17 April 2010

Kembara Sungai Chilling

Rasanya dah lama aku tak mandi air terjun. Masih terkenang peristiwa berdarah tergelincir di air terjun Lanchang, Temerloh pada tahun 2002/2003. Kepala aku berjahit sembilan. Hospital Mentakab menjadi saksi. Dah tutup pun hospital tu sekarang. Itulah akibat berseronok sehingga lewat senja. Huhu.

10 April 2010, kami ke Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu. Satu pengalaman yang sangat menyegarkan. Mendaki bukit, meredah belukar dan mengharung lima anak sungai. Badan berpeluh-peluh, kasut dan seluar basah. Hanya selepas lebih setengah jam barulah terdengar deruman bunyi air terjun. Kepenatan membuatkan kesejukan air terjun terasa lebih nikmat! Menyegarkan! Puas!


Kalau tak ada aktiviti di hujung minggu, singgahlah di sini. Chill Out~

Baru sampai, bergambar dulu sebelum beratur untuk makan tengahari.
Antara lintasan anak sungai yang perlu diredah sebelum sampai ke destinasi.
Nazli dah kepenatan ke?

Tak sah kalau tak bergambar sepanjang mendaki bukit ni. Kasihan orang di belakang huhu.
Akhirnya, itu dia.. air terjun sungai Chilling :)
Apa lagi.. terjun lah! Sejuk dan menyegarkan!
Panjat dan lompat! Tapi bukan aku sebab aku tak pandai berenang hehehe~
Aku nak buat kolam renang macam ni di belakang rumah aku nanti :p
Dan masa untuk pulang... Jumpa lagi...

27 March 2010

RETROFIT

Maksud retrofit bukan kembali ke zaman retro. Bukan juga bermakna kembali menjadi fit @ sihat. Tapi ia adalah kata nama khas yang digunakan untuk melambangkan proses pengubahsuaian pejabat. Dan pengubahsuaian ini selalunya terjadi apabila berlaku perubahan struktur organisasi atau perpindahan staff secara beramai-ramai ke tempat lain. Maka semuanya harus disusun semula untuk membantu kami menghadapi segala macam cabaran baru yang kadang-kadang sangat meresahkan :/

Semalam adalah pengalaman pertama aku terlibat dalam sesi retrofit di Aras 62. Sepenuh hari dihabiskan dengan membungkus segala harta benda masuk ke dalam kotak. Isnin nanti kami akan datang ke pejabat dan duduk di meja baru yang telah disusunatur oleh pekerja-pekerja am. Akan ada ahli keluarga baru yang masuk menyertai kami. Dan akan ada juga kawan-kawan yang dipindahkan jauh. Walau tak nampak di mata, aku harap kalian terus sukses di tempat baru :'(

Dulu aku pernah katakan yang berkemungkinan aku akan dipindahkan ke KK, Kuching atau Kerteh. Tapi dalam masa 4 bulan, nama aku telah ditukarkan dengan staf lain. Lega. Hehehe. Jadi, bermula 1 April depan, secara rasminya aku akan memulakan kerja baru di meja baru bersama portfolio baru tetapi masih di KLCC. Aku akan ditugaskan untuk menjaga kebajikan staf di Education Division. Staf-staf di jabatan inilah yang mengawal selia UTP, INSTEP dan PERMATA. Oh, aku sangat teruja. Aku mahu kembali dekat dengan pelajar-pelajar dan kembali menjadi muda :)

Oh April, kehadiranmu aku nantikan dengan seribu rasa yang bercampur baur...

13 March 2010

Kepercayaan Cinta

dulu pernah percayakan cinta
kasih sejati jadi mahkota
bertarung masa bertaruh harta

kalau ada yang datang menguji
aku sisih tolak ke tepi
percaya dan mengerti
satu hati tak boleh dibahagi

...tapi
setia itulah menghancurkan jiwa
membuat hilang separuh nyawa
ketika cinta putus kecewa
ketika hati dibelah dua
ah.. ke manalah rajuk hendak kubawa

sekarang katakan padaku
bisakah lagi percaya cinta..?

