan ke Kuala Linggi sahaja yang tak berkesempatan nak ditunaikan. Saja-saja melepaskan lelah. Konon-konon sempena bulan kelahiran. Semua-semua pun kawan yang belanja. Berbanyak-banyak terima kasih kepada kalian :)

Naik ke langit sudah, turun ke bumi pun sudah, berpenat sudah, berehat pun sudah. Awal 2009 aku membawa semangat-semangat baru. Meletakkan harapan kepada 2009 untuk membentuk batu-batu asas kepada kejayaan karier. Kalau aku masih kekal di syarikat sekarang, aku akan gunakan sebaik-baiknya. Banyak peluang berlegar-legar di dalam jabatan ni. Prospek kerja pun besar. Tapi kalau aku berpindah ke syarikat lain, aku akan gunakan tiap-tiap pengalaman yang ada. Kumpul duit banyak-banyak dan cepat-cepat hantar mak ayah aku ke Mekah. Jangan tak tahu, dulu-dulu aku mendaftar di UIA pun menggunakan duit Tabung Haji mereka, maka aku mesti lekas-lekas menebusnya semula. Tak mengapalah kalau aku pergi dan balik kerja berhimpit-himpit di dalam LRT. Kahwin? Mak aku cakap, bukan aku yang cakap ya. Haha mak aku cakap, kahwin lambat-lambat pun tak mengapa. Supaya ahli keluarga boleh menikmati puas-puas duit gaji aku. Huhuhuhu~

2009.
Ada harapan cuba disinarkan. Khuatir harapan akan tinggal harapan? Pedulikan. Harapanlah yang membuatkan kita lebih menghargai rasa teruja apabila teruji. Bukankah harapan yang selalu membuatkan kita berusaha untuk menjadi lebih kuat?

03 January 2009

Membeli Waktu

Tuhan terkadang tidak memberikan apa yang kita minta, tetapi dengan pasti Tuhan memberikan yang terbaik untuk kita. Justeru mengapa kita harus menghabiskan waktu untuk memikirkan sisi yang buruk, mengecewakan, dan menyakitkan jika kita bisa menemukan banyak hal yang indah di sekeliling kita? Mengertilah sesuatu tidak selalu kelihatan sebagaimana adanya.
Teman...
Kita dipertemukan lagi dengan 365 hari yang baru untuk cepat-cepat kita membeli waktu dan menebus segala yang telah tergadai pada tahun yang lalu.

01 January 2009

Selamat Datang Dua Ribu Sembilan

Kami menikmati setiap detak detik gembira malam itu seperti kami tidak mahu melepaskannya. Kami ingin kirimkan rasa teruja malam itu untuk siang esok yang mungkin akan kembali kaku. Kami ingin memetakan jalan kejayaan semalam untuk dijadikan pedoman seabad lagi. Kami ingin sentiasa ingat bahawa semangat sentiasa memungkinkan segalanya. Kawan, bersemangatlah dalam setiap kebaikan yang kau lakukan walaupun asalnya bukan itu yang kau mahukan. Kalaupun gagal, kau tetap bangga kerana sudah berjaya mencabar nasib. Bukankah orang yang hanya berserah pada nasib itu adalah orang yang kalah dan kalah?
***

Meski barangkali hanya orang mati sahaja yang akan selamat di Semenanjung Gaza, tapi tetap bersemangatlah wahai anak Palestin. Bangunlah dan pastikan hidupmu bukan hanya menyerah nasib. Sepanjang dua ribu sembilan... doa kami tetap bersama kalian. Kami mengenang Palestin sebagai iktibar sepanjang dekad.