18 November 2010

Ministry of Moment : Just Like contest



Kesempurnaan Sesaat


Sayang, abang dah siap-siap nak akad nikah ni. Betul ke kita nak kahwin ni?
Abang malulah. Hiks~


Roe, kau diam. Biar makcik yang jawab.
Hei Bud, kau ingat kahwin boleh main-main ke? Sekali aku lesing kang!


Maaf makcik. Saya tak main-main lagi.
Saya dah kurung cinta hati saya ni dalam jiwa saya.
Saya serius. Hanya saya yang genggam kuncinya.


Amboi abang ni! Tadi malu-malu sangat.
Bila dah dapat, sampai kaki terangkat.


Mestilah terangkat. Dapat isteri terbaik punya! Mmmuahhh!

Semua gambar adalah ihsan: Ministry of Moments

Tiada sebab lain untuk anda menyukai sesuatu gambar melainkan kesempurnaan isi lukisnya. Bukankah kerap kali kita melihat ada orang yang asyik memadamkan gambar-gambarnya kerana katanya kelihatan gemuk, matanya terpejam, kainnya terselak, hidungnya terpenyek, matanya terjuling. Ah! Kesempurnaan jugalah yang dicari orang meski kita tahu hanya DIA yang maha sempurna.

Tetapi percayakah kalian kalau aku katakan, ada masa-masanya kita boleh nampak sempurna walaupun hanya sesaat. Dan lebih manis kalau kesempurnaan yang sesaat itu berjaya dirakam masuk ke dalam album foto dan kekal abadi untuk tatapan kemudian hari. Kalau tak percaya, sila tanya Ministry of Moments kerana mereka pakar dalam hal ini. Selama pemerhatian aku dalam bidang fotografi, tak ramai jurugambar yang mampu menjadikan kesempurnaan sesaat itu kekal di dalam album foto.

Ya, gambar yang sempurna boleh dibuat-buat di dalam studio. Tapi gambar yang bernyawa datangnya hanya sesaat tanpa disuruh-suruh. Mampukah kalian membuat komik bergambar seperti di atas jika gambar-gambarnya tidak sempurna dan bernyawa? Mampukah kalian suruh makcik tu bermimik muka macam tu selama 5 minit sebelum digelakkan orang? Mampukah kalian melihat Bud mengangkat kakinya selama 10 saat tanpa disedari ibu mertuanya? Mampukah kalian meminta pengantin tersenyum ikhlas sementara jurufotonya sibuk membetulkan apperture dan ISO? Semuanya hanya sesaat. Dan sesaat itulah yang sangat berharga.

dari klik di jari dan kilau lensa
kau lukis alam dengan cahaya
bercerita ria pada kartu bisu
mencipta cinta di keras foto

tiap satunya mesti tampak sempurna
meski kau tahu betapa hidup tak pernah sekata
akan ada cerita tak tertulis tinta
ada sudut tak terpandang mata

tapi...
lewat klik di jari dan kilau lensamu
tiap satunya mesti tetap sempurna
mesti..!


Entri ini didedikasikan khas buat rakan sekerja aku Roe dan Bud. Selamat berbulan madu. Pergi berdua, pulang nanti biarlah bertiga ya hehehe. Dan juga bersempena peraduan Just Like Contest! yang diperkenalkan oleh Roe. Terima kasih atas peluang yang diberikan! Hidup biarlah menyempurnakan:)

17 November 2010

Salam Aidiladha


Apa pengorbanan terbesar yang pernah kalian lakukan?
Apakah sehebat seorang ibu yang melahirkan anaknya yang mana pada saat kelahiran kalian, nyawanya boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja dalam sekelip mata.

Setinggi mana kaki dipijak, ada kitab yang tertegak.
Selamat Hari Raya Qurban.


14 November 2010

Ahad nan Sempurna

Bersandar di empuk sofa
Berteman hingar di layar kaca
Dibelai angin sepoi bahasa
Semilir dari hujung beranda
Hijau pohon menyegar mata
Jadi pelengkap ahad nan sempurna

07 November 2010

Bukit di Lembah Mempaga

ibarat bukit di lembah ada tinggi ada rendah
ibarat hidup diredah ada pedih ada indah
usah selalu berkeluh kesah kerana kabus tetap basah
di situ letak penyejuk amarah penawar gelisah


Felda Mempaga, Jalan Raub - Bentong


Ini adalah jalan yang mesti akan aku lalu setiap kali nak pulang ke Lipis. Jalan lurus tidak rata ini menghubungkan Bentong dan Raub merentasi Felda Lurah Bilut dan Mempaga. Berbanding dengan jalan lama yang bengkang bengkok di lereng gaung curam, jalan raya ini menjimatkan hampir satu jam masa perjalanan. Laluan ini memang sentiasa aku tunggu-tunggu dek kehijauan bukit bukau yang saujana mata memandang. Pemandangan inilah yang membuatkan aku kembali sedar betapa Malaysia masih lagi hijau dan mendamaikan.

