20 June 2008

Mari Berhibur..


Aku bukanlah seorang yang selalu menepati janji dengan rancangan-rancangan tv. Banyak program yang aku senaraikan sebagai mesti tonton akan terabai macam tu sahaja misalnya Majalah Tiga dan Akademi al-Quran. Tapi semalam kebetulan aku bercuti di rumah dan pertandingan akhir AQ sedang bersiaran.

Aku bukanlah selalu sangat menonton AQ ni. Tapi kalau dah tengok memang melekat juga sebab sebagai seorang yang tidak tahu tentang tarannum, qiraat dan tajwid, aku yakin AQ sangat berkesan untuk mereka yang mahu belajar sambil berhibur. Ya, aku sangat terhibur mendengar pelbagai lagu-lagu al-Quran yang disampaikan oleh peserta. Rasa menusuk ke dalam satu ruang yang kosong.

Perjalanan program juga sangat lancar, tenang dan menghiburkan dengan lawak jenaka yang bermutu. Siapa kata AQ tak boleh mengalirkan air mata penonton? Tak boleh menerbitkan senyum dan gelak tawa penonton? Cubalah, tapi kena tunggu tahun depanlah, AQ edisi keempat.

Tahniah kepada Juara AQ 3, Saudara Fakhrul Radhi dan juga tiga finalis yang lain; Sharifah, Tarmizi dan Shamsul. Sejuk mata menatap wajah-wajah mereka. Membandingkan dengan diri sendiri.. aku hanya mampu mengeluh.

Sabtu ni Akademi Nasyid akan membuka tirai. AN juga akan menjadi antara rancangan mesti tonton untuk beberapa bulan ini. Yang pasti, Akademi Nasyid harapnya menjadi pengganti kepada kekecewaan aku terhadap Gang Starz yang kurang menyengat tahun ini. Akademi Fantasia? Haha untuk pertama kalinya aku tak tahu pun siapa pemenang-pemenang AF kali ini. Mungkin AF memerlukan formula terbaru untuk kekal relevan.

28 May 2008

Ingat!

Tarian tidak akan menjadikan anda lelaki lembut.

Sebagaimana pisau tajam yang boleh digunakan untuk memotong sayur atau untuk membunuh manusia tak berdosa. Pilihan di tangan anda. Pilihlah yang benar. Hakiki.



Eh! Bukankah sudah ada ramai penari wanita yang lemah lembut. Apadaaaa~

27 May 2008

Pasca Citrawarna 2008

Tahu apa yang seronok Citrawarna tahun ini? Selain daripada dapat menari buat pertama kalinya di atas pentas utama, aku juga dapat menyaksikan bunga api dari jarak yang paling dekat hehe. Selalunya tengok dari jauh sahaja (sebab tak layan pun hehe), tapi kali ini bunga api meletup betul-betul di atas kepala. Bergegar jantung hehehe~

Keseluruhannya, Citrawarna 2008 kali ini sama sahaja sebagaimana tahun-tahun sebelumnya dengan persembahan tarian dari setiap suku kaum di Malaysia dan ditambah dengan kreativiti puppeteers (yang jadi bunga, pokok, haiwan, dan pegang bendera tu semua). Hanya koreografi dan pilihan disiplin tari yang berbeza. Selebihnya tiada apa-apa yang unik atau lain daripada lain. Tapi pelancong asing mesti tetap teruja dan kagum dengan Malaysia yang berbilang kaum (agaknyalah). Walau bagaimanapun, persembahan Temple of Fine Art (TOFA) yang mewakili kaum India tetap mendapat tepukan gemuruh penonton dan membuatkan kami yang berada di belakang pentas menjeling-jeling dari tepi pentas. Koreografi dan gerak tari mereka memang (sentiasa) mengagumkan. Hmm lagi satu, aku suka bangat lagu penutup bertajuk Bunga Pelangi (bukan tajuk sebenarnya Harmoni ke?) yang dinyanyikan oleh Noryn Aziz, Nikki dan Reshmonu. Cubalah dengar di Youtube :)

Aku menari mewakili artis budaya DBKL. Tapi taklah sehebat penari-penari mampan DBKL tu. Sekadar suka-suka mengisi masa lapang hehe~ Tapi sayang tak banyak gambar yang dapat diambil sebab datang semata-mata untuk menari. Rasa macam malas nak bergambar. Tak apa, Youtube kan ada :)

Inilah kami... geng Pohon Beringin. Yang terpacak sambil pegang pohon beringin kat belakang tu hehe..



