09 August 2010

Ramadhan dan Rasa


ramadhan itu seperti ada rasa dan jiwa
datangnya sunyi, tenang, sayu dan mendamaikan
tiada lain setanding ramadhan
kerana hanya ramadhan yang memahami
sekeping hati di dalam jasad diri
sunyi, tenang, sayu dan mendamaikan...

Semestinya ia dinanti-nantikan tetapi ada masanya kita sendiri merasa malu untuk menyambut Ramadhan. Setelah 11 bulan menconteng dosa, Allah masih lagi memanjakan kita dengan bulan pengampunan.

07 August 2010

Jangan Jadi Setan

Baru lagi aku bercerita tentang filem Lagenda Budak Setan (LBS) di sini. Sekarang LBS akan ditayangkan di kaca televisyen pula. Setiap Selasa 10.30 malam di Astro Prima. Melihatkan pada promosi lewat iklan di Astro, LBS mampu menarik peminat setia untuk melekat di depan skrin pada setiap Selasa. Pemilihan waktu tayangan pada jam 10.30 malam memang sangat sesuai untuk mereka yang bekerja. Golongan inilah yang dulunya menjadi pembaca setia novel LBS. Betul tak?

Tapi jangan lupakan Ramadhan yang bakal menjemput kita ke alam keberkatan dan kerahmatan. Lagenda Budak Setan bukan alasan untuk tidak ke solat Tarawih atau terlambat bangun sahur. Jangan nanti kita menangis mendengar takbir Raya dek bulan Ramadhan yang dipersia-siakan. Pernah dulu aku menyesal di pagi raya kerana aku tahu yang aku mampu melakukan lebih baik daripada sekadar menahan lapar dan dahaga. Ramadhan itu dalam bahasa melayu bermaksud panas dan terbakar. Jangan sampai kita menjadi setan yang menjadi bahan bakar api neraka. Nauzubillah.

Musim panas yang berlalu
Membawa pergi keberkatan
Kerahmatan tiada tandingan
Antara seribu bulan

Di balik takbir pujian
Bergema suara kenangan
Ada sesal membiarkan
Sejarah terbina hina

Mulalah kata berbahasa minda
Mulalah tangan menadah simpati
Mulalah rasa kalut jadinya
Temukah aku lagi
Musim panas di tahun depan?

Musim Panas yang Berlalu

Gombak, 2004



Selamat menyambut Ramadhan. Jangan jadi setan :)

01 August 2010

Izinkan Aku...


Ingin kuberikan cinta
Tapi untuk siapa
Ingin kupendamkan saja
Tapi untuk apa?

Mencuba aku mencintaMu Tuhan
Tapi pura-pura
Paksa kucari cintanya insan
Tapi tak jumpa

Izinkan aku mencinta, Tuhan
…Izinkanlah

(maafkan aku, kerana masih merindu kamu)

30 July 2010

Rasa

Kebelakangan waktu, hidup terlalu sesak dengan segala macam perasaan yang bercampur baur. Kadang-kadang rasa gembira membuatkan aku tersenyum-senyum seorang. Kadang-kadang sedih walaupun aku tak bisa menangis. Kadang-kadang marah tapi terpendam dalam. Kadang-kadang rasa sakit yang datangnya entah dari mana.

Aku bukanlah orang yang mudah mempamerkan perasaan. Maka cerita ini akan berakhir di sini. Cukuplah sayang, jangan lagi kau menangis. Derita itu untuk disimpan, bukan untuk dikongsi. Apa kau fikir ada orang yang memahami?

Esok aku mahu ke Sungai Chilling lagi. Di situ ada udara tenang yang mendamaikan hati :)

27 June 2010

Pariwisata Di Pulau Bali

Ini cerita empat hari tiga malam di Pulau Bali. Bau pantainya seharum cempaka, irama ombaknya semerdu seruling. Asyik. Dan menyegarkan. Liburan yuk!

Hari pertama, usai mandi dan mendaftar di Wina Holiday Villa, kami langsung ke Tebing Batu Uluwatu. Aku sentiasa dalam ketakutan sepanjang berada di atas bukit ni. Debaran dada sekuat hempasan ombak yang gede'. Semuanya gara-gara monyet di sini yang suka curi cermin mata. Monyet-monyet ni rabun agaknya haha!

Kunjungan ke Bali tak lengkap kalau tak ke Tanah Lot. Menyaksikan matahari tenggelam di balik ombak besar yang menghempas "daratan bertanahkan air" (Tanah Lot). Buih-buih ombak di Tanah Lot menyatukan tanah dan air. Kalau aku ke Bali lagi, aku nak habiskan satu hari hanya di Tanah Lot.

Makanan paling popular di Bali adalah Babi Guling huhu. Tapi makanan-makanan di atas semuanya ditanggung halal. Terima kasih kepada pemandu pelancong kami, Sang Ayu. Kami duduk makan di restoran setinggi Bukit Bedugul dan Kintamani, hingga serendah tepian pantai Beach Bali Cafe dan Pekan Kuta. Makan sambil berselimut kabus gunung, bernafas semilir padi bukit, bergendang ombak besar dan berpijak pasir putih. Semuanya kami rasa.