28 February 2010

Ketika Ini

Ketika aku menulis entri yang ini, hujan masih malu-malu untuk menyimbah bumi. Hanya angin bertiup lembut mendamaikan musim panas. Dan guruh sesekali berdentum bingit bertingkah dengan MP3 yang menyanyi. Dan di situ, di sudut meja di tepi tingkap beranda itu. Ada aku yang duduk menghadap komputer riba. Di situlah aku menaip kerja-kerja pejabat yang entah bila akan surut. Benar, aku sungguh gigih. Dan letih. Kekadang terasa lelah. Bertambah-tambah.

Sebelum ini, kami bekerja berempat. Tetapi kini seorang telah bercuti tanpa gaji selama 6 bulan. Dan seorang lagi bercuti bersalin selama 2 bulan. Maka, hanya aku dan seorang senior eksekutif yang tinggal menanggung segala kerja yang tak mungkin akan "bercuti" daripada menyerang kami. Hari ini hanyalah permulaan. Esok lusa banyak lagi yang mendatang.

Dada mengeluh, tapi jiwa masih gagah. Mulut mengomel, tapi hati tetap tabah. Kerana aku ada petua sendiri. Betapa sesungguhnya tiada apa yang menarik di dalam dunia ini jika bukan aku yang menjadikannya menarik. Maka, berikanlah apa sahaja bebanan, segalanya akan aku jadikan hiburan.

Akhirnya hujan lebat membasahi bumi. Dingin. Tenang. Melegakan.

20 February 2010

Kebersamaan

Cinta datang apabila ada rasa kebersamaan. Justeru, aku mahu kamu tetap di situ. Di sisi aku. Pada setiap masa dan setiap sudut. Supaya kita boleh berkisah tentang diri masing-masing. Supaya kita sedar sebenarnya kita adalah dua insan yang sama. Dan ingin bersama.
...cinta, adakah kamu yang datang tadi?

29 January 2010

Nanti

Dah lama sungguh laman ni terbiar. Rumput dan lalang dah tumbuh liar. Bunga dah layu. Kumbang dah terbang jauh. Ada beberapa hal yang menyebabkannya berlaku yakni:


Facebook. File. Friends.

Ada facebook tempat untuk memberitahu cerita-cerita terbaru. Ada berlambak fail kerja untuk mengisi waktu. Ada friends teman untuk membuang masa. Haha.

Nanti. Nanti aku akan tambah cerita di sini. Ada banyak cerita. Tapi tak semua mampu untuk diceritakan. Nanti.

29 November 2009

Nota-nota Lagu Dari Rintik Hujan

Foto di atas kami tangkap secara tidak sengaja ketika melewati Menara Berkembar Petronas dua tiga minggu terdahulu. Ketika mana rintik-rintik hujan baru sahaja turun menitisi tingkap kereta tempat kami berteduh. Pantulan cahaya pada cermin tingkap tersebut membuatkan air hujan membentuk diri ibarat nota-nota lagu. Bukan bulat-bulat. Bukan petak-petak. Tapi ibarat nota-nota lagu.

Sedetik aku percaya, betapa sebenarnya hujan itu turun membawa berita gembira di dalam lagu-lagu cinta. Betapa hujan itu bukanlah tirai besi yang memerangkap kita rakyat melata. Masakan hujan boleh menjadi bah kalau bukan kerana sungai yang disempitkan. Masakan hujan boleh meruntuhkan tanah kalau bukan bukit yang ditarahkan. Kitalah yang menyebabkan nota-nota lagu dari rintik hujan menjadi irama kematian yang menakutkan.

Kerana hujan tetaplah rahmat, bukannya peluru Tuhan. Kerana kita ini adalah Orang, bukannya Manusia.





Citra Manusia nyanyian Azhary
Lagu: Azhary @ Iya
Lirik: Syahril A Kadir

15 November 2009

Terbaru

Alhamdulillah sekarang aku dah memiliki sebiji laptop baru. Barangkali selepas ni lebih banyak masa akan dihabiskan menghadap laptop sambil menonton televisyen. Huhu. Di bawah ni gambar rakan serumah aku yang terbaru, bergaya bersama laptop aku yang terbaru. Emm.. sesiapa yang nak berkenalan dengan Encik Aiman ni, dipersilakan. Masih bujang dan belum berpunya. Sesiapa pun boleh isi borang penyertaan. Kata dia, "Aiman tak kesah." Haha.