12 May 2008

Citrawarna 2008

Didesak oleh rasa bosan selepas balik kerja, dan teringin nak menari semula, aku dan lima ahli Nafastari yang lain menebalkan muka menyertai Citrawarna 2008. Hari pertama pendaftaran, kami dimaklumkan bahawa kami berenam perlu dibelasah terlebih dahulu. Untuk menguji sejauh mana bakat dan kemampuan kami dalam hal tari menari ni. Al-maklumlah, kami bukan penari "tegar" haha! Kami datang berbekalkan minat semata-mata. Tanpa pengalaman, tanpa persediaan.
Alhamdulillah, setakat hari ini segalanya berjalan lancar. Tiada siapa antara kami yang disingkirkan walaupun banyak gerak tari dan koreografi dimuntahkan secara mengejut. Pendek kata, memang kena sentiasa peka atau kata mudahnya "cepat tangkap".
Makanya sekarang, jam 8 pagi hingga 5 petang aku memerap di pejabat. Tamat waktu pejabat, terus ke Stadium Negara dan mula berlatih dari jam 6 hingga 10 malam. Jadi, kalau kalian berkelapangan, sudi-sudikanlah ke Putrajaya 24 Mei nanti ya :)
Back to work ~

14 April 2008

Pesta Buku 2008

Menjelajah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Sabtu lepas, aku lebih banyak melabur untuk buku latihan UPSR dan SPM untuk anak-anak saudara aku. Manusia terlalu ramai, jadi aku sambar apa sahaja yang tertulis UPSR dan SPM. Lagipun buku latihan semuanya sama sahaja.

Tak banyak yang aku belanjakan untuk diri aku sendiri (jika dinilai dari wang ringgit). Mungkin kerana buku-buku yang dijual di sini murah-murah belaka. Menjelang hari terakhir program, diskaun ditawarkan sudah mencecah 50%. Terima kasih buat seorang rakan jauh yang sudi temankan aku membeli-belah :)

Jam 2 petang aku ke Bilik Johor dan Kedah untuk bertemu penulis yang membuatkan aku kagum kepada karya-karyanya. Mas Andrea Hirata yang diterbangkan dari Indonesia agak sentimental orangnya, pandai memainkan emosi. Jika anda sudah membaca Tetralogi Laskar Pelangi, menikmati suasana peceritaannya, semacam itulah lagak penulisnya. Sebenarnya aku menantikan buku keempat Andrea Hirata. Tapi katanya, buku terbaru tersebut akan diterbitkan selepas siap filem Laskar Pelangi. Sesuatu yang aku belajar dari Mas Andrea @ Ikal; tulislah apa yang di dalam hati dan usah terlalu menurut hukum hakam sastera yang kadang-kadang menyulitkan. Mungkin aku patut mencuba... :)













03 April 2008

Jom ke Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2008







Tarikh: 27 Mac - 7 April 2008
Lokasi: Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay Bukit Bintang
Masa: 10 pagi - 10 malam
Aktiviti: Pameran, Jualan Produk Kraf, Demonstrasi Kraf Interaktif, Persembahan Kesenian, Sesi Apresiasi Kraf (Bicara Kraf), Demonstrasi Masakan Tradisional dan lain-lain lagi.

17 March 2008

Telah Dimengalirkannya Airmata Itu…


Wahai Cinta, relakan aku menangis untukmu. Aku mengasihanimu atas kehilangan yang termiliki. Betapa engkau tidak dipedulikan, dilekalaikan, dan dicuaibaikan. Tergelincir dari jalur kebersamaan. Terpinggir dari ikat perkongsian. Cinta, dirimu hanya untukmu. Hatimu hanya untukmu jua. Biarkan aku yang menangis mengenangkan kesendirianmu. Bukankah aku tahu engkau sudah tidak punya airmata untuk dimengalirkan?


***



Wahai Hati, sahabat sejatiku. Ini kubaca tiap-tiap eja kata yang ditulis olehmu. Serasa menitik airmata, tapi benar katamu, aku sudah tidak punya airmata untuk dimengalirkan. Aku salah tingkah. Aku hilang reaksi. Aku mengeras.


***



Wahai Cinta, menangislah jika itu mengurai resah. Tapi jangan dipaksa airmatamu kerugian. Bimbang kau semakin buta memandang penghidupan. Bila sahaja airmatamu enggan dimengalirkan, itu tanda ketabahan telah memaknakan kematangan. Berbanggalah atas nilai pengalaman yang bukan percuma. Cinta, jadilah kau batu bersurat pada kekuatan Hati.