GWK Cultural Park: di sini letaknya patung-patung berhala terbesar di Indonesia, diberi tonton tarian Kecak dan dijamu selera di Jendela Bali (The Panoramic Resto) yang berlatarbelakangkan panorama Pulau Bali. Ukiran batunya memukau mata.


Antara aktivitas di pantai Nusa Dua yang bisa membakar warna kulit kalian persis penduduk tempatan. Tak hairanlah kalau foreigner ingatkan aku ni waiter di restoran. Ada ke dia orang suruh aku ambilkan cawan minum? Cis!

Segalanya mengasyikkan di Bali. Cuma sedikit kecewa sebab tak dapat lihat Tasik Batur di Gunung Berapi Kintamani dek kabus yang menebal selepas hujan. Apapun, aku tetap seronok selama di sana. Ada sesiapa yang mahu ke Bali? Berbaloi baloi hehe..

12 June 2010

Dua Kali di Bukit Broga

Kelmarin kami ke Bukit Broga
Bukan berdua tapi bertiga
Ketika matahari tegak di kepala
Kami daki bukit bertangga
Bekal air bukan setelaga
Natijahnya tekak meraung dahaga
Tak sanggup lagi kaki berlaga
Semput lelah segala tenaga
Kami berhenti di tengah jaga

Hari ini ke sini lagi
Menebus kecewa kelmarin hari
Bertiga bukan, berenam tapi
Gerak sedari jam enam pagi
Subuh dingin mengejut matahari
Damai alam menyejuk hati
Jiwa menggila bermain fotografi
Setiap kaki pun gagah berlari
Tak sabar segera ke destinasi
Dimanja air, nasi dan roti
Kami tawan puncak tertinggi..!
Tunggul kayu tegak setia
Jadi tanda jiwa waja
Selamat tinggal Bukit Broga
Berjumpa lagi lain masa

05 June 2010

Lagenda Budak Setan (LBS)

Sebenarnya, aku sangat mengharapkan filem ini sehebat Sepi, Cinta, atau Sepet yang gah dengan sinematografi dan skrip yang menusuk kalbu. Tapi sayang, Lagenda Budak Setan belum mampu menepati kayu ukur.

Kamera banyak bermain teknik "close-up". Justeru, ekspresi muka setiap pelakon mesti kena hebat! Tahniah buat Que Haidar (Azmi) dan Fazura (Kate). Yang lain-lain, sila cuba lagi tahun depan. Terutamanya Sheila Mambo (mak Leha). Kawan aku cakap, macam nak lempang je muka mak Leha tu haha.

Berbeza dengan filem Sepi yang banyak bermain dengan gambar-gambar pemandangan yang cantik dan cocok dengan perasaan pelakon dalam setiap babak. Tapi dalam LBS, sedang Farid Kamil patah hati terduduk di atas akar kayu, tiba-tiba keluar bunyi gagak hampir setengah minit. Apakah?! Kadang-kadang, diam itu lebih indah.
Apapun, jika diambil kira latar belakang pengarah, Sharad Sharan yang khabarnya masih baru dalam dunia layar perak, filem ini wajar ditonton demi memberi semangat kepada industri perfileman kita.
Banyak "punch line" yang boleh mewujudkan unsur saspen di kalangan penonton tidak digunakan dengan sebaik-baiknya. Misalnya, identiti Ayu yang "dilahirkan semula" seolah-olah tak ada siknifikan langsung kepada Farid Kamil (Kasyah) dan Lisa Surihani (Ayu). Kawan aku punyalah teruja meneka-neka siapakah Ayu yang sebenarnya, tapi jawapannnya disampaikan oleh Raja Farah (Suzana) dengan selamba. Walau bagaimanapun, adegan Que Haidar (Azmi) bergelut dengan Lisa Surihani (Ayu) sambil membakar majalah di dalam rumah mereka benar-benar mengesankan! Punch line macam itulah yang kita mahu :)

Apapun, jika diambil kira latar belakang pengarah, Sharad Sharan yang khabarnya masih baru dalam dunia layar perak, filem ini wajar ditonton demi memberi semangat kepada industri perfileman kita. Sekurang-kurangnya aku bangga apabila novel Melayu diangkat ke panggung sepertimana Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Aku tetap bangga meskipun aku tak minat pun baca novel Ahadiat Akashah dek gaya bahasa rojaknya yang keterlaluan huhu.

Aku beri tiga setengah daripada lima bintang untuk filem ni. Filem ni bukanlah membosankan atau tak menarik langsung. LBS tetap berbaloi untuk Rm8.00 di TGV KLCC. Cuma secara peribadi, aku rasa LBS sedikit menipu hati aku yang teruja selepas menonton trailernya yang memanggil-manggil penonton ke panggung. Hanya peribadi. Itu sahaja.

