Aku, K-rul, Mizi dan Pijan berangkat ke Melaka seawal jam 8.30 pagi. Cuti-cuti Malaysia. Pakat-pakat kutip duit, sewa sebiji kereta. Bandar Hilir jadi destinasi pertama. Biasalah, pergi Melaka tak sah kalau tak bergambar di Kota A Famosa dan kawasan-kawasan sekitarnya. Tapi, apa yang aku hendak ceritakan di sini bukanlah tentang seronoknya kami melancong ke sana, tetapi tentang betapa seronoknya mengenangkan pengalaman kami sejurus selepas kami keluar dari Bandar Hilir tersebut.
Mengikut perancangan awal, kami akan ke A Famosa Resort di Alor Gajah, antara taman air terbesar di Malaysia. Tak sangka, lebih satu jam kami mencari jalan ke sana, segalanya hampa tatkala kami menjejakkan kaki di A Famosa Resort. Pijan dan K-rul berat hati hendak masuk. Bayaran RM 20 dirasakan tidak berbaloi. Kami memang tidak merancang perjalanan dengan teliti, maka tak mustahil apabila Pijan dan K-Rul menyangka A Famosa Resort itu adalah kawasan rekreasi air terjun yang tidak berbayar. Aku dengan Mizi bengang jugalah sebab rancangan kami tak berjaya disebabkan salah faham tersebut. Tak mengapalah, kami sepakat ke tempat lain.
Akhirnya, secara tidak sengaja kami menuju ke Port Dickson. Biarpun Pijan tak berapa berminat mandi pantai (fobia tsunami…), tetapi dia terpaksa akur kerana itulah satu-satunya tempat yang paling dekat demi menjimatkan masa yang telah terbuang begitu sahaja sedari tadi. Minyak hampir habis dan kami berada di tengah lebuh raya yang sesak. Berdoalah kami sepanjang jalan semoga kami sempat berjumpa stesen minyak. Perut pula berkeroncong minta diisi. Malangnya banyak kedai makan yang tutup (kecuali restoran milik kaum Cina). Menggagau kami mencari kedai makan, dan akhirnya KFC terpaksa menjadi pilihan. Jam 3.30 petang baru kami merasa makan tengahari. Huh!
Kami sampai di Port Dickson lebih kurang jam 4.30 petang lantas sembahyang Asar di sana. Kemudian, pantai menjadi destinasi seterusnya. Seronok memanglah seronok, hinggakan kunci kereta di dalam poket seluar terlupa hendak disimpan. Kami mandi laut, kunci kereta pun mandi juga. Mujur tidak hanyut dibawa air. Masing-masing berharap kunci tersebut tidak rosak.
Harapan berkecai apabila alat kawalan jauh kunci kereta tersebut tidak berfungsi. Kami buka kereta menggunakan kunci, alat penggera keselamatan berbunyi. Sudah! Macamana kami nak balik ni? Enjin kereta tidak dapat dihidupkan kerana sistem keselamatan kereta masih berjalan. Orang sekeliling memandang kehairanan.Tak sangka ramai yang mula datang menolong. Lebih satu jam kami cuba mencari punat yang sepatutnya berada di bawah stereng kereta untuk mematikan sistem keselamatan tersebut.
Jam 8.30 malam kami mula putus asa. Pertolongan daripada EON juga tidak boleh dipakai apabila mereka sendiri tidak dapat memberikan penyelesaiannya. Dengan berat hati, kami sepakat untuk meninggalkan kereta di situ, di tepi pantai, dan kami pula ke masjid berhampiran untuk membersihkan diri. Nasib baik ada empat orang lelaki yang baik hati sudi menumpangkan kami secara bergilir-gilir. Aku dan Pijan pergi dulu dan kami menunggu hampir setengah jam di masjid sebelum K-rul dan Mizi tiba bersama kereta.
Alhamdulillah, rupa-rupanya orang ramai menolong mereka menolak kereta untuk menghidupkan enjin. Bermakna, kami harus menolak kereta kalau hendak menghidupkannya. Signal kereta pula langsung tidak boleh berfungsi. Sepanjang perjalanan balik ke Kuala Lumpur, kami bertawakal moga-moga kami akan selamat sampai. Di awal perjalanan pulang ke KL, kami tersalah masuk jalan. Hai, tak putus-putus masalah datang. Sabar sajalah.
Paling melucukan, enjin kereta tiba-tiba mati di plaza tol ketika kami membayar tol. Serentak, dalam sekelip mata, aku, Mizi dan Pijan keluar dan menolak kereta. Bayangkan betapa malunya apabila kereta-kereta yang sedang beratur di belakang kami di plaza tol tersebut semuanya tersenyum ke arah kami. Pasti mereka berasa pelik melihatkan aksi kami. Kunci kereta tak boleh gunalah bang! Hehe. Kenapalah enjin mati di plaza tol???
Jam 10.30 malam kami selamat juga sampai ke UIA. K-rul menjerit puas. Dia yang memandu mesti lebih rasa takutnya. Tanpa signal, tanpa kunci kereta untuk menghidupkan enjin, kami pasti tergelak mengenangkan semua ini. Apa-apapun, semua ini mengajar kita erti kerjasama dan faham-memahami. Moga ukhuwwah kita kekal sampai mati. Kalau mati pun, kita pakat tolak ramai-ramai ok? ;-) Love you guyz!
10 Februari 2005
1 Muharram 1426 H
1 Muharram 1426 H
No comments:
Post a Comment