27 April 2005

Ukuran Kehidupan

-pakwe hensem, tapi makwenya muka macam jambatan tak siap.
-sudah cantik molek rupa paras si bakal isteri, tapi si bakal suami tetap cari yang lain.
-sudah puas aku bergadai segala, si dia tetap cari jantan lain.
-aku takkan kahwin selagi aku tak jumpa perempuan yang muka macam Siti Nurhaliza, pandai masak, jahit, berambut panjang, sopan santun, kulit lebih gelap daripada aku, bla bla bla…
Yang baik tidak semestinya untuk yang baik juga. Yang elok tidak semestinya untuk yang elok juga. Terkadang yang sempurna ditemukan dengan yang kurang sempurna untuk membantu menyempurnakannya. Terkadang yang cantik disatukan dengan yang kurang cantik untuk menambahkan kecantikannya. Usahlah kita terlalu meninggi diri dengan segala kelebihan yang kita miliki hinggakan kita terlalu inginkan segala yang berada di sekeliling kita juga penuh dengan kesempurnaan. Walau apapun, Tuhan itu Maha Adil. Kelalaian kita di hari semalam memungkinkan kita untuk diperingatkan oleh Tuhan melalui sesuatu yang mencabar ‘kesempurnaan’ kita. Hanya untuk kita mengerti betapa hanya Dia yang Maha Sempurna.
Usah mimpikan isteri secantik Fatimah jika diri sendiri tidak sehebat Ali. Ternyata permainan sekeping hati terlalu sukar untuk diduga tanpa iman takwa jadi pengukurnya.

***********
Mengapa harus elaun menjadi kayu pengukur untuk menilai ilmu yang diperoleh daripada latihan industri (practical training)? Bagi aku, elaun tidak ada kena mengena langsung dengan setinggi mana ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh latihan ini. Jika hendak dikatakan tiada elaun itu maknanya tiada kerja, ternyata seseorang itu bukan lagi seorang pekerja yang baik. Kerja sentiasa ada di mana-mana. Kita yang perlu mencari ilmu, bukannya menunggu ilmu datang melayang kepada kita.
Malah aku lebih risau jika sebaliknya pula yang berlaku. Ada elaun tetapi tidak banyak kerja yang dilakukan. Makan gaji buta namanya. Kita tidak tahu mengapakah elaun tersebut diberikan. Adakah atas dasar simpati, kasihan, penghargaan, motivasi untuk ke tempat kerja atau sememangnya kerja-kerja yang kita lakukan itu berbaloi untuk digajikan? Inilah yang perlu kita hisabkan, bukannya terlalu cepat melatah, membangga diri kononnya elaun diberikan kepadanya kerana dia lebih layak dan lebih hebat dari mereka yang tidak menerimanya. Betapa 'murahnya' kelayakan dia kerana dapat diukur dengan wang ringgit.

1 comment:

Anonymous said...

Terbaik...
Kenali hati budi sahabat mu...
Ada di antara sahabat yang memahami tetapi mungkin sama-sama buta hati...
Allah S.W.T memberikan kita naluri, pasti akan terdetik di hati kita...siapa yang terbaik di antara terbaik...
Terlebih dahulu...selamilah hati sahabat-sahabat mu.
Catatkan setiap seorang yang kau kenali dan siapa yang paling kamu fahami maka di situ kamu menjumpai jawapan bagi segala persoalan.