18hb November depan adalah tarikh untuk aku disahkan jawatan di Petronas. Alhamdulillah, sehingga ke hari ni boss dah pun menyalakan lampu hijau untuk memberikan pengesahan. Insya Allah. Apapun, pengesahan bukanlah memberi erti yang besar kerana yang lebih penting adalah untuk terus hidup di dalam syarikat yang sangat dinamik ni. Di bawah ni gambar aku bersama rakan-rakan sepejabat yang gila-gila sikit semasa jamuan hari raya yang lepas. Beginilah kami. Akan jadi gila selepas seharian bekerja dengan penat lelah. Haha.


Ini pula kegiatan terbaru aku ketika masa lapang. Kalau dulu aku ligat berzapin, tapi sekarang aku ligat di kamar karaoke pula. Suara tidaklah sehebat mana, tapi kepuasan menjerit tu tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Di bawah ni adalah rakaman suara aku untuk sesiapa yang sanggup memecahkan gegendang telinga mereka. Haha.


Aidilfitri yang lepas adik aku dah pun selamat melangsungkan majlis pertunangannya. Bermakna, menjelang penghujung tahun depan aku akan dapat adik ipar yang pertama. Menambahkan seorang lagi ahli baru dalam keluarga kami, Insya Allah. Jadi sebagai lambang sokongan daripada seorang abang, aku dengan senang hati menghadiahkan sirih junjung hasil kreativiti keras-tangan aku ni. Hehe.

Dulu aku pernah katakan betapa sesuatu yang baru selalu membuatkan kita keliru. Sekarang, aku mula sedar bahawa untuk terus hidup kita mesti selalu menikmati perkara-perkara baru. Justeru itulah sebenarnya yang sentiasa aku mahukan!

Teman, perbaharukan hidupmu selalu :)

16 October 2009

Di Bawah Langit Yang Menangis (Mengenang Padang Yang Hampir Hilang)

di bawah langit yang menangis
beralas bumi yang meratap
cuba hentikan masamu yang manis
dan kenangkan barang sekejap

bernafaskah kau tanpa hijau daunan
tenangkah kau tanpa semilir bayu
segarkah kau tanpa air gunungan
hidupkah kau tanpa nikmat Yang Satu?

kita robek jiwa nyawanya
kita carik sutera putihnya
kita patahkan tiang serinya
kita bisukan lagu alamnya

kita selalu terlupa
dunia semakin tua
hanya tunggu masa
semua akan tiada

sejarah alam yang indah
tidakkah mengingatkan kau
agar kembalikanlah
ketenangan yang lampau

hentikan kezaliman
jangan lagi menyakiti
dunia yang kesakitan
menanggung azab penghuni

.....





di bawah langit yang terus menangis
beralas bumi yang terus meratap
cuba ukirkan senyummu yang manis
dapatkah kau lakukannya barang sekejap?

05 October 2009

Pertembungan Empat K

Ada ketika dalam hidup, kita perlu mendepani pilihan. Sejujurnya, aku sedang bingung. Ternyata membuat pilihan bukanlah kepakaran diri kerana selama ni aku hanya mengikut kata hati. Sengaja aku ulang semula frasa tersebut. Frasa yang pernah aku tulis dalam entri sebelum ni. Semuanya kerana aku sedang berdepan dengan pertembungan baru. Pertembungan Empat K.

K yang manakah akan jadi kayu kandar untuk mengukur perkembangan karier aku di Petronas? Ya Kareem, berikanlah aku kekuatan. Kawan-kawan, berikanlah aku sokongan. Sesungguhnya semua ini adalah apa yang aku inginkan.

Empat K yakni KLCC, Kerteh, Kuching dan Kota Kinabalu. Salah satu daripadanya akan menjadi lokasi baru untuk aku mencari rezeki. Yang pasti Kahwin belum berada dalam senarai lagi hehehehe..

...aku dan menara