Wahai Cinta, bukankah kau masih boleh tersenyum? Senyumlah, justeru akan datang hal-hal yang membahagiakanmu. Apa ada perkara lain yang patut kau percayakan selain hatimu sendiri yang telah terang tersuluh iman?


***


Wahai Hati, sahabat sejatiku. Hari ini satu lagi pengajaran telah dimengalirkan menjadi sedahsyat Nil yang mendasari sejuta sejarah memakmurkan permukaan alam. Akulah batu bersurat kekuatan hati..!

Ampuh.

Teguh.



...Dengarkan Sebelum Cahaya ~ Letto

14 March 2008

Ayat-ayat Cinta



Dah pun menghabiskan Ayat-ayat Cinta tulisan Habiburrahman el-Shirazy. Kisahnya idealistik tapi sebenarnya realistik untuk mereka yang benar-benar bercinta kerana Tuhan yang Esa. Ah masih terlalu jauh untuk aku mencapai cinta yang semacam itu. Hanya mampu membayangkan getar cinta antara Fahri dan Aisha. Anda harus membacanya jika mahu merasa seperti sedang berjalan-jalan di Mesir, jika mahu merasa bagaimana cinta yang benar-benar suci boleh tercipta, dan jika mahu tahu bagaimana untuk menanggapi sang kafir yang sentiasa berdendam dengan Islam.

Sekarang aku sedang menunggu VCD filem Ayat-Ayat Cinta. Tak mahu ke panggung. Nak layan di rumah je hehe. Bila ya nak diterbitkan di Malaysia? Dan juga tak sabar menunggu Hari Kraf Kebangsaan (27 Mac - 7 April) dan Pesta Buku Antarabangsa (4-6 April). Ada sesiapa nak temankan aku pergi membeli-belah kat sana? Emm.. terpaksa simpan duit lebih sikitlah bulan ni hehe.

27 February 2008

Jangan Kalah dan Kalah

Hari Kraf Kebangsaan 2008 sepatutnya dijadual berlangsung minggu ni bermula 28 Februari. Malangnya terpaksa ditunda dek pilihanraya umum yang sedang berperang poster mengempang kekalahan. Jadi aku ada sedikit ruang untuk memenangkan diri sendiri. Sedikit ke? Banyak jugalah hehe.

Aku dimaklumkan Mahallah Ali kalah dalam Inter-Mahallah Cultural Week (IMCW) tahun ni. Mahallah paling bongsu yakni Mahallah Zubair berjaya menjadi Johan. Tahniah untuk semua yang telah melakukan yang terbaik demi Mahallah masing-masing terutama kepada Mahallah Ali. Mujur IMCW masih diteruskan kesinambungannya walaupun ada cakap-cakap yang mengatakan mahu menghentikannya terus. Kalau betul cara koordinasi dan pengawalannya, tiada apa yang akan melampaui batas kan? Bukankah kaca-kaca tajam itu sepatutnya sudah mengajar kita erti luka sepanjang hayat?
Tahniah untuk Kumpulan Angklung UIAM yang dipilih sebagai persatuan terbaik untuk kategori Unit Kebudayaan UIAM. Sudah dijangkakan susah untuk kumpulan Zapin merebut anugerah ni. Zapin hanya disenaraipendekkan bersama-sama Gamelan dan itupun kami dah bersyukur. Tahun depan pula hehe.
***

Aku baru melangsaikan hutang dengan novel Curahan Cinta Niagara tulisan Maya Iris. Jalan ceritanya menarik dengan konflik yang bermacam bagai. Unsur Islami diserap perlahan-lahan moga-moga terkesan di hati pembaca. Dan aku mengakui sedikit sebanyak berbekas juga dalam kepala otak aku yang makin berkarat ni hehe.

Tapi...
Semenjak khatam Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor, aku sangat merasakan novel-novel yang aku baca sekarang tak mampu melawan kehebatan ketiga-tiga karya Andrea Hirata tu. Tulisan Andrea Hirata membuatkan aku membaca sebutir-sebutir perkataan yang dia tulis sebab setiap perkataan tu sangat memberi makna dan indah-indah belaka olah bahasanya. Tak sama dengan novel-novel yang selalu aku baca selama ini yakni secara "speed reading", tak perlu ditelan setiap butir perkataan kerana kita sudah faham maksud keseluruhan yang nak disampaikan. Jadi kadang-kadang aku hanya membaca kosong. Hanya berusaha menoktahkan jalan cerita.