05 November 2010

Keadilan Karma

hidup seperti aku
bisu menyapa cinta
manusia seperti aku
tak kuat memegang cinta

tertulis pernyataan ini, terlambang keadilan karma:
kasih hanya untuk yang mengasihi
sayang hanya untuk yang menyayangi

dengan itu sayang
izinkan aku mengasihimu
izinkan aku menyayangimu
esok dan selama-lamanya


Terkadang kita selalu tertanya-tanya; mengapa diri belum berpunya, mengapa dia enggan dipunya? Yang terlebih banyak kita bertanya; apakah yang dia cari, apakah idamannya? Jarang sekali kita menyoal diri; apa salah telah kita buat, apa dosa telah kita lakukan? Bermuhasabahlah, kerana sesungguhnya Tuhan itu Maha Adil.


Keramat 12:35
05 November 2010

24 October 2010

Wajah Seorang Pendosa

ketika hujan turun renyai
basah dingin kaca jendela
terjaga jiwa dalam mamai
minda hilang dalam leka

malam masih berwarna suram
awan masih menangis duka
aku kaku di birai katil
kenang tidur tidak bermimpi

kalau benar air mata
bisa jadi penawar luka
hentilah saja tiap titisnya
alirnya laju keringnya tidak

kalau benar hilai tawa
bisa jadi penyembuh rindu
buanglah saja tiap rasa
gelaknya besar bunyinya bisu

buta bukan kerana gelap
tapi silau limpah cahaya
hati legam jelaga meruap
wajah gelisah bertopeng dosa

itu resah seorang pendusta
itu wajah seorang pendosa


24.10.2010
Keramat Au3

17 October 2010

Kahwin-Kahwin


cinta itu indah tatkala ikatan menyatu hati
kasih itu suci tatkala cincin lekat di jari
betapa nikah bukan sekadar pada akad
tapi tekad sehidup semati ke akhir hayat


Selamat Pengantin Baru buat Roe dan Bud..
Roe kau sangat cantik dengan baju putih tu ya.. Bertuah sungguh Bud huhu..



Selamat Pengantin Baru buat Azizi dan Azila juga...


11 October 2010

Melukis Dengan Cahaya (Suara Hati Seorang Jurukamera)


dari klik di jari dan kilau lensa
kau lukis alam dengan cahaya
bercerita ria pada kartu bisu
mencipta cinta di keras foto

tiap satunya mesti tampak sempurna
meski kau tahu betapa hidup tak pernah sekata
akan ada cerita tak tertulis tinta
ada sudut tak terpandang mata

tapi...
lewat klik di jari dan kilau lensamu
tiap satunya mesti tetap sempurna
mesti..!


10.10.10

Ini rentetan tiga hari tiga malam aku menjadi jurukamera di majlis perkahwinan adik perempuan tempoh hari. Ternyata menekan butang klik itu lebih berat daripada memikul kamera. Kepada yang bergelar jurukamera baik amatur mahupun professional, kalian harus mengerti bahawa warna-warna kehidupan kadang-kadang boleh ditentukan oleh tangan kalian. Maka berhati-hatilah dengan setiap klik kerana ia mungkin membawa dua erti. Samada indah atau padah!


Hahaha seriusnya aku dalam bab fotografi. Hey Nizam, orang bergambar sekadar untuk bergembiralah! :p


19 September 2010

Balada Anak Bujang (terlajak..?)

sebelum kau tanya aku hal nikah
pernahkah kau rasa perit terluka?

sebelum kau tanya aku makna perkahwinan
pernahkah kau rasa sakit dipermainkan?

sebelum kau gebang indahnya hidup berdua
tanya dulu bagaimana aku melayan sengketa?

sebelum kau gebang bercinta manis selalu
tanya dulu bagaimana aku menepis cemburu?

sebelum kau berperi bahawa jodoh perlu dicari
mengapa kau bercerai ketika inai merah di jari?

sebelum kau berperi bahawa sendiri itu sepi
mengapa kau menangis tatkala berkongsi suami?

sebelum kau katakan aku mencipta alasan
bukankah elok kau bantu aku mencari pasangan?

sebelum kau kenalkan kawanmu nan seribu
bukankah elok kau sahaja yang kahwin dengan aku?!

***

Hahaha. Ini sekadar idea spontan selepas acapkali mendengar pelbagai luahan rasa kawan-kawan yang senasib seperti di atas. Tiada kena mengena dengan yang hidup atau mati. Dan sunnah nabi meramaikan umat itu tetaplah wajib diteruskan. Selamat menyambut musim orang kahwin. Kepada yang bakal ataupun dah kahwin, jagalah pasangan baik-baik. Kepada yang bujang, selamat mengumpul koleksi kad kahwin untuk ilham pada masa depan :)


Dijemput semua kenalan ke Dewan MDL Kuala Lipis pada 09.10.10 sempena majlis adik aku yang bakal melangkah bendul abangnya hahaha. Maaf tak ada kad kahwin sebab bukan aku yang kahwin pun hehehe.

16 September 2010

Aku Nak Kahwin..!

Azam raya tahun ni aku nak kahwin! Sebab hari raya di KL agak menyedihkan untuk orang macam aku. Asyik kena tinggal seorang diri di rumah. Kawan, tolong perkenalkan aku dengan siti vios ataupun fatimahonda takpun nurul myvi. Aku mahu kahwin dengan salah sebiji daripada mereka. Sebab aku belum punya kereta sendiri untuk melaram pergi beraya :(

Eh lesen pun belum daftar lagi ni huhu~