30 October 2011

Apak dan Ayah

Jam 2 pagi di Hospital Daerah Lipis. Apak terjaga dari tidur. Tidur yang sebenarnya tak pernah lena sejak jam 11 malam tadi. Apak tiba-tiba bangun dan duduk tegak di atas tilam. Tiada lagi keluhan sakit-sakit. Perkataan yang keluar hanyalah "ayah...ayah...ayah". Seolah-olah dia sedang melihat ayahnya berada di depan katil wad Melor ini.

Aku tegur perlahan "Apak bangun nak pergi mana ni?"
"Ayah...ayah..." jawabnya lemah sambil memandang aku.

Sebagai anak, aku tak sanggup merenung dua mata tua itu. Ada sinar lesu di dalamnya. Tanda penatnya dia membesarkan kami adik beradik. Apak cuba mencabut tiub wayar air yang melekat di tangan kirinya. Aku marah. Apak merayu manja "Nantilah dulu..nantilah dulu."

Apak seperti sedang bermanja dengan "ayahnya". Sangat manja. Aku suruh apak baring. Perlahan-lahan dia turunkan badan. Menyambung tidur bersama perkataan "ayah" yang tetap disebut-sebut.

Benarlah. Semakin kita tua, semakin kita kembali kepada fitrah. Apak rindukan arwah ayahnya. Sepertimana dia lahir 69 tahun yang dulu.


- dan tanpa sedar, apak mengulangi perilaku di atas berulang-ulang kali sepanjang malam.. syafakallah ya walid.

26 October 2011

Jangan Cepat. Jangan Lambat.

Dari dulu aku belajar, kalau bercinta jangan terburu-buru. Kenali dulu hati budi, biarkan jiwa memendam rindu. Jangan menabur janji ketika gembira membalut hati. Jangan membuat keputusan ketika amarah merasuk perasaan.

Justeru aku cuba berjalan pelan-pelan dengan dia. Malangnya pula, dia kata aku tawar menawar dengan matawang cinta. Dia kata aku melambat-lambatkan urusan hati. Dia kata aku bertangguh-tangguh membayar rasa. Fuh! Pedas dan perit!

Tiga bulan. Bagi aku, itu adalah tempoh edah dalam memilih cinta. Aku tetap percaya bahawa cinta sebenar hanya akan datang selepas tiga bulan berkenalan. Ah soal cinta ini memang sulit. Tak boleh terlalu cepat. Tak boleh terlalu lambat. Sedang-sedang aja. Huh!


Kalau kau tak sanggup menanti, kau tak layak untuk memiliki.



21 October 2011

Dari KL ke Melaka

Kisah ini aku tuliskan sepanjang perjalanan dari KL ke Melaka. Hujan lebat lewat delapan malam membasahi motokar yang bertali arus. Memberi rasa dingin kepada aku yang sedang mengelamun di dalam bas ekspres Transnasional.

Hujan selalu memberikan aku rasa dan jiwa. Terlalu banyak cerita yang terkait dengan hujan. Dan kali ini aku teringatkan kisah mereka. Kisah dua insan yang cintanya dijarakkan oleh lebuh raya utara selatan. Seorang di Kuala Lumpur, seorang lagi di Melaka.

Dua tahun 24 hari mereka berpegang teguh kepada perhubungan tanpa ikatan. Yang ada hanya rasa percaya dan kehendak untuk bersama. Betapa mereka tidak percayakan pada nafsu mahupun perjanjian cinta. Yang terpatri hanyalah rasa saling memerlukan.

Akhirnya hari ini mereka terpisah dan menjauh. Bukan kerana apa-apa yang klise. Tapi kerana rasa yang dulu telah tiada dalam jiwa masing-masing. Entahlah. Sulit untuk memahami bagaimana hati boleh mengubah perasaan. Hari ini mahu, hari esok belum tahu.

Aku doakan yang baik-baik sahaja untuk kedua-duanya. Wahai kawan, hati manusia sememangnya merah. Tapi itu bukan sebab untuk kita membiarkan luka terus berdarah. Carilah senyum di sebalik rindu.

Aku ke Melaka ini pun untuk mencari senyuman yang dah lama aku tinggalkan di Kuala Lumpur. Harap-harap bertemu :-|

15 October 2011

Demi Sebuah Kegilaan

Hampir sebulan aku tak menulis kan? Semuanya demi sebuah kegilaan hahaha. Begini ceritanya. Kami terpaksa mengecat dan membersihkan rumah sewa baru pada setiap hujung minggu sepanjang bulan September. Berpindah dari rumah lama ke rumah baru. Berhijrah dari cerita lama ke buku baru. Insya Allah ...

Dan inilah kegilaan aku selama sebulan yang lepas. Gila menyiapkan rumah!


Aku punya cita-cita untuk memeluk Menara Eiffel di bandar Perancis. Teringat kegilaan aku pada filem "Eiffel Im In Love" lewat tahun 2003. Karya orang Indonesia yang selalu buat aku hanyut dalam ayat-ayat cinta mereka. Paris diangkat sebagai kota cinta yang paling romantis kewujudannya.

Nah! Sekarang aku ada kota Paris di dalam rumah sendiri! Hasil karya rakan serumah. Sekurang-kurangnya gitar bisu ini sudah ada teman di sisinya. Lebih menggembirakan, ada kota Kuala Lumpur di luar balkoni. Jadi katakan pada aku sekarang, di manakah tempat yang lebih baik selain daripada rumah sendiri ? Siapakah teman yang lebih baik daripada hati dan jiwa sendiri ?


Aku gembira dengan apa yang aku ada sekarang. Rakan serumah yang memahami dan kediaman yang menenangkan walaupun semuanya hanya pinjaman sementara. Kadang-kadang kita hanya memerlukan sedikit kegilaan seperti ini demi melupakan sekelumit kesedihan :)




p/s: Yang cerdik pandai pasti tahu bahawa ini bukanlah cerita tentang rumah baru, tapi kehidupan baru ...


09 October 2011

Aku Ada Kekosongan


Makanya, aku tak memiliki apa-apa pun ..



05 October 2011

Cinta Tak Sampai Hati

Cinta itu benar kalau ada gembira antara air mata.
Cinta itu tegar kalau ada rindu antara sendi.
Ya, cinta aku kekar; kerana aku ada DENDAM antara akal!

Perhubungan kalau hanya didasarkan pada simpati dan tak sampai hati takkan mampu dibawa ke mati. Simpati akan hanya melambatkan mati sedangkan mati itulah hakiki. Aku tak mahu kau bercinta yang tak sampai (ke) hati. Putuskan saja di sini. Dan biarkan aku mati.

"Kalau dia sayang, dia pasti akan datang.
Kalau dia benci, usah kau sia-siakan ruang hati.
Simpan dan berikan pada yang lain. Yang lebih sudi."
- ini mantera untuk tulis di hati. Buat membalut luka ditoreh janji.


Maaf buat pembaca oranglipis.blogspot kerana hampir sebulan aku bercuti. Cuti sakit tidak bergaji :p