Apa aku terlalu mengagungkan karya Indonesia? Ah perbandingan gaya penulisan antara Malaysia dan Indonesia sudah selalu sangat dicerita-ceritakan. Malahan seorang teman berwarganegara Malaysia sangat bangga menyatakan dia hanya membaca buku-buku penulis Indonesia. Dan aku belum sampai ke tahap itu. Kata Andrea Hirata, antara manusia yang perlu diprasangkakan adalah penerbit buku. Apakah itu yang sedang berlaku di Malaysia? Atau orang Malaysia hanya rajin menulis blog tapi susah nak membaca dan menulis buku. Macam aku... sipi-sipi haha!
Apapun, selagi semangat masih ada, perteruskanlah. Bukankah orang yang hanya menyerah pada nasib adalah orang yang kalah dan kalah?

11 February 2008

UIAM kena GAM ..!


Satu tindakan yang sangat menyedihkan. UIAM digam daripada menyertai mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), sebuah majlis yang ditubuh untuk menggerakkan aktiviti kebudayaan di IPTA seluruh Malaysia. Punca jadi adalah skrip pasukan UIAM yang bertanding di Festival Teater Makum pada 18 Januari 2008 lepas dikatakan menghina sensitiviti Krajaan.

Seorang teman dari UTM yang menyaksikan teater tersebut menyatakan “Bukanlah apa-apa sangat isunya. Biasa-biasa sahaja. Siapa yang makan cili dia rasakanlah pedasnya.” Isu birokrasi adalah antara subjek utama pasukan teater UIAM. Satu isu yang telah lapuk malah aku rasa Krajaan sendiripun mengakui kewujudannya. Dalam Krajaan 10% pekerjanya berada pada tahap prestasi yang di bawah par. 10% inilah yang mencalit nama buruk kepada kerajaan. Bak kata Pak Lah, rakyat mengkritik bukan kerana mereka bencikan Krajaan, tapi kerana sayang. Dengarlah masalah rakyat - kata Pak Lah.

Pada aku tindakan ini sangat mengecewakan terutamanya kepada pasukan kebudayaan UIAM yang lain selain daripada teater. Aku yang pernah bergelumang dalam arena MAKUM sangat merasakannya. Kasihan kepada pasukan pantun, pengdeklamator sajak dan puisi, kumpulan nasyid, terbaru zapin, dan apatah lagi teater yang saban tahun meletakkan MAKUM sebagai medan utama untuk mengukur aksi.

Aku tertanya-tanya sendiri, bukankah skrip perlu melalui proses penapisan di peringkat universiti dan juga di peringkat MAKUM selaku penganjur? Tidak termasuk sesi raptai yang sepatutnya diawasi pegawai-pegawai jawatankuasa. Mengapa selepas dipentaskan baru isunya timbul? Adakah panel yang sedang menapis skrip tidak merasakan isu sensitif yang dibawakan, tetapi tiba-tiba ahli panel itu menjadi sangat sensitif apabila persembahan UIAM ditegur oleh orang-orang besar Krajaan? Tiba-tiba mereka bersepakat. Ya! Ini isu sensitif. UIAM harus dihukum kerana terlalu kreatif dan terlalu berfikiran terbuka. Tapi tuan, tolonglah hukum orang yang sepatutnya. Bukan kepada kami yang berjuang memartabatkan seni budaya negara secara percuma. Terhina sungguh rasanya kerana rupanya selama ini kehadiran kami hanya dipandang begitu begitu! Ada tak mengapa, tak ada pun tak mengapa.

Walau apapun, kalau benar kesalahan terkandar pada bahu UIAM dan pasukan teater, ada sesuatu yang UIAM harus lakukan untuk membantu. Mereka mesti membantu semua pasukan kebudayaan yang lain meneruskan aktiviti mereka. Jangan biarkan pasukan ini tiba-tiba senyap sunyi tanpa platform untuk membuat persembahan kononnya atas apa sahaja alasan yang memualkan. Memang MAKUM pemberi semangat, tapi sekarang kita harus mencari punca semangat kita sendiri. Engkau rakyat terbuang, maka pandai-pandailah menanam padi mencari nasi.
Tapi tak mengapalah. Perkara semacam ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh mereka yang takut dengan bayang-bayang sendiri.