Tapi awas! Kalau kalian benci dengan perkataan JIWANG, jangan menonton filem ini. Bimbang kalian menipu diri sendiri hehe... Selamat menonton :)

Yang Hebat tentang LBS:

1. Que Haidar dan Fazura
2. Datangnya dari novel Melayu zaman aku muda-muda dulu
3. Bisa bikin gadis menangis dan menjerit :)
4. Lagu tema - Bila Cinta dan Hilangnya Cinta

Yang Kurang Hebat tentang LBS:

1. Sheila Mambo (Mak Leha) dan Shiqin Kamal (Emilia)
2. Terlalu banyak close-up yang tak memberangsangkan :p
3. Pelakon nampak kekok nak bercakap "Bahasa Melayu buku"

08 May 2010

Kebetulan atau Kebenaran?

Sepanjang tempoh sebulan yang lepas, kami ditemukan secara kebetulan sebanyak tiga kali. Di tempat yang sama. Pada ruang waktu yang sama. Kebetulan? Aku yakin tiada perkara yang terjadi secara keBETULan melainkan keBENARan yang nyata. Betapa rindu telah membawa kami kepada satu sama lain. Terima kasih sayang kerana memberi aku sebab untuk tersenyum.

Senyuman untuk melupakan kekecewaan yang terjadi Jumaat lepas.

Jumaat 07 May 2010 tetap diingati sebagai tarikh yang mengecewakan. Aku yang dikecewakan oleh beberapa teman yang selama ini aku anggap menyokong dan mendorong. Hari ini mengajar aku untuk tidak berlari terlalu laju. Tidak terlalu menggapai awan hingga kaki tak jejak dasar. Terima kasih teman kerana memberikan tamparan kesedaran untuk aku yang mudah lupa.

Terima kasih.

17 April 2010

Kembara Sungai Chilling

Rasanya dah lama aku tak mandi air terjun. Masih terkenang peristiwa berdarah tergelincir di air terjun Lanchang, Temerloh pada tahun 2002/2003. Kepala aku berjahit sembilan. Hospital Mentakab menjadi saksi. Dah tutup pun hospital tu sekarang. Itulah akibat berseronok sehingga lewat senja. Huhu.

10 April 2010, kami ke Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu. Satu pengalaman yang sangat menyegarkan. Mendaki bukit, meredah belukar dan mengharung lima anak sungai. Badan berpeluh-peluh, kasut dan seluar basah. Hanya selepas lebih setengah jam barulah terdengar deruman bunyi air terjun. Kepenatan membuatkan kesejukan air terjun terasa lebih nikmat! Menyegarkan! Puas!


Kalau tak ada aktiviti di hujung minggu, singgahlah di sini. Chill Out~

Baru sampai, bergambar dulu sebelum beratur untuk makan tengahari.
Antara lintasan anak sungai yang perlu diredah sebelum sampai ke destinasi.
Nazli dah kepenatan ke?

Tak sah kalau tak bergambar sepanjang mendaki bukit ni. Kasihan orang di belakang huhu.
Akhirnya, itu dia.. air terjun sungai Chilling :)
Apa lagi.. terjun lah! Sejuk dan menyegarkan!
Panjat dan lompat! Tapi bukan aku sebab aku tak pandai berenang hehehe~
Aku nak buat kolam renang macam ni di belakang rumah aku nanti :p
Dan masa untuk pulang... Jumpa lagi...

27 March 2010

RETROFIT

Maksud retrofit bukan kembali ke zaman retro. Bukan juga bermakna kembali menjadi fit @ sihat. Tapi ia adalah kata nama khas yang digunakan untuk melambangkan proses pengubahsuaian pejabat. Dan pengubahsuaian ini selalunya terjadi apabila berlaku perubahan struktur organisasi atau perpindahan staff secara beramai-ramai ke tempat lain. Maka semuanya harus disusun semula untuk membantu kami menghadapi segala macam cabaran baru yang kadang-kadang sangat meresahkan :/

Semalam adalah pengalaman pertama aku terlibat dalam sesi retrofit di Aras 62. Sepenuh hari dihabiskan dengan membungkus segala harta benda masuk ke dalam kotak. Isnin nanti kami akan datang ke pejabat dan duduk di meja baru yang telah disusunatur oleh pekerja-pekerja am. Akan ada ahli keluarga baru yang masuk menyertai kami. Dan akan ada juga kawan-kawan yang dipindahkan jauh. Walau tak nampak di mata, aku harap kalian terus sukses di tempat baru :'(

Dulu aku pernah katakan yang berkemungkinan aku akan dipindahkan ke KK, Kuching atau Kerteh. Tapi dalam masa 4 bulan, nama aku telah ditukarkan dengan staf lain. Lega. Hehehe. Jadi, bermula 1 April depan, secara rasminya aku akan memulakan kerja baru di meja baru bersama portfolio baru tetapi masih di KLCC. Aku akan ditugaskan untuk menjaga kebajikan staf di Education Division. Staf-staf di jabatan inilah yang mengawal selia UTP, INSTEP dan PERMATA. Oh, aku sangat teruja. Aku mahu kembali dekat dengan pelajar-pelajar dan kembali menjadi muda :)

Oh April, kehadiranmu aku nantikan dengan seribu rasa yang bercampur baur...