Kisah ini aku tuliskan sepanjang perjalanan dari KL ke Melaka. Hujan lebat lewat delapan malam membasahi motokar yang bertali arus. Memberi rasa dingin kepada aku yang sedang mengelamun di dalam bas ekspres Transnasional.
Hujan selalu memberikan aku rasa dan jiwa. Terlalu banyak cerita yang terkait dengan hujan. Dan kali ini aku teringatkan kisah mereka. Kisah dua insan yang cintanya dijarakkan oleh lebuh raya utara selatan. Seorang di Kuala Lumpur, seorang lagi di Melaka.
Dua tahun 24 hari mereka berpegang teguh kepada perhubungan tanpa ikatan. Yang ada hanya rasa percaya dan kehendak untuk bersama. Betapa mereka tidak percayakan pada nafsu mahupun perjanjian cinta. Yang terpatri hanyalah rasa saling memerlukan.
Akhirnya hari ini mereka terpisah dan menjauh. Bukan kerana apa-apa yang klise. Tapi kerana rasa yang dulu telah tiada dalam jiwa masing-masing. Entahlah. Sulit untuk memahami bagaimana hati boleh mengubah perasaan. Hari ini mahu, hari esok belum tahu.
Aku doakan yang baik-baik sahaja untuk kedua-duanya. Wahai kawan, hati manusia sememangnya merah. Tapi itu bukan sebab untuk kita membiarkan luka terus berdarah. Carilah senyum di sebalik rindu.
Aku ke Melaka ini pun untuk mencari senyuman yang dah lama aku tinggalkan di Kuala Lumpur. Harap-harap bertemu :-|
No comments:
Post